Isnin, 26 Jun 2023

Majlis kahwin batal kerana nasihat tak guna rakan karib minta mas kahwin tambahan RM130,166.44

Majlis kahwin batal kerana nasihat tak guna rakan karib minta mas kahwin tambahan RM130,166.44


Bukan saja menanggung malu, impian pengantin perempuan untuk disatukan dengan kekasihnya berkecai selepas lelaki itu meninggalkannya di hari perkahwinan mereka.


Semuanya kerana kedegilan wanita itu yang terlalu mengikut kata rakan karibnya supaya menuntut pengantin lelakinya membayar mas kahwin tambahan 200,000 yuan (RM130,166.44).


Majlis perkahwinan tidak jadi itu berlaku di wilayah Sichuan, China yang turut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.


Pasangan itu sudah lama menjalin cinta dan menempuh pelbagai cabaran sebelum dapat disatukan dalam majlis perkahwinan yang gemilang.


Untuk membiayai majlis itu, pengantin lelaki terpaksa bekerja keras, malah keluarganya membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk penganjuran majlis resepsi besar-besaran dihadiri ramai tetamu.


Keluarga pengantin lelaki juga mengatur perarakan kenderaan, tanda meriahnya majlis itu, namun sesuatu berlaku apabila pengantin lelaki datang untuk menjemput pengantin perempuan.


Ketika menghampiri kenderaan, dia dihalang daripada membawa wanita itu keluar selagi tidak membayar mas kahwin tambahan.


"Jangan keluar kereta dahulu. Ini hari penting buat rakan baik saya. Kami ada sesuatu untuk diucapkan: awak perlu menunjukkan keikhlasan dengan memberinya tambahan 200,000 yuan atau dia tidak akan meninggalkan kereta ini," kata rakan baik pengantin perempuan kepada lelaki itu.


Awalnya perkara itu disangka jenaka, namun pengantin perempuan turut bertindak mematungkan diri dan tidak keluar meskipun diminta keluarga.


Ia menyebabkan pengantin lelaki berang dan berkata, "ikut suka hati awak dan kahwinlah dengan diri sendiri."


Selepas berkata demikian, pengantin lelaki terus meninggalkan majlis itu. Kisah mengenai mereka tular di media sosial China dan mendapat reaksi pelbagai masyarakat.


Ramai yang menyelar tindakan rakan baik pengantin yang hanya mendatangkan musibah kepada pasangan itu.


Pengantin perempuan bertegas enggan keluar kenderaan selagi pengantin lelaki tidak membayar ¥200,000 (RM130,166.44) yang dicadangkan rakan karibnya. - Foto docbao.vn.

Sabtu, 24 Jun 2023

Bukan makhluk asing, tapi gambar petir yang menggerunkan di Planet Musytari

Bukan makhluk asing, tapi gambar petir yang menggerunkan di Planet Musytari


Sebuah kapal angkasa milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakam imej petir yang menggerunkan di Planet Musytari, lapor stesen penyiaran CNN pada 19 Jun 2023.


Dalam imej tersebut, petir berwarna hijau dilihat di dalam salah satu daripada banyak pusaran yang berkumpul berhampiran kutub utara Musytari.


Saintis-saintis masih cuba memahami banyak perkara mengenai Musytari iaitu planet terbesar dalam sistem suria, termasuk ribut besar dan kejadian kilat di planet terdiri daripada gas itu.


Petir berasal dari awan air di Bumi, dan kebanyakan panahan petir berlaku berhampiran khatulistiwa.



Namun, untuk Musytari, panahan petir muncul daripada awan yang merupakan hasil daripada amonia dan air, dan ia berlaku paling kerap berhampiran kutub planet.


Kapal angkasa NASA, Juno yang tiba untuk memantau Musytari serta bulan-bulannya pada 2016, merakam fenomena tersebut semasa penerbangan jarak dekat kali ke-31 pada 30 Disember 2020.


Misi tersebut berada pada lokasi kira-kira 32,000 kilometer di atas puncak awan apabila imej itu dirakam.


Imej sebenar Planet Musytari dan bulan-bulannya yang dirakam oleh Juno dimuat naik secara online dan boleh diambil oleh sesiapa sahaja untuk diproses. - Sumber CNN.


Kapal angkasa NASA Juno merakam kilat menyambar. Cahaya petir berwarna hijau dapat dilihat di dalam salah satu daripada banyak pusaran yang berkumpul berhampiran kutub utara Musytari, imej ini diambil pada 30 Disember 2020. - Foto NASA/JPL-Caltech/SwRI/MSS.

Jumaat, 23 Jun 2023

Monyet paling samseng dan ganas akhirnya diberkas

Monyet paling samseng dan ganas akhirnya diberkas


Seekor monyet ganas akhirnya ditangkap selepas berulang kali menyerang orang ramai di India, lapor akhbar Daily Star pada 22 Jun 2023.


Monyet itu melakukan beberapa serangan dalam tempoh dua minggu lalu sebelum ditangkap di negeri Madhya Pradesh semalam.


Pakar hidupan liar telah mengesan keberadaan monyet itu menggunakan dron dan menembaknya menggunakan ubat pelali sebelum menguncinya di dalam sangkar.


Ganjaran wang tunai sebanyak 21,000 rupee (RM1,196) ditawarkan untuk menangkap haiwan itu selepas ia dilaporkan menyerang kira-kira 20 orang termasuk lapan kanak-kanak.



Menurut pegawai tempatan, monyet itu akan menunggu di atas bumbung dan di tepi tingkap rumah penduduk sebelum menyerang sasaran. Mangsa yang diserang mengalami luka dalam yang memerlukan jahitan.


Seorang pegawai perhutanan, Gaurav Gupta berkata, pasukan tempatan di Rajgarh cuba menangkap monyet itu selama dua minggu tetapi gagal sebelum memanggil pasukan penyelamat jabatan hutan dari Ujjain.


Bercakap mengenai nasib monyet itu, Gupta menambah bahawa ia akan dilepaskan jauh dari penempatan manusia untuk menghentikan serangan.


"Kemungkinan besar, ia akan dilepaskan di kawasan hutan tebal supaya tidak lagi membahayakan orang ramai," tambahnya. - Sumber Daily Star.


Monyet itu akan menunggu di bumbung rumah penduduk sebelum menyerang. - Foto Daily Star.

Khamis, 22 Jun 2023

Mangsa ketawa apabila peragut larikan rantai emas palsu

Mangsa ketawa apabila peragut larikan rantai emas palsu


Seorang wanita di Vietnam yang sedang menyampu sampah di luar rumahnya hanya ketawa melihat rantai emasnya dilarikan oleh seorang pencuri, lapor portal berita Thaiger pada 20 Jun 2023.


Mangsa tidak bersedih apabila rantai leher dianggarkan bernilai 24.9 juta dong (RM4,915) itu diragut kerana ia adalah barang kemas palsu.


Rakaman video kejadian yang tular di laman sosial antarabangsa menunjukkan wanita itu dengan santai menyapu sampah di tepi jalan raya di hadapan rumahnya apabila seorang peragut yang menaiki motosikal menghampirinya.


Dia pantas merentap rantai leher emas mangsa dan melarikan diri. Anehnya, mangsa ketawa dengan kuat dan menjerit sesuatu kepada pencuri yang melarikan diri.


Difahamkan dia kemudian membuat laporan polis dan mengaku bahawa rantai lehernya palsu. Pihak berkuasa menyatakan, kejadian berlaku pada 16 Jun lalu.


Polis meneliti sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai bukti dalam usaha memburu suspek. - Sumber The Thaiger.


Seorang percuri bertindak mencuri rantai emas seorang wanita yang sedang menyapu di Vietnam pada 16 Jun lalu. - Foto Khaosod.

Selasa, 20 Jun 2023

Batu delima terbesar berjaya dijual pada harga RM160.9 juta

Batu delima terbesar berjaya dijual pada harga RM160.9 juta


Sebutir batu delima seberat 55.22 karat berjaya dijual pada harga AS$34.8 juta (RM160.9 juta) dalam satu acara lelongan yang diadakan di New York baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail pada 11 Jun 2023.


Batu delima terbesar yang pernah dilelong itu, mencipta rekod baharu lelongan dunia bagi batu delima dan koleksi batu permata berwarna.


Rekod itu sebelum ini dipegang oleh Sunrise Ruby, batu permata Burma seberat 25.59 karat yang dijual pada harga AS$30.3 juta (RM140.1 juta) di Sotheby’s Geneva pada Mei 2015.


Makmal permata yang lain, Swiss Gemmological Institute (SSEF), juga berpangkalan di New York, menulis bahawa permata memaparkan 'warna merah terang disebabkan oleh pelbagai pantulan dalaman.'


Mereka berkata pada acara lelongan Sotheby’s Magnificent Jewels di New York, batu delima dinamakan sebagai Estrela de Fura itu dianggap sebagai 'khazanah alam semula jadi yang luar biasa.'



Estrela de Fura ditemukan di Mozambique pada Julai tahun lalu. Batu delima itu dipotong daripada 101 karat kasar kepada 55.22 karat.


Batu permata itu dijumpai di sebuah lombong yang dikendalikan oleh syarikat perlombongan, Fura berpangkalan di Dubai.


Beberapa pakar berpandangan penemuan batu delima itu yang dianggap 'sekali dalam tempoh seabad' itu menggemparkan industri batu pertama.


Malah, agensi lelongan Sotheby’s menyifatkan batu delima sebesar itu 'amat jarang ditemukan'.


Katanya, hanya dua contoh koleksi batu permata demikian yang sebelum ini mencecah paras harga AS$15 juta (RM69.36 juta). - Sumber Daily Mail.


Batu delima terbesar pernah dilelong, dijual pada harga AS$34.8 juta (RM160.9 juta). - Foto AF.

Isnin, 19 Jun 2023

Beruang besar 'curi makanan' tersangkut di tingkap ketika cuba lari

Beruang besar 'curi makanan' tersangkut di tingkap ketika cuba lari


Seekor beruang 'memecah masuk' sebuah rumah di negeri Colorado, Amerika Syarikat Rabu lepas, lalu menghabiskan makanan di kediaman tersebut, lapor akhbar New York Post pada 17 Jun 2023.


Beruang itu menghabiskan satu hidangan makanan sebelum dirakam cuba melarikan diri dari tingkap selepas ia terkunci secara tidak sengaja dalam sebuah bilik tidur di tingkat dua.


Seorang jiran di kawasan itu, Heidi Hanna merakam 'penceroboh' berkenaan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan selepas menyedari pemiliknya tiada di sana.



Beruang itu cuba melompat ke tanah, namun gagal kerana terlalu tinggi. Ia kemudian masuk semula ke dalam bilik tidur itu sebelum ditemui pegawai yang bertindak balas.


Selepas pegawai itu membuka pintu bilik tidur, ia turun semula ke bawah, menyelinap melalui tingkap dan melarikan diri ke dalam hutan.


Pemilik rumah itu, Ryan MacFarlane sedang bekerja apabila dia mengetahui beruang itu berada di rumahnya.


"Saya bersyukur kerana ia adalah 'tetamu' yang dihormati," kata MacFarlane. - Sumber New York Post.


Beruang itu gagal melompat turun untuk melarikan diri melalui tingkap tingkat dua, ia kemudia masuk semula ke dalam rumah dan turun semula ke bawah, menyelinap melalui tingkap tingkat satu yang asalnya dimasukinya, kemudian menghilang ke dalam hutan. - Foto Heidi Hannah/ AMAZING ANIMALS+/ MEGA.

Ahad, 18 Jun 2023

NASA siar imej panorama siang di Marikh buat pertama kali

NASA siar imej panorama siang di Marikh buat pertama kali


Kenderaan penjelajah Marikh milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Curiosity, menghantar beberapa gambar ke Bumi yang memaparkan panorama harian di planet itu, lapor akhbar Metro UK pada 16 Jun 2023.


Ia merakamkan pemandangan mengagumkan dari Lembah Marker Band di planet itu dengan perincian yang luar biasa, termasuk trek Curiosity sendiri di kawasan tanah merah yang terkenal.


Imej itu adalah gabungan dua panorama yang diambil pada pukul 9.20 pagi dan 3.40 petang dengan menggunakan kamera navigasi hitam-putih yang kemudiannya diwarnakan oleh pasukan NASA di Bumi.


Warna biru mewakili waktu pagi dan kuning pula merupakan waktu petang.


"Dengan merakam panorama pada dua masa yang berbeza dalam sehari, pemandangan itu menunjukkan bayang-bayang dramatik yang serupa dengan pencahayaan pentas yang masuk dari kiri dan kanan pentas tengah.


"Selain itu, ia adalah musim sejuk di lokasi Curiosity pada masa imej-imej ini ditangkap, bayang-bayang lebih tajam dan lebih dalam semasa musim sejuk, apabila habuk berada pada tahap paling rendah di atmosfera Marikh," kata kenyataan daripada NASA.


Sebanyak lima gambar dihantar ke Bumi yang menunjukkan pelbagai ciri landskap Marikh manakala dua bukit, Bolivar dan Deepdale boleh dilihat berhampiran kenderaan itu. - Sumber Metro News.


(Gambar atas waktu pagi dan gambar bawah waktu petang) Gambar panorama indah dihantar ke Bumi oleh kenderaan penjelajah NASA, Curiosity di planet Marikh baru-baru ini. - Foto NASA/JPL-CalTech.

Jumaat, 16 Jun 2023

Seorang individu menemui wang RM262,000 dalam timbunan sampah

Seorang individu menemui wang RM262,000 dalam timbunan sampah


Seorang individu menemui wang tunai berjumlah kira-kira 8 juta yen (RM262,454) di sebuah premis perniagaan di bandar raya Niigata, Jepun, lapor laman berita The Mainichi pada 14 Jun 2023.


Menurut Balai Polis Niigata, individu yang mempunyai kaitan dengan lokasi perniagaan itu menemui wang tersebut dalam timbunan sampah di premis berkenaan pada 5 Jun lalu.


Dia kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama selepas menemui wang dalam jumlah yang besar itu.


Balai Polis Niigata pada 13 Jun lalu mendedahkan penemuan tersebut bagi mencari pemilik wang berkenaan.


Jika pemiliknya gagal tampil dalam masa tiga bulan, individu yang menemuinya boleh menuntut wang tersebut. - Sumber Mainichi.


Seorang individu menemui wang 8 juta yen dalam timbunan sampah di premis perniagaan di Niigata pada 5 Jun lalu. - Foto Mainichi.

Selasa, 13 Jun 2023

Wanita ditahan curi barang kemas saudara sendiri bernilai RM90,000

Wanita ditahan curi barang kemas saudara sendiri bernilai RM90,000


Seorang wanita berusia 34 tahun ditahan polis di sekitar daerah Barat Daya di Balik Pulau, kelmarin kerana disyaki mencuri barang kemas milik ahli keluarganya bernilai RM90,000.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang juga saudara kepada suspek berhubung kehilangan barangan kemasnya.


Menurut beliau, wanita itu menyedari barang kemas bernilai RM90,000 yang diletakkan di dalam beg hitam di dalam almari ruang tamu di rumah ibu mentuanya di Halaman Mayang 6, Bayan Baru, hilang 25 November tahun lalu.


"Pengadu membuat laporan polis pada Sabtu lalu (10 Jun) selepas mengesyaki barangan kemas itu dicuri wanita berkenaan. Suspek ditahan pada Ahad (11 Jun).


"Hasil siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja telah mencuri barang kemas tersebut pada 5 November tahun lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurutnya, berdasarkan siasatan, suspek serta mangsa tidak tinggal bersama, namun suspek sering ke rumah ibu mentua mangsa.


"Susulan penahanan wanita itu, polis merampas sebanyak 11 helai resit pajak gadai, seutas rantai leher emas anggaran berat 79 gram dan satu loket emas seberat 26 gram.


"Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dengan kegiatan itu, kini direman selama tiga hari bermula 11 Jun bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.


Antara barang kemas dipercayai dicuri yang berjaya ditemukan susulan penahanan seorang wanita di daerah Barat Daya, Pulau Pinang. - Foto Utusan Malaysia.

Isnin, 12 Jun 2023

Nelayan ketakutan selepas menaikkan seekor makhluk aneh 'ikan pontianak'

Nelayan ketakutan selepas menaikkan seekor makhluk aneh 'ikan pontianak'

 


Seorang nelayan di Amerika Syarikat terkejut apabila menaikkan seekor makhluk parasit yang kelihatan begitu menyeramkan, lapor akhbar Daily Star UK pada 9 Jun 2023.


Eric Osinskie menangkap haiwan itu di Lembah Hudson, negeri New York pada petang Ahad, 4 Jun lalu.


Dia berkongsi gambar haiwan yang kelihatan seakan belut dengan deretan gigi tajam itu di laman Facebook Catskill Outdoors.


Osinskie memberitahu majalah Newsweek: "Ia adalah perkara paling aneh pernah saya tangkap. Ia mungkin sepanjang 60 sentimeter atau lebih panjang.


"Saya sebenarnya tersilap menangkapnya. Saya fikir ia adalah kayu pada awalnya," katanya.


Haiwan itu sebenarnya adalah lamprei laut yang kadang-kadang dikenali sebagai 'ikan pontianak'.


Ia akan berhijrah ke sungai untuk bertelur dan menggunakan mulutnya untuk menyedut darah haiwan lain. 


Mangsa kebiasaannya mati akibat kehilangan darah atau jangkitan lain. - Sumber Daily Star.


Osinskie menunjukkan lamprei laut yang ditangkapnya. 

- Foto catskilloutdoors/Facebook.