Jumaat, 22 Mac 2024

Buah pinggang babi diubah suai berjaya dipindahkan kepada pesakit hidup


Pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali berjaya memindahkan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik kepada pesakit, satu prosedur yang boleh membantu menangani kekurangan kronik penderma organ.


Pasukan yang menjalankan operasi itu memanggilnya sebagai talian hayat kepada berjuta-juta manusia yang mengalami masalah buah pinggang.


Hospital Besar Massachusetts (MGH) pada Khamis berkata, operasi pemindahan yang mengambil masa selamat empat jam itu dijalankan pada Sabtu lalu ke atas seorang lelaki berusia 62 tahun iaitu Richard Slayman, yang menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir.


Hospital itu berkata, buah pinggang babi yang digunakan untuk pemindahan itu diubah secara genetik untuk membuang gen babi berbahaya dan menambah gen manusia tertentu.


Hospital itu juga berkata, pesakit yang berasal dari Weymouth, Massachusetts itu, kini dalam proses pemulihan.


"Dia sedang pulih dengan baik di MGH dan dijangka dibenarkan keluar tidak lama lagi,," kata MGH dalam satu kenyataan.


Pemindahan organ dari satu spesies ke spesies lain adalah bidang yang semakin berkembang dikenali sebagai xenotransplantation.


Berdasarkan laporan, Slayman menyatakan persetujuan menerima pemindahan buah pinggang babi kerana mengetahui bahawa jika berjaya, ia boleh membantunya sambil dapat memberikan harapan untuk beribu-ribu orang yang memerlukan pemindahan untuk terus hidup.


Kekurangan organ adalah masalah kronik di seluruh dunia, dan hospital yang berpangkalan di Boston berkata, terdapat lebih daripada 1,400 pesakit dalam senarai menunggu untuk pemindahan buah pinggang di MGH sahaja.


Ahli pasukan operasi, Dr Tatsuo Kawai berkata, pemindahan itu menjadi harapan untuk berjuta-juta pesakit yang memerlukan organ untuk hidup.


"Harapan kami ialah pendekatan pemindahan ini akan menawarkan talian hayat kepada berjuta-juta pesakit di seluruh dunia yang mengalami kegagalan buah pinggang.


"Babi mempunyai organ yang sama saiz dan fungsinya dengan organ manusia. Pengubahsuaian genetik babi ini juga menjadikan (organ itu) lebih serasi dengan manusia," katanya.


MGH berkata, babi yang digunakan untuk membekalkan organ dibesarkan secara berasingan di bawah keadaan khas untuk mengelakkan babi itu terdedah kepada jangkitan yang mungkin membahayakan penerima manusia.


Buah pinggang babi pernah dipindahkan sebelum ini kepada pesakit mati otak, tetapi Slayman adalah orang hidup pertama yang menerimanya.


Dua lelaki menerima pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik, tetapi kedua-duanya hidup tidak lebih daripada dua bulan selepas pembedahan. - Sumber Daily Mail.


Pemindahan yang mengambil masa selamat empat jam itu dijalankan pada Sabtu lalu. - Foto MGH/ AFP.


EmoticonEmoticon