Khamis, 21 Mac 2024

Fosil ikan lumba-lumba berusia 16 juta tahun ditemukan di Peru


Saintis telah menemui tengkorak fosil ikan lumba-lumba sungai, daripada spesies yang dianggap telah 'melarikan diri' dari lautan dan mencari perlindungan di sungai Amazon Peru 16 juta tahun yang lalu, lapor akhbar The Guardian pada 20 Mac 2024.


Ahli Paleontologi, Rodolfo Salas berkata, fosil itu adalah milik ikan lumba-lumba sungai terbesar yang pernah ditemui berukuran tiga hingga 3.5 meter panjang, ia diketahui pernah mendiami perairan Amerika Selatan.


Katanya, ia dinamakan Pebanista yacuruna sempena Yacuruna, makhluk mitologi Peru yang hidup di dalam air.


"Ikan lumba-lumba yang ditemukan di Peru ini ada kaitan dengan ikan lumba-lumba Sungai Ganges di India. Nenek moyang kedua-dua ikan lumba-lumba ini dahulunya tinggal di lautan.


"Ia menduduki ruang lautan yang besar berhampiran pantai India dan Amerika Selatan.


"Haiwan ini kemudian tinggal di persekitaran air tawar di Amazon dan India. Malangnya, ia pupus di Amazon, tetapi terselamat di India," katanya.


Saintis menemukan fosil itu menerusi penggalian di Peru semasa ekspedisi 2018 yang ditaja National Geographic Society di Sungai Napo. Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Science Advances.


Lembangan Sungai Amazon dan Sungai Orinoco masih menjadi rumah kepada spesies yang dikenali sebagai lumba-lumba Sungai Amazon juga dipanggil lumba-lumba sungai merah jambu atau boto. - Sumber The Guardian.


Ahli Paleontologi menggali tebing di Sungai Napo semasa ekspedisi 2018, apabila mereka menemui spesies baharu itu. - Foto John J Flynn.


EmoticonEmoticon