Khamis, 31 Julai 2025

Jet tempur 'paling canggih' F-35 milik tentera AS terhempas

Jet tempur 'paling canggih' F-35 milik tentera AS terhempas


Sebuah jet pejuang F-35 terhempas di kawasan ladang di negeri California petang semalam, menyebabkan kebakaran di kawasan seluas empat hektar, lapor portal berita MailOnline, hari ini.


Pangkalan Udara Tentera Laut di Lemoore mengesahkan bahawa juruterbang terbabit selamat apabila dia mengaktifkan kerusi anjal.


Jet tempur skuadron 'Rough Raiders' itu terhempas sekitar pukul 6.35 petang (waktu tempatan) di sebuah ladang di daerah Fresno, demikian menurut seorang jurucakap.


'Rough Raiders' ialah skuadron Tentera Laut Amerika Syarikat yang melatih juruterbang untuk menerbangkan pesawat F-35.


Kemalangan tersebut mencetuskan kebakaran rumput di kawasan sekitar dan telah merebak, kata Jabatan Bomba California.


Punca nahas masih dalam siasatan. - Sumber Daily Mail.


Jet tempur F-35 terhempas di California pada Rabu. - Foto AFP/KSEE.
Akad nikah belum selesai, tetamu sudah serbu makanan

Akad nikah belum selesai, tetamu sudah serbu makanan


Sebilangan tetamu sebuah majlis di Indonesia menerima kecaman ramai apabila menyerbu makanan sebelum akad nikah berlangsung, lapor portal berita Lambe Turah.


Rakaman video kejadian dikongsi di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan beberapa tetamu sedang berbaris untuk mengambil makanan.


Mereka sanggup beratur meskipun pasangan pengantin sedang duduk bersama wali untuk melangsungkan akad nikah.


Lebih memalukan, barisan itu bukan sahaja penuh dengan lelaki tetapi juga tetamu wanita.


Rakaman itu mencatatkan lebih 42,100 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai pengguna media sosial.


"Takut makanan habis," kata seorang netizen.


"Tetamu-tetamu itu sangat 'sopan'. Tidak malukah?" kata pengguna media sosial lain.


Orang ramai berbaris untuk mengambil makanan sebelum akad nikah berlangsung. - Foto TikTok.

Rabu, 30 Julai 2025

2 anggota polis direman disyaki minta rasuah RM635,000 lindungi aktiviti perjudian

2 anggota polis direman disyaki minta rasuah RM635,000 lindungi aktiviti perjudian


Dua anggota polis ditahan reman bermula hari ini, disyaki meminta dan menerima rasuah RM635,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan aktiviti perjudian.


Perintah reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos dikeluarkan Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Majistret Johor Bahru.


Sumber berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor kira-kira 2 pagi tadi.


Katanya, siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan perjudian.


"Kedua-duanya dipercayai menerima wang rasuah itu secara tunai," katanya hari ini.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.


Dua polis ditahan reman disyaki meminta dan menerima rasuah RM635,000. - Foto SPRM.
Ditegur ponteng kelas, pelajar tingkatan dua tumbuk, ugut guru tular di media sosial

Ditegur ponteng kelas, pelajar tingkatan dua tumbuk, ugut guru tular di media sosial


Seorang guru lelaki di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kajang ditumbuk dan diugut pelajar Tingkatan Dua selepas ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada guru berusia 29 tahun terbabit kira-kira pukul 7.15 malam, pada Isnin.


"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila pelajar berkenaan yang sepatutnya berada di padang untuk kelas Pendidikan Jasmani tidak hadir, menyebabkan guru itu menegurnya.


"Pelajar terbabit tidak berpuas hati dengan teguran tersebut lalu bertindak agresif dengan menumbuk dan mengugut mangsa," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Susulan laporan yang dibuat, Naazron berkata, pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan polis pada hari sama dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.


Menurut beliau, pihaknya turut menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret Kajang pada Rabu (hari ini).


Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.


Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.


Sementara Seksyen 506 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.


Video berdurasi 39 saat kejadian itu menjadi tular selepas dimuat naik di platform X oleh pemilik akaun @update11111.


Pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan polis pada hari sama dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan. - Foto media sosial X.

Selasa, 29 Julai 2025

Penduduk berhampiran kubur resah kerap diganggu pelbagai kejadian mistik

Penduduk berhampiran kubur resah kerap diganggu pelbagai kejadian mistik


Penduduk sebuah kampung di Sidoarjo, wilayah Jawa Timur gempar apabila pelbagai kejadian misteri berlaku di lokasi berdekatan tanah perkuburan dalam beberapa hari kebelakangan ini, lapor laman berita Detik hari ini.


Menurut sebilangan penduduk, mereka percaya bahawa kejadian-kejadian itu mula berlaku selepas pengebumian jenazah seorang penduduk.


Seorang penduduk bernama Iril Rahma berkata, suaminya sering diganggu kejadian misteri sejak jenazah tersebut dikebumikan.


"Sejak tiga hari, suami saya sering mendengar suara berbisik setiap malam bermula pukul 12 tengah malam sampai 2 pagi. 


"Suami saya turut terjaga beberapa kali dan mencari sumber suara, tetapi tidak bertemu dengannya," kata Iril yang tinggal berdekatan kawasan perkuburan.


Seorang penggali kubur setempat, Samikan turut mengaku mendengar cerita serupa daripada penduduk lain.


"Ada yang mendakwa pintu rumah diketuk waktu malam, malah ada peniaga melihat penampakan pocong sekitar pukul 3 pagi," katanya.


Sementara itu, penjaga kawasan perkuburan tersebut, Jainul menolak semua dakwaan tersebut serta berkata bahawa ia hanya khabar angin yang tidak disahkan. - Sumber Detik.com.


Penduduk yang tinggal berdekatan kawasan perkuburan mendakwa mereka sering diganggu pelbagai perkara misteri kebelakangan ini. - Foto Istimewa.
Budak perempuan 12 tahun koyak kepala diketuk dengan tukul besi, lelaki positif dadah ditahan

Budak perempuan 12 tahun koyak kepala diketuk dengan tukul besi, lelaki positif dadah ditahan


Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menggunakan tukul besi dalam kejadian di Flat Ungku Tun Aminah, Johor Bahru pada Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa mengalami koyakan kulit di kepala dan bengkak di tangan kanan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kini dilaporkan stabil.


Kejadian terbongkar selepas tular rakaman CCTV berdurasi 2 minit 19 saat yang menunjukkan sekumpulan kanak-kanak bermain sebelum salah seorang daripadanya dilihat melarikan diri dalam keadaan kepala berlumuran darah.


Suspek ditahan kira-kira dua jam selepas kejadian di kediamannya dan hasil semakan mendapati lelaki itu memiliki pelbagai rekod jenayah termasuk dadah. Ujian air kencing turut mendapati dia positif methamphetamine.


Suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan direman tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 2 Ogos ini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.


"Sesiapa yang dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan apa-apa alat, hendaklah dihukum dengan penjara maksimum sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.


"Orang awam diminta tidak melanggar undang-undang, bertindak rasional dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," katanya.


Tangkap layar rakaman video CCTV tular menunjukkan seorang kanak-kanak dipercayai diserang menggunakan sebatang tukul besi, Sabtu lalu. - Foto NSTP.

Isnin, 28 Julai 2025

Thailand, Kemboja setuju gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta-merta

Thailand, Kemboja setuju gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta-merta


Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.


Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.


Pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah susulan.


"Ia termasuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah satu dan dua bagi pihak Thailand dan wilayah empat serta lima bagi pihak Kemboja bermula jam 7 pagi, 29 Julai 2025.


"Selain itu, mesyuarat bersama Atase pertahanan yang akan dipengerusikan ASEAN akan diadakan jika dipersetujui oleh kedua-dua pihak," katanya.



Anwar berkata, kedua-dua negara turut bersetuju mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) pada 4 Ogos ini yang akan dihoskan oleh Kemboja.


Katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju menyambung semula komunikasi secara langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan masing-masing.


"Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Malaysia, Kemboja dan Thailand diarahkan untuk membangunkan mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan berkaitan gencatan senjata.


"Mekanisme ini akan menjadi asas kepada keamanan berkekalan dan kebertanggungjawaban bersama," katanya.


Perdana Menteri berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bersedia menyelaras pasukan pemantau bagi mengesahkan dan memastikan pelaksanaan gencatan senjata.


Jelasnya, Malaysia juga akan berunding dengan negara anggota ASEAN lain untuk turut serta dalam usaha pemantauan ini, mencerminkan komitmen serantau dalam menyokong keamanan di lapangan.


"Perdana Menteri Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mengembalikan keadaan kepada normal," katanya.


Selain itu, beliau berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut menghubungi kedua-dua pemimpin berkenaan dan menggesa supaya penyelesaian secara aman dicapai.


"Pihak China pula terus menjalin hubungan rapat dengan Kemboja, Thailand, Malaysia serta negara berkaitan lain untuk menggalakkan dialog, gencatan senjata dan pemulihan keamanan.


"Kehadiran dan kerjasama semua pihak mencerminkan komitmen bersama terhadap keamanan, dialog dan kestabilan serantau," katanya.


Terdahulu, Anwar selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi mempengerusikan mesyuarat khas antara kedua-dua pemimpin negara itu bermula pada jam 3.15 petang dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.


Sesi itu turut disertai oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan sebagai penganjur bersama mesyuarat khas dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.


Anwar, pada minggu lalu mencadangkan satu perjanjian damai antara kedua-dua pihak susulan konflik sempadan yang tercetus baru-baru ini.


Ketegangan mula meningkat sejak insiden pada 28 Mei apabila pasukan tentera Kemboja dan Thailand bertempur di kawasan Preah Vihear.


Selama beberapa dekad, kedua-dua negara anggota ASEAN itu terbabit dalam pertikaian berpanjangan berkaitan sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum dimuktamadkan.


Namun, situasi bertukar menjadi konflik berdarah di utara Kemboja minggu lalu.


Di sepanjang sempadan dalam wilayah Kemboja, krisis kemanusiaan semakin meruncing dengan lebih 80,000 penduduk terpaksa dipindahkan susulan pertempuran yang berlarutan hujung minggu lalu.


Menurut Kementerian Pertahanan Negara, lima anggota tentera dan lapan orang awam terkorban setakat ini.


Hun Manet (kiri), Anwar dan Phumtham Wechayachai pada sidang media selepas rundingan gencatan senjata susulan konflik antara kedua-dua negara di Putrajaya. - Foto Reuters.
KJ tumbangkan jaguh bekas nombor 1 dunia MMA, 'The Vampire' Merican

KJ tumbangkan jaguh bekas nombor 1 dunia MMA, 'The Vampire' Merican


Impian penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin untuk beraksi di gelanggang tinju akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan bekas atlet muay Thai nombor satu dunia, Saiful Merican dalam perlawanan persahabatan di Klang semalam.


Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ, menzahirkan rasa syukur selepas mencatat kemenangan manis ke atas bintang seni bela diri campuran (MMA) berusia 37 tahun itu dalam acara Clash of Champion Hot FM yang berlangsung di ST Rosyam Mart, Jalan Kebun.


"Sebenarnya sejak kecil saya memang minat sukan tinju dan membesar dengan Muhammad Ali, Sugar Ray Leonard serta Mike Tyson.


"Saya juga teringin masuk dalam 'boxing ring' dan tak sangka dapat peluang sebegini pada hari ini (Ahad).


"Dapat pula beradu tenaga dengan personaliti sukan bela diri dihormati ramai, Saiful Merican atau Saiful 'The Vampire' Merican. Ini satu penghormatan," katanya.


Difahamkan perlawanan tinju persahabatan antara KJ dan Saiful itu telah dirancang sejak tahun lalu namun hanya dapat direalisasikan pada Ahad.


Mengulas lanjut, KJ berkata beliau sudah lama mengenali Saiful dan menyifatkan peluang berada satu gelanggang dengan atlet MMA negara itu sebagai detik yang cukup bermakna.


"Dua minit terawal tadi memang dia bagi peluang, tapi bila dia tumbuk, memang dia tumbuk betul-betul," katanya berseloroh.


KJ turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan perlawanan tersebut, termasuk jurulatih dan anaknya, Jibriel Ali Jamaluddin yang bertindak sebagai cornering di gelanggang.


Selain perlawanan utama antara KJ dan Saiful, lebih 300 penonton turut terhibur dengan aksi tinju antara seorang lagi penyampai Bekfes Hot FM, AG menentang Adli Goldenboy yang berakhir dengan keputusan seri.


Turut mencuri tumpuan, perlawanan gusti lengan membabitkan penyampai Fara Fauzana yang terpaksa akur dengan kekuatan penyanyi Elizabeth Tan selepas tewas dalam pertarungan tersebut.


KJ (kanan) tumbangkan jaguh MMA, Saiful Merican. - Foto Sinar Harian.

Ahad, 27 Julai 2025

Peniaga santan ada dua isteri didakwa rogol adik ipar berusia 19 tahun

Peniaga santan ada dua isteri didakwa rogol adik ipar berusia 19 tahun


Seorang peniaga santan didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu hari ini atas tuduhan merogol adik iparnya yang berusia 19 tahun pada 18 Januari lalu.


Tertuduh, yang juga warga emas berusia 64 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah selepas pertuduhan dibacakan.


Menurut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 3 petang di bilik tidur dalam sebuah rumah di Kampung Kubang Golok, Perupok.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, iaitu penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebat tidak kurang sepuluh sebatan.


Remaja berkenaan mempunyai hubungan sebagai adik ipar, iaitu satu hubungan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang, hukum, adat atau kebiasaan untuk dikahwini oleh tertuduh.


Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan membantah mahkamah memberikan jaminan dengan mengambil kira mangsa tinggal bersama isteri kedua dan ibu mertua tertuduh.


Sementara itu, peguam bela tertuduh, Ahmad Nurie Abd Rahman, memohon mahkamah mempertimbangkan untuk membenarkan jaminan atas alasan tertuduh memberi kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang tempoh enam bulan siasatan.


Peguam bela turut memaklumkan bahawa tertuduh merupakan penyumbang kewangan utama keluarga dan menanggung dua isteri yang tidak bekerja serta lima anak.


Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen untuk pendakwaan atas tuduhan merogol adik iparnya yang berusia 19 tahun. - Foto Sinar Harian.
Warga emas menangis di balai polis selepas diancam parang anak teman wanitanya

Warga emas menangis di balai polis selepas diancam parang anak teman wanitanya


Seorang warga emas di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia menjadi perhatian ramai apabila menangis di balai polis selepas mendakwa diancam dengan parang oleh anak teman wanitanya.


Mangsa, Dg Ngawing, 61, dikatakan tidak mendapat restu daripada anak wanita berkenaan berhubung hubungan cinta mereka sehingga berlaku insiden ugutan tersebut.


"Mungkin dia rasa terancam selepas diugut, lalu datang membuat laporan di balai polis," kata Ketua Balai Polis Makassar, Kompol Muhammad Tamrin pada Sabtu (26/7/2025).


Menurut Tamrin, mangsa tetap hadir ke balai polis walaupun dihalang oleh teman wanitanya yang bimbang laporan itu akan melibatkan anaknya.


"Teman wanita warga emas itu cuba menghalang kerana jika laporan dibuat, anaknya akan terlibat dalam kes ugutan ini," jelasnya.


Kejadian dilaporkan berlaku di rumah wanita berkenaan pada Rabu (23/7) di Jalan Kerung-Kerung, Kelurahan Bara-Baraya Utara, Makassar.


Sebelum kejadian, Dg Ngawing dikatakan meminum minuman keras jenis ballo di rumah teman wanitanya. Kes berkenaan kini dalam siasatan polis. - Sumber Detik.com


Seorang warga emas di Makassar, Indonesia menangis di balai polis selepas mendakwa diugut dengan parang oleh anak teman wanitanya kerana tidak merestui hubungan mereka. - Foto dok. istimewa.