Isnin, 26 Jun 2023

Majlis kahwin batal kerana nasihat tak guna rakan karib minta mas kahwin tambahan RM130,166.44


Bukan saja menanggung malu, impian pengantin perempuan untuk disatukan dengan kekasihnya berkecai selepas lelaki itu meninggalkannya di hari perkahwinan mereka.


Semuanya kerana kedegilan wanita itu yang terlalu mengikut kata rakan karibnya supaya menuntut pengantin lelakinya membayar mas kahwin tambahan 200,000 yuan (RM130,166.44).


Majlis perkahwinan tidak jadi itu berlaku di wilayah Sichuan, China yang turut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.


Pasangan itu sudah lama menjalin cinta dan menempuh pelbagai cabaran sebelum dapat disatukan dalam majlis perkahwinan yang gemilang.


Untuk membiayai majlis itu, pengantin lelaki terpaksa bekerja keras, malah keluarganya membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk penganjuran majlis resepsi besar-besaran dihadiri ramai tetamu.


Keluarga pengantin lelaki juga mengatur perarakan kenderaan, tanda meriahnya majlis itu, namun sesuatu berlaku apabila pengantin lelaki datang untuk menjemput pengantin perempuan.


Ketika menghampiri kenderaan, dia dihalang daripada membawa wanita itu keluar selagi tidak membayar mas kahwin tambahan.


"Jangan keluar kereta dahulu. Ini hari penting buat rakan baik saya. Kami ada sesuatu untuk diucapkan: awak perlu menunjukkan keikhlasan dengan memberinya tambahan 200,000 yuan atau dia tidak akan meninggalkan kereta ini," kata rakan baik pengantin perempuan kepada lelaki itu.


Awalnya perkara itu disangka jenaka, namun pengantin perempuan turut bertindak mematungkan diri dan tidak keluar meskipun diminta keluarga.


Ia menyebabkan pengantin lelaki berang dan berkata, "ikut suka hati awak dan kahwinlah dengan diri sendiri."


Selepas berkata demikian, pengantin lelaki terus meninggalkan majlis itu. Kisah mengenai mereka tular di media sosial China dan mendapat reaksi pelbagai masyarakat.


Ramai yang menyelar tindakan rakan baik pengantin yang hanya mendatangkan musibah kepada pasangan itu.


Pengantin perempuan bertegas enggan keluar kenderaan selagi pengantin lelaki tidak membayar ¥200,000 (RM130,166.44) yang dicadangkan rakan karibnya. - Foto docbao.vn.


EmoticonEmoticon