Jumaat, 4 Julai 2025

Arkeologi temukan bandar purba berusia 3,500 tahun di Peru

Arkeologi temukan bandar purba berusia 3,500 tahun di Peru


Ahli arkeologi pada Khamis (3 Julai 2025) mendedahkan penemuan sebuah bandar berusia 3,500 tahun di Peru yang dipercayai pernah menjadi pusat perdagangan menghubungkan budaya pantai Pasifik dengan kawasan pergunungan Andes dan hutan Amazon.


Bandar itu berkembang pada masa sama dengan tamadun awal di Timur Tengah dan Asia.


Rakaman dron yang dikeluarkan oleh penyelidik menunjukkan pusat bandar itu ditandai dengan struktur bulat di teres bukit dengan tinggalan bangunan batu dan lumpur dibina kira-kira 600 meter dari aras laut.


Pusat bandar itu yang dinamakan Penico, terletak di wilayah Barranca di utara, dan dipercayai diasaskan antara tahun 1,800 dan 1,500 Sebelum Masihi.



Ia berdekatan dengan kawasan tamadun Caral iaitu tamadun tertua di benua Amerika yang berkembang sekitar 5,000 tahun dahulu.


Caral yang terdiri daripada 32 struktur monumen dianggap setanding dengan tamadun di Mesir, India, Sumeria dan China. Namun, tidak seperti tamadun lain, Caral berkembang secara terpencil sepenuhnya, menurut penyelidik.


Ruth Shady, ahli arkeologi yang mengetuai penyelidikan di Penico berkata, bandar yang baru didedahkan itu sangat penting kerana pakar percaya ia muncul selepas tamadun Caral musnah akibat perubahan iklim.


"Mereka berada di lokasi strategik untuk perdagangan, pertukaran dengan masyarakat dari kawasan pantai, tanah tinggi dan hutan," kata Shady.


Ahli arkeologi Marco Machacuay, penyelidik dari Kementerian Kebudayaan dalam satu sidang media berkata, kepentingan Peñico adalah kerana ia adalah kesinambungan daripada masyarakat Caral.


Selepas lapan tahun kajian, penyelidik mengenal pasti sehingga 18 struktur di Penico, termasuk kuil upacara dan kompleks kediaman.


Dinding dataran utama menonjol dengan ukiran timbul atau relif dan gambaran alat muzik pututu iaitu sejenis trompet diperbuat daripada cengkerang siput laut yang menghasilkan bunyi boleh didengari dari jarak jauh.


Di bangunan lain, penyelidik menemukan arca tanah liat berbentuk manusia dan haiwan, objek upacara serta rantai diperbuat daripada manik selain cengkerang laut.


Peru adalah pusat budaya purba dan menempatkan tapak arkeologi terkenal seperti runtuhan Inca Machu Picchu di Cusco, dan garis misteri Nazca di kawasan padang pasir di sepanjang pantai tengah negara itu.


Penyelidik Rafael Gordillo Mendez mendedahkan permukaan tiang yang dicat di tapak arkeologi Panamarca. - Foto REUTERS.
6 pelajar ketakutan dipaksa bayar tambang teksi 2 kali ganda kerana jalan sesak

6 pelajar ketakutan dipaksa bayar tambang teksi 2 kali ganda kerana jalan sesak


Sekumpulan pelajar perempuan ketakutan selepas seorang pemandu teksi menuntut bayaran dua kali ganda sebelum menurunkan mereka semasa hujan, lapor portal berita Thaiger pada 3 Julai 2025.


Insiden mengejutkan berlaku pada Selasa (1 Julai 2025) apabila enam pelajar dari sebuah sekolah perempuan terkenal di Nonthaburi, Thailand menaiki teksi hijau untuk menyambut hari lahir.


Mereka menyewa teksi untuk ke Prachachuen 36 dan ketika menghampiri pusat beli-belah The Mall Ngamwongwan, hujan lebat mula turun dan kenderaan yang mereka naiki terperangkap dalam kesesakan jalan raya.


Pemandu teksi kemudian menjerit meminta pelajar-pelajar tersebut keluar dan menuntut bayaran 187 baht (RM24).


"Saya memindahkan wang itu ke akaunnya menggunakan (aplikasi) TrueMoney, tetapi dia menjerit bahawa wang itu belum sampai dan menyuruh saya memindahkannya semula.


"Saya meminta rakan saya memindahkan wang itu untuk kali kedua," kata seorang pelajar dikenali sebagai B (nama samaran) yang berusia 15 tahun.


Dibiarkan basah kuyup, gadis-gadis itu memanggil teksi lain untuk melengkapkan perjalanan mereka.


Pada petang berikutnya, mereka dan ibu bapa masing-masing pergi ke Balai Polis Rattanathibet untuk membuat laporan polis.


Menyedari perkara itu telah sampai kepada pihak polis, anak lelaki pemandu tersebut kemudian memindahkan wang sebanyak 187 baht kembali kepada B tanpa meminta maaf, lapor saluran televisyen Channel 3 Plus. - Sumber The Thaiger.


Enam pelajar membuat laporan polis kerana dikenakan tambang tinggi. - Foto Channel 3 Plus.

Khamis, 3 Julai 2025

Suami ghaib selepas terjun dalam kolam teratai cari burung

Suami ghaib selepas terjun dalam kolam teratai cari burung


Seorang pekerja kilang di Bang Nam Priao, wilayah Chachoengsao di Thailand hilang tanpa jejak selepas menyelam ke dalam sebuah kolam untuk mendapatkan burung yang diburu, lapor laman berita Thaiger pada 30 Jun 2025.


Dalam kejadian pada 29 Jun lalu, mangsa, Surapong, dikatakan pergi memburu burung berhampiran sebuah kolam ketika hari cuti.


Selepas menembak burung, dia dipercayai menyelam ke dalam kolam dipenuhi dengan pokok teratai untuk mengambil burung yang jatuh.


Rakan mangsa, Nanphet, 47, berkata, lelaki itu mungkin mengalami kekejangan atau tersangkut pada pokok teratai atau akar cattail sebelum hilang di bawah air.


Unit penyelamat wilayah Chachoengsao berserta tiga anggota penyelam dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa di kolam sedalam tiga meter itu, namun gagal.


Isteri mangsa yang turut berada di tempat kejadian meraung melihat pakaian mangsa ditinggalkan di tepi kolam.


Usaha mencari diteruskan keesokan harinya namun sehingga kini, mangsa dilaporkan masih tidak ditemukan. - Sumber The Thaiger.


Anggota penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa. - Foto Khaosod.
Pelancong AS puji makanan Malaysia lebih sedap dan murah berbanding Singapura

Pelancong AS puji makanan Malaysia lebih sedap dan murah berbanding Singapura


Seorang pelancong dari Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen selepas membuat kenyataan bahawa makanan di Malaysia lebih sedap dan jauh lebih murah berbanding di Singapura.


Brent Farris, dalam hantaran di kumpulan Facebook Malaysia Travel Tips pada 25 Jun lalu mendakwa Malaysia menawarkan kepelbagaian makanan yang sama seperti Singapura, namun dengan harga hanya satu pertiga dan rasanya pula 'lebih sedap'.


"Kalau anda tersinggung, saya minta maaf awal-awal. Tapi sebenarnya, saya tak menyesal pun," tulisnya dalam nada bergurau.


Farris turut menyentuh isu durian, buah yang menjadi ikon di rantau ini, sambil menyindir Singapura dan Thailand.


Menurutnya, Malaysia adalah 'asal usul' durian dan menghasilkan durian terbaik di dunia.


Beliau turut mempersoalkan status durian sebagai simbol kebangsaan Singapura sedangkan negara itu tidak pun menanam buah berkenaan.


"Sekarang saya dah luahkan. Rasa macam beban terangkat. Dah lama saya nak cakap perkara ni," tambahnya.


Ramai netizen setuju, termasuk warga Singapura.


Kenyataan Farris itu mendapat pelbagai reaksi, termasuk sokongan daripada warganet Singapura sendiri.


"Saya tolak untuk melancong ke Singapura. Semua ada di Malaysia pada harga satu pertiga," tulis seorang pengguna Facebook.


Seorang lagi menyifatkan pandangan Farris bukanlah kontroversi, sebaliknya hanyalah 'fakta yang tidak boleh disangkal'.


Seorang pengguna lain pula menyindir bahawa ketika melawat Orchard Road di Singapura, mereka tidak nampak sebatang pokok buah pun, apatah lagi pokok durian.


Ketika berada di Malaysia, beliau dilaporkan memburu pelbagai jenis durian di beberapa lokasi.


Dalam satu hantaran pada 30 Jun, beliau berkongsi pengalamannya menikmati durian isi merah berhampiran puncak Gunung Kinabalu, Sabah.


Beliau juga menyebut pernah makan durian 'terlalu banyak' ketika berada di Mantin, Negeri Sembilan.


Selepas sudah pulang ke AS, Farris menyatakan hasratnya untuk kembali semula ke Malaysia hujung tahun ini.


"Saya akan kembali ke Malaysia musim luruh nanti, kecuali kalau saya timbulkan kontroversi lagi dengan jiran kita di Singapura," selorohnya.


Farris menunjukkan durian ketika beradadi Malaysia. - Foto Sinar Harian.

Rabu, 2 Julai 2025

Suami isteri dicekup jual video lucah dalam talian, isteri turut dilacur

Suami isteri dicekup jual video lucah dalam talian, isteri turut dilacur


Sepasang suami isteri yang sudah mempunyai empat cahaya mata dicekup dipercayai terlibat kegiatan pelacuran dan mempromosi video lucah secara dalam talian melalui aplikasi media sosial.


Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 34 tahun diberkas oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sebuah hotel di Seksyen 27, Shah Alam, kira-kira jam 8 malam pada Selasa (1/7/2025).


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, Op E-Noda itu bertindak merampas tiga telefon bimbit, dua kondom, tiub pelincir (1 unit), tisu basah (1 peket), sehelai tuala mandi serta sekeping kad akses.


Menurutnya, pasangan terbabit mula bergiat aktif sejak Jun tahun lalu.


"Suspek lelaki iaitu suami kepada wanita terbabit dipercayai berperanan sebagai pencipta kandungan dengan mempromosikan penjualan video lucah serta menjalankan aktiviti pelacuran untuk mendapatkan keuntungan hasil daripada penjualan video lucah dan langganan pelacuran daripada mana-mana pelanggan atau 'follower'.


"Suspek menyasarkan pelanggan-pelanggan yang mempunyai aplikasi X untuk membeli video lucah dan aktiviti pelacuran yang diuruskan oleh suspek dengan menggunakan aplikasi Telegram sebagai medium mesej perbualan.


"Bayaran yang dikenakan untuk penjualan video lucah dalam aplikasi Telegram bagi 'Private Channel Limited Content' ialah sebanyak RM50, manakala 'Private Channel VVIP Unlimited Content' pula sebanyak RM150," katanya hari ini.


Beliau berkata, bayaran yang dikenakan bagi langganan seks ialah RM450 hingga RM800 di sebuah hotel bertaraf empat bintang.


Katanya, wanita terbabit pula dipercayai berperanan sebagai pelacur yang akan membantu dalam melariskan perjualan video lucah dengan memainkan watak utama dalam setiap video dirakamkan.


"Suspek dikatakan mendapat pendapatan hingga RM6,400 seminggu," ujarnya.


Tambahnya, pasangan terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan telah direman tiga hari hingga Jumaat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 372A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


(Gambar kecil Rusdi) Pasangan tersebut ditahan di sebuah hotel di Shah Alam pada Selasa. - Foto Sinar Harian.
16 penumpang bas dikompaun RM300 seorang tak pakai tali pinggang keledar

16 penumpang bas dikompaun RM300 seorang tak pakai tali pinggang keledar


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengesan 18 kes membabitkan penumpang bas ekspres dan bas persiaran yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika operasi khas, semalam.


Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, dalam operasi itu, pihaknya melakukan pemeriksaan membabitkan 18 bas iaitu 14 daripadanya bas ekspres, manakala empat lagi bas persiaran.


Beliau berkata, bagaimanapun, dua kesalahan membabitkan individu bawah usia 18 tahun hanya diberikan nasihat dan advokasi, manakala 16 penumpang lain dikenakan kompaun setiap seorang RM300.


"Bermula hari ini (semalam), JPJ Kedah melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu dan semua penumpang bas ekspres dan bas persiaran.


"Ia selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-kanak) 1978 Pindaan (2008)," katanya pada sidang media di Plaza Tol Alor Setar Utara, semalam.


Stien berkata, langkah ini bertujuan untuk mengurangkan risiko kecederaan dan kematian dalam kemalangan membabitkan bas.


Beliau berkata, ia juga untuk meningkatkan kesedaran dan disiplin keselamatan jalan raya dalam kalangan penumpang bas.


"Kompaun dikeluarkan kepada penumpang jika tidak memakai tali pinggang keledar dan penumpang juga boleh membuat aduan kepada pemandu bas berkenaan sekiranya tali pinggang berkenaan dalam keadaan tidak baik sebelum memulakan perjalanan.


"Pengusaha bas ekspres juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan bas yang bermula pada 1 Januari 2020 wajib mempunyai tali pinggang keledar, manakala bas sebelum itu disarankan menyediakan kemudahan itu untuk keselamatan penumpang sebelum memulakan perjalanan," katanya.


Stien berkata, dalam operasi semalam, ada dalam kalangan penumpang memberi alasan tidak selesa memakai tali pinggang selain mendakwa tidak tahu kena wajib memakainya.


Katanya, hasil pemeriksaan dalam bas ketika operasi itu juga mendapati, ada tali pinggang keledar yang keadaannya tidak bagus.


"Kita juga akan melakukan penyamaran di dalam bas yang membabitkan perjalanan jarak jauh untuk memastikan semua penumpang mematuhi peraturan ditetapkan.


"Jika ada penumpang yang didapati tidak memakai dan ada bukti rakaman digital, kita akan keluarkan kompaun terhadap penumpang terbabit.


"Pemandu bas pula janganlah hanya nasihat tetapi tidak pakai tali pinggang, mereka juga akan dikenakan tindakan kompaun," katanya.


Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam (kanan) memeriksa tali pinggang di dalam sebuah bas ekspres yang diperiksa dalam operasi berkenaan. - Foto Harian Metro.

Selasa, 1 Julai 2025

China salurkan pinjaman AS$3.4 bilion kepada Pakistan bantu penuhi syarat IMF

China salurkan pinjaman AS$3.4 bilion kepada Pakistan bantu penuhi syarat IMF


China bersetuju melanjutkan pinjaman berjumlah AS$3.4 bilion (RM14.26 bilion) kepada Pakistan, sekali gus membantu negara itu memenuhi syarat rizab tukaran asing ditetapkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).


Menurut dua pegawai kanan kerajaan Pakistan, Beijing melanjutkan AS$2.1 bilion (RM8.81 bilion) yang disimpan dalam rizab Bank Negara Pakistan sejak tiga tahun lalu dan turut membiayai semula pinjaman komersial AS$1.3 bilion (RM5.45 bilion) yang dibayar semula Islamabad dua bulan lalu.


"Langkah ini melonjakkan rizab negara selaras dengan sasaran IMF," kata seorang pegawai yang enggan dinamakan kerana belum ada pengumuman rasmi.


Selain itu, Pakistan turut menerima AS$1 bilion (RM4.20 bilion) daripada bank komersial Timur Tengah dan AS$500 juta (RM2,097.50 juta) daripada pembiayaan pelbagai hala, menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima dalam minggu ini lebih AS$4.9 bilion (RM20.56 bilion).


Pinjaman ini penting bagi memastikan rizab Pakistan melebihi AS$14 bilion (RM58.73 bilion) menjelang akhir tahun fiskal pada 30 Jun, salah satu syarat utama IMF di bawah program bantuan AS$7 bilion (RM29.37 bilion).


Pihak berkuasa Pakistan memaklumkan, ekonomi negara kini mula stabil hasil pelaksanaan reformasi di bawah pengawasan IMF. - Sumber Reuters.

Isnin, 30 Jun 2025

Misteri seorang gadis kerap muntah cacing hidup akhirnya terungkai

Misteri seorang gadis kerap muntah cacing hidup akhirnya terungkai


Selepas sebulan muntah cacing hidup, kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun di China akhirnya mendapat tahu simptom dialaminya itu rupanya berpunca daripada larva yang membiak dalam rumah didiaminya.


South China Morning Post (SCMP) melaporkan, kanak-kanak itu menetap di Bandar Yangzhou, wilayah Jiangsu di timur China pernah merujuk dengan ramai doktor, namun mereka tidak dapat menentukan punca dia kerap muntah.


Bapanya berkata, setiap kali muntah, kanak-kanak itu akan memuntahkan segenggam cacing sepanjang satu sentimeter.


Tiada sesiapa dalam keluarga yang mengalami masalah sama.


"Seorang doktor di Hospital Kanak-Kanak Universiti Soochow di Jiangsu datang untuk menyelamatkan mereka," katanya.


Doktor, Zhang Bingbing, menasihatkan supaya memeriksa cacing yang jarang dilihat oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit tempatan.


Di sana, kakitangan terbabit mengenal pasti cacing itu, memadankannya dengan yang pernah mereka temukan pada seorang wanita berusia 60 tahun.


Hasil penelitian, ia adalah larva lalat longkang atau dikenali lalat rama-rama.


Serangga biasanya ditemukan di tempat dalaman yang lembap, seperti tandas dan dapur. Ia lebih kerap muncul di selatan China, kerana mempunyai cuaca musim panas yang lembap.


Keluarga gadis itu teringat yang mereka pernah melihat lalat seperti itu di rumah.


Ketua Jabatan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Yangzhou, Xu Yuhui, berkata, larva lalat longkang mencemari air bawah tanah yang mengalir.


"Apabila kanak-kanak itu memberus gigi atau mengepam tandas, cacing mungkin memasuki sistem badannya melalui percikan air," kata Xu.


Lalat tidak menyebarkan penyakit melalui darah, namun ia masih boleh menjadi punca masalah. - Sumber South China Morning Post.


Serangga itu cenderung berkumpul di tempat yang lembap dan basah seperti tandas dan dapur. - Foto 163.com.
Ibu biarkan anak dirogol untuk penuhi keinginan teman lelaki

Ibu biarkan anak dirogol untuk penuhi keinginan teman lelaki


Ingin memenuhi keinginan teman lelaki dipercayai motif seorang wanita sanggup membiarkan anak gadisnya diperkosa kekasihnya itu, pada tahun lalu.


Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tindakan wanita terbabit diperoleh menerusi siasatan yang dijalankan polis.


"Setakat ini, seramai lima individu sudah diambil keterangan termasuk suspek dan ibu mangsa.


"Namun bagi rakaman keterangan mangsa berusia 13 tahun yang masih bersekolah itu dijadualkan esok di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Media tempatan semalam melaporkan, seorang warga emas ditahan bersama teman wanitanya kerana disyaki merogol anak wanita itu yang berusia 13 tahun.


Mohd Azam dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian rogol itu disaksikan oleh ibu kandung mangsa sendiri.


Menurut beliau, mangsa melarikan diri dan melaporkan kepada polis selepas mendapat tahu perbualan antara ibunya yang mahu berjumpa dengan lelaki itu di hotel di ibu negara.


Bertindak atas laporan itu, polis menahan lelaki berusia 61 tahun dan ibu mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada Jumaat. - Sumber Metro Harian.

Ahad, 29 Jun 2025

Jalan sesak punya pasal, pemandu mengamuk ketuk kenderaan guna kayu

Jalan sesak punya pasal, pemandu mengamuk ketuk kenderaan guna kayu


Seorang pemandu di Wisconsin, Amerika Syarikat mengamuk sebelum merosakkan kenderaan lain ketika kesesakan lalu lintas, lapor akhbar New York Post pada 28 Jun 2025.


Dalam satu rakaman video, lelaki dikenali sebagai Mike Chaltry, keluar dari keretanya dalam keadaan marah sebelum memecahkan tingkap sebuah kenderaan Nissan berwarna putih menggunakan kayu. Ia berlaku di pusat bandar Milwaukee, Selasa lepas.


Dalam suasana kecoh itu, pemandu Nissan dengan pantas memecut laju ke hadapan dan hampir melanggar Chaltry.


Chaltry tidak berdiam diri, sebaliknya dia mengejar kenderaan itu dan sempat mengetuk badan kereta itu beberapa kali sebelum pergelutan berakhir tanpa penyelesaian.


"Bukan saya yang mulakan dulu, lelaki itu memandu macam orang hilang akal," katanya.


Menurut Chaltry, insiden tegang itu tercetus apabila pemandu Nissan berkenaan memandu dengan melulu dengan cuba memotongnya di lebuh raya sehingga kedua-dua kenderaan itu hampir berlanggar.


Polis menahan pemandu Nissan atas kesalahan memandu tanpa mempunyai insurans kereta.


Selain itu, Chaltry turut berdepan dakwaan berkelakuan tidak senonoh dan menyebabkan kerosakan harta benda. - Sumber New York Post.


Seorang lelaki menyerang sebuah kenderaan jenis Nissan dengan kayu. - Foto Facebook.