Jumaat, 10 September 2021

Lelaki Panjat Pokok Tarap Maut Ditembak Selepas Disangka Kera

Lelaki Panjat Pokok Tarap Maut Ditembak Selepas Disangka Kera


Seorang lelaki maut serta-merta selepas ditembak kerana disangkakan kera ketika memanjat pokok buah tarap setinggi kira-kira 10 meter di Kampung Kejapil Bekenu, Miri.


Kejadian berlaku pada 12 tengah hari semalam itu menyebabkan mangsa, Mohamad Hallim Jamee, 32, tersangkut di atas pokok dan terpaksa dibawa turun oleh pasukan penyelamat.


Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, mangsa meninggal dunia serta-merta selepas ditembak lelaki berusia 70 tahun yang berasal dari kampung sama yang menyangkanya kera.


Katanya, pihaknya meminta bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah untuk khidmat khas menurunkan mangsa. Pasukan bomba menggunakan tali khas berjaya membawa turun mangsa pada jam 4.40 petang.


"Kita menahan suspek untuk membantu siasatan. Anggota turut merampas selaras senapang patah dan 13 butir peluru hidup dipercayai digunakan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.


Keadaan mayat lelaki berkenaan yang masih berada pada dahan pokok buah tarap sebelum diturunkan pasukan bomba pada tengah hari semalam. - Foto Erika George.

Khamis, 9 September 2021

Saintis Cipta Mesin Kaji Serpihan UFO, Jumpa Bahan Canggih Daripada Sebuah Peradaban Maju

Saintis Cipta Mesin Kaji Serpihan UFO, Jumpa Bahan Canggih Daripada Sebuah Peradaban Maju


Penciptaan mesin berteknologi tinggi baharu telah membolehkan sekumpulan saintis dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat untuk mengkaji serpihan dipercayai milik objek terbang tidak dikenali (UFO) yang ditemui di Amerika Selatan 70 tahun lalu.


Menurut lapor akhbar Daily Star 7 September 2021, salah seorang penyelidik, Dr. Jacques Vallee mengumpulkan sisa logam yang dipercayai sebagai UFO yang terhempas di Colombia dan Argentina sejak 1947.


Mesin baharu yang dipanggil 'pengimbas ion pelbagai paramater' itu memberi peluang kepada saintis untuk melihat struktur atomik dari bahan yang dipilih. Dengan terciptanya mesin ini, kajian pada serpihan yang didakwa objek UFO telah dilakukan.


Majalah Science News melaporkan ahli mikrobiologi Stanford, Dr. Garry Nolan menggunakan mesin tersebut untuk menghasilkan gambar tiga dimensi bagi menganalisis sampel dalam proses yang disebut Multiplexed Ion Beam Imagine (MIBI).


Pada tahap mikroskopik, struktur atom tidak mungkin dipalsukan. Ketika Nolan meletakkan beberapa serpihan di ruang vakum instrumennya, dia terkejut apabila mendapati komposisi logam itu tidak seperti logam lain.


"Sekiranya berbicara tentang bahan canggih daripada sebuah peradaban maju, kita berbicara tentang sesuatu yang saya sebut sebagai bahan ultra. Ini adalah sesuatu yang mempunyai sifat di mana seseorang menyatukannya semula pada satu skala atom," katanya.


Saintis itu kemudian menemukan bahawa bahan itu telah dihasilkan dan bukan bersifat semula jadi. Bagaimanapun, itu tidak bermaksud ia dihasilkan di suatu tempat di luar angkasa, tetapi mungkin dihasilkan untuk tujuan tertentu yang belum difahami oleh penyelidik.


Objek misteri yang menyerupai kapal angkasa ini ditemui di dasar Laut Baltik pada tahun 2011 lalu, sekali gus mengejutkan para pemburu makhluk asing. - Sumber Liputan6.
Sentuh Kemaluan Lelaki Lain Di Tandas, Tertuduh Dihukum Penjara 5 Bulan

Sentuh Kemaluan Lelaki Lain Di Tandas, Tertuduh Dihukum Penjara 5 Bulan


Tindakan seorang lelaki menyentuh kemaluan lelaki lain di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Singapura, mengundang padah apabila dihukum penjara selama lima bulan, lapor Today Online, hari ini.


Muhamad Ali Anafiah Jumadi, 37, rakyat Singapura, mengaku bersalah atas satu tuduhan mencabul kehormatan mangsa berusia 23 tahun yang tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah demi melindungi identitinya.


Mahkamah diberitahu mangsa berada di pusat beli-belah Causeway Point di Woodlands pada 17 April tahun lalu sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 dikuatkuasakan.


Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Joshua Pang memberitahu mahkamah bahawa pada sekitar 9.30 malam, mangsa pergi ke tandas di tingkat bawah. Beliau sedang berdiri di kertas tandas semasa tertuduh memasuki tandas, lalu mendekatinya dan menyentuh kemaluan mangsa selama kira-kira satu saat.


Mangsa menjerit ke arah tertuduh dan menolak tangannya sebelum ke pusat kawalan kebakaran pusat beli-belah itu untuk mendapatkan bantuan. Seorang pengawal keselamatan membantunya memfailkan aduan polis.


Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda atau disebat atau dihukum dengan mana-mana gabungan hukuman tersebut.


Muhamad Ali Anafiah Jumadi mengaku bersalah mencabul kehormatan mangsa lelaki 23 tahun. - Foto Ili Nadhirah Mansor/TODAY.

Rabu, 8 September 2021

Setahun Pakai Myvi 'Aircond Rosak', Riena Diana Syukur Impian Beli Kereta Pertama Tercapai

Setahun Pakai Myvi 'Aircond Rosak', Riena Diana Syukur Impian Beli Kereta Pertama Tercapai


Pelakon Riena Diana meluahkan rasa syukur apabila berjaya memiliki kereta jenama Mazda CX5, selepas lima tahun menceburkan diri dalam dunia hiburan dan tiga tahun memasang impian untuk memiliki kenderaan sendiri.


"Saya dah lama nak beli kereta sejak awal bergelar pelakon kira-kira lima tahun lalu, masa tu saya cuba buat loan macam-macam kereta termasuklah Myvi tapi tak lepas (gagal).


"Alhamdulillah tahun ini saya dah mampu beli kereta sendiri. Sebelum ini saya ada juga tengok beberapa jenama kereta lain, tapi setelah difikir-fikirkan kereta ini paling sesuai untuk kegunaan harian," katanya.


Pemilik nama lengkap, Nur Qamarina Diana Zulreal, 24, itu berkata, meskipun kereta dibelinya itu bukan jenama kereta impiannya namun dia tetap bersyukur kerana memiliki kenderaan yang boleh dijadikan pengangkutan untuk mencari rezeki.


Menurut Riena lagi, kenderaan pertama hasil titik peluhnya sebagai anak seni itu dibeli sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-24 pada 3 September lalu.


"Kalau ikutkan kereta idaman saya ialah Range Rover. Tapi belum ada rezeki, dapat Mazda pun Alhamdulillah seronok sangat. Saya memilih ukur baju di badan sendiri.


"Sebelum ini saya pinjam Myvi pakcik saya, kalau nak cerita memang banyak kenangan dengan kereta itu. Setahun saya guna kereta yang tak ada aircond, dah baiki banyak kali pun tetap buat hal," katanya.


Riena sebelum ini terkenal dengan watak Lailer dalam Kampung People dan kini pe­nyampai radio Hot FM berkata, dia tidak pernah berasa malu memandu Perodua Myvi tanpa pendingin hawa tersebut.


Riena bersama kenderaan pertamanya jenis Mazda CX5 yang dibeli baru-baru ini selepas lima tahun menceburi dunia hiburan.

Selasa, 7 September 2021

Kelibat Seekor Harimau Kumbang Berjaya Dirakam Oleh Pengguna Jalan Raya

Kelibat Seekor Harimau Kumbang Berjaya Dirakam Oleh Pengguna Jalan Raya


Baru-baru ini, satu klip video memaparkan kelibat seekor harimau kumbang yang sedang melintas sebatang jalan raya yang berjaya dirakam kini tular di media sosial.


Menerusi video berdurasi 1 minit 19 saat itu menyaksikan seekor harimau kumbang seperti sesat dan baru keluar daripada hutan berhampiran jalan raya tersebut.


Berdasarkan percakapan individu yang merakamkan kelibat harimau kumbang tersebut berkemungkinan kejadian itu berlaku di Sarawak. Namun, lokasi sebenar kejadian itu berlaku tidak dinyatakan secara tepat.


Dalam ruangan komen rata-rata orang ramai terkejut dan turut menasihatkan para penunggang basikal yang biasa melalui jalan sunyi seperti itu supaya lebih berhati-hati.


"Orang berbasikal perlu hati-hati, tidak mustahil kejadian ini akan berlaku lagi selepas ini. Dalam video ini ada nampak papan tanda warna hijau di sebelah kiri.


"Kalau pengetahuan saya ini bukan kawasan Langat (Hulu Langat) ini di tempat lain. Namun dekat mana kejadian ini saya harap biker berhati-hati," jelas Ismail Palatau.


"Saya rasa tidak perlu tahu kejadian ini di mana. Sekali orang dah tahu makin ramai orang nak cari dan tengok. Mendedahkan dia pada publik adalah cara yang salah. Pemburu di mana-mana sebenarnya," kata seorang netizen lagi.


Penemuan harimau kumbang bukan sesuatu yang pelik. Kalau ikutkan hutan simpan yang ada di negara kita memang ada habitat harimau kumbang. Itu menunjukkan hutan kita kaya dengan spesis hidupan liar.


Lelaki Curi 730 Pakaian Dalam Wanita Dan Dikumpulkan Di Pangsapurinya

Lelaki Curi 730 Pakaian Dalam Wanita Dan Dikumpulkan Di Pangsapurinya

Gambar hiasan.

TOKYO - Seorang lelaki di Jepun diberkas polis kerana didapati menyimpan 730 helai coli dan seluar dalam wanita yang dipercayai dicurinya dari beberapa buah kedai dobi, lapor akhbar New York Post pada 6 September 2021.


Tetsuo Urata, 56, ditahan minggu lepas selepas polis menemui beratus-ratus helai seluar dalam dan coli wanita yang disimpan di pangsapurinya di bandar Beppu, Jepun.


Penemuan tersebut dilakukan selepas seorang pelajar kolej berusia 21 tahun membuat laporan polis dan mendakwa bahawa Urata mencuri enam helai pakaian dalamnya di sebuah kedai dobi pada 24 Ogos lepas.


Hasil intipan, polis berjaya mengekori suspek ke pangsapurinya seminggu selepas laporan dibuat. Menurut stesen televisyen tempatan, Abema TV, Urata mengaku mencuri kesemua pakaian dalam tersebut.


"Kami tidak pernah merampas seluar dalam sebanyak ini dalam masa beberapa tahun," kata seorang jurucakap polis kepada Abema TV.


Polis bagaimanapun tidak menyatakan bilangan kedai dobi yang telah menjadi sasaran Urata dan tempoh masa kesemua barangan itu dicuri.


Menurut Tokyo Reporter, pada tahun 2019 lalu, polis di bandar Oita telah menahan seorang lelaki, Toru Adachi yang berusia 40 tahun kerana mencuri 1,100 pakaian dalam wanita.


Kesemua pakaian dalam wanita yang ditemui di pangsapuri didiami Urata dirampas polis. - Foto Balai Polis Bandar Beppu.


Pemandangan bandar Beppu, Jepun.

Isnin, 6 September 2021

Planet Musytari Dapat Dilihat Dengan Mata Kasar Sehingga Akhir Tahun Ini

Planet Musytari Dapat Dilihat Dengan Mata Kasar Sehingga Akhir Tahun Ini


Penduduk Malaysia berpeluang melihat planet Musytari di langit pada waktu malam menggunakan mata kasar selain menggunakan binokular dan teleskop dengan menghadap ke arah ufuk sebelah timur hingga hujung tahun ini.


Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam satu kenyataan dalam akaun sosial rasmi Facebook berkata, planet terbesar dari sistem solar itu akan kelihatan di langit pada waktu malam sepanjang bulan Ogos hingga Disember ini sekiranya tiada awan atau hujan.


"Musytari berada di buruj Aquarius mulai Ogos ini dan menjejak sedikit demi sedikit ke arah barat sepanjang bulan dengan merentas di sempadan buruj Aquarius hingga Capricornus.


"Musytari akan kelihatan sepanjang malam di sekitar buruj Capricornus dengan diameter ketara Musytari adalah sebanyak 49 saat arka," katanya kenyataan tersebut baru-baru ini.


MySA menambah, lokaliti buruj itu sekitar hemisfera selatan bumi yang berhampiran zodiak Sagittarius dan Pegasus dengan bintang tercerahnya terdiri daripada bintang magnitud ketiga.


Permukaan Musytari jelasnya, dapat disaksikan begitu terang dan cerah dengan ciri luaran yang menonjol iaitu Great Red Spot akibat kesan pantulan daripada sinaran penuh matahari.


Dianggap sebagai planet terbesar dalam galaksi Bima Sakti dan planet kelima dari matahari di sistem suria, ia memiliki sejumlah 80 bulan yang berputar sebagai objek satelit semula jadi.


Gugusan itu membentuk sistem Jovian malah empat daripadanya bersaiz besar dapat dilihat jelas dengan teleskop iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callisto yang digelar Galilean Moons.


Suasana malam di bandar raya Georgetown apabila planet Musytari dapat dilihat jelas di langit menerangi seluruh Pulau Pinang dan Seberang Perai. - Foto Yi Choong (Gambar ini dikongsi Utusan Malaysia pada 25 Ogos 2021).

Gambar ini dikongsi oleh Tun Farul Azri di akaun Facebooknya dan mengatakan gambar dirakam pada 28 Ogos 2021 berlokasi di Kuala Lumpur. - Foto Tun Farul Azri.


Kelihatan dua planet berdekatan dengan Bulan iaitu planet Musytari dan Zuhal, semasa fenomena 'halo bulan' pada 21 Ogos 2021 di Kota Kinabalu. - Foto Dark Sky Ranger/M. Luqmanul Hakim.

Penampakan Planet Musytari di buruj Capriconus pada pukul 8 malam 20 Ogos lalu. - Foto MYSA.
Wanita Ini Tidak Tidur Selama 40 Tahun, Mengaku Tidak Merasa Mengantuk Dan Penat

Wanita Ini Tidak Tidur Selama 40 Tahun, Mengaku Tidak Merasa Mengantuk Dan Penat


Seorang wanita di China mengaku tidak pernah tidur selama 40 tahun. Walaupun tidak tidur selama empat dekad, wanita bernama Li Zhanying dari Zhongmou, Wilayah Henan, China, mendakwa dia tidak merasa penat ataupun mengantuk, lapor Oddity Central.


Pengakuan wanita itu disahkan suami dan jiran tetangganya. Li mengaku kali terakhir dia tidur ketika berusia lima atau enam tahun. Beberapa tahun lalu, beberapa jirannya cuba menguji dakwaan wanita itu dengan bermain kad di bawah lampu jalan berdekatan rumah mereka pada tengah malam.


Bagaimanapun, seorang demi seorang jirannya tidak tahan mengantuk dan pulang ke rumah, tetapi Li tetap berjaga. Suami Li, Liu Suoquin juga mengesahkan isterinya tidak pernah tidur sepanjang pernikahan mereka.


Sejak kedua-duanya berkahwin, Liu memerhatikan isterinya berjaga siang dan malam, malah melakukan pekerjaan rumah pada tengah malam. Wanita itu memberitahu Liu, dia tidak boleh tidur sebelum lelaki itu membelikan isterinya pil tidur namun ia tetap tidak berhasil.


Menurut Bastille Post, Li mencari bantuan perubatan mengenai keadaannya, tetapi doktor tidak pernah menemui sesuatu mencurigakan. Akhirnya, Li mengunjungi pusat perubatan di Beijing, misteri tidak tidurnya yang berlaku puluhan tahun akhirnya terbongkar.


Kumpulan doktor menggunakan alat pengesan canggih untuk memantau wanita itu selama 48 jam dan menemui dia sebenarnya tidur namun tidak seperti kebanyakan orang. Data yang dikumpulkan selama pemantauan gelombang otak selama 48 jam menunjukkan Li sempat tidur seperti orang biasa.


Menurut pasukan itu, Li sebenarnya tertidur walaupun matanya tidak tertutup, malah boleh berbual dengan suaminya. Pasukan doktor menggambarkan fenomena itu dikenali sebagai 'tidur sambil terjaga' di mana beberapa saraf dan organ Li Zhanying masih aktif selama dia tertidur.


Pasukan doktor itu mengatakan Li sebenarnya tertipu oleh otaknya sendiri. Ketika dia berehat, sebahagian tubuhnya memasuki fasa tidur dialami semua manusia tanpa menutup matanya. Menurut lapor Oddity Central, keadaan itu sama dengan sleepwalking atau tidur sambil berjalan.


Li Zhanying mendakwa tidak pernah tidur selama 40 tahun.

Ahad, 5 September 2021

Atlet Sumo Pencen Selepas Mengalami 104 Kekalahan Berturut-turut

Atlet Sumo Pencen Selepas Mengalami 104 Kekalahan Berturut-turut


Seorang atlet sumo di Jepun akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan kariernya selepas mengalami 104 kekalahan berturut-turut, lapor The Sankei News.


Shonanzakura, 23, membuat keputusan mengakhiri kariernya kerana mencatat rekod terburuk dalam sejarah sukan tradisi negara matahari terbit itu. Secara keseluruhan, dia merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan 238 kekalahan.


Ketua sekolah sumo, Kitazakura, meluahkan rasa sedihnya atas pemergian Shonanzakura dari sukan ini. Katanya, tidak peduli berapa kali kalah kerana dia perlu bangkit dan menerima cabaran baharu.


"Dia mempunyai semangat yang luar biasa. Pada waktu pagi, dia selalu yang pertama bangun dari tempat tidur dan bersedia untuk berlatih di gelanggang latihan," kata Kitazakura.


Menerusi laporan Mothership, peminat ternyata kecewa dengan keputusan itu dan memuji kegigihan serta profesionalisme Shonanzakura.


Kata-kata semangat turut dilontarkan peminat sukan itu kepada Shonanzakura di media sosial di negara berkenaan. Ada yang mendoakan semoga atlet muda itu akan mendapat kehidupan yang lebih baik selepas ini.


Shonanzakura juga sudah mengadakan acara memotong rambut sebagai tanda penamatan kariernya dalam sukan itu. Sora News melaporkan, kali terakhir Shonanzakura meraih kemenangan adalah pada 21 Januari 2019.


Nikkan Sport pula melaporkan, dia sudah kembali ke rumah keluarganya di Kanagawa untuk memulakan hidup baru.


Shonanzakura akhirnya mengundur diri selepas 104 kali kalah dalam perlawanan sumo.
Motosikal Dan Penunggangnya Sekali Diangkat Keluar Dari Zon Larangan Letak Kenderaan

Motosikal Dan Penunggangnya Sekali Diangkat Keluar Dari Zon Larangan Letak Kenderaan


Bagaikan aksi dalam filem, apabila anggota polis di Pune, India, menunda motosikal dengan penunggangnya yang masih berada di atas kenderaan itu, lapor berita India Express pada 23 Ogos 2021 lalu.


Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang banyak komen daripada netizen yang mempersoalkan tindakan tersebut sehingga pihak berkuasa mengeluarkan penjelasan.


Selepas dikritik netizen, polis trafik menjelaskan bahawa lelaki itu naik ke motosikalnya selepas ketika pihak berkuasa mula mengeluarkan kenderaan itu dari zon larangan letak kenderaan.


Deputi Komisioner Polis (Trafik) Rahul Shrirame berkata, kejadian itu berlaku di kawasan Nanapeth, Pune. Selepas seorang polis cawangan trafik bersama petugas kontrak mengangkat motosikal menggunakan takal yang dipasang pada van penarik.


"Motosikal itu hampir diangkat ketika penunggang berkenaan datang dan naik ke atasnya untuk menghentikan tindakan itu walaupun dia dihalang polis.


"Selepas dia tidak mengendahkannya, motosikal itu ditunda di atas van bersama penunggangnya sekali," kata Shrirame.


Katanya, lelaki itu kemudiannya memohon maaf dan membayar denda, manakala tindakan turut diambil ke atas petugas kontrak dan anggota polis terbabit.


Foto yang tular menunjukkan insiden berkenaan.