"Antara pesanan terakhir Datuk Seri Bung Moktar Radin ialah agar anaknya diberi peluang meneruskan khidmat bakti di kawasan jika sesuatu berlaku kepada dirinya."
Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pesanan itu dititip Allahyarham kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Allahyarham Bung Moktar mendedahkan anaknya kepada gerak kerja kawasan sejak awal, termasuk menguruskan Parlimen ketika beliau berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Parlimen.
"Dalam tempoh itu, Naim juga sering menjalankan tugas di kawasan dan menjadi penggerak utama.
"Justeru, beliau bukan asing lagi kepada pengundi Kinabatangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana, di Taman Pinggiran Senawang, Seremban hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan Naim Kurniawan sebagai menjadi calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang dijadualkan pada 24 Januari depan.
Mohamad yang juga Menteri Luar dan Ahli Parlimen Rembau, berkata pemilihan Naim Kurniawan bakal memberi kelebihan kepada BN mengekalkan kerusi terbabit.
"Kita mahu kesinambungan gerak kerja parti diteruskan. Memberi laluan kepada anak arwah adalah satu penghormatan terhadap jasa Bung Moktar kepada parti dan rakyat Kinabatangan.
"Selain itu, kita dapat turunkan anak muda supaya mereka didedahkan dalam keadan sudah tahu selok-belok gerak kerja di Kinabatangan.
"Kawasan Parlimen ini besarnya sama dengan Pahang, jadi kita perlukan calon yang tahu selok-beloknya dan bertenaga," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan (DUN) Lamag pada 24 Januari 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari.

EmoticonEmoticon