Jumaat, 7 April 2023

Wanita bibir paling besar sukar cari pasangan sertai rancangan mencari jodoh

Wanita bibir paling besar sukar cari pasangan sertai rancangan mencari jodoh


Seorang wanita di Bulgaria yang memiliki bibir paling besar di dunia menceritakan kesukarannya untuk mencari pasangan hidup, lapor akhbar Daily Star pada 5 April 2023.


Andrea Emilova Ivanova, 25, membelanjakan hampir £20,000 (RM109,605) untuk menjalani 43 prosedur mengubah bentuk badan. Dia telah mendapatkan empat suntikan asid hyaluronik pada tulang pipinya baru-baru ini.


Ivanova melakukan beberapa prosedur rutin dalam sebulan untuk mengekalkan gelaran memiliki bibir terbesar di dunia. Dia meneruskan prosedur itu kerana masih tidak berpuas hati dengan saiz bibirnya.


Dalam mencari pasangan hidup, pesohor media sosial itu sanggup menyertai rancangan realiti televisyen seperti The Bachelor.


"Saya seorang gadis dengan penampilan yang berbeza dan mewah dan ini pelik bagi ramai lelaki. 


"Memang ramai lelaki yang sangat menyukai saya, tetapi ada juga sebaliknya. Mereka fikir saya pelik dan gila," katanya.


Walaupun Ivanova sanggup mengambil risiko dengan menyertai rancangan untuk mencari lelaki idamannya, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi.


"Saya meneruskan pembesaran tulang pipi kerana saya mahu mencapai 'kesan wow' dan saya mahu ia menjadi sebesar bibir saya. Saya juga meneruskan pembesaran bibir kerana saya mahu memiliki bibir yang lebih besar.


"Bibir saya sekarang kelihatan sangat kecil dan saya mahu mempunyai bibir yang jauh lebih besar daripada apa yang saya miliki sekarang," jelas Ivanova. - Sumber Daily Star.


BACA: Tidak kisah gadai nyawa demi memiliki bibir paling tebal di dunia.


Ivanova meneruskan prosedur pembesaran bibir dan tulang pipi supaya menjadi lebih besar. - Foto AndreaIvanova.

Rabu, 5 April 2023

Tiga pelajar tutup bekalan elektrik masjid ketika tarawih

Tiga pelajar tutup bekalan elektrik masjid ketika tarawih


Tiga pelajar sekolah rendah di wilayah Sulawesi Selatan, Indonesia dipanggil polis selepas sengaja menutup bekalan elektrik masjid ketika penduduk menunaikan solat sunat tarawih, lapor laman berita Detik pada 3 April 2023.


Ketiga-tiga budak lelaki tersebut mengaku mereka melakukannya dengan sengaja. Kejadian itu berlaku di Masjid Namira, Daerah Soreang, Parepare.


"Ya, tiga pelajar sekolah yang melakukannya. Kami sudah memanggil mereka ke balai polis. Ia berlaku pada malam 30 Mac lalu," kata Ketua Polis Soreang, Muhammad Amin.


Amin menjelaskan bahawa tiga budak lelaki itu tidak berniat untuk mengancam penduduk, sebaliknya hanya untuk keseronokan. Selepas kejadian itu, mereka menulis surat permohonan maaf kepada pentadbir masjid.


Pihak pentadbir masjid juga telah memaafkan perbuatan tiga pelaku tersebut. Mereka dianggap masih boleh dibimbing untuk tidak melakukan perkara yang sama pada masa hadapan.


"Pihak pengurusan masjid telah memaafkan mereka. Jadi, kami telah menghantar mereka semua pulang," jelasnya. - Sumber Detik.


Tiga budak lelaki itu berpakat menutup bekalan elektrik di masjid ketika tarawih. - Foto Instagram.

Selasa, 4 April 2023

Lelaki bujang kantoi intai isteri orang dalam rumah ditahan polis

Lelaki bujang kantoi intai isteri orang dalam rumah ditahan polis


Seorang lelaki bujang diberkas semalam, selepas perbuatannya mengintai jiran wanita yang juga isteri orang ketika berada di dalam rumah di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Balik Pulau, terbongkar.


Suspek berusia lingkungan 30-an yang masih bujang itu ditahan sepasukan polis Daerah Barat Daya di kawasan kampung berkenaan sebaik sahaja menerima laporan kejadian terbabit yang dibuat suami mangsa.


Menurutnya kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, hasil soal siasat mendapati perbuatan tersebut dikesan telah dilakukan beberapa kali oleh suspek.


"Suspek kini direman sehingga 6 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," demikian menurut kenyataan itu hari ini.


Difahamkan, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu juga didapati negatif sebarang pengambilan dadah.


Seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an ditahan polis selepas didakwa mengintai jiran wanita yang juga isteri orang dalam kejadian di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam. - Foto Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Isnin, 3 April 2023

Pemuda perkosa kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan

Pemuda perkosa kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan


Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun di sebuah kebun di Kampung Iban Merotai, Tawau, Sabah.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.50 malam, Sabtu di sebuah kebun kelapa sawit persendirian susulan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa.


Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sewaktu mangsa tinggal di kediaman suspek bermula awal bulan ini.


"Mangsa kemudiannya menghubungi saudara lain untuk membongkar perbuatan suspek dan tindakan segara sudah diambil.


"Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai terus bergegas ke lokasi untuk mengesan dan menahan suspek. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa telah dirogol sebanyak sekali. Turut tinggal bersama mereka adalah ibu serta lima adik-beradik yang lain termasuk dua adik-beradik tiri.


Jasmin bekata, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.


Polis Tawau menahan seorang lelaki warga asing ekoran disyaki merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun. - Foto oleh Ihsan Polis Tawau.

Ahad, 2 April 2023

Kakitangan pembinaan temukan cincin yang hilang lebih 25 tahun lalu

Kakitangan pembinaan temukan cincin yang hilang lebih 25 tahun lalu


Graduan Virginia Tech teruja apabila menemui semula cincinnya yang hilang ketika bermain bola tampar di kawasan gelanggang universiti itu lebih 25 tahun yang lalu, lapor laman berita UPI pada 23 Mac 2023.


John Leschinskey, yang merupakan graduan sekolah Blacksburg pada 1997 berkata, dia menyedari tentang kehilangan cincinnya itu selepas bermain bola tampar di Eggleston Quad.


"Saya kerap bermain bola tampar di gelanggang pasir Owens. Saya meletakkan sandal, baju, jam tangan dan cincin saya di tepi tiang supaya saya boleh bermain. Apabila selesai, saya mengumpulkan barang-barang saya dan melihat cincin itu hilang," kata Leschinskey dalam catatan di laman web Virginia Tech.


Leschinskey berkata, dia dan rakan-rakannya sudah mencari di sekeliling kawasan gelanggang ketika itu namun gagal menjumpainya.


"Barang-barang saya ketika itu tidak kelihatan seperti dialihkan, jadi saya menganggap cincin saya sudah dicuri. Saya agak terkilan kerana baru sahaja mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli cincin dengan lambang kolej itu namun kehilangannya beberapa hari kemudian," katanya.


Jurucakap universiti itu berkata, kakitangan pembinaan sedang melakukan penambahbaikan saliran gelanggang bola tampar apabila salah seorang pekerja ternampak objek berkilat tertanam di kawasan berpasir itu.


"Ketika saya sedang menggali kawasan itu, saya terlihat objek seperti cincin. Kami menghentikan operasi untuk melihatnya dengan lebih dekat, dan ternyata benar apa yang kami jangkakan.


"Saya ingin memastikan cincin itu dikembalikan kepada pemiliknya. Terdapat nama John Leschinskey terukir di bahagian dalam, jadi saya mencari nama itu di media sosial," kata pekerja pembinaan, Pat Saylors.


Cincin itu akhirnya dikembalikan kepada Leschinskey yang kini tinggal di North Carolina dan dia mengakui berita penemuan semula cincinnya selepas bertahun lama hilang benar-benar mengejutkan.


"Saya hairan pada mulanya. Saya juga terkejut mendengar daripada mereka. Jarang sekali ada individu yang sanggup bersusah payah mencari pemilik kepada barang berharga yang dijumpai mereka.


"Apabila cincin itu tiba di depan rumah, saya melihatnya dan sukar untuk mempercayai ia akhirnya dikembalikan kepada saya dalam keadaan yang sangat baik. Sangat bersyukur melihat masih ada orang yang jujur dan baik di dunia ini," luah Leschinskey. - Sumber UPI.


Kakitangan pembinaan yang sedang melakukan penambahbaikan saliran gelanggang bola tampar di kampus Virginia Tech menemui cincin milik bekas pelajar yang telah hilang lebih daripada 25 tahun lalu. - Foto courtesy of Virginia Tech.
Bekas isteri minta digendong 100 kilometer syarat rujuk semula

Bekas isteri minta digendong 100 kilometer syarat rujuk semula


Menjaga perhubungan bukan mudah. Kadang-kadang kerana masalah yang mungkin timbul maka pasangan tersebut memilih untuk berpisah. Tetapi boleh jadi selepas itu seorang pasangan berasa menyesal dan memutuskan untuk berdamai.


Baru-baru ini sebuah klip video tular di media sosial China memaparkan seorang lelaki berjalan sambil menggendong seorang wanita di sebatang jalan.


Lelaki berbaju hitam itu kelihatan bertongkat. Dia menggendong seorang wanita yang memakai baju pengantin bewarna putih dan tiara di kepalanya.


Pasangan itu merupakan bekas suami isteri. Mereka sebelum ini memilih untuk bercerai akibat konflik yang timbul.


Selepas tiga tahun, lelaki itu sedar akan kesalahannya kerana wanita itu sentiasa melayaninya dengan baik. Dia kemudian meminta untuk bersama semula.


Bagaimanapun, wanita itu memberikan syarat kepadanya sebelum mereka boleh berkahwin semula.


Salah satu syarat tersebut adalah pada hari perkahwinan mereka, lelaki itu perlu membawa wanita tersebut pulang rumah ibu bapanya yang terletak sejauh 100 kilometer (km).


Ketika kejadian, lelaki yang dilihat keletihan itu terpaksa mengikat bekas isterinya menggunakan tali merah supaya tidak terjatuh.


Menurut wanita itu, tujuan dia membuat permintaan tersebut adalah supaya bekas suaminya sentiasa mengingati dan menghargai perkahwinan mereka.


Lelaki itu bernasib baik kerana apabila dia baru berjalan kira-kira 10 km, wanita itu meminta dia berhenti dan memaafkannya.


Selepas itu, pasangan tersebut pulang ke rumah wanita itu dan melangsungkan perkahwinan. - Sumber Wolipop.


Lelaki itu menggendong bekas isterinya pada hari perkahwinan mereka. - Foto eva.vn.

Jumaat, 31 Mac 2023

Saintis temui lohong hitam 33 bilion kali lebih besar daripada Matahari

Saintis temui lohong hitam 33 bilion kali lebih besar daripada Matahari


Sekumpulan ahli astronomi di Britain menemui sebuah lohong hitam bersaiz amat besar iaitu kira-kira 33 bilion kali jisim Matahari, lapor akhbar Metro UK pada 29 Mac 2023.


Kumpulan saintis daripada Universiti Durham itu berkata, lohong hitam gergasi tersebut adalah antara yang paling besar pernah ditemui.


"Lohong hitam yang saiznya kira-kira 30 bilion kali jisim Matahari ini adalah satu daripada lohong hitam terbesar yang pernah dikesan.


"Berdasarkan had maksimum mengenai seberapa besar saiz lohong hitam secara teori, penemuan ini adalah sesuatu yang amat menarik," kata pengarang utama kajian tersebut, Dr. James Nightingale.


Dalam kajian tersebut, saintis menggunakan fenomena dikenali sebagai kanta graviti, di mana mereka mendapatkan bantuan daripada galaksi berdekatan dengan menukarnya menjadi kanta pembesar gergasi.


Ia seterusnya mendedahkan kehadiran lohong hitam gergasi itu. Lohong hitam merujuk kepada zon di mana tarikan gravitinya amat kuat sehinggakan tiada cahaya yang dapat terlepas. - Sumber Metro UK.


Lohong hitam yang paling besar pernah ditemui. - Foto PA / Mirror UK.

Selasa, 28 Mac 2023

Saintis berjaya merungkai misteri aneh komet kecil menyerupai kapal angkasa alien

Saintis berjaya merungkai misteri aneh komet kecil menyerupai kapal angkasa alien


Pasukan saintis Amerika Syarikat (AS) berjaya merungkai misteri aneh di sebalik komet kecil menyerupai kapal angkasa alien yang ditemukan oleh ahli astronomi Maui enam tahun lalu.


Menurut lapor Mirror UK pada 25 Mac 2023, Komet diberi nama Oumuamua merupakan pelawat pertama yang diketahui dari luar sistem suria Bumi.


Tetapi tidak seperti asteroid atau komet lain, Oumuamua tidak mempunyai awan debu yang terang di belakangnya, memiliki bentuk yang sangat luar biasa menyerupai batang curut selain saiznya yang sangat kecil.


Oumuamua pertama kali ditemukan pada Oktober 2017 selepas dilihat bergerak menjauhi Matahari, menyebabkan saintis hairan hingga ada yang menyangkanya sebagai kapal angkasa makhluk asing.


Pensyarah Universiti Cornell, Darryl Seligman berkata, saintis tidak pernah melihat komet dalam sistem suria yang tidak mempunyai gas debu jadi pecutan bukan gravitinya benar-benar aneh.


"Dalam keadaan biasa, komet atau asteroid akan memancarkan ekor terang yang disebabkan oleh pemanasan air dan molekul lain apabila ia semakin dekat dengan Matahari.


"Gas yang dipaksa keluar dari komet juga mendorongnya ke hadapan, itulah sebabnya mereka kelihatan bergerak mengelilingi sistem suria.


"Tetapi Oumuamua terlalu kecil dan terlalu jauh dari Matahari untuk menangkap tenaga yang cukup untuk mengeluarkan gas," jelasnya.


Penolong Profesor Kimia Universiti California Berkeley, Jennifer Bergner berkata, sebuah komet yang bergerak melalui medium antara bintang pada dasarnya sedang 'dimasak' oleh sinaran kosmik, membentuk hidrogen sebagai hasilnya.


"Untuk komet yang melintasi beberapa kilometer, gas keluar adalah daripada cangkerang yang sangat nipis berbanding sebahagian besar objek, jadi kedua-dua komposisi dan dari segi apa-apa pecutan, kita tidak semestinya menjangkakan debu itu sebagai kesan yang boleh dilihat.


"Tetapi kerana Oumuamua sangat kecil, kami fikir ia sebenarnya menghasilkan daya yang mencukupi untuk menggerakkan pecutan ini," ujarnya. - Sumber Mirror UK.


BACA: Objek disangka komet rupanya teknologi makhluk asing pernah datang Bumi pada 2017.


Komet Oumuamua pertama kali ditemui pada Oktober 2017 oleh ahli astronomi di Maui. - Foto Mirror UK / nagualdesign.

Ahad, 26 Mac 2023

Kuda belang 'serang' jalan raya yang sibuk di Seoul

Kuda belang 'serang' jalan raya yang sibuk di Seoul


Seekor kuda belang mencetus kekecohan di kawasan jalan raya yang sibuk di Seoul, Korea Selatan, setelah haiwan itu terlepas dari kandang sebuah zoo di ibu negara.


Kuda belang jantan, bernama Sero itu dilaporkan meloloskan diri dari Zoo Kanak-Kanak Seoul pada petang Khamis lalu.


Menurut lapor BBC News pada 23 Mac 2023, Polis, pegawai bomba dan kakitangan zoo bertungkus-lumus selama lebih tiga jam untuk menangkap Sero dan menghantar semula kuda belang itu ke kandangnya dengan selamat.


Video tular yang disiarkan dalam talian menunjukkan haiwan itu berlari melepasi lalu lintas di jalan yang sibuk.



Sero juga dilihat berkeliaran dan menyelongkar tong sampah di kawasan perumahan berhampiran timur bandar itu.


Menurut Balai Bomba Gwangjin, kuda belang berusia hampir dua tahun itu dapat melarikan diri selepas memecahkan pagar kayu di sekeliling kandangnya.


Sero akhirnya ditangkap oleh pegawai menggunakan pagar keselamatan (jaring hijau) selepas haiwan itu memasuki lorong sempit.


Mamalia tersebut ditenangkan sebelum dibawa pulang ke zoo dengan menaiki sebuah trak. - Sumber BBC News.


Seekor kuda belang yang terlepas dari zoo berkeliaran di kawasan jalan raya di Seoul pada Khamis, 23 Mac 2023 akhirnya berjaya ditangkap. - Foto BBC News.

Sabtu, 25 Mac 2023

Rangka manusia tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di Paloh

Rangka manusia tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di Paloh


Satu rangka manusia tanpa pengenalan diri ditemui berhampiran sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang oleh seorang lelaki yang sedang memancing, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, penemuan rangka yang belum dapat dikenali pasti jantina dan usia itu dilaporkan kepada pihaknya kira-kira pukul 8.30 malam hari kejadian.


"Hasil siasatan awal mendapati mayat berada 6.1 meter dari tebing sungai dalam keadaan mengereng yang hanya tinggal tulang sahaja.


"Pemeriksaan telah dibuat oleh pasukan Forensik dan mendapati terdapat baju T berwarna biru dan baju sejuk berlengan panjang berdekatan rangka namun tiada sebarang dokumen peribadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut Bahrin lagi, mayat kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.


Ujarnya, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga dan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan penemuan mayat itu boleh tampil untuk membuat pengecaman.


"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga hasil forensik diperolehi daripada pihak hospital," katanya.


Satu mayat yang hampir tinggal rangka ditemui di tepi sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang, Khamis lalu.