Jumaat, 23 Jun 2023

Monyet paling samseng dan ganas akhirnya diberkas


Seekor monyet ganas akhirnya ditangkap selepas berulang kali menyerang orang ramai di India, lapor akhbar Daily Star pada 22 Jun 2023.


Monyet itu melakukan beberapa serangan dalam tempoh dua minggu lalu sebelum ditangkap di negeri Madhya Pradesh semalam.


Pakar hidupan liar telah mengesan keberadaan monyet itu menggunakan dron dan menembaknya menggunakan ubat pelali sebelum menguncinya di dalam sangkar.


Ganjaran wang tunai sebanyak 21,000 rupee (RM1,196) ditawarkan untuk menangkap haiwan itu selepas ia dilaporkan menyerang kira-kira 20 orang termasuk lapan kanak-kanak.



Menurut pegawai tempatan, monyet itu akan menunggu di atas bumbung dan di tepi tingkap rumah penduduk sebelum menyerang sasaran. Mangsa yang diserang mengalami luka dalam yang memerlukan jahitan.


Seorang pegawai perhutanan, Gaurav Gupta berkata, pasukan tempatan di Rajgarh cuba menangkap monyet itu selama dua minggu tetapi gagal sebelum memanggil pasukan penyelamat jabatan hutan dari Ujjain.


Bercakap mengenai nasib monyet itu, Gupta menambah bahawa ia akan dilepaskan jauh dari penempatan manusia untuk menghentikan serangan.


"Kemungkinan besar, ia akan dilepaskan di kawasan hutan tebal supaya tidak lagi membahayakan orang ramai," tambahnya. - Sumber Daily Star.


Monyet itu akan menunggu di bumbung rumah penduduk sebelum menyerang. - Foto Daily Star.


EmoticonEmoticon