Jumaat, 18 Julai 2025

Bayi baru lahir ditanam belakang rumah bongkar hubungan terlarang remaja lelaki dengan kakak tiri

Bayi baru lahir ditanam belakang rumah bongkar hubungan terlarang remaja lelaki dengan kakak tiri


Mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemukan berhampiran tangki air di Kampung Melayu Desa Kayangan dekat Brinchang di Cameron Highlands pada Khamis.


Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, mayat bayi itu ditemukan kira-kira jam 10 pagi oleh bapa suspek ketika melalui kawasan tangki air di belakang rumah mereka.


Menurutnya, bapa suspek menemui kesan tanah yang dikorek sebelum menemui satu bungkusan kain putih mengandungi mayat bayi terbabit.


"Pada hari sama kira-kira jam 5.30 petang, pihak polis telah menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dan merampas peralatan seperti cangkul dan penyodok yang digunakan untuk mengorek tanah bertujuan menanam bayi.



"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek melakukan hubungan seks dengan kakak tirinya berusia 21 tahun sehingga berlakunya kehamilan.


"Suspek yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di inap desa juga mengaku membawa bayi yang dilahirkan oleh kakak tirinya ke atas bukit dan menanam bersama uri," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.


Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan kematian bayi.


"Kita juga ingin menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.


"Kita juga bimbang ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak polis," tambahnya.


Suspek remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan bersama peralatan yang digunakan dirampas pihak polis. - Foto PDRM.
Lelaki mengamuk libas parang pada anggota penguat kuasa didakwa di Mahkamah

Lelaki mengamuk libas parang pada anggota penguat kuasa didakwa di Mahkamah


Seorang lelaki yang tular bertindak agresif dalam operasi meroboh di Desa Pandan, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara melibas parang.


Bagaimanapun tertuduh Izat Saini @ Zaini, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amira Abd. Aziz.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara melibas parang di lokasi operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap dua anggota penguat kuasa.


Ia yang mana mereka sedang menjalankan kewajipan mereka dalam suatu operasi bersama yang mana perbuatan itu dengan niat menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di simpang tiga, Jalan 4/76B, Desa Pandan pukul 11.17 pagi pada 15 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham manakala peguam Fadhli Sutris mewakili Izat.


Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Amira membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.


Tarikh 2 September ini ditetapkan sebutan semula kes.


Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki bertindak agresif dengan melibas parang ke arah anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan, Kuala Lumpur.


Dalam kejadian kira-kira pukul 11.17 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan datang secara tiba-tiba sambil memegang sebilah parang panjang sebelum bertindak membuat provokasi dan memaki hamun ke arah petugas DBKL.


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dilaporkan berkata, ketika kejadian, sepasukan polis sedang menjalankan kawalan keselamatan bersama agensi-agensi lain antaranya Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor.


"Lelaki terbabit dilihat melibas parang di tangan kanannya dan menjerit ke arah petugas penguat kuasa. Lelaki tersebut telah ditenangkan oleh beberapa orang awam yang berada di kawasan tersebut.


"Pihak polis kemudiannya merampas parang tersebut dan menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu.


Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki bertindak agresif melibas parang dalam kejadian di Pandan Desa.

Khamis, 17 Julai 2025

Insiden Gaduh Dengan Pengawal Keselamatan 'Sado', Jurulatih MMA Dakwa Hanya Mahu Pertahan Diri

Insiden Gaduh Dengan Pengawal Keselamatan 'Sado', Jurulatih MMA Dakwa Hanya Mahu Pertahan Diri


"Saya bukan provokator dan bukan juga individu yang menyebarkan video tersebut. Saya hanya pertahankan diri."


Itu penjelasan seorang lelaki dikenali sebagai Tony Lim berhubung insiden pergaduhan melibatkan seorang pengawal keselamatan yang tular di media sosial baru-baru ini.


Menerusi satu pendedahan yang dibuat kepada penyanyi dan pempengaruh Caprice di aplikasi Instagram, Tony yang juga jurulatih seni bina diri campuran (MMA) berkata, insiden berlaku di kawasan kondominium tempat dia tinggal.


Menurutnya, kejadian tercetus apabila dia turun ke kawasan kediaman pada malam Khamis lalu dan terserempak dengan pengawal keselamatan terbabit yang ditemani dua individu dipercayai majikannya.



"Dia menunjuk ke arah saya. Seorang wanita dan seorang lelaki bersamanya. Saya rasa mereka majikannya.


"Dia tanya saya, 'Adakah kamu yang tularkan video itu? Adakah kamu yang tinggalkan komen pada video itu?'," katanya.


Tony bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.


"Saya ingin gunakan platform ini untuk jelaskan perkara sebenar. Bukan saya yang tularkan video itu," tegasnya.


Tambah Tony, dia kebetulan berada di lokasi kejadian semasa pertengkaran pertama berlaku antara pengawal keselamatan dan seorang penduduk warga emas pada sebelah pagi.


Menurut Tony, dia bertembung semula dengan pengawal keselamatan berkenaan pada waktu malam hari yang sama. 


"Saya hanya mahu mempertahankan diri selepas diprovokasi. Saya tidak memulakan apa-apa. Saya mahu bersihkan nama saya," jelasnya.


Tony memaklumkan, difahamkan pengawal keselamatan terbabit sudah diberhentikan kerja.


Sebelum ini, tular di laman sosial Facebook satu rakaman video memperlihatkan pergaduhan melibatkan dua lelaki menyebabkan salah seorang daripada mereka dipercayai pengawal keselamatan berbaju hitam tumbang.


Semalam, media melaporkan, insiden pergaduhan antara dua lelaki yang tular di media sosial telah diselesaikan secara baik selepas kedua-dua pihak tampil membuat laporan polis.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, laporan dibuat oleh kedua-dua individu terlibat pada 10 Julai lalu.


Tangkap layar video pergaduhan antara Tony dan seorang individu dipercayai pengawal keselamatan sebuah kondominium baru-baru ini.
Polis serbu perjumpaan hampir 100 lelaki sertai parti gay di Kelantan, temui ratusan kondom, ubat HIV

Polis serbu perjumpaan hampir 100 lelaki sertai parti gay di Kelantan, temui ratusan kondom, ubat HIV


Polis Kelantan menyerbu satu perjumpaan gay yang melibatkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin, Kota Bharu pada pertengahan Jun lalu.


Serbuan yang dilakukan hasil risikan dan maklumat awam jam 1 pagi itu turut membawa kepada rampasan ratusan kondom dan ubat HIV.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bagaimanapun berkata, ketika serbuan dilakukan, puluhan lelaki sudah pulang dan hanya 20 ditahan.


"Kita mendapat maklumat kumpulan gay menyewa sebuah banglo untuk acara makan-makan dan hasil risikan, pertemuan itu dihadiri hampir 100 orang.


"Namun ketika serbuan dilakukan sebahagian besar sudah pulang dan terdapat 20 lelaki ditahan. Kita turut merampas ubat HIV dan kondom.


"Kita percaya pertemuan itu diadakan untuk hubungan terlarang berhubung penemuan kondom dan ubat HIV, namun aktiviti itu belum lagi dilakukan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis di Kota Bharu, hari ini.


Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap 20 lelaki yang ditahan, mereka mengaku sebagai penghidap HIV dan menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada mereka yang berminat.


"Daripada 20 lelaki berkenaan, tiga daripadanya kita berjaya tuduh di mahkamah memandangkan terdapat video hubungan terlarang lelaki sesama lelaki dalam telefon bimbit mereka.


"Kesemua mereka yang menyertai pertemuan itu adalah orang Kelantan dan masing-masing mempunyai pekerjaan. Majlis pertemuan itu juga dimuat naik di media sosial untuk menarik lebih ramai peserta," katanya.


Mengulas lanjut katanya, pihaknya akan menjalankan risikan lanjut berhubung sejauh mana aktiviti itu berlaku di negeri ini.


"Kita tidak tahu sejauh mana serius kes ini di Kelantan memandangkan ini adalah kes yang pertama. Namun kita akan pertingkatkan risikan lanjut bagi mengekang kegiatan itu," katanya.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. - Foto Sinar Harian.

Rabu, 16 Julai 2025

CAFA tegaskan tak pernah ubah tarikh, kecewa Harimau Malaya tarik diri saat akhir

CAFA tegaskan tak pernah ubah tarikh, kecewa Harimau Malaya tarik diri saat akhir


Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) meluahkan kekesalan berikutan tindakan Malaysia menarik diri daripada saingan Piala Negara-Negara CAFA 2025.


FAM pada petang tadi mengumumkan penarikan diri skuad Harimau Malaya daripada kejohanan berkenaan atas beberapa kekangan antaranya penganjuran pertandingan yang berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).


Situasi berkenaan dikatakan memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.


Keputusan yang dibuat itu nyata menimbulkan kekesalan CAFA yang menyatakan penyertaan Malaysia sudah pun disahkan lebih awal, dengan pengetahuan penuh terhadap tarikh kejohanan dari 29 Ogos hingga 8 September 2025 selain memaklumkan jadual pertandingan tidak pernah berubah sejak awal.


"Malangnya, penarikan diri pada saat akhir ini menjejaskan beberapa proses penganjuran yang sedang berjalan terutamanya memandangkan perancangan dan persediaan sudah berada di peringkat akhir.


"FAM memaklumkan sebab penarikan diri adalah kerana kejohanan ini tidak sepenuhnya berlangsung dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA dan oleh itu pelepasan pemain mungkin akan terhad.


"Namun berdasarkan peraturan kejohanan, pendaftaran akhir pemain yang dipilih daripada senarai 35 pemain boleh dikemukakan mengikut perlawanan.


"Ini memberikan ruang fleksibiliti maksimum termasuk kemungkinan tonggak utama menyertai pasukan untuk perlawanan seterusnya.


"Apapun, CAFA kekal komited untuk untuk menganjurkan kejohanan yang berkualiti dan kompetitif untuk Asia Tengah dan akan datang... kami berterima kasih kepada negara yang terus memberikan sokongan dan kerjasama," kata CAFA dalam satu kenyataan di media sosial mereka.


Kenyataan rasmi CAFA.
Bapa kahwini tunang anak sendiri, lari bersama wang dan barang kemas milik keluarga

Bapa kahwini tunang anak sendiri, lari bersama wang dan barang kemas milik keluarga


Seorang lelaki berusia 55 tahun dari Rampur, India, mencetuskan kontroversi apabila bertindak melarikan diri bersama tunang kepada anak lelakinya yang masih remaja, selain turut membawa lari simpanan wang tunai dan barang kemas milik keluarga.


Lelaki berkenaan, Shakeel, seorang bapa kepada enam anak dan datuk kepada tiga cucu, dilaporkan mengahwini wanita berusia 22 tahun yang dikenali sebagai Ayesha, yang pada asalnya dijodohkan dengan anaknya sendiri yang berusia 17 tahun.


Menurut isterinya, Shabbana, Shakeel sendiri yang mencadangkan perkahwinan antara Aman dengan Ayesha, walaupun beliau menentang hasrat itu atas faktor kewangan dan usia anak mereka yang masih terlalu muda.


"Wanita yang sepatutnya menjadi menantu saya kini telah menjadi isteri kepada suami saya," luah Shabbana kepada media tempatan.


Difahamkan, Shakeel kerap mengunjungi rumah Ayesha atas alasan menguruskan persiapan perkahwinan.


Namun, Shabbana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena sejak awal lagi. Apabila ditanya, Shakeel dikatakan bertindak memarahi dan memukul isterinya.


Tidak berputus asa, Shabbana akhirnya berjaya memperoleh bukti hubungan sulit antara suaminya dengan wanita tersebut. Apabila mesej-mesej berkenaan ditunjukkan kepada Aman, remaja itu mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan.


Namun, pada bulan lalu, Shakeel yang kononnya ke Delhi atas urusan kerja, membuat panggilan telefon kepada keluarganya untuk memaklumkan bahawa dia telah menikahi Ayesha.


Lebih mengejutkan, Shakeel turut membawa lari lebih 200,000 rupee (sekitar RM11,200) serta barang kemas keluarga. Walaupun tindakan itu boleh diklasifikasikan sebagai kecurian di bawah undang-undang India, pihak polis memaklumkan bahawa mereka tidak dapat mengambil sebarang tindakan kerana tiada laporan rasmi dibuat setakat ini.


Insiden ini mencetuskan sensasi di media sosial, malah mengingatkan orang ramai kepada kes serupa sebelum ini, di mana seorang lelaki di India bertindak melarikan diri bersama bakal ibu mentuanya hanya sembilan hari sebelum majlis perkahwinannya berlangsung. - Sumber The Times Of India.


Insiden ini mencetuskan sensasi di media sosial. - Foto The Times Of India.

Selasa, 15 Julai 2025

Penghibur jalanan diburu polis selepas ludah muka pengunjung derma 50 sen

Penghibur jalanan diburu polis selepas ludah muka pengunjung derma 50 sen


Seorang penghibur jalanan di Purbalingga, wilayah Jawa Tengah mengamuk selepas diberikan wang sumbangan cuma 2,000 rupiah (RM0.50) daripada pengunjung, lapor laman berita Detik, semalam.


Dalam sebuah video tular di media sosial, lelaki berpakaian seperti wanita itu dikatakan tersinggung kerana mendapat wang sumbangan yang sedikit.


"Tahun 2013 saya sudah mempunyai kereta di Purbalingga. Keretanya masih elok lagi," katanya kepada pengunjung berkenaan dalam nada marah.


Selepas menyedari dirinya dirakam, lelaki tersebut cuba melarikan diri, namun dia berpatah balik dan meludah ke arah pengunjung itu.


Ia membuatkan pengunjung tersebut menjerit dan menarik perhatian orang ramai yang kemudian mengejarnya. Mereka meminta penghibur jalanan itu memohon maaf sebelum dia sempat melarikan diri.


Sementara itu, Ketua Badan Ketenteraman Awam Purbalingga, Sutrisno berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung isu itu.


"Kami sedang mencarinya. Dia diketahui sering berada di kawasan Alun-Alun Purbalingga, namun kelibatnya tidak kelihatan," kata Sutrisno.


Beliau menyatakan bahawa kejadian yang tular di media sosial itu bukanlah yang pertama seumpamanya. Beliau telah menerima laporan sebelum ini mengenai kejadian serupa.


"Kami telah menerima maklumat. Ada juga kejadian sebelum ini. Di Alun-Alun sama di Purbalingga Food Centre (PFC) pada Khamis lalu," jelasnya.


Sutrisno berkata penghibur jalanan itu sering menimbulkan keresahan orang ramai. Dia sering meminta tapi jika diberi sedikit atau tidak diberi, dia langsung menjadi marah. - Sumber Detikjateng.


Penghibur jalanan tersebut dikatakan tersinggung kerana cuma diberikan wang sumbangan yang sedikit. - Foto Instagram.

Isnin, 14 Julai 2025

Beri campuran ubat 'maut', doktor didakwa bunuh 15 pesakit

Beri campuran ubat 'maut', doktor didakwa bunuh 15 pesakit


Perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi membabitkan seorang doktor di Jerman yang dituduh membunuh 15 pesakit bermula di Berlin pada Isnin, mencetuskan perhatian meluas media dan kemarahan orang ramai, lapor agensi berita Jerman (dpa).


Doktor penjagaan paliatif berusia 40 tahun yang dikenali sebagai Johannes M itu didakwa membunuh 12 wanita dan tiga lelaki antara September 2021 dan Julai 2024.


Dia didakwa memberikan 'campuran ubat yang membawa maut' kepada mangsa yang berusia 25 hingga 94 tahun.


Pendakwa raya turut menyiasat berpuluh lagi kes yang disyaki berkaitan dengan perbicaraan itu.


Mahkamah Wilayah Berlin menetapkan 35 sesi pendengaran sehingga Januari 2026, dengan sekurang-kurangnya 13 waris mangsa bertindak sebagai plaintif bersama dalam kes itu.


Kira-kira 150 saksi dijangka memberi keterangan.


Doktor itu dipercayai melakukan kesalahan semasa bertugas untuk perkhidmatan penjagaan di Berlin.


Peguam bela Christoph Stoll berkata doktor itu tidak akan memberikan sebarang kenyataan ketika prosiding dimulakan.


Peguam bela yang dilantik oleh mahkamah (dari kiri) Klaudia Dawidowic, Ria Halbritter dan Christoph Stoll menunggu permulaan perbicaraan seorang doktor penjagaan paliatif yang dituduh membunuh 15 pesakit dengan suntikan maut, di mahkamah wilayah Berlin pada 14 Julai 2025. - Foto AFP.

Ahad, 13 Julai 2025

Jika 9 Ahli Parlimen PKR keluar parti, kedudukan Anwar sebagai PM tidak terjejas - Ahmad Maslan

Jika 9 Ahli Parlimen PKR keluar parti, kedudukan Anwar sebagai PM tidak terjejas - Ahmad Maslan


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap stabil walaupun sembilan ahli parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) perlu memenangi kerusi parlimen melebihi dua pertiga atau sekurang-kurangnya 112 kerusi.


Katanya, kerajaan PH diterajui Anwar yang juga Menteri Kewangan kini mempunyai 153 kerusi parlimen.


"Jika sambilan atau 11 ahli parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi ahli parlimen bebas, kerajaan PH tetap utuh dan jawatan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak terjejas.


"Tetapi kita yakin Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad serta sembilan ahli parlimen PKR tidak akan keluar parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas," katanya ketika ditemui pada program Santai Komuniti Madani, di Kampung Batu Rakit, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Bahagian Setiu, Bazlan Abdul Rahman.


Ahmad berkata demikian ketika mengulas desakan 11 Ketua Cabang PKR Kedah dan 19 Ketua Cabang Johor menggesa siasatan tatatertib dan penggantungan serta-merta keahlian sembilan Ahli Parlimen parti itu susulan membuat sidang media bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pelantikan badan kehakiman.


Ahmad berkata, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi (bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berjiwa besar dan mengutamakan kestabilan negara.


Katanya, kedua-dua Ahli Parlimen itu tidak akan keluar parti kerana mereka sayangkan kestabilan serta tidak mahu negara kerugian berikutan keadaan politik tidak stabil.


Ahmad berkata, Rafizi dan Nik Nazmi yang dikenali tidak mahu mengulangi sejarah yang berlaku bermula pada tahun 2018 hingga 2022 apabila berlaku pertukaran Perdana Menteri sehingga menyebabkan negara kerugian berikutan politik tidak stabil. - Sumber Harian Metro.


Datuk Seri Ahmad Maslan. - Foto fail NSTP.
Tanpa pemandu SUV tiba-tiba bergerak rempuh orang ramai, 11 orang cedera

Tanpa pemandu SUV tiba-tiba bergerak rempuh orang ramai, 11 orang cedera


Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tanpa pemandu melanggar sebuah restoran popular di daerah Kolonaki, Athens di Greece, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang cedera, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Menurut pihak berkuasa pada Ahad (13 Julai 2025), insiden berlaku sejurus selepas tengah malam.


Saluran penyiaran ERTnews melaporkan bahawa kesemua mangsa menerima rawatan di hospital, dengan seorang daripadanya dilaporkan mengalami kecederaan serius.



Siasatan awal polis trafik mendapati brek tangan kenderaan tidak ditarik.


Kenderaan itu dipercayai meluncur laju menuruni jalan curam, sebelum melanggar sebatang pokok dan akhirnya merempuh luar restoran yang sesak dengan pelanggan.


Siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian masih dijalankan.


Kenderaan itu dipercayai meluncur laju menuruni jalan curam, sebelum melanggar sebatang pokok dan akhirnya merempuh luar restoran yang sesak dengan pelanggan. - Foto Proto Thema English.