Rabu, 1 April 2026

Berang dengar adik dikatakan 'mengumpat' dipercayai punca abang tembak guna bakakuk


Suspek kes tembak adik dikatakan naik angin selepas mendengar mangsa dan isterinya bercakap buruk mengenainya sebelum menembak mangsa dengan bakakuk dari jendela rumahnya di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, Tenom kelmarin.


Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak, berkata suspek sudah lama dipercayai ada masalah kesihatan mental, terutama selepas bercerai dengan isterinya dan seorang anak perempuannya turut dipelihara mangsa.


"Pada pagi kejadian, suspek tiba-tiba naik angin apabila menuduh mangsa bersama isterinya bercakap buruk mengenai dirinya di hadapan rumah mangsa yang boleh didengari dari rumahnya yang terletak bersebelahan.


"Suspek kemudian bertindak agresif dengan menetak pokok buah naga milik mangsa menggunakan parang sebelum tidak berpuas hati lalu mengambil senjata api buatan sendiri.


"Suspek dipercayai melepaskan tembakan dari tingkap rumahnya ke arah mangsa di (rumah) sebelah sehingga adiknya maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Azmir berkata, siasatan forensik masih dijalankan di lokasi dan beberapa barangan kes termasuk senjata bakakuk, peluru serta kelongsong peluru sudah dirampas untuk dianalisis lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.


Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak beberapa kali oleh suspek yang juga abang kandungnya.


Suspek berusia 57 tahun dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk miliknya sebelum dia ditembak mati polis selepas enggan menyerah diri dan mengancam keselamatan anggota polis.


Polis merampas selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk dipercayai milik suspek.


EmoticonEmoticon