Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) masih mengesan lelaki yang dikaitkan dengan kegiatan pemujaan di Pulau Besar, Melaka dan siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Bahagian Penguatkuasaan JAIM sudah beberapa kali melakukan pemantauan berkala di Pulau Besar selepas menerima aduan.
"JAIM sentiasa melakukan pemantauan dan baru-baru ini pasukan penguat kuasa turut melakukan pemeriksaan di pulau itu, namun lelaki berkenaan tidak ditemui.
"Hasil maklumat yang diterima mendapati lelaki terbabit sudah tiada di situ sejak minggu lalu," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, JAIM turut bekerjasama dengan polis dan nelayan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung lelaki berkenaan.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan susulan video yang dimuat naik di TikTok memaparkan perdebatan antara lelaki berkenaan dengan seorang imam Surau Pulau Besar yang mengajaknya menunaikan solat Asar secara berjemaah.
Katanya, turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan kegiatan berkaitan khurafat dan syirik, termasuk amalan yang mendakwa mampu memberikan kekayaan atau manfaat tertentu melalui tangkal dan ritual.
"Masyarakat diingatkan supaya mendapatkan rawatan dan bimbingan agama daripada pihak yang diiktiraf serta tidak terpengaruh dengan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 69 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 berkaitan kesalahan pemujaan," katanya.
Difahamkan semakan yang dilakukan JAIM mendapati lelaki berusia 44 tahun itu memeluk Islam pada 29 Jun 1994 dan pendaftarannya direkodkan pada 21 Januari 2025 di Kuala Lumpur.
Sumber berkata, berdasarkan siasatan awal, bayaran bagi 'tangkal kaya' yang dikenakan lelaki berkenaan bergantung kepada jenis atau tahap yang diminta pelanggannya, selain untuk mencari jodoh atau membuang sial.
"Ada mangsa yang mendakwa dikenakan bayaran sehingga lebih RM100 ketika bertemu dengannya berhampiran surau di Pulau Besar," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai seorang lelaki yang dikaitkan dengan kegiatan berkenaan di Pulau Besar, termasuk dakwaan menawarkan 'tangkal kaya' kepada individu tertentu.

EmoticonEmoticon