Isnin, 28 Julai 2025

KJ tumbangkan jaguh bekas nombor 1 dunia MMA, 'The Vampire' Merican


Impian penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin untuk beraksi di gelanggang tinju akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan bekas atlet muay Thai nombor satu dunia, Saiful Merican dalam perlawanan persahabatan di Klang semalam.


Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ, menzahirkan rasa syukur selepas mencatat kemenangan manis ke atas bintang seni bela diri campuran (MMA) berusia 37 tahun itu dalam acara Clash of Champion Hot FM yang berlangsung di ST Rosyam Mart, Jalan Kebun.


"Sebenarnya sejak kecil saya memang minat sukan tinju dan membesar dengan Muhammad Ali, Sugar Ray Leonard serta Mike Tyson.


"Saya juga teringin masuk dalam 'boxing ring' dan tak sangka dapat peluang sebegini pada hari ini (Ahad).


"Dapat pula beradu tenaga dengan personaliti sukan bela diri dihormati ramai, Saiful Merican atau Saiful 'The Vampire' Merican. Ini satu penghormatan," katanya.


Difahamkan perlawanan tinju persahabatan antara KJ dan Saiful itu telah dirancang sejak tahun lalu namun hanya dapat direalisasikan pada Ahad.


Mengulas lanjut, KJ berkata beliau sudah lama mengenali Saiful dan menyifatkan peluang berada satu gelanggang dengan atlet MMA negara itu sebagai detik yang cukup bermakna.


"Dua minit terawal tadi memang dia bagi peluang, tapi bila dia tumbuk, memang dia tumbuk betul-betul," katanya berseloroh.


KJ turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan perlawanan tersebut, termasuk jurulatih dan anaknya, Jibriel Ali Jamaluddin yang bertindak sebagai cornering di gelanggang.


Selain perlawanan utama antara KJ dan Saiful, lebih 300 penonton turut terhibur dengan aksi tinju antara seorang lagi penyampai Bekfes Hot FM, AG menentang Adli Goldenboy yang berakhir dengan keputusan seri.


Turut mencuri tumpuan, perlawanan gusti lengan membabitkan penyampai Fara Fauzana yang terpaksa akur dengan kekuatan penyanyi Elizabeth Tan selepas tewas dalam pertarungan tersebut.


KJ (kanan) tumbangkan jaguh MMA, Saiful Merican. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon