Rabu, 27 Mac 2024

Lelaki dirasuk selepas tebang pokok tanpa izin

Lelaki dirasuk selepas tebang pokok tanpa izin


Seorang lelaki dari Klungkung, wilayah Bali dirasuk ketika membonceng motosikal, dipercayai akibat menebang pokok tanpa meminta izin, lapor laman berita Detik pada 21 Mac 2024.


Berdasarkan video yang tular di media sosial, lelaki tidak berbaju itu dilihat merangkak di atas jalan raya dan meracau-racau.


Sebilangan penduduk cuba menenangkan lelaki itu. Bagaimanapun, lelaki itu terus merangkak, melompat ke atas dan ke bawah dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Ketua Polis Dawan, Asisten Komisioner Polis I Komang Susiawan berkata, lelaki bernama Ananda Pratama Laritembun tersebut merupakan buruh bangunan berasal dari Banyuwangi, wilayah Jawa Timur.


"Lelaki yang meracau itu ialah buruh bangunan yang bekerja di Kampung Besan," katanya sambil menambah, kejadian berlaku pada Jumaat lalu (15/3/2024).


Tambah Komang, Ananda dan rakannya sebelum itu menebang sebatang pokok yang akan digunakan untuk membuat rumah.


Ketika mereka menaiki motosikal melalui Kampung Dawan Kaler, Ananda yang membonceng tiba-tiba meronta-ronta.


Disebabkan keadaannya tidak terkawal, rakannya menghentikan motosikal dan berhenti di tepi jalan.


"Ananda kemudian dibawa ke lokasi dia tinggal (di Bali) dan dirawat mengikut adat agama Hindu sebelum kembali sedar," ujarnya. - Sumber Detik Bali.


Ananda merangkak di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan meracau-racau. - Foto Detik.
Penumpang terkejut jumpa kala jengking berkeliaran di lapangan terbang

Penumpang terkejut jumpa kala jengking berkeliaran di lapangan terbang


Para penumpang terkejut apabila menemui seekor kala jengking berkeliaran di Lapangan Terbang Heathrow, London, lapor akhbar Daily Express pada 26 Mac 2024.


Haiwan artropod itu dipercayai masuk ke dalam beg milik penumpang sebelum ia tiba di lapangan terbang tersebut.


Setakat ini masih tidak diketahui kala jengking yang berwarna hitam dan bergerak di sekitar kaki penumpang itu datang dari negara mana.


Namun, haiwan itu sering ditemui di Afrika Selatan, Asia Timur, Eropah Selatan dan Australia.


Spesies itu tidak berasal dari Britain kerana negara itu hanya mempunyai kala jengking yang mempunyai ekor berwarna kuning.


Haiwan itu tidak boleh membawa maut namun ia mempunyai sengatan yang kuat seperti tebuan.


Bagaimanapun, seorang jurucakap Lapangan Terbang Heathrow berkata: "Kala jengking ini selamat ditangkap dan dibawa keluar dari terminal (lapangan terbang) oleh kakitangan terlatih khas.


"Ia akan dinilai dan dikenal pasti, sebelum dibawa ke rumah baharu yang sesuai."


Apabila haiwan ditemui berkeliaran di terminal lapangan terbang Heathrow, mereka mempunyai Pusat Penerimaan Haiwan Heathrow sendiri yang mana pasukan dipanggil untuk menyelamatkan makhluk itu. - Sumber Daily Express.


Kala jengking yang berkeliaran di dalam Terminal Lapangan Heathrow baru-baru ini. - Foto Twitter @UB1UB2.

Selasa, 26 Mac 2024

Netizen terkejut temui 'ular berkaki' di rumahnya

Netizen terkejut temui 'ular berkaki' di rumahnya


Seorang pengguna media sosial di Thailand berkongsikan gambar seekor haiwan aneh yang kelihatan seperti ular kecil tetapi mempunyai empat kaki, lapor laman berita Thaiger pada 25 Mac 2024.


Menurut individu tersebut, haiwan itu ditemui di rumahnya.


"Haiwan apakah ini? Ia kelihatan seperti ular tetapi mengapa mempunyai kaki," soalnya dalam hantaran yang dimuat naik di laman media sosial.


Pengguna media sosial yang lain kemudian tampil menjelaskan bahawa haiwan tersebut dikenali sebagai Lygosoma quadrupes iaitu sejenis reptilia kecil dalam kumpulan skink.


Ia dikenali dengan badannya yang panjang, kepala panjang dan rata serta berkaki pendek.


Skink tersebut biasanya mempunyai badan berwarna kelabu dan hitam atau coklat muda. 


Disebabkan kakinya yang pendek, ia cenderung merayap dan bersembunyi di dalam tanah yang gembur atau di bawah kayu yang mereput dan sering disalah anggap sebagai ular. - Sumber The Thaiger.


Haiwan ini kelihatan seperti ular, namun mempunyai empat kaki. - Foto Khaosod.
Gara-gara terlanggar bahu, lelaki maut ditumbuk warga asing

Gara-gara terlanggar bahu, lelaki maut ditumbuk warga asing


Gara-gara terlanggar bahu, seorang lelaki maut ditumbuk lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah pusat hiburan, di Sea Park, Petaling Jaya pada Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, dalam kejadian 1 pagi itu, lelaki warga asing berusia 40-an terlanggar badan mangsa berusia 40-an sebelum berlaku pertengkaran.


"Suspek yang tidak berpuas hati selepas mangsa ada menendangnya sedikit selepas terlanggar bahu menyebabkan dia terus melepaskan satu tumbukan.


"Akibat tumbukan itu mangsa terjatuh dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.


Beliau berkata, susulan itu polis menahan lelaki warga asing terbabit bagi membantu siasatan dan direman sehingga 29 Mac ini.


"Rakan mangsa yang terbabit dalam pergaduhan itu juga ditahan bagi membantu siasatan.


"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Video tular rakaman insiden pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, pada Sabtu lalu. - Foto Harian Metro.

Isnin, 25 Mac 2024

Dua beradik ubah suai kereta jadi 'helikopter'

Dua beradik ubah suai kereta jadi 'helikopter'


Polis India merampas sebuah projek kereta buatan sendiri atau DIY daripada dua beradik yang mengubah suai kereta kecil jenis Suzuki mereka menyamai helikopter, dalam usaha menjana wang dengan menyewakannya untuk majlis perkahwinan.


Ishwardin, 36, dan Parmeshwardin Prajapati, 37, membelanjakan hampir AS$3,000 (RM14,212) untuk memasang bilah pemutar kecil pada bumbung kereta dan membuat membentuk kepingan logam menyerupai bahagian belakang helikopter.


Media tempatan melaporkan, pengubahsuaian besar itu mengambil masa beberapa minggu di sebuah bengkel di Uttar Pradesh, negeri di utara India.


Dua beradik itu merancang untuk mengenakan bayaran 5,000 rupee (RM284) sehari kepada pasangan yang akan berkahwin dan inginkan cara pengangkutan unik lagi tersendiri pada hari perkahwinan mereka.


"Saya menukar kereta itu untuk digunakan bagi tempahan ketika musim perkahwinan supaya keluarga kami dapat memperoleh wang tambahan," kata Ishwardin yang dipetik Economic Times.


Bagaimanapun, rancangan mereka tergendala apabila polis trafik merampas kenderaan itu pada Rabu, apabila mereka melihatnya berhampiran perhentian bas Akbarpur ketika ia sedang dibawa untuk dicat.


India Today melaporkan, kenderaan itu disita kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya dan menjalani pengubahsuaian yang tidak dibenarkan.


Adik beradik itu membayar denda sebanyak 2,000 rupee (RM114) dan kereta itu dikembalikan kepada mereka dengan syarat mereka menanggalkan ubah suai yang dipasang padanya.


Dalam sebuah video tular, penduduk dilihat berkumpul untuk melihat kereta luar biasa itu yang diletakkan di luar balai polis selepas ia dirampas. - Sumber India Today.


Kereta yang diubah suai menyerupai helikopter oleh adik-beradik dari Uttar Pradesh, India. - Foto Agensi.

Ahad, 24 Mac 2024

Pelancong Kanada maut selepas terjatuh dari kereta api

Pelancong Kanada maut selepas terjatuh dari kereta api


Seorang pelancong warga Kanada meninggal dunia selepas terjatuh dari kereta api ketika mengembara di Thailand, lapor stesen penyiaran NDTV pada 23 Mac 2024.


Menurut akhbar The Independent, Ryan Joseph Ralph, 24, sedang mengembara bersama teman wanitanya dari Britain, Shona Morgan, 22, sambil meraikan ulang tahun kelahirannya.


Pasangan tersebut dilaporkan menuju ke Pulau Koh Tao di selatan Thailand apabila tragedi itu berlaku pada 20 Mac lalu.


Ketika beberapa jam perjalanan, Ralph dilaporkan bangun meninggalkan Morgan yang sedang tidur untuk merokok di hujung gerabak kereta api yang sedang bergerak. Bahagian itu tidak mempunyai pintu halangan.


Selepas bangun sejam kemudian dan menyedari teman lelakinya tiada, Morgan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.


Hampir 200 pegawai polis dan penyelamat kemudian mencari mangsa sebelum dia ditemui dengan kecederaan parah pada kedua-dua kaki dan disahkan meninggal dunia. 


Menurut akhbar The Independent, Ralph dipercayai cedera selepas terjatuh dari kereta api.


"Daripada siasatan awal, tiada kesan serangan," kata Leftenan Kolonel Polis, Rathnont Kasemchaisit. - Sumber NDTV.


Jasad Ryan Joseph Ralph ditemui di Stesen Kereta Api Chet Samian. - Foto Viral Press.

Sabtu, 23 Mac 2024

Doktor keluarkan belut hidup dari perut pesakit

Doktor keluarkan belut hidup dari perut pesakit


Sekumpulan doktor berjaya menyelamatkan seorang lelaki apabila mengeluarkan seekor belut hidup sepanjang 30 sentimeter (cm) dari perutnya, lapor laman berita Oddity Central pada 21 Mac 2024.


Pada 20 Mac lalu, seorang lelaki berusia 34 tahun dimasukkan ke Pusat Perubatan Daerah Hai Ha di Wilayah Quang Ninh, Vietnam selepas mengalami sakit perut yang teruk.


Selepas menjalani imbasan X-ray dan ultra bunyi, doktor berjaya mengesan 'benda asing' dalam perutnya.


Doktor memutuskan bahawa tindakan terbaik adalah menjalankan pembedahan, membuang objek yang mencurigakan, dan cuba mengurangkan kerosakan pada usus lelaki itu.


Selepas membuka perut pesakit, doktor terkejut apabila mendapati objek asing itu adalah belut hidup sepanjang 30 cm.


Mujurlah, selepas pembedahan itu pesakit dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.


Ketika ditanya bagaimana belut itu memasuki perutnya, lelaki itu tidak dapat memberikan jawapannya, tetapi doktor percaya bahawa haiwan itu masuk dari dubur ke kolon pesakit, menggigit usus dan masuk bahagian perut.


Bagaimanapun, perkara yang masih mengejutkan kakitangan hospital adalah bagaimana belut itu masih hidup dalam badan lelaki itu sehingga dibedah doktor. - Sumber Oddity Central.


Seekor belut berjaya dikeluarkan dari perut seorang lelaki di Vietnam. - Foto Oddity Central.
Koperal polis maut dipukul, polis giat buru suspek

Koperal polis maut dipukul, polis giat buru suspek


Seorang anggota polis maut dipercayai dipukul dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah, Kajang awal pagi hari ini.


Mangsa berpangkat koperal berusia 34 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 3 pagi.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ekoran insiden berdarah tersebut, pihaknya sedang giat mengesan sekumpulan lelaki yang berada di lokasi kejadian berlaku.


Kata beliau, keberadaan kumpulan individu tersebut di lokasi dilihat mempunyai kemungkinan menjadi penyebab kematian lelaki tersebut.


"Siasatan awal mendapati anggota polis yang menjadi mangsa kejadian tersebut berkhidmat di Kontinjen Polis Kuala Lumpur.


"Kes tersebut masih dalam proses siasatan dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.


"Pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat," katanya pada sidang akhbar hari ini.


Beliau berkata, proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.


Difahamkan, mayat mangsa akan diterbangkan ke kampung halaman di Kuching, Sarawak, selepas selesai bedah siasat.

Jumaat, 22 Mac 2024

Buah pinggang babi diubah suai berjaya dipindahkan kepada pesakit hidup

Buah pinggang babi diubah suai berjaya dipindahkan kepada pesakit hidup


Pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali berjaya memindahkan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik kepada pesakit, satu prosedur yang boleh membantu menangani kekurangan kronik penderma organ.


Pasukan yang menjalankan operasi itu memanggilnya sebagai talian hayat kepada berjuta-juta manusia yang mengalami masalah buah pinggang.


Hospital Besar Massachusetts (MGH) pada Khamis berkata, operasi pemindahan yang mengambil masa selamat empat jam itu dijalankan pada Sabtu lalu ke atas seorang lelaki berusia 62 tahun iaitu Richard Slayman, yang menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir.


Hospital itu berkata, buah pinggang babi yang digunakan untuk pemindahan itu diubah secara genetik untuk membuang gen babi berbahaya dan menambah gen manusia tertentu.


Hospital itu juga berkata, pesakit yang berasal dari Weymouth, Massachusetts itu, kini dalam proses pemulihan.


"Dia sedang pulih dengan baik di MGH dan dijangka dibenarkan keluar tidak lama lagi,," kata MGH dalam satu kenyataan.


Pemindahan organ dari satu spesies ke spesies lain adalah bidang yang semakin berkembang dikenali sebagai xenotransplantation.


Berdasarkan laporan, Slayman menyatakan persetujuan menerima pemindahan buah pinggang babi kerana mengetahui bahawa jika berjaya, ia boleh membantunya sambil dapat memberikan harapan untuk beribu-ribu orang yang memerlukan pemindahan untuk terus hidup.


Kekurangan organ adalah masalah kronik di seluruh dunia, dan hospital yang berpangkalan di Boston berkata, terdapat lebih daripada 1,400 pesakit dalam senarai menunggu untuk pemindahan buah pinggang di MGH sahaja.


Ahli pasukan operasi, Dr Tatsuo Kawai berkata, pemindahan itu menjadi harapan untuk berjuta-juta pesakit yang memerlukan organ untuk hidup.


"Harapan kami ialah pendekatan pemindahan ini akan menawarkan talian hayat kepada berjuta-juta pesakit di seluruh dunia yang mengalami kegagalan buah pinggang.


"Babi mempunyai organ yang sama saiz dan fungsinya dengan organ manusia. Pengubahsuaian genetik babi ini juga menjadikan (organ itu) lebih serasi dengan manusia," katanya.


MGH berkata, babi yang digunakan untuk membekalkan organ dibesarkan secara berasingan di bawah keadaan khas untuk mengelakkan babi itu terdedah kepada jangkitan yang mungkin membahayakan penerima manusia.


Buah pinggang babi pernah dipindahkan sebelum ini kepada pesakit mati otak, tetapi Slayman adalah orang hidup pertama yang menerimanya.


Dua lelaki menerima pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik, tetapi kedua-duanya hidup tidak lebih daripada dua bulan selepas pembedahan. - Sumber Daily Mail.


Pemindahan yang mengambil masa selamat empat jam itu dijalankan pada Sabtu lalu. - Foto MGH/ AFP.

Khamis, 21 Mac 2024

Fosil ikan lumba-lumba berusia 16 juta tahun ditemukan di Peru

Fosil ikan lumba-lumba berusia 16 juta tahun ditemukan di Peru


Saintis telah menemui tengkorak fosil ikan lumba-lumba sungai, daripada spesies yang dianggap telah 'melarikan diri' dari lautan dan mencari perlindungan di sungai Amazon Peru 16 juta tahun yang lalu, lapor akhbar The Guardian pada 20 Mac 2024.


Ahli Paleontologi, Rodolfo Salas berkata, fosil itu adalah milik ikan lumba-lumba sungai terbesar yang pernah ditemui berukuran tiga hingga 3.5 meter panjang, ia diketahui pernah mendiami perairan Amerika Selatan.


Katanya, ia dinamakan Pebanista yacuruna sempena Yacuruna, makhluk mitologi Peru yang hidup di dalam air.


"Ikan lumba-lumba yang ditemukan di Peru ini ada kaitan dengan ikan lumba-lumba Sungai Ganges di India. Nenek moyang kedua-dua ikan lumba-lumba ini dahulunya tinggal di lautan.


"Ia menduduki ruang lautan yang besar berhampiran pantai India dan Amerika Selatan.


"Haiwan ini kemudian tinggal di persekitaran air tawar di Amazon dan India. Malangnya, ia pupus di Amazon, tetapi terselamat di India," katanya.


Saintis menemukan fosil itu menerusi penggalian di Peru semasa ekspedisi 2018 yang ditaja National Geographic Society di Sungai Napo. Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Science Advances.


Lembangan Sungai Amazon dan Sungai Orinoco masih menjadi rumah kepada spesies yang dikenali sebagai lumba-lumba Sungai Amazon juga dipanggil lumba-lumba sungai merah jambu atau boto. - Sumber The Guardian.


Ahli Paleontologi menggali tebing di Sungai Napo semasa ekspedisi 2018, apabila mereka menemui spesies baharu itu. - Foto John J Flynn.