Rabu, 5 April 2023

Tiga pelajar tutup bekalan elektrik masjid ketika tarawih


Tiga pelajar sekolah rendah di wilayah Sulawesi Selatan, Indonesia dipanggil polis selepas sengaja menutup bekalan elektrik masjid ketika penduduk menunaikan solat sunat tarawih, lapor laman berita Detik pada 3 April 2023.


Ketiga-tiga budak lelaki tersebut mengaku mereka melakukannya dengan sengaja. Kejadian itu berlaku di Masjid Namira, Daerah Soreang, Parepare.


"Ya, tiga pelajar sekolah yang melakukannya. Kami sudah memanggil mereka ke balai polis. Ia berlaku pada malam 30 Mac lalu," kata Ketua Polis Soreang, Muhammad Amin.


Amin menjelaskan bahawa tiga budak lelaki itu tidak berniat untuk mengancam penduduk, sebaliknya hanya untuk keseronokan. Selepas kejadian itu, mereka menulis surat permohonan maaf kepada pentadbir masjid.


Pihak pentadbir masjid juga telah memaafkan perbuatan tiga pelaku tersebut. Mereka dianggap masih boleh dibimbing untuk tidak melakukan perkara yang sama pada masa hadapan.


"Pihak pengurusan masjid telah memaafkan mereka. Jadi, kami telah menghantar mereka semua pulang," jelasnya. - Sumber Detik.


Tiga budak lelaki itu berpakat menutup bekalan elektrik di masjid ketika tarawih. - Foto Instagram.


EmoticonEmoticon