Selasa, 29 Julai 2025

Budak perempuan 12 tahun koyak kepala diketuk dengan tukul besi, lelaki positif dadah ditahan


Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menggunakan tukul besi dalam kejadian di Flat Ungku Tun Aminah, Johor Bahru pada Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa mengalami koyakan kulit di kepala dan bengkak di tangan kanan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kini dilaporkan stabil.


Kejadian terbongkar selepas tular rakaman CCTV berdurasi 2 minit 19 saat yang menunjukkan sekumpulan kanak-kanak bermain sebelum salah seorang daripadanya dilihat melarikan diri dalam keadaan kepala berlumuran darah.


Suspek ditahan kira-kira dua jam selepas kejadian di kediamannya dan hasil semakan mendapati lelaki itu memiliki pelbagai rekod jenayah termasuk dadah. Ujian air kencing turut mendapati dia positif methamphetamine.


Suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan direman tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 2 Ogos ini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.


"Sesiapa yang dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan apa-apa alat, hendaklah dihukum dengan penjara maksimum sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.


"Orang awam diminta tidak melanggar undang-undang, bertindak rasional dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," katanya.


Tangkap layar rakaman video CCTV tular menunjukkan seorang kanak-kanak dipercayai diserang menggunakan sebatang tukul besi, Sabtu lalu. - Foto NSTP.


EmoticonEmoticon