Khamis, 19 Ogos 2021

Lelaki Berdepan Denda RM100,000 Dan 3 Tahun Penjara Kerana Bunuh Siput Babi

Lelaki Berdepan Denda RM100,000 Dan 3 Tahun Penjara Kerana Bunuh Siput Babi


Seorang lelaki di Hong Kong ditahan polis selepas didakwa melakukan perbuatan khianat ke atas haiwan apabila dia dilihat membunuh tiga ekor siput babi menggunakan taburan garam, lapor portal Coconut, semalam.


Menerusi kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah kolam air pancut di Tsim Sha Tsui pada 4 Ogos lalu, suspek dikatakan menaburkan garam ke atas siput babi berkenaan.


Apabila perbuatannya dihalang, suspek berkata kewujudan siput babi adalah ancaman pada keseimbangan ekosistem alam semulajadi. Menabur garam pada siput boleh membunuh haiwan tersebut kerana mineral itu akan menyerap kelembapan melalui proses osmosis.


Cara itu adalah salah satu teknik berkebun yang terkenal untuk mengawal populasi siput babi, namun ianya dilihat sebagai kejam kerana akan menyebabkan kesakitan yang melampau terhadap haiwan terbabit.


Susulan laporan orang ramai, polis menahan suspek berusia 26 tahun yang merupakan pelajar doktor falsafah jurusan sains komputer dan merampas pakaian yang dipakai ketika melakukan jenayah tersebut.


Lelaki itu kini berdepan kemungkinan hukuman denda sehingga HK$200,000 (RM109,012) dan tiga tahun penjara di bawa kesalahan penganiayaan ke atas haiwan.

Lelaki Guna Satu Jari Imbangi Kayu Hoki Selama Lebih 3 Jam, Cipta Rekod Dunia Baharu

Lelaki Guna Satu Jari Imbangi Kayu Hoki Selama Lebih 3 Jam, Cipta Rekod Dunia Baharu


Memang suatu kepuasan dan kebanggaan buat seseorang itu, sekiranya sesuatu kerja yang dilakukan memperolehi pengiktirafan daripada pihak tertentu seperti Guinness World Records yang merupakan koleksi buku rujukan yang diterbitkan setiap tahun.


Buku ini mencatatkan pencapaian manusia yang luar biasa di seluruh dunia. Justeru, macam-macam cara dilakukan oleh manusia di setiap pelusuk dunia semata-mata untuk mencapai impian agar namanya dapat tersenarai dalam buku tersebut.


Terbaru, seorang lelaki dari India dilaporkan telah berjaya mencipta rekod dunia baharu selepas berjaya mengimbangi kayu hoki dengan hanya menggunakan satu jari selama 3 jam 35 minit.



Lapor portal UPI pada 13 Ogos 2021, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Raj Gopal Bhoi, berasal dari kampung Jamutjhula di daerah Balangir, Odisha. Raj mengimbangi kayu hoki tersebut dengan menggunakan jari telunjuk tangan kanannya.


Lelaki itu melakukan aksi tersebut dihadapan orang ramai termasuk Satyapira Padhan yang merupakan seorang pemegang Rekod Dunia Guinness bagi kategori lain.


Raj mahu memecahkan rekod semasa yang dicatatkan oleh Himanshu Gupta iaitu 2 jam 22 minit 22 saat pada tahun 2017.


Rakaman video yang memaparkan aksi Raj melakukan percubaan itu dan kenyataan daripada beberapa saksi sudah diserahkan kepada Rekod Dunia Guinness untuk kelulusan.


Raj Gopal Bhoi berjaya mengimbangi kayu hoki dengan hanya menggunakan satu jari selama 3 jam 35 minit.
Lelaki 'Bertapa' Dalam Gua 20 Tahun Keluar Ambil Suntikan Vaksin

Lelaki 'Bertapa' Dalam Gua 20 Tahun Keluar Ambil Suntikan Vaksin


Baru-baru ini tular kisah seorang lelaki dari Pirot, Serbia, yang tinggal di dalam gua selama 20 tahun keluar dari tempat pertapaannya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.


Menurut laporan akhbar The Sun pada 13 Ogos 2021, Panta Pertrovic, 70, mendapat tahu mengenai wabak tersebut daripada satu lawatannya ke pekan berhampiran pada tahun lepas.


Apabila dia sedar mengenai bahaya virus itu, dia mengatakan bahawa dia perlu mendapatkan vaksin secepat mungkin dan kini dia bersyukur kerana telah mendapatkannya.


"Virus itu tidak memilih mangsa. Ia akan datang ke sini, ke gua saya juga. Saya ingin dapatkan kesemua tiga dos termasuk dos tambahan. Saya juga ingin menggalakkan setiap penduduk agar mendapatkan vaksinasi mereka," katanya.


Tambah Pertrovic, dia tidak memahami mengapa terdapat sebilangan individu yang mempunyai pandangan skeptikal mengenai virus Covid-19, dan ada yang tidak mahu menerima suntikan vaksin.


Pertrovic pada 20 tahun lepas berpindah ke sebuah gua kecil di sebuah kawasan pergunungan untuk mengelak daripada berhubungan dengan masyarakat.



Dia yang pernah bekerja sebagai seorang buruh mengambil keputusan untuk menjadi seorang pertapa di dalam gua kerana mahu hidup bersendirian.


"Saya tidak bebas di bandar. Kebiasaannya, terdapat seseorang yang akan mengganggu anda, sama ada anda bertengkar dengan isteri, jiran atau polis. Di sini, tiada sesiapa yang mengganggu saya," jelasnya.


'Rumah' Pertrovic hanya boleh diakses menerusi pendakian curam. Rakan-rakannya hanya terdiri daripada ayam, kucing, anjing dan babi hutan. 


Makanan rujinya pula adalah cendawan dan ikan yang ditangkap dari sebatang anak sungai berdekatan selain dia turut pergi ke pekan sesekali untuk mencari sisa makanan dari tong sampah.


Panta Pertrovic hidup di dalam gua berbekalkan bantuan yang diberikan kepadanya termasuk bantuan makanan. - Foto AFP.

Panta Pertrovic sedar akan kepentingan mendapatkan suntikan Covid-19. - Foto AFP.

Rabu, 18 Ogos 2021

Penemuan 'Titik Hijau' Di Padang Pasir Dipercayai Laluan Ke Dunia Makhluk Asing

Penemuan 'Titik Hijau' Di Padang Pasir Dipercayai Laluan Ke Dunia Makhluk Asing


Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak penemuan 'aneh' yang dilaporkan dikaitkan dengan makhluk asing. Malah, ada individu yang mendakwa pernah melakukan hubungan seksual dengan makhluk tersebut.


Memetik laporan Daily Star pada 13 Ogos 2021, pengguna internet percaya mereka telah menjumpai satu laluan ke planet makhluk asing menerusi peta Google. Penemuan itu dibuat oleh seorang peminat peta Google yang menemui satu 'titik hijau' di tengah-tengah sebuah padang pasir di Peru.


Titik itu muncul berdekatan tapak arkeologi Garisan Nazca yang merupakan geoglif pra Columbia yang terukir di padang pasir dan menempatkan koleksi 300 figura berbeza termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan bertarikh antara 500 Sebelum Masihi (SM) dan 500 Anno Domini (AD).


Pengarang dari Switzerland, Erich von Daniken dalam bukunya bertajuk Chariots of God menulis Garisan Nazca merupakan landasan lapangan terbang kuno yang digunakan oleh kapal angkasa makhluk asing. Sebab itu, pengguna internet menganggap titik itu ada kaitan dengan kewujudan makhluk asing.


"Peru juga mempunyai piramid kuno dan mungkin makhluk asing sama yang membina piramid di Mesir," tulis seorang pengguna internet. Baca juga: Ramai mengaku pernah jalin hubungan seksual dengan Alien.


"Tahniah, manusia. Anda telah menjumpai laluan ke dunia kami," tulis seorang lagi. Seorang pengguna lain bagaimanapun memberi penjelasan lain berkenaan titik hijau itu.


"Mungkin seseorang sedang menyalakan laser hijau yang terang ke arah pesawat yang merakam imej itu. Namun, mustahil untuk seseorang berbuat begitu di padang pasir tersebut. 


"Satu lagi kemungkinan adalah terdapat sesuatu yang memancar di bawah itu memantulkan matahari kepada kamera," katanya.


Penemuan itu bukan penemuan pertama di peta Google yang disangka sebagai makhluk asing oleh pengguna aplikasi itu. Baca juga: Teori Kewujudan Beratus Lukisan Aneh 'Gergasi' Di Gurun Nazca, Dikaitkan Dengan Makhluk Asing.


Arkeologi Garisan Nazca yang merupakan geoglif pra Columbia yang terukir di padang pasir. - Foto Google.

Titik hijau misteri yang dikesan di sebuah padang pasir di Peru. - Foto Reddit.

Selasa, 17 Ogos 2021

Tisu Messi Guna Untuk Lap Air Mata Dijual RM4.24 Juta

Tisu Messi Guna Untuk Lap Air Mata Dijual RM4.24 Juta


Baru-baru ini, ketika sidang media perpisahan sebelum berpindah ke kelab Paris St Germain (PSG), Lionel Messi berkata Barcelona sudah menjadi sebahagian dalam kehidupannya.


Dia menyertai kelab itu sejak berusia 13 tahun dan sangat sedih untuk meninggalkan kelab yang disayanginya itu. Katanya, segala telah dilakukan untuk membolehkan dia terus kekal tetapi masalah kewangan menjadi penghalang kepada hasratnya itu.


Tidak dinafikan, situasi tersebut sangat dirasai bukan sahaja pada bekas pemain Kelab Barcelona tetapi peminat tegar dalam sukan bola sepak juga terasa dengan perpisahan tersebut. Messi mengesat air matanya menggunakan kertas tisu semasa rakaman siaran langsung majlis perpisahan tersebut.


Dipercayai tisu yang digunakan Messi itu dikutip oleh seseorang yang hadir pada majlis berkenaan dan dia kemudian menjualnya dengan harga AS$1 juta (RM4.24 juta) menerusi iklan dalam laman web popular.


Tidak pasti sama ada tisu itu adalah tisu yang betul digunakan oleh Messi di majlis tersebut. Dia mendakwa tisu terbabit mengandungi genetik Messi yang membolehkan seseorang menghasilkan pemain sehebat legenda Barca itu.


"Tisu ini mengandungi kandungan genetik Messi yang membolehkan anda mencipta klon pemain bola sepak sehebat beliau," tulis keterangan pada gambar tisu yang dijual.


Menurut lapor laman berita Gulf Today, tisu itu berjaya dijual pada seorang individu tidak dikenali. Sehingga kini, tiada maklumat lanjut tentang penjual dan pembeli tisu Messi itu, namun ia menjadi tular di media sosial sejak berita penjualannya diketahui peminat.


Isnin, 16 Ogos 2021

Wanita Dakwa Jadi 'Manusia Magnet' Selepas Terima Vaksin Covid-19

Wanita Dakwa Jadi 'Manusia Magnet' Selepas Terima Vaksin Covid-19


Sejak bulan Mei lagi, viral beberapa video yang mengaitkan badan lekat magnet atau besi selepas diberi vaksin. Bukan hanya di Malaysia, ia juga heboh diperkatakan di Indonesia mengenai duit syiling yang dikatakan mampu melekat di tempat suntikan vaksin.


Terbaru, seorang wanita dari California, Amerika Syarikat turut mendakwa bahawa barangan besi melekat pada badannya seperti magnet selepas dia menerima suntikan vaksin Pfizer, lapor laman berita HuffPost pada 13 Ogos 2021 lalu.


Amelia Miller yang ditemu bual dalam saluran berita One America News berkata, dia berubah menjadi 'manusia magnet' selepas menerima vaksin Covid-19 pada Jun lepas.


"Mulut saya mula berasa seperti rasa besi yang amat kuat. Saya kemudianya teringat akan beberapa laporan sebelum ini bahawa terdapat sebilangan orang yang mendakwa mereka mempunyai kebolehan magnetik selepas menerima suntikan vaksinasi.


"Pada awalnya, saya tidak mempercayainya kerana menyangkakan kesemua video itu satu penipuan dan orang melakukannya kerana ingin mendapatkan populariti dalam media sosial," katanya.



Bagaimanapun, gadis itu mendakwa, dia secara tiba-tiba boleh melekatkan pelbagai jenis besi pada kulitnya dan dalam beberapa minit, dia dapat merasa seperti rasa besi di dalam mulutnya.


Ketika ingin menunjukkan kebolehan magnetiknya dalam sesi temu bual tersebut, Miller berjaya melekatkan sekeping besi pada badannya, namun malangnya, besi kedua terjatuh.


Pembaca berita yang menemu bualnya, Dan Ball kemudiannya secara spontan mengakui dia tidak tahu bagaimana untuk memberi respons kepada aksi Miller itu.


"Saya hilang kata-kata dan ingin menamatkan temubual ini setakat ini. Saya mengucapkan terima kasih atas cerita anda kerana terdapat lebih banyak maklumat di luar sana dan orang ramai bertanya mengenai kesahihan video tersebut serta bagaimana ia boleh berlaku," ujar Ball.


Dalam pada itu, saintis-saintis memberitahu bahawa tiada bukti menunjukkan bahawa vaksin Covid-19 boleh menjadikan seseorang itu magnetik. Sekiranya keadaan itu berlaku, ia berkemungkinan disebabkan oleh keadaan kulit yang melekit.


Miller cuba menunjukkan kebolehannya yang boleh melekatkan barangan besi pada badannya ketika ditemu bual oleh One America News.
Motosikal Terbang Di Pasaran Menjelang 2023 Dengan Harga Permulaan RM1.6 Juta

Motosikal Terbang Di Pasaran Menjelang 2023 Dengan Harga Permulaan RM1.6 Juta


Sebuah syarikat pembuatan alatan futuristik, Jetpack Aviation mendedahkan akan melancarkan motosikal terbang menjelang 2023 ini, menurut lapor akhbar Daily Star UK pada 15 Ogos 2021 lalu.


Jetpack Aviation yang berpangkalan di California mengumumkan perkara itu susulan kejayaan sesi pandu uji kenderaan itu baru-baru ini. Syarikat itu berharap dapat menghasilkan dua versi motosikal itu kegunaan harian.


Digelar sebagai The Speeder, motosikal futuristik ini dibina dengan program perisian kawalan penerbangan unik Jetpack Aviation untuk membantu memantau dan menyesuaikan daya tuju sepanjang pemanduan.


Perisian yang memerlukan masa setahun setengah untuk dihasilkan itu membolehkan motosikal terbang berfungsi seperti motosikal biasa dan secara automatik menstabilkan kenderaan itu di udara.



"Kami mungkin akan menghasilkan motosikal jenis ultra ringan yang tidak memerlukan lesen juruterbang untuk dikendalikan.


"Ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan versi kategori profesional dalam tempoh enam bulan selepas itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Jetpack Aviation, David Mayman.


Kata David, kelajuan versi ultra ringan akan dihadkan hingga 60 kilometer sejam sejajar dengan peraturan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan waktu penerbangan selama 15 minit.


"Versi motosikal terbang kategori profesional pula memerlukan lesen juruterbang asas dengan kelajuan 250 kilometer sejam dan waktu penerbangan sekitar 35 minit," katanya.


Speeder akan dilengkapi lapan turbin yang membolehkan motosikal seberat 136 kilogram itu membawa pemandu dua kali ganda daripada berat kenderaan.


Jetpack Aviation telah menetapkan harga awal The Speeder pada AS$381,000 (RM1.6 juta) dan telah mula mengambil pesanan awal daripada pembeli berminat.


Jetpack Aviation juga berharap dapat memberikan versi komersial untuk organisasi keselamatan tentera dan awam di masa depan. Motosikal terbang yang merangkumi sayap yang boleh dilepas untuk kelajuan yang lebih besar, lebih banyak simpanan untuk menahan penumpang yang cedera dan tempat untuk peralatan perubatan serta pemadam kebakaran.
Pembeli Guna Wang Palsu, Lelaki Berusia 81 Tahun Menjual 8 Itiknya Ditipu 2 Juta Rupiah

Pembeli Guna Wang Palsu, Lelaki Berusia 81 Tahun Menjual 8 Itiknya Ditipu 2 Juta Rupiah


Nasib malang yang menimpa seorang warga emas akibat ditipu semasa menjual itik, bertukar gembira apabila seorang individu tidak dikenali mengirimkannya dua juta rupiah (RM590).


Pada hari itu, Mardi Wiyono, 81, memutuskan untuk menjual lapan itik bernilai Rp 400,000 (RM117). Menurutnya, seorang lelaki berbadan besar telah membeli kesemua itiknya ketika itu di Pasar Kliwon, Galur.


Mardi sebenarnya curiga dengan tingkah laku pembeli tersebut. Tetapi penipu itu lebih cerdik, mengambil kesempatan membeli lapan ekor itik akibat kelemahan lelaki itu yang sudah tua dan tidak boleh membaca.



Selepas sedar wang itu palsu, dia melaporkan kepada pegawai pasar dan kemudian melaporkan kes itu kepada polis. Wang tersebut telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.


Mardi sehingga sekarang tidak dapat melupakan peristiwa itu dan masih menyimpan rapi salinan kertas laporan kesnya kepada pihak polis. Mardi mengatakan bahawa dia tidak menyesal kehilangan barang dagangannya. Dia ikhlas, mengundurkan diri dan tidak perlu menyesal.


Hampir empat bulan berlalu, pelakunya masih belum ditangkap. Kejadian yang menimpa warga emas itu menggerakkan hati seorang pegawai yang tidak disebutkan namanya, secara peribadi mengirim sumbangan kepada Mardi melalui seorang penduduk di Kulon Progo, pada 14 Ogos 2021.


Jari dan tangan Mardi Wiyono menggeletar sebaik sahaja menerima kiriman sampul berisi dua juta rupiah (RM590) di rumahnya di Kulon Progo, Yogyakarta.


Mardi Wiyono bersama isterinya Sadiyem yang berusia 70 tahun.

Ahad, 15 Ogos 2021

NASA Bakal Teroka Lubuk Emas Dalam Asteroid Bernilai RM46,886 Quadrilion

NASA Bakal Teroka Lubuk Emas Dalam Asteroid Bernilai RM46,886 Quadrilion


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang untuk meneroka sebuah asteroid berukuran 226 kilometer yang dipercayai menjadi lubuk emas alam semesta, lapor akhbar The Sun pada 10 Ogos 2021.


Asteroid yang diberi nama Psyche 16 ini ditemui pada akhir abad ke-19, terletak di antara orbit Marikh dan Musytari telah berjaya menarik perhatian banyak pihak kerana ia terhasil daripada struktur logam padat.


Menerusi laporan yang diterima NASA, kandungan emas di dalam asteroid itu cukup banyak untuk menjadikan setiap penduduk Bumi seorang bilionair. Selain emas, ia turut dijangka dipenuhi oleh timbunan platinum, besi dan nikel.



Secara keseluruhan, kesemua jenis logam di asteroid tersebut dianggarkan bernilai £10,000 quadrilion (RM46,886 quadrilion), sekitar 10,000 kali ganda ekonomi global pada tahun 2019, menurut lapor Observer.


Agensi tersebut bercadang melancarkan misi ke asteroid Psyche 16 pada Ogos 2022 dan dijangka tiba di situ pada sekitar tahun 2026.


Misi yang digelar Misi Penemuan itu bagaimanapun bukan bertujuan membawa pulang emas yang terdapat pada asteroid tersebut, sebaliknya adalah untuk tujuan saintifik.


"Matlamat misi ini antaranya untuk memastikan sama ada Psyche 16 adalah sememangnya sebuah teras objek yang bertaraf planet," kata NASA.


Lakaran artis bagi pemandangan dan permukaan asteroid Psyche 16. - Foto NASA.
Lelaki Jumpa Wang RM400,996 Disembunyikan Di Bawah Peti Sejuk Terpakai Yang Dibelinya Secara Online

Lelaki Jumpa Wang RM400,996 Disembunyikan Di Bawah Peti Sejuk Terpakai Yang Dibelinya Secara Online


Seorang lelaki di Korea Selatan terkejut selepas menemukan wang tunai bernilai 110 juta won (RM400,996) disembunyikan di bawah peti sejuk terpakai yang dibelinya secara dalam talian.


Menurut laporan agensi Korea Selatan, MBC News, lelaki itu menjumpai kira-kira 2,200 keping wang kertas ketika sedang membersihkan lantas. Sejurus selepas penemuan itu, lelaki tersebut terus pergi ke balai polis untuk membuat laporan pada 6 Ogos lalu.


Memetik laporan portal UPI, polis di Pulau Jeju berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk menentukan sumber wang tersebut. Buat sementara waktu kesemua wang itu disimpan oleh pihak berkuasa.



"Lelaki itu menemukan bungkusan wang tersebut dilekatkan di bahagian bawah peti sejuk ketika sedang membersihkannya.


"Kami sedang mengenal pasti penjual peti sejuk itu dan sedang menyiasat individu yang terlibat dalam penghantaran peralatan itu," kata polis penyiasat.


Berdasarkan Akta Hilang dan Jumpa Korea Selatan, wang tersebut akan diberikan kepada individu yang menemukannya sekiranya pemilik sebenar gagal dikesan atau tidak muncul dalam tempoh enam bulan.


Walau bagaimanapun, pihak yang memperolehi mesti membayar 22 peratus cukai daripada jumlah wang berkenaan. Sekiranya pemilik wang dapat dikesan, pihak yang menjumpainya akan diberi pampasan antara lima hingga 20 peratus.


Namun, sekiranya wang tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan jenayah, wang tersebut akan diserahkan kepada dana negara.


Seorang lelaki menemukan wang tunai bernilai RM400,996 di bawah peti sejuk terpakai yang dibeli dalam talian.