Jumaat, 18 Julai 2025

Lelaki mengamuk libas parang pada anggota penguat kuasa didakwa di Mahkamah


Seorang lelaki yang tular bertindak agresif dalam operasi meroboh di Desa Pandan, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara melibas parang.


Bagaimanapun tertuduh Izat Saini @ Zaini, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amira Abd. Aziz.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara melibas parang di lokasi operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap dua anggota penguat kuasa.


Ia yang mana mereka sedang menjalankan kewajipan mereka dalam suatu operasi bersama yang mana perbuatan itu dengan niat menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di simpang tiga, Jalan 4/76B, Desa Pandan pukul 11.17 pagi pada 15 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham manakala peguam Fadhli Sutris mewakili Izat.


Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Amira membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.


Tarikh 2 September ini ditetapkan sebutan semula kes.


Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki bertindak agresif dengan melibas parang ke arah anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan, Kuala Lumpur.


Dalam kejadian kira-kira pukul 11.17 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan datang secara tiba-tiba sambil memegang sebilah parang panjang sebelum bertindak membuat provokasi dan memaki hamun ke arah petugas DBKL.


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dilaporkan berkata, ketika kejadian, sepasukan polis sedang menjalankan kawalan keselamatan bersama agensi-agensi lain antaranya Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor.


"Lelaki terbabit dilihat melibas parang di tangan kanannya dan menjerit ke arah petugas penguat kuasa. Lelaki tersebut telah ditenangkan oleh beberapa orang awam yang berada di kawasan tersebut.


"Pihak polis kemudiannya merampas parang tersebut dan menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu.


Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki bertindak agresif melibas parang dalam kejadian di Pandan Desa.


EmoticonEmoticon