Khamis, 19 Ogos 2021

Lelaki 'Bertapa' Dalam Gua 20 Tahun Keluar Ambil Suntikan Vaksin


Baru-baru ini tular kisah seorang lelaki dari Pirot, Serbia, yang tinggal di dalam gua selama 20 tahun keluar dari tempat pertapaannya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.


Menurut laporan akhbar The Sun pada 13 Ogos 2021, Panta Pertrovic, 70, mendapat tahu mengenai wabak tersebut daripada satu lawatannya ke pekan berhampiran pada tahun lepas.


Apabila dia sedar mengenai bahaya virus itu, dia mengatakan bahawa dia perlu mendapatkan vaksin secepat mungkin dan kini dia bersyukur kerana telah mendapatkannya.


"Virus itu tidak memilih mangsa. Ia akan datang ke sini, ke gua saya juga. Saya ingin dapatkan kesemua tiga dos termasuk dos tambahan. Saya juga ingin menggalakkan setiap penduduk agar mendapatkan vaksinasi mereka," katanya.


Tambah Pertrovic, dia tidak memahami mengapa terdapat sebilangan individu yang mempunyai pandangan skeptikal mengenai virus Covid-19, dan ada yang tidak mahu menerima suntikan vaksin.


Pertrovic pada 20 tahun lepas berpindah ke sebuah gua kecil di sebuah kawasan pergunungan untuk mengelak daripada berhubungan dengan masyarakat.



Dia yang pernah bekerja sebagai seorang buruh mengambil keputusan untuk menjadi seorang pertapa di dalam gua kerana mahu hidup bersendirian.


"Saya tidak bebas di bandar. Kebiasaannya, terdapat seseorang yang akan mengganggu anda, sama ada anda bertengkar dengan isteri, jiran atau polis. Di sini, tiada sesiapa yang mengganggu saya," jelasnya.


'Rumah' Pertrovic hanya boleh diakses menerusi pendakian curam. Rakan-rakannya hanya terdiri daripada ayam, kucing, anjing dan babi hutan. 


Makanan rujinya pula adalah cendawan dan ikan yang ditangkap dari sebatang anak sungai berdekatan selain dia turut pergi ke pekan sesekali untuk mencari sisa makanan dari tong sampah.


Panta Pertrovic hidup di dalam gua berbekalkan bantuan yang diberikan kepadanya termasuk bantuan makanan. - Foto AFP.

Panta Pertrovic sedar akan kepentingan mendapatkan suntikan Covid-19. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon