Selasa, 7 September 2021

Lelaki Curi 730 Pakaian Dalam Wanita Dan Dikumpulkan Di Pangsapurinya

Gambar hiasan.

TOKYO - Seorang lelaki di Jepun diberkas polis kerana didapati menyimpan 730 helai coli dan seluar dalam wanita yang dipercayai dicurinya dari beberapa buah kedai dobi, lapor akhbar New York Post pada 6 September 2021.


Tetsuo Urata, 56, ditahan minggu lepas selepas polis menemui beratus-ratus helai seluar dalam dan coli wanita yang disimpan di pangsapurinya di bandar Beppu, Jepun.


Penemuan tersebut dilakukan selepas seorang pelajar kolej berusia 21 tahun membuat laporan polis dan mendakwa bahawa Urata mencuri enam helai pakaian dalamnya di sebuah kedai dobi pada 24 Ogos lepas.


Hasil intipan, polis berjaya mengekori suspek ke pangsapurinya seminggu selepas laporan dibuat. Menurut stesen televisyen tempatan, Abema TV, Urata mengaku mencuri kesemua pakaian dalam tersebut.


"Kami tidak pernah merampas seluar dalam sebanyak ini dalam masa beberapa tahun," kata seorang jurucakap polis kepada Abema TV.


Polis bagaimanapun tidak menyatakan bilangan kedai dobi yang telah menjadi sasaran Urata dan tempoh masa kesemua barangan itu dicuri.


Menurut Tokyo Reporter, pada tahun 2019 lalu, polis di bandar Oita telah menahan seorang lelaki, Toru Adachi yang berusia 40 tahun kerana mencuri 1,100 pakaian dalam wanita.


Kesemua pakaian dalam wanita yang ditemui di pangsapuri didiami Urata dirampas polis. - Foto Balai Polis Bandar Beppu.


Pemandangan bandar Beppu, Jepun.


EmoticonEmoticon