Sabtu, 20 Disember 2025

Tiada larangan guna dekorasi perayaan bukan Islam bagi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia


Tiada larangan dikenakan kepada pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam selagi tidak menjejaskan prinsip halalan toyyiban.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, berkata penggunaan dekorasi, imej, hiasan dan ilustrasi perayaan bukan Islam yang bersifat tidak kekal pada produk makanan adalah dibenarkan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan peralatan sembahan tidak dibenarkan, manakala dekorasi dan hiasan premis tidak boleh membabitkan paparan SPHM serta imej logo halal SPHM.


"Keputusan ini selaras dengan ketetapan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2023 yang memutuskan tiada larangan terhadap pemegang SPHM menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam," katanya dalam kenyataan.


Kenyataan beliau merujuk kepada isu dekorasi hiasan perayaan tertentu di bahagian dapur atau outlet hotel yang mempunyai SPHM selaras dengan ketetapan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2023 yang memutuskan tiada larangan terhadap pemegang SPHM menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam.


Zulkifli berkata, keputusan berkenaan terpakai kepada isu hiasan perayaan bukan Islam di bahagian dapur atau outlet hotel yang mempunyai SPHM.


Menurutnya, sikap saling hormat-menghormati kepelbagaian budaya dan agama adalah sebahagian daripada identiti masyarakat majmuk di Malaysia.


Katanya, sehubungan itu, pihak industri digalakkan terus mematuhi piawaian halal sedia ada tanpa mengetepikan aspek keharmonian kaum dan agama.


Beliau turut menasihatkan hotel serta premis makanan yang memiliki SPHM supaya sentiasa merujuk pihak berkuasa pensijilan halal berkaitan bagi mendapatkan panduan dan penjelasan tepat dari semasa ke semasa.


"Kerjasama erat antara pihak berkuasa agama Islam negeri, JAKIM dan pemain industri penting bagi memastikan dasar serta garis panduan halal dilaksanakan secara berhemah, sekali gus memelihara kesucian pensijilan halal Malaysia dan keharmonian masyarakat," katanya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan. - Foto Bernama.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon