Isnin, 30 Jun 2025

Misteri seorang gadis kerap muntah cacing hidup akhirnya terungkai

Misteri seorang gadis kerap muntah cacing hidup akhirnya terungkai


Selepas sebulan muntah cacing hidup, kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun di China akhirnya mendapat tahu simptom dialaminya itu rupanya berpunca daripada larva yang membiak dalam rumah didiaminya.


South China Morning Post (SCMP) melaporkan, kanak-kanak itu menetap di Bandar Yangzhou, wilayah Jiangsu di timur China pernah merujuk dengan ramai doktor, namun mereka tidak dapat menentukan punca dia kerap muntah.


Bapanya berkata, setiap kali muntah, kanak-kanak itu akan memuntahkan segenggam cacing sepanjang satu sentimeter.


Tiada sesiapa dalam keluarga yang mengalami masalah sama.


"Seorang doktor di Hospital Kanak-Kanak Universiti Soochow di Jiangsu datang untuk menyelamatkan mereka," katanya.


Doktor, Zhang Bingbing, menasihatkan supaya memeriksa cacing yang jarang dilihat oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit tempatan.


Di sana, kakitangan terbabit mengenal pasti cacing itu, memadankannya dengan yang pernah mereka temukan pada seorang wanita berusia 60 tahun.


Hasil penelitian, ia adalah larva lalat longkang atau dikenali lalat rama-rama.


Serangga biasanya ditemukan di tempat dalaman yang lembap, seperti tandas dan dapur. Ia lebih kerap muncul di selatan China, kerana mempunyai cuaca musim panas yang lembap.


Keluarga gadis itu teringat yang mereka pernah melihat lalat seperti itu di rumah.


Ketua Jabatan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Yangzhou, Xu Yuhui, berkata, larva lalat longkang mencemari air bawah tanah yang mengalir.


"Apabila kanak-kanak itu memberus gigi atau mengepam tandas, cacing mungkin memasuki sistem badannya melalui percikan air," kata Xu.


Lalat tidak menyebarkan penyakit melalui darah, namun ia masih boleh menjadi punca masalah. - Sumber South China Morning Post.


Serangga itu cenderung berkumpul di tempat yang lembap dan basah seperti tandas dan dapur. - Foto 163.com.
Ibu biarkan anak dirogol untuk penuhi keinginan teman lelaki

Ibu biarkan anak dirogol untuk penuhi keinginan teman lelaki


Ingin memenuhi keinginan teman lelaki dipercayai motif seorang wanita sanggup membiarkan anak gadisnya diperkosa kekasihnya itu, pada tahun lalu.


Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tindakan wanita terbabit diperoleh menerusi siasatan yang dijalankan polis.


"Setakat ini, seramai lima individu sudah diambil keterangan termasuk suspek dan ibu mangsa.


"Namun bagi rakaman keterangan mangsa berusia 13 tahun yang masih bersekolah itu dijadualkan esok di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Media tempatan semalam melaporkan, seorang warga emas ditahan bersama teman wanitanya kerana disyaki merogol anak wanita itu yang berusia 13 tahun.


Mohd Azam dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian rogol itu disaksikan oleh ibu kandung mangsa sendiri.


Menurut beliau, mangsa melarikan diri dan melaporkan kepada polis selepas mendapat tahu perbualan antara ibunya yang mahu berjumpa dengan lelaki itu di hotel di ibu negara.


Bertindak atas laporan itu, polis menahan lelaki berusia 61 tahun dan ibu mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada Jumaat. - Sumber Metro Harian.

Ahad, 29 Jun 2025

Jalan sesak punya pasal, pemandu mengamuk ketuk kenderaan guna kayu

Jalan sesak punya pasal, pemandu mengamuk ketuk kenderaan guna kayu


Seorang pemandu di Wisconsin, Amerika Syarikat mengamuk sebelum merosakkan kenderaan lain ketika kesesakan lalu lintas, lapor akhbar New York Post pada 28 Jun 2025.


Dalam satu rakaman video, lelaki dikenali sebagai Mike Chaltry, keluar dari keretanya dalam keadaan marah sebelum memecahkan tingkap sebuah kenderaan Nissan berwarna putih menggunakan kayu. Ia berlaku di pusat bandar Milwaukee, Selasa lepas.


Dalam suasana kecoh itu, pemandu Nissan dengan pantas memecut laju ke hadapan dan hampir melanggar Chaltry.


Chaltry tidak berdiam diri, sebaliknya dia mengejar kenderaan itu dan sempat mengetuk badan kereta itu beberapa kali sebelum pergelutan berakhir tanpa penyelesaian.


"Bukan saya yang mulakan dulu, lelaki itu memandu macam orang hilang akal," katanya.


Menurut Chaltry, insiden tegang itu tercetus apabila pemandu Nissan berkenaan memandu dengan melulu dengan cuba memotongnya di lebuh raya sehingga kedua-dua kenderaan itu hampir berlanggar.


Polis menahan pemandu Nissan atas kesalahan memandu tanpa mempunyai insurans kereta.


Selain itu, Chaltry turut berdepan dakwaan berkelakuan tidak senonoh dan menyebabkan kerosakan harta benda. - Sumber New York Post.


Seorang lelaki menyerang sebuah kenderaan jenis Nissan dengan kayu. - Foto Facebook.
Lelaki ceraikan isterinya selepas kecewa 'disangka anak dara, rupanya janda dua kali'

Lelaki ceraikan isterinya selepas kecewa 'disangka anak dara, rupanya janda dua kali'


Seorang lelaki di Lombok, Indonesia, menceraikan isterinya hanya beberapa hari selepas majlis perkahwinan apabila mendapati wanita berkenaan menyembunyikan status perkahwinannya yang terdahulu.


Rodi Handika, lelaki berasal dari Dusun Batu Sambak, Desa Montong Tangi, Kecamatan Sakra Timur, melafazkan talak terhadap isterinya, Nurdiana, selepas mengetahui wanita itu pernah berkahwin sebanyak dua kali sebelum ini.


Pasangan tersebut melangsungkan pernikahan pada Isnin, 23 Jun 2025, namun rumah tangga mereka hanya bertahan seketika selepas status sebenar Nurdiana terbongkar semasa kenduri balas di rumah pengantin perempuan iaitu acara adat Nyongkolan satu tradisi perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan.


Ketika majlis berlangsung, keluarga pihak lelaki terkejut apabila dimaklumkan bahawa Nurdiana bukan gadis seperti yang didakwa, sebaliknya merupakan seorang janda dua kali.


Situasi itu menyebabkan majlis bertukar kecoh dan Rodi segera meninggalkan isterinya sebelum melafazkan cerai pada hari sama.


Menurut Ketua Desa Bakan Lombok Tengah,Jefry, kesilapan pada dokumen rasmi menyumbang kepada kekeliruan. Dalam data rasmi desa, status Nurdiana masih tercatat sebagai anak dara.


"Statusnya di sistem data masih gadis, itulah yang dibawa kepada pihak lelaki di Lombok Timur. Akibatnya, pengantin lelaki menyangka dia belum pernah berkahwin," kata Jefry.


Jefry turut memaklumkan bahawa perkahwinan Nurdiana dengan Rodi merupakan kali ketiga, selepas perkahwinan pertamanya bersama sepupu di Desa Selebung dan kemudian dengan seorang lelaki lain di Lombok Timur.


Rodi dilaporkan merupakan bekas Pekerja Migran Indonesia (PMI) di Jepun dan telah menjalin hubungan jarak jauh (LDR) bersama Nurdiana sejak sekian lama. Malah, dia turut mengirim wang bulanan kepada kekasihnya sepanjang tempoh perhubungan.


Namun, selepas mendirikan rumah tangga, Rodi berasa dikhianati apabila mengetahui status sebenar isterinya, lalu bertindak menceraikannya secara rasmi.


Pihak keluarga pengantin perempuan kemudian menyerahkan wang pampasan sebanyak 42 juta rupiah (RM10,941) kepada keluarga Rodi dalam satu proses persetujuan pada Khamis.


Difahamkan, ketika melamar Nurdiana, Rodi memberikan mas kahwin berupa emas seberat 20 gram dan wang tunai 60 juta rupiah (RM15,600). - Sumber Tribun Sumsel.


Gambar (kiri) menunjukkan momen perkahwinan pasangan Rodi Handika dan Nurdiana dari Dusun Sangkor, Desa Bakan, Kecamatan Janapria, Lombok Tengah, serta detik ketika pengantin perempuan, Nurdiana pengsan selepas acara adat Nyongkolan yang bertukar kecoh, pada Selasa, 24 Jun 2025. - Foto Tribun Lombok.

Sabtu, 28 Jun 2025

Hanya kerana berebut tempat duduk dalam lori, bapa m∆ut ditembak anak

Hanya kerana berebut tempat duduk dalam lori, bapa m∆ut ditembak anak


Hanya kerana berebut tempat duduk dalam lori, seorang anak berusia 26, sanggup membunuh bapanya, dalam kejadian di kawasan Timarpur, utara Delhi pada Khamis (26 Jun 2025).


Portal NDTV melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam berhampiran Blok MS, Timarpur itu, mangsa Surendra Singh, 60, yang juga bekas sub-inspektor Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF), maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan di pipi kiri.


Menurut polis, suspek juga anak kandung mangsa dikenali sebagai Deepak berjaya ditahan di lokasi kejadian dan senjata api milik bapanya bersama 11 peluru hidup turut dirampas.


Sumber berkata, ketika kejadian, anggota polis peronda terdengar bunyi tembakan sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa terbaring berlumuran darah di tepi jalan manakala orang awam cuba merampas senjata daripada suspek.


Mangsa segera dikejarkan ke Hospital HRH, namun disahkan sudah meninggal dunia ketika tiba.


Siasatan awal polis mendapati keluarga itu dalam proses berpindah pulang ke kampung asal di Uttarakhand susulan persaraan Surendra enam bulan lalu.


Difahamkan, keluarga berkenaan menyewa lori untuk membawa barang, namun berlaku pertengkaran antara Surendra dan Deepak mengenai siapa yang layak duduk di kerusi depan.


Surendra dikatakan mahu duduk di depan kerana lori sarat dengan muatan, namun tiba-tiba Deepak bertindak agresif, mengambil senjata api berlesen milik bapanya sebelum melepaskan tembakan, kata sumber polis. - Sumber NDTV.


Tertuduh, dikenali sebagai Deepak, telah ditahan di tempat kejadian. - Foto NDTV.
Marah kena cerai dengan isterinya, lelaki bakar gerabak kereta api

Marah kena cerai dengan isterinya, lelaki bakar gerabak kereta api


Seorang lelaki ditahan selepas membakar sebuah gerabak kereta api di Korea Selatan kerana marah bercerai dengan isterinya, lapor akhbar The Sun UK pada 27 Jun 2025.


Kejadian berlaku sekitar pukul 8.45 pagi (waktu tempatan) di sebuah stesen kereta api bawah tanah dekat Seoul, 31 Mei lalu.


Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dimuat naik di media sosial memaparkan suspek yang hanya dikenali sebagai Won, 67, mencurahkan petrol ke atas lantai gerabak.


Penumpang lain panik dan bergegas melarikan diri apabila cecair tersebut mengalir ke kaki mereka.


Won kemudian menyalakan api, menyebabkan gerabak itu terbakar dan diselubungi asap tebal.


Polis tempatan berkata, seramai 129 orang memerlukan pertolongan cemas di tempat kejadian, manakala 23 lagi dibawa ke hospital berhampiran kerana terhidu asap.


"Suspek ditahan ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian.


"Dia bukan sahaja merancang serangan itu, malah memilih waktu paling sibuk untuk mencetuskan kebakaran.


"Siasatan awal mendapati bahawa tindakan suspek dicetuskan kerana berasa tidak puas hati terhadap perceraiannya," kata polis dalam satu kenyataan. - Sumber The Sun UK.


Tangkap layar menunjukkan gerabak kereta api yang terbakar pada 31 Mei lalu. - Foto Jam Press.

Jumaat, 27 Jun 2025

Berang telur separuh masak tak campur dalam mi, Pesuruhjaya Polis digugur jawatan

Berang telur separuh masak tak campur dalam mi, Pesuruhjaya Polis digugur jawatan


Seorang Pesuruhjaya Polis di wilayah Sulawesi Tengah digugurkan daripada jawatannya selepas satu kontroversi yang menyaksikan dia melempar telur mata separuh masak ke muka pelayan restoran, lapor laman berita Info Tren pada 25 Jun 2025.


Pesuruhjaya Kanan Polis Richard B. Pakpahan secara rasmi digugurkan daripada jawatannya sebagai Direktorat Khidmat Masyarakat Polis Wilayah Sulawesi Tengah susulan kes tular tersebut.


Dalam kejadian pada 14 Jun lalu, seorang remaja dikenali sebagai CV, 17, dilempar dengan telur mata separuh masak pada muka di sebuah premis perniagaan di Bandar Palu.


Richard bertindak demikian selepas hidangan mi kuah yang dipesannya tidak dibuat mengikut kehendaknya.


Dia dikatakan meminta agar telur dicampur ke dalam mi kuah, namun pelayan membawa telur yang diasingkan, lapor laman berita Tribunnews.


Ia membuatkan Richard berang, lalu melempar telur ke muka CV serta memukul mangsa.


Justeru, berdasarkan Surat Telegram Ketua Polis Nombor: ST/1442/VI/KEP/2025 bertarikh 24 Jun 2025, Richard dipindahkan menjadi perwira menengah di Polis Wilayah Sulawesi Tengah tanpa jabatan struktural.


Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Tengah, Pesuruhjaya Kanan Djoko Wienartono menjelaskan, tindakan memindahkan Richard ke jawatan bukan struktur dianggap sebagai usaha mengekalkan profesionalisme dan menyahut tuntutan awam.


"Ini menunjukkan komitmen Polis Republik Indonesia terhadap akauntabiliti dan integriti pegawai di lapangan," katanya. - Sumber InfoTren.


Pesuruhjaya Polis (KBP) Richard B. Pakpahan secara rasmi digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengarah Polis Daerah Sulawesi Tengah (Sulteng) susulan viral kes serangan terhadap pelajar yang dikenali sebagai CV berusia 17 tahun. - Foto InfoTren.

Khamis, 26 Jun 2025

Penghuni rumah terkejut, kereta 'berdiri' terpacak atas bumbung

Penghuni rumah terkejut, kereta 'berdiri' terpacak atas bumbung


Penghuni sebuah rumah di Kota Balikpapan, wilayah Kalimantan Timur terkejut apabila sebuah kereta menghentam bumbung kediaman itu selepas pemandunya hilang kawalan ketika menuruni bukit, lapor laman berita iNews pada 25 Jun 2025.


Dalam kejadian petang Selasa (24/6/2025), pemilik rumah yang dikenali sebagai Rio berkata, dia sedang berehat di dalam rumah apabila terdengar bunyi dentuman kuat.


"Saya sangkakan pokok tumbang. Selepas keluar dari rumah, rupa-rupanya sebuah kereta terpacak di atas bumbung rumah saya," katanya.



Gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kenderaan berwarna kuning itu terperosok di atas bumbung rumah dalam keadaan terpacak.


Ketua Rukun Tetangga, Joko, 64, berkata, kereta itu datang dari arah gereja dan sedang menuruni bukit dengan laju ketika kemalangan berlaku.


"Terdapat tiga penumpang di dalamnya dan semuanya selamat termasuk penghuni rumah," katanya.


Petugas kecemasan menggunakan jentera berat dan tali untuk menurunkan kereta, manakala kerja-kerja itu berlangsung selama beberapa jam sehingga malam. - Sumber iNews.


Pemandu kereta hilang kawalan ketika menuruni bukit. - Foto Istimewa.

Rabu, 25 Jun 2025

Implan pembesar payudara selamatkan nyawa wanita dari 22 tikaman maut

Implan pembesar payudara selamatkan nyawa wanita dari 22 tikaman maut


Nyawa wanita di China ini terselamat apabila implan payudara miliknya menyelamatkannya daripada kecederaan maut akibat serangan tikaman lelaki tidak dikenali.


Menurut laporan South China Morning Post, kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah di tenggara China, 22 Mei lalu apabila mangsa, wanita berusia 30 tahun dikenali sebagai Ma, diserang ketika masuk ke keretanya.


Ma memberitahu, suspek memaksa masuk ke tempat duduk hadapan dan mengacukan pisau ke arahnya.


Katanya, walaupun menjerit meminta pertolongan di kawasan parkir, tiada orang awam tampil membantu.


"Lelaki itu kemudian memaksa saya membayar parkir sebelum mengarahkan saya memandu keluar dari pusat beli-belah menuju ke daerah berhampiran.


"Sepanjang perjalanan, suspek terus mengugut dan memaksa saya meminjam wang daripada rakan selepas tidak berpuas hati apabila memeriksa baki akaun bank saya," katanya.


Bagaimanapun katanya, dia sempat menghantar mesej kepada teman lelakinya yang kemudiannya menjejak lokasinya dan menghubungi pihak polis.


"Sebaik polis tiba di lokasi, suspek tiba-tiba menikam saya di bahagian dada sebelum menikam dirinya sendiri.


"Ada lebih 20 kesan tikaman. Mujurlah saya pernah jalani pembedahan pembesaran payudara dan implan itu menghalang satu tikaman yang boleh mengancam nyawa," katanya.


Menurut laporan, lelaki itu disahkan maut di tempat kejadian, manakala Ma terselamat.


Menurut doktor, hanya satu tikaman menembusi paru-paru mangsa, manakala kebanyakan tikaman lain dihalang oleh implan payudara yang dipasangnya sebelum ini.


Kes ini turut mencetuskan kemarahan netizen di China yang menggesa keselamatan di tempat awam ditingkatkan. - Sumber South China Morning Post.


Insiden itu berlaku pada 22 Mei di The MixC Shopping Mall di Hangzhou, wilayah Zhejiang, apabila mangsa berusia 30 tahun, bernama Ma, diserang hendap ketika masuk ke dalam keretanya. - Foto South China Morning Post.

Selasa, 24 Jun 2025

Lelaki tembak m∆ti kakak ipar kerana cuma masak telur dadar

Lelaki tembak m∆ti kakak ipar kerana cuma masak telur dadar


Seorang lelaki menembak kakak iparnya sehingga mati kerana dia menghidangkan hanya telur dadar kepada ibu kandung suspek, lapor portal berita Thaiger pada 24 Jun 2025.


Kejadian berlaku hujung minggu lalu di sebuah rumah di wilayah Kamphaeng Phet, utara Thailand.


Anggota-anggota polis menangkap suspek berusia 42 tahun dikenali sebagai Arsia di tempat kejadian kelmarin.


Mangsa dikenali sebagai Nittaya dan berumur 53 tahun. Dia ditemui mati di tangga hadapan rumah mereka bersama lima kesan tembakan pada lengan, bahu, dada dan mukanya.


Susulan soal siasat, Arsia akhirnya mengaku melakukan jenayah itu.


Arsia berkata, dia marah kerana Nittaya tidak pernah menyediakan makanan enak untuk ibunya yang berusia 77 tahun dan cuma menghidangkan telur dadar.


Suami mangsa yang dikenali sebagai Plew memberitahu, pertengkaran sengit berlaku antara isterinya dengan Arsia mengenai makanan ibu mereka.


Arsia kemudian menembak Nittaya selepas mengancam untuk berbuat demikian, kata Plew. - Sumber The Thaiger.


Arsia ditangkap polis kerana disyaki menembak kakak iparnya. - Foto Krasae.