Jumaat, 10 September 2021

Lelaki Panjat Pokok Tarap Maut Ditembak Selepas Disangka Kera


Seorang lelaki maut serta-merta selepas ditembak kerana disangkakan kera ketika memanjat pokok buah tarap setinggi kira-kira 10 meter di Kampung Kejapil Bekenu, Miri.


Kejadian berlaku pada 12 tengah hari semalam itu menyebabkan mangsa, Mohamad Hallim Jamee, 32, tersangkut di atas pokok dan terpaksa dibawa turun oleh pasukan penyelamat.


Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, mangsa meninggal dunia serta-merta selepas ditembak lelaki berusia 70 tahun yang berasal dari kampung sama yang menyangkanya kera.


Katanya, pihaknya meminta bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah untuk khidmat khas menurunkan mangsa. Pasukan bomba menggunakan tali khas berjaya membawa turun mangsa pada jam 4.40 petang.


"Kita menahan suspek untuk membantu siasatan. Anggota turut merampas selaras senapang patah dan 13 butir peluru hidup dipercayai digunakan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.


Keadaan mayat lelaki berkenaan yang masih berada pada dahan pokok buah tarap sebelum diturunkan pasukan bomba pada tengah hari semalam. - Foto Erika George.


EmoticonEmoticon