Rabu, 13 September 2023

Tergamak curi banyak mayat untuk dijual dalam talian


Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun selepas mengaku bersalah menjual mayat manusia secara dalam talian, termasuk dua bayi yang mati ketika lahir, lapor Mirror UK pada 11 September 2023.


Jeremy Pauley, 41, dari Pennsylvania, menjual mayat yang dicuri dari Sekolah Perubatan Harvard, Amerika Syarikat.


Dia juga didakwa mencuri mayat dari kemudahan perubatan lain untuk dijual, sebahagian daripada rangkaian pemerdagangan bahagian tubuh manusia di seluruh negara.


Pauley didakwa melakukan demikian bermula dari 2018 hingga 2022 dan dia adalah seorang daripada tujuh orang yang didakwa dalam kes itu pada Jun.


Pada Khamis, dia mengaku bersalah atas konspirasi dan mengangkut harta curi merentasi sempadan negeri. Dia juga mengakui membeli mayat manusia daripada berbilang penjual dengan mengetahui bahawa mayat itu dicuri.


Antara kes didakwa membabitkan Pauley adalah dia dikatakan menjual mayat dicuri oleh Candace Chapman Scott.


Scott bekerja di rumah mayat Little Rock, Arkansas serta dikatakan mencuri bahagian mayat yang sepatutnya dibakarnya dan abu mayat perlu dikembalikan kepada pihak keluarga si mati.


Seorang daripada defendan, Cedric Lodge, dari Goffstown, New Hampshire, adalah pengurus rumah mayat untuk Program Hadiah Anatomi di Sekolah Perubatan Harvard di Boston, Massachusetts.


Pihak berkuasa berkata bahagian mayat itu diambil tanpa pengetahuan Sekolah Perubatan Harvard dan pihak sekolah telah bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan mereka.


Mayat yang didermakan kepada sekolah digunakan untuk tujuan pendidikan, pengajaran atau penyelidikan. Biasanya, apabila mereka tidak lagi diperlukan, mayat yang didermakan itu dibakar dan abunya dikembalikan kepada keluarga mereka.


Lodge dituduh mencuri organ yang didermakan dan bahagian badan lain termasuk kepala, otak, kulit dan tulang, yang sama ada dihantar kepada pembeli atau dibawa pulang ke rumahnya.


Lodge dilaporkan membenarkan pembeli masuk ke bilik mayat dan memilih bahagian tubuh mayat yang mereka ingin beli.


Menurut media tempatan, Lodge dibantu oleh isterinya Denise, 63, untuk menjual mayat melalui telefon atau melalui media sosial.


Lodge, 55, Katrina Maclean, 44, Joshua Taylor, 46, Denise Lodge, 63, Mathew Lampi, 52, semuanya didakwa bersama Pauley.


Pauley, masih belum dijatuhkan hukuman atas peranannya dalam rangkaian itu, dan Mathew Lampi, sedang menunggu perbicaraan.


Lampi didakwa membawa dan menjual mayat manusia dalam tempoh yang panjang dengan urusniaga AS$100,000 (kira-kira RM467,624) menerusi pembayaran dalam talian. - Sumber Mirror UK.


Jeremy Pauley, 41, mengaku bersalah menjual mayat manusia secara dalam talian. - Foto Newsflash.


EmoticonEmoticon