Isnin, 18 September 2023

Kena tarik lepas 3 tahun tak bayar, rider rosakkan motosikal

Kena tarik lepas 3 tahun tak bayar, rider rosakkan motosikal


Aksi agresif penunggang P-Hailing merosakkan motosikal miliknya di kawasan pusat beli belah di Puchong dipercayai berpunca tidak puas hati kenderaan itu hendak ditarik kerana tertunggak hampir tiga tahun.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, insiden itu berlaku pada 11 September lalu, kira-kira pukul 3.10 petang.


Menurutnya, lelaki itu tendang motosikalnya sendiri sebelum serah kepada ejen tarik kenderaan.


"Pemilik motosikal (penunggang p-hailing) tidak berpuas hati kerana motosikalnya akan ditarik disebabkan mempunyai tunggakan selama 34 bulan.


"Pemuda itu menendang motosikalnya sendiri sebelum diserahkan kepada ejen (yang menarik kenderaan)," katanya dalam satu kenyataan.


Jelas beliau, laporan untuk menarik motosikal tersebut telah dibuat oleh pihak ejen pada hari sama di Balai Polis Brickfield, Kuala Lumpur.


"Setakat ini, tiada kertas siasatan dibuka berhubung insiden tersebut," tambahnya.


Satu rakaman video berdurasi lapan saat tular di media sosial yang memaparkan seorang rider menendang motosikal Yamaha Y15ZR berwarna hijau miliknya.


Lelaki terbabit yang memakai baju T sebuah syarikat p-hailing dan bertopi keledar menendang berulang kali motosikal tersebut yang sudah terjatuh.


Tindakan itu menyebabkan beberapa bahagian motosikal tersebut mengalami kerosakan. - Sumber Kosmo.


Tangkap layar rider merosakkan motosikal miliknya di kawasan pusat beli belah di Puchong dipercayai berpunca tidak puas hati kenderaan itu hendak ditarik kerana tertunggak hampir tiga tahun.

Sabtu, 16 September 2023

Lelaki sembelit selama 10 hari meninggal dunia ketika buang air besar

Lelaki sembelit selama 10 hari meninggal dunia ketika buang air besar


Seorang lelaki berusia 65 tahun di Britain meninggal dunia akibat sakit jantung ketika membuang air besar selepas mengalami sembelit selama lebih seminggu, lapor akhbar The Sun pada 14 September 2023.


Pakar yang merawat pesakit itu, Dr. Rawdy Reales Rois berkata, dia pada awalnya tiba di unit kecemasan dalam keadaan mengalami sakit dada, loya dan perlu pergi ke tandas.


Akan tetapi, lelaki itu dikatakan sudah tidak dapat membuang air besar selama tujuh hingga 10 hari. Keputusan ujian elektrokardiogram pesakit itu normal, namun degupan jantungnya semakin laju dan dia mengeluarkan peluh yang banyak.


Memandangkan dia mempunyai sejarah masalah jantung, pakar tidak menggalakkan untuk memberinya enema rektum seperti yang diminta. Dalam kes yang jarang berlaku, tindakan itu boleh mencetuskan kesan sampingan yang mengancam buah pinggang dan jantung pesakit.


Rois sebaliknya menggalakkan lelaki itu mengambil ubat untuk melegakan sembelit, tetapi ia tidak memberi kesan yang diingini. Dia kemudian meninggalkan pesakit itu dan merancang untuk kembali memeriksanya selepas beberapa jam.


Bagaimanapun, pesakit itu mendesak doktor lain untuk melakukan prosedur enema rektum. Selepas prosedur itu, pesakit berkenaan mengalami serangan jantung akibat membuang najis dengan begitu pantas sehingga merangsang saraf vagus dan menyebabkan tekanan darahnya menurun secara tiba-tiba. Dia akhirnya disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian.


Dr Philippa Kaye, seorang GP NHS yang tidak berkaitan dengan kes itu, berkata bahawa sembelit yang teruk dan ketegangan berulang boleh menyebabkan masalah seperti prolaps rektum - apabila rektum tergelincir ke dalam dubur.


"Ini boleh mengakibatkan halangan usus, yang mengancam nyawa dan dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular dan strok," katanya.


Menurut National Institutes of Health, mengosongkan usus merangsang saraf vagus, jadi secara teknikal boleh menurunkan tekanan darah pesakit.


Penurunan mendadak berpotensi berbahaya kerana jantung, otak atau organ lain tidak mendapat aliran darah yang mencukupi. Ia meletakkan pesakit pada peningkatan risiko serangan jantung dan strok. - Sumber The Sun.


Dr. Rawdy Reales Rois, merupakan lulusan dari Cooperative University of Colombia 10 tahun lalu telah merawat pesakit tersebut. - Foto Jam Press.
Lelaki kahwini 7 wanita serentak, ingin tambah isteri lagi untuk mencapai sasaran 100 anak

Lelaki kahwini 7 wanita serentak, ingin tambah isteri lagi untuk mencapai sasaran 100 anak


Seorang lelaki di Uganda mengahwini tujuh wanita pada hari yang sama dengan dua daripada isterinya ialah adik-beradik, lapor akhbar The Sun pada 14 September 2023.


Habib Nsikonnene, 43, yang merupakan seorang pengamal perubatan tradisional popular, mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran di Uganda Ahad lalu.


Habib bagaimanapun mengaku bahawa dia bercadang untuk mempunyai lebih ramai isteri supaya boleh mencapai sasaran mempunyai 100 orang anak.


"Dalam keluarga saya, bilangan kami sangat sedikit, jadi saya mahu mempunyai ramai anak supaya dapat membina keluarga yang besar," katanya kepada laman berita Daily Monitor.


Sebagai persiapan sebelum perkahwinan, Habib menghadiahkan setiap isterinya kereta baharu dan memberi pelbagai hadiah kepada ibu bapa mereka.



Ini bukan perkahwinan pertama Habib kerana dia sudah mempunyai seorang isteri bernama Musanyusa yang dikahwininya selama tujuh tahun.


Habib mengahwini setiap pengantin perempuan secara berasingan dalam upacara di rumah mereka sebelum masing-masing diiringi ke majlis resepsi di rumahnya.


Pengantin perempuan tiba ke majlis itu dengan menaiki kenderaan mereka sendiri sambil diiringi armada 40 limusin dan 30 motosikal.


Selepas majlis itu, Habib dan isterinya dibawa berarak oleh sekumpulan penunggang basikal dan motosikal melalui pekan-pekan tempatan sebelum pulang ke rumah.


Menurut bapa Habib, mempunyai ramai isteri di Uganda adalah perkara biasa dan dalam keluarganya juga.


"Datuk saya mempunyai enam orang isteri yang dipisahkan dengan tirai dalam satu rumah, dan arwah bapa saya sendiri mempunyai lima isteri dan saya sendiri mempunyai empat isteri yang tinggal dalam satu rumah," katanya. - Sumber The Sun UK.


Habib Nsikonnene berpegangan tangan dengan salah seorang isterinya pada hari perkahwinannya. - Foto CEN.

Jumaat, 15 September 2023

Seorang wanita maut dan 12 lagi kritikal lepas makan ikan sardin

Seorang wanita maut dan 12 lagi kritikal lepas makan ikan sardin


Wanita meninggal dunia selepas makan hidangan ikan sardin di restoran di Bordeaux, bersama 12 orang lain yang kebanyakannya adalah warga asing, kata pegawai kesihatan Perancis pada Rabu.


NDTV pada 13 September melaporkan, mangsa lain masih dirawat untuk Botulisme sejenis penyakit saraf serius yang biasanya disebabkan oleh makan makanan yang tidak diawet dengan sempurna.


Restoran di pusat bandar itu mengawet ikan sardin itu sendiri, kata Direktorat Kesihatan Perancis (DGS) pada Selasa.


Di hospital Pellegrin, Bordeaux, Dr Benjamin Clouzeau berkata, wanita itu mendaftar masuk ke hospital berhampiran Paris selepas pulang dari restoran itu bersama pasangannya.


Mangsa meninggal dunia sejurus pulang ke rumah. Pasangannya pula masih di rawat dalam unit rawatan rapi.


Seramai 12 orang masih menerima rawatan kecemasan pada Rabu, kata perkhidmatan kesihatan.


Lima daripada mereka terpaksa diberikan bantuan sokongan pernafasan. Mangsa terdiri daripada warga Amerika Syarikat, Ireland, Jerman dan Kanada.


Seorang warga Jerman sudah pulang ke negaranya untuk mendapat rawatan, begitu juga seorang penduduk Barcelona, Sepanyol, kata doktor itu.


Mereka makan di restoran Tchin Tchin Wine Bar antara 4 dan 10 September yang terkenal dengan wain dan makanan dalam kalangan pelancong di bandar barat daya Perancis.


Mereka memesan ikan sardin yang diawet sendiri oleh pemilik restoran itu yang disimpan dalam balang, dan pihak berkuasa masih menjalankan ujian di restoran itu, kata DGS.


Botulisme adalah penyakit serius yang mengakibatkan kelumpuhan (ketidakupayaan untuk menggunakan otot). Sekiranya penyakit ini tidak dirawat, pengidap botulisme akan mati.


Akhbar tempatan Sud-Ouest memetik kenyataan pemilik restoran berkata bahawa dia (pemilik) telah membuang beberapa balang yang mengandungi ikan sardin kerana "bau kuat" yang terpancar dari bekas ketika dia membukanya.


Tetapi yang lain masih dalam keadaan baik dan dihidangkan kepada pelanggan, kata Sud-Ouest memetik pengakuan pemilik restoran tersebut. - Sumber NDTV.


Seorang wanita meninggal dunia di Perancis akibat botulisme selepas makan ikan sardin di sebuah restoran minggu lalu dan 12 orang lain masih dirawat untuk penyakit yang jarang berlaku itu. - Foto NDTV.

Rabu, 13 September 2023

Pesawat tempur X-wing Star Wars dilelong, bidaan bermula RM1.87 juta

Pesawat tempur X-wing Star Wars dilelong, bidaan bermula RM1.87 juta


Model pesawat tempur X-wing dalam Star Wars asal versi 1977 yang sudah lama hilang kini muncul semula dan sedang dilelong, dibuka dalam bidaan bermula pada harga AS$400,000 (kira-kira RM1.87 juta), lapor The Guardian News pada 11 September 2023.


Heritage Auctions berkata model itu sudah lama dikenali sebagai 'X-wing yang hilang'. Kemudian ia ditemui dalam koleksi milik Greg Jein, yang meninggal dunia pada Mei tahun lalu, pada usia 76 tahun.


Karier Jein dalam pembuatan miniatur menyaksikan dia mendapat pencalonan anugerah untuk kerjanya dalam projek termasuk Star Trek and Close Encounters of the Third Kind.


X-wing adalah miniatur bersaiz kira-kira 20 inci salah satu daripada empat yang dicipta untuk penggambaran jarak dekat dalam momen penting semasa pertempuran aksi ketiga yang terkenal dalam Star Wars Episod IV: A New Hope.


Ia direka dengan jalur merah pada dua sayap teratasnya, pengenalan ia sebagai skuadron Rebel Alliance Red Leader.


Model itu juga terbabit semasa beberapa tangkapan untuk Red Five, pesawat yang dipandu oleh Luke Skywalker, dan Red Two, dipandu oleh Wedge Antilles.


Heritage Auctions berkata X-wing mewakili kemuncak artifak Star Wars yang pernah sampai ke pasaran.


Model itu dianggap hilang oleh pasukan Industrial Light & Magic selama beberapa dekad sebelum ia dikenal pasti oleh pakar kesan visual yang membantu keluarga Jein menyusun koleksi artifak sinematiknya yang banyak.


Model itu akan dilelong pada 14 Oktober hingga 15 Oktober depan di Dallas, negeri Texas dengan harga bidaan permulaan $400,000 (kira-kira RM1.87 juta). - Sumber The Guardian.


Model pesawat tempur X-wing yang digunakan dalam Start Wars akan dilelong dengan harga bidaan bermula AS400,000 (kira-kira 1.87 juta). - Foto The Guardian.
Tergamak curi banyak mayat untuk dijual dalam talian

Tergamak curi banyak mayat untuk dijual dalam talian


Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun selepas mengaku bersalah menjual mayat manusia secara dalam talian, termasuk dua bayi yang mati ketika lahir, lapor Mirror UK pada 11 September 2023.


Jeremy Pauley, 41, dari Pennsylvania, menjual mayat yang dicuri dari Sekolah Perubatan Harvard, Amerika Syarikat.


Dia juga didakwa mencuri mayat dari kemudahan perubatan lain untuk dijual, sebahagian daripada rangkaian pemerdagangan bahagian tubuh manusia di seluruh negara.


Pauley didakwa melakukan demikian bermula dari 2018 hingga 2022 dan dia adalah seorang daripada tujuh orang yang didakwa dalam kes itu pada Jun.


Pada Khamis, dia mengaku bersalah atas konspirasi dan mengangkut harta curi merentasi sempadan negeri. Dia juga mengakui membeli mayat manusia daripada berbilang penjual dengan mengetahui bahawa mayat itu dicuri.


Antara kes didakwa membabitkan Pauley adalah dia dikatakan menjual mayat dicuri oleh Candace Chapman Scott.


Scott bekerja di rumah mayat Little Rock, Arkansas serta dikatakan mencuri bahagian mayat yang sepatutnya dibakarnya dan abu mayat perlu dikembalikan kepada pihak keluarga si mati.


Seorang daripada defendan, Cedric Lodge, dari Goffstown, New Hampshire, adalah pengurus rumah mayat untuk Program Hadiah Anatomi di Sekolah Perubatan Harvard di Boston, Massachusetts.


Pihak berkuasa berkata bahagian mayat itu diambil tanpa pengetahuan Sekolah Perubatan Harvard dan pihak sekolah telah bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan mereka.


Mayat yang didermakan kepada sekolah digunakan untuk tujuan pendidikan, pengajaran atau penyelidikan. Biasanya, apabila mereka tidak lagi diperlukan, mayat yang didermakan itu dibakar dan abunya dikembalikan kepada keluarga mereka.


Lodge dituduh mencuri organ yang didermakan dan bahagian badan lain termasuk kepala, otak, kulit dan tulang, yang sama ada dihantar kepada pembeli atau dibawa pulang ke rumahnya.


Lodge dilaporkan membenarkan pembeli masuk ke bilik mayat dan memilih bahagian tubuh mayat yang mereka ingin beli.


Menurut media tempatan, Lodge dibantu oleh isterinya Denise, 63, untuk menjual mayat melalui telefon atau melalui media sosial.


Lodge, 55, Katrina Maclean, 44, Joshua Taylor, 46, Denise Lodge, 63, Mathew Lampi, 52, semuanya didakwa bersama Pauley.


Pauley, masih belum dijatuhkan hukuman atas peranannya dalam rangkaian itu, dan Mathew Lampi, sedang menunggu perbicaraan.


Lampi didakwa membawa dan menjual mayat manusia dalam tempoh yang panjang dengan urusniaga AS$100,000 (kira-kira RM467,624) menerusi pembayaran dalam talian. - Sumber Mirror UK.


Jeremy Pauley, 41, mengaku bersalah menjual mayat manusia secara dalam talian. - Foto Newsflash.

Selasa, 12 September 2023

Neymar bakal 'semput' bomoh Peru lakukan ritual 'ikat kaki'

Neymar bakal 'semput' bomoh Peru lakukan ritual 'ikat kaki'


Sambil memakai ponco berwarna-warni, sekumpulan bomoh Peru melakukan ritual untuk 'mengekang' Neymar menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Brazil, pagi esok.


Usaha kumpulan bomoh dari hutan, gunung dan pantai digelar 'Tayta Inti' (Bapa Matahari) itu diharap dapat membantu Peru apabila berdepan juara dunia lima kali itu.


"Kami meneutralkan Neymar dengan mengikat kakinya. Kami mengikatnya, jadi dia tidak dalam keadaan terbaik, tidak boleh berlari dan bermain dengan baik," kata bomoh, Felix Rondan.


Bomoh berkenaan meniup kulit kerang ketika mengadakan upacara itu di luar stadium yang dipenuhi pelbagai peralatan seperti pedang, tangkal, bendera dan gambar pemain dari kedua-dua pasukan.



Seorang lagi bomoh, Walter Alarcon berkata, upacara itu bertujuan mengaburi fikiran Neymar, sekali gus menyebabkan dia tidak boleh mencapai apa yang dicarinya iaitu menjaringkan gol.


Alarcon meramal perlawanan kelayakan zon Amerika Selatan itu sukar dan berakhir dengan keputusan seri. 


Terdahulu, mereka mengambil ayuahasca - ramuan hallucinogenic sangat kuat yang dikatakan membuka pintu kepada dunia roh. - Sumber New Straits Times.


Bomoh Peru melakukan upacara ritual menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Brazil, esok (13/9/2023). - Foto AFP.

Ahad, 10 September 2023

Lelaki sado menangis teresak-esak di balai polis lapor hilang ayam

Lelaki sado menangis teresak-esak di balai polis lapor hilang ayam


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang lelaki berbadan tegap meraung ketika membuat laporan mengenai kehilangan ayam kesayangannya di balai polis, lapor laman berita Detik hari ini.


Kejadian yang dikatakan berlaku di Balai Polis Tebo, Jambi itu dimuat naik dalam akaun TikTok @adi.sudirja.25 pada Sabtu (9/9/2023) dan video tersebut sudah ditonton lebih 11 juta kali.


Dalam video itu, kelihatan dua anggota polis cuba menahan lelaki berbadan tegap itu supaya dia dapat menenangkan dirinya.


"Ayam saya hilang, tuan. Tuan, ayam saya hilang," kata lelaki tersebut dalam keadaan menangis teresak-esak.


"Jangan pegang saya, jangan tenangkan saya. Biar kejadian itu diketahui ramai," tambah lelaki itu.


Selepas diberi air mineral, tangisan lelaki tersebut mula reda dan dia kemudian melaporkan kehilangan ayamnya kepada pegawai polis yang bertugas ketika itu.


"Tolong rekodkan, tuan (laporan). Nama ayam saya Ahmad Saputra, tuan," kata lelaki itu.


Selepas kejadian itu tular, Ketua Polis Tebo, Wayan Arta Ariawan berkata, video tersebut dirakam hasil kerjasama pihaknya dengan seorang lelaki bernama Adi Sudirja.


"Video itu memberi pesanan bahawa Polis Tebo sedia berkhidmat untuk masyarakat dalam apa jua kes tanpa terkecuali," jelasnya. - Sumber DetikSumbagsel.


Lelaki itu ditenangkan beberapa pegawai di Balai Polis Tebo. - Foto Detik.
Penunggang basikal tendang budak berjaya saman bapa kerana sebar video

Penunggang basikal tendang budak berjaya saman bapa kerana sebar video


Seorang penunggang basikal yang pernah tular selepas dirakam menendang seorang budak perempuan, menyaman bapa kanak-kanak itu kerana berkongsi video kejadian tersebut di media sosial.


Akhbar Metro UK pada 9 September 2023 melaporkan, video kejadian itu berlaku semasa Hari Krismas pada 2020. 


Lutut penunggang basikal dengan identiti tidak didedahkan itu dikatakan terkena budak berusia lima tahun tersebut ketika mereka berada di sebatang jalan bersalji di Baraque Michel, Belgium.


Bapa budak perempuan itu, Patrick Mpasa sedang berjalan bersama keluarganya ketika kejadian.


Dia yang secara tidak sengaja merakam kejadian itu telah memuat naik video tersebut di media sosial dengan mendakwa bahawa penunggang basikal berkenaan tidak meminta maaf.


Kes itu dibawa ke mahkamah di mana penunggang basikal itu didapati bersalah dan perlu membayar pampasan sebanyak €1 (RM5) kepada Mpasa.


Selepas setahun, penunggang basikal berkenaan menyaman Mpasa kerana dikatakan menyebar fitnah sehingga menyebabkan dia menghadapi tindak balas yang teruk daripada orang ramai sehingga dia kini takut meninggalkan rumahnya.


Selepas dua tahun pertikaian undang-undang, penunggang basikal tersebut memenangi tuntutan mahkamah baru-baru ini.


Dia meminta untuk dibayar €4,500 (RM22,500) sebagai pampasan, harga yang sama dengan basikalnya.


Tetapi menurut The Sun, jumlah sebenar pampasan yang akan diterima lelaki itu akan ditentukan pada April 2024. - Sumber Metro UK News.


Lelaki itu secara tidak sengaja menendang budak perempuan ketika berbasikal. - Foto Newsflash.
Lelaki cuba rentas Lautan Atlantik sejauh 7,593km menaiki kapal unik buatan sendiri

Lelaki cuba rentas Lautan Atlantik sejauh 7,593km menaiki kapal unik buatan sendiri


Lelaki ditahan selepas cuba merentasi Lautan Atlantik dari Florida, Amerika Syarikat (AS) untuk ke London, United Kingdom sejauh 4,100 batu nautika (kira-kira 7,593 kilometer) dengan menaiki kapal buatan sendiri menyerupai hamster wheel.


Menerusi lapor Daily Mail pada 6 September 2023, pegawai pantai AS memintas kapal dinaiki Reza Baluchi itu kira-kira 110 kilometer dari Pulau Tybee, Georgia, pada 26 Ogos lalu.


Jurucakap berkata, pelari maraton berusia 51 tahun warga Iran itu, yang tinggal di Florida enggan meninggalkan kapal berkenaan selama tiga hari.


Baluchi didapati melakukan tiga pelayaran serupa sebelum ini namun semuanya berakhir apabila ia digagalkan oleh pengawal pantai.



Kapal digunakannya itu berbentuk roda, dengan dayung yang direka untuk bergerak ke hadapan ketika roda itu berputar, secara teorinya membolehkan ia 'berlari' melintasi ombak.


"Berdasarkan keadaan kapal yang terapung kerana pendawaian dan pelampung, pengawal pantai AS menentukan Baluchi sedang melakukan pelayaran yang nyata tidak selamat," kata aduan jenayah itu.


Pelayaran Baluchi bermula ketika pegawai AS sedang bersiap sedia untuk menghadapi taufan besar.


Jurucakap berkata, Baluchi enggan turun dari kapal itu dan mengancam untuk membunuh diri. Baluchi juga mendakwa ada bom di atas kapal itu, menurut dokumen mahkamah.


Pada 1 September lalu, Baluchi akhirnya menyerah diri dan meninggalkan kapalnya selepas dia dibawa ke pangkalan pengawal pantai di Miami.


Jurucakap kemudiannya mengesahkan bahawa dakwaan mengenai bom itu adalah palsu. Baluchi kini berdepan pertuduhan persekutuan kerana menghalang menaiki kapal dan melanggar perintah kapten pelabuhan. - Sumber Daily Mail.


Baluchi mahu merentasi Lautan Atlantik dengan menggunakan kapal buatan sendiri menyerupai roda hamster. - Foto Daily Mail.

Baluchi didapati melakukan empat kali pelayaran serupa namun semuanya digagalkan oleh pengawal pantai. - Foto Reza Baluchi/Instagram.

Pada 26 Ogos, Pengawal Pantai AS memintasnya di laut dan cuba menangkapnya. - Foto USCGSoutheast.