Rabu, 4 Ogos 2021

Teknologi Makhluk Asing Seperti Magis, Hantar Mesej Rahsia Menerusi Cahaya Bintang

Teknologi Makhluk Asing Seperti Magis, Hantar Mesej Rahsia Menerusi Cahaya Bintang


Sejak beberapa tahun kebelakang ini, ramai yang mendakwa telah melihat objek terbang tidak dikenali (UFO), dan akhir-akhir ini ada yang mendakwa pernah melakukan hubungan seksual dengan makhluk asing pula.


Sekiranya benar makhluk dari luar angkasa telah mengunjungi bumi, ini menunjukkan bahawa mereka sudah mempunyai teknologi yang sangat maju. Teknologi makhluk asing mungkin jutaan tahun lagi lebih maju berbanding bumi.


Seorang ahli kuantum fizik dari Kolej Imperial London berkata makhluk asing mungkin mampu menggunakan cahaya bintang untuk menghantar mesej dari angkasa lepas. Ia adalah antara teknologi makhluk asing yang kelihatan seperti magis.


Menurut lapor akhbar Daily Mail 3 Ogos 2021, Terry Rudolph membuat teori bahawa makhluk asing yang 'paranoid' sedang memanfaatkan kuasa foton daripada keterikatan kuantum daripada pelbagai jenis bintang untuk menghantar mesej rahsia.


Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), fenomena keterikatan kuantum berlaku apabila zarah cahaya yang dihubungkan saling mempengaruhi antara satu sama lain.


Jenis komunikasi tersebut boleh dijana menerusi prinsip yang tidak dapat dilihat oleh mereka yang tidak terlibat dalam perbualan itu. Cahaya yang sudah diubah oleh makhluk asing itu mungkin akan kelihatan seperti kerlipan bintang di langit.


Teori tentang ikatan kuantum bukanlah sesuatu yang baharu kerana idea tentangnya sebelum ini pernah ditolak oleh Albert Einstein yang menganggap perkara itu sebagai sekadar perbuatan menakut-nakutkan.


Namun, sejak beberapa dekad lalu, saintis telah menyiasat kemungkinan tersebut dan mengatakan ia sesuatu yang tidak mustahil. Keterikatan boleh berlaku apabila cahaya laser ditembak melalui kristal yang mengakibatkan foton individu berpecah dan membentuk pasangan foton terikat yang dapat dipisahkan dengan jarak yang jauh.


Oleh itu, satu peradaban yang cukup maju dapat melakukan pengukuran kuantum bagi bilangan foton terhadap mod cahaya yang sesuai dipancarkan daripada bintang dengan cara keterikatan skala besar yang diagihkan daripada penyebaran ruang bebas cahaya menerusi angkasa lepas.


Makhluk asing boleh menggunakan cahaya daripada bintang untuk berkomunikasi secara rahsia. - Foto Getty Images.

Selasa, 3 Ogos 2021

Peniaga ayam positif HIV didakwa rogol remaja bawah umur, mangsa kini mengandung 5 bulan

Peniaga ayam positif HIV didakwa rogol remaja bawah umur, mangsa kini mengandung 5 bulan


Seorang peniaga ayam yang positif Human Immunodeficiency Virus (HIV) didakwa di Mahkamah Sesyen di Pasir Mas, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur dipercayai kekasihnya pada Mac lalu.


Bagaimanapun, tertuduh Wan Mohd. Shakir Wan Abdul Hamid, 24, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang remaja yang berusia 15 tahun tujuh bulan dengan mengetahui bahawa ketika itu menghidap HIV. Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kembara di sebuah kawasan di Tumpat pada bulan Mac lalu.


Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (i) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Khuzaimi Mohd. Salleh yang memohon supaya anak guamnya diberi ikat jamin.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh mengganggu mangsa yang sedang mengandung lima bulan dan kini tinggal bersama keluarganya.


Mohd. Khuzaimi dalam rayuannya memohon agar jaminan diberikan kerana tertuduh merupakan seorang pesakit HIV dan khuatir akan terdedah dengan jangkitan Covid-19 sekiranya dimasukkan ke penjara sepanjang tempoh perbicaraan.


Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan keluarganya.


Mahkamah turut menetapkan tarikh 17 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.


Tertuduh (tengah) didakwa atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur lima bulan lalu di Mahkamah Sesyen Pasir Mas.
Wanita Rugi RM3,230 Ditipu Pembelian Kucing Baka 'British Short Hair' Menerusi Urusniaga Dalam Talian

Wanita Rugi RM3,230 Ditipu Pembelian Kucing Baka 'British Short Hair' Menerusi Urusniaga Dalam Talian


Keinginan seorang wanita untuk membeli dua ekor kucing baka luar negara melalui urusniaga dalam talian akhirnya tidak kesampaian, apabila haiwan berkenaan tidak diterimanya setelah pembayaran dilakukan sehingga mencecah RM3,230.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang berusia 24 tahun melihat iklan penjualan kucing baka British Short Hair di laman sosial Instagram kira-kira pukul 1.30 petang semalam.


Menurutnya, atas rasa ingin memilikinya, mangsa menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan menyatakan hajatnya membeli kucing terbabit. Suspek memaklumkan terdapat dua ekor kucing baka jenis itu yang akan dijual.


"Mangsa yang menghubungi penjual menggunakan WhatsApp dan mahu membeli dua ekor kucing baka British Short Hair dan British Long Hair telah bersetuju membelinya pada harga RM290 dan RM240.


"Selepas membuat pembayaran, mangsa diminta untuk membuat pembayaran lain untuk proses mendapatkan sijil kelahiran serta beberapa dokumen lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Menurutnya, mangsa telah membuat semua bayaran yang diminta berjumlah RM3,230 melalui empat transaksi ke akaun bank yang diberikan selain suspek berjanji akan memulangkan semula wang proses berkenaan.


Bagaimanapun, selepas mangsa membuat semua bayaran berkenaan, suspek menyalahkan mangsa kerana membuat pembayaran berjumlah RM1,900 dalam dua transaksi menyebabkan mangsa mula curiga dengan urusan berkenaan dan meminta wangnya dikembalikan.


Beliau berkata, mangsa mendakwa suspek berkeras tidak mahu memulangkan wang itu sehingga mangsa membuat pembayaran lagi, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


"Jelas modus operandi suspek dalam memperdaya mangsa adalah dengan menawarkan kucing untuk dijual melalui media sosial. Tindakan itu telah mendorong mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan dan mangsa juga tidak memperoleh kucing malah mengalami kerugian wang," katanya.


(Gambar hiasan) Kucing Baka British Short Hair.

Isnin, 2 Ogos 2021

Misteri Cahaya Hijau Muncul Di Ruang Udara Turki Dikaitkan Kemunculan UFO

Misteri Cahaya Hijau Muncul Di Ruang Udara Turki Dikaitkan Kemunculan UFO

Tangkap layar video tular di media sosial.

Tular di internet beberapa klip video memaparkan sebuah objek dipercayai meteor berwarna hijau jatuh di bandar Izmir, Turki, mencetuskan spekulasi mengenai satelit terhempas atau objek terbang tidak dikenali (UFO).


Menurut lapor akhbar The Sun 3 Ogos 2021, insiden yang berlaku di bandar Izimir di Aegean itu berjaya dirakamkan melalui video pada pukul 2 pagi (waktu tenpatan), kelmarin.


Menerusi beberapa klip video, objek berwarna hijau itu dilihat menghilang di belakang bukit, tetapi rakaman lain menunjukkan objek tersebut dilihat meluncur dengan laju di langit sebelum mengeluarkan kilauan cahaya hijau yang terang kemudian seolah-olah kelihatan terhempas ke bumi.


Kejadian luar biasa itu dikongsi pengguna media sosial yang membawa kepada pelbagai spekulasi bahawa objek tersebut berkemungkinan adalah sampah angkasa lepas, serpihan satelit dan ada yang mempercayai ia adalah kemunculan UFO.



Menurut saksi, kedengaran bunyi letupan kuat ketika objek tersebut terhempas ke Bumi yang berkemungkinan disebabkan rosak atau pelanggaran dengan atmosfera. "UFO telah dilihat di langit 'PrayforTurkey'," tulis seorang netizen di sosial media.


Spekulasi itu bagaimanapun ditepis seorang profesor astrofizik, Dr. Hasan Ali Dal, yang menjelaskan bahawa insiden tersebut dikenali sebagai 'bebola api' dan berlaku apabila meteor mula terbakar dalam udara.


"Kebiasaannya, ia terbakar di bahagian atas atmosfera, menyebabkan batu angkasa akan hancur sebelum sampai ke tanah dan proses itu boleh kedengaran seperti bunyi letupan.


"Ia boleh dianggap sebagai fenomena yang lebih dikenali ramai sebagai tahi bintang dan kebiasaannya berlaku ketika tempoh masa hujan meteorit," jelasnya.


Ketika ini, Bumi sedang mengalami kejadian hujan meteor Perseid yang kebiasannya berlaku sepanjang bulan Julai dan Ogos setiap tahun.


BACA: Gambar meteor memancarkan cahaya hijau dirakam secara tidak sengaja muncul di langit India.


Objek tersebut dilihat meluncur dengan laju di langit Izmir, Turki sebelum mengeluarkan kilauan cahaya berwarna hijau yang terang. - Foto The Sun.
Percaya Boleh Hilangkan Sembelit, Lelaki Masukkan Belut Sepanjang 20 Sentimeter Dalam Dubur

Percaya Boleh Hilangkan Sembelit, Lelaki Masukkan Belut Sepanjang 20 Sentimeter Dalam Dubur


Seorang lelaki di Xinghua, China hampir kehilangan nyawa selepas memasukkan belut ke dalam duburnya bagi menghilangkan sembelit yang dialaminya.


Lapor Global Times pada 27 Julai 2021, lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu dilaporkan memasukkan belut sepanjang 20 sentimeter ke duburnya pada 20 Julai lalu.


Perbuatan itu dilakukan selepas lelaki tersebut mendakwa dia sudah tidak tahan dengan masalah sembelit yang dialaminya. Namun, perkara tidak diingini berlaku selepas lelaki itu memasukkan belut ke dalam duburnya.


Hal ini kerana, haiwan berkenaan terus masuk ke perut dan memasuki usus besar lelaki berkenaan dan menggigitnya sehingga menimbulkan kesakitan.


Pada awalnya, dia enggan mendapatkan rawatan di hospital kerana malu dan sanggup tahan sakit sebelum dia akhirnya menyerah dan pergi ke hospital.


Lelaki tersebut menjalani pemeriksaan di hospital Xinghua, wilayah Jiangsu dan mengadu sakit di bahagian bawah perut. Doktor memaklumkan terdapat belut dalam usus besar dan dia perlu menjalani pembedahan.


Doktor berjaya mengeluarkan belut yang masih hidup dari perut lelaki tersebut dan memaklumkan mangsa boleh mati disebabkan hemolisis iaitu sel darah merah pecah akibat bakteria.


Sebelum ini, seorang lelaki berusia 50-an juga memasukkan belut ke dubur tahun lalu. Kejadian itu diketahui selepas dia menjalani rawatan di Hospital Dongguan, wilayah Guangdong kerana sakit di bahagian bawah perut.


Namun selepas diperiksa, doktor menemui belut di dalam sistem pencernaan lelaki itu. Doktor kemudiannya melakukan pembedahan segera bagi mengeluarkan belut berkenaan dan mendapati perut lelaki itu luka dan dipenuhi bakteria.


Belut yang dikeluarkan dari perut lelaki berkenaan. - Foto Agensi.
Wanita Dinobatkan Dengan Bukaan Mulut Paling Luas Di Dunia Oleh Rekod Dunia Guiness

Wanita Dinobatkan Dengan Bukaan Mulut Paling Luas Di Dunia Oleh Rekod Dunia Guiness


Internet boleh membawa populariti kepada hampir semua orang, tanpa mengira apa juga bentuk kemasyhuran itu. Seperti kisah wanita ini yang telah menjadi sensasi di media sosial bermula tahun lalu.


Samantha Ramsdell, 31, pada November 2020 mengaku memiliki 'mulut terbesar di dunia' dan sering memuat naik video mengenai bukaan mulutnya di dalam aplikasi TikTok, hingga mempunyai 750,000 pengikut di aplikasi tersebut ketika itu.


Ramsdell adalah seorang penjual yang tinggal di Connecticut, Amerika Syarikat. Namun disebabkan wabak Covid-19 melanda, syarikatnya mulai tutup dan ketika itulah dia secara aktif mula menerbitkan kandungan di TikTok.



Pada Julai 2021 bulan lalu, Ramsdell akhirnya dinobatkan sebagai wanita dengan bukaan mulut paling luas di dunia oleh Rekod Dunia Guiness. Bukaan mulut Ramsdell adalah seluas 2.56 inci atau bersamaan 6.5 sentimeter.


"Rekod ini merupakan perkara yang saya tidak pernah sangka akan menaikkan nama saya. Jika sebelum ini saya berasa agak malu dengan keadaan ini (bukaan mulut yang luas), namun kini, saya perlu berbangga dengannya," katanya.


Ramsdell yang kini mempunyai 17 juta pengikut dalam Tiktok pernah membuat penampilan dengan Isaac Johnson yang turut mencipta rekod dunia bagi bukaan mulut paling luas untuk kategori lelaki.


"Jangan malu dengan keadaan anda kerana itu yang menjadikan anda lebih istimewa, malah mungkin boleh diiktiraf oleh dunia," ujarnya.


Ahad, 1 Ogos 2021

Pelik Tapi Itulah Berlaku Apabila Emas Lompat Tinggi Dikongsi Dua Atlet Di Olimpik Tokyo

Pelik Tapi Itulah Berlaku Apabila Emas Lompat Tinggi Dikongsi Dua Atlet Di Olimpik Tokyo


Saingan olahraga Sukan Olimpik Tokyo 2020 mencipta keunikan tersendiri apabila menyaksikan atlet Qatar, Mutaz Essa Barshim dan Gianmarco Tamberi dari Itali berkongsi pingat emas dalam acara lompat tinggi.


Barshim, 30, dan Tamberi, 29, mencatat lompatan terbaik 2.37 meter (m) sementara Maksim Nedesekau dari Belarus juga berjaya melakukan lompatan pada ketinggian itu untuk memecahkan rekod kebangsaan negaranya.


Untuk melepasi had ketinggian terakhir, 2.39 meter, Barshim dan Tamberi gagal dalam tiga percubaan pada aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik sebentar tadi.


Kegagalan itu menyaksikan kedua-dua mereka berkongsi kedudukan teratas selepas masing-masing berjaya melepasi had ketinggian pada percubaan pertama bermula 2.19m, 2.24m, 2.27m, 2.30m, 2.33m, 2.35m dan 2.37m.


Pemenang pingat gangsa, Maksim Nedasekau dari Belarus juga berjaya melepasi had ketinggian 2.37m. Bagaimanapun, Nedasekau terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas melakukan lompatan kedua untuk melepasi had ketinggian 2.19m.


Atlet Itali, Gianmarco Tamberi (kiri) dam Mutaz Barshim dari Qatar meraikan kejayaan berkongsi pingat emas acara lompat tinggi lelaki saingan olahraga temasya Sukan Olimpik 2020 di Stadium Olimpik, Tokyo. - Foto EPA.
Lapisan Ais Greenland Mencair Kira-Kira 8 Bilion Tan Sehari Kesan Gelombang Panas

Lapisan Ais Greenland Mencair Kira-Kira 8 Bilion Tan Sehari Kesan Gelombang Panas


Lapisan ais di Greenland mencair dalam jumlah yang besar kira-kira lapan bilion tan sehari akibat gelombang panas. Lapisan ais meliputi wilayah Artik itu mencair selepas suhu melebihi 10 darjah Celsius berbanding musim biasa.


Menurut laman web Polar Portal, mendedahkan penyelidik Denmark sejak Rabu lalu, lapisan ais yang meliputi wilayah Artik yang luas, mencair dua kali ganda daripada kadar purata normalnya pada musim panas.


Institut Meteorologi Denmark berkata, ketika ini suhu melebihi 20 darjah Celsius iaitu lebih dua kali suhu purata musim panas biasa direkodkan di utara Greenland.


Di lapangan terbang Nerlerit Inaat di timur laut wilayah itu mencatat 23.4 darjah Celsius pada Khamis lalu antara yang tertinggi dicatatkan di wilayah itu setakat ini sejak rekod bermula.


Berikutan gelombang panas yang mempengaruhi sebahagian besar Greenland, ais yang mencair itu dikatakan mampu menenggelamkan Florida dengan ketinggian lima sentimeter (sm).


Sebelum ini, runtuhan ais terbesar di Greenland iaitu pada musim panas 2019, namun kali ini ia lebih besar dan cepat. Lapisan ais mula mencair bermula 1990 dan berterusan sejak 2000, malah dalam beberapa tahun kebelakangan ini lebih kurang empat kali ganda situasi itu berlaku.


Satu kajian Eropah yang diterbitkan pada Januari lalu mengatakan permukaan laut akan meningkat antara 10 sm dan 18 sm menjelang 2100 atau 60 peratus lebih cepat daripada tempoh diramal.


Lapisan ais Greenland adalah jisim ais air tawar terbesar kedua di bumi dengan jarak hampir 1.8 juta kilometer persegi, iaitu kedua selepas Antartika. Sekiranya semua lapisan ais Greenland mencair, ia akan meningkatkan permukaan laut sebanyak enam hingga tujuh meter.


Foto fail pada 20 Mei 2021 menunjukkan ais mencair daripada glasier di Greenland. - Foto AFP.
Padah miliki 'senjata berbahaya' ekor ikan pari, seorang lelaki dihukum penjara 5 tahun dan sebatan

Padah miliki 'senjata berbahaya' ekor ikan pari, seorang lelaki dihukum penjara 5 tahun dan sebatan


Gara-gara memiliki senjata berbahaya iaitu ekor ikan pari tanpa maksud yang sah di tempat awam, seorang tukang rumah dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Pasir Mas, hari ini selepas mengaku bersalah minggu lalu pada 26 Julai.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki ekor ikan pari yang telah diubah menjadi senjata berbahaya berukuran lebih kurang 114 sentimeter di tempat awam, iaitu di kawasan semak tepi Sungai Kelantan, Kampung Sat, dekat Tanah Merah, jam 2 petang, pada 26 Julai 2021.


Tertuduh, Abdul Hallim Samsuddin, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan.


Mengikut fakta kes, ketika pihak polis membuat serbuan di belakang bengkel lori didapati lelaki itu berada di dalam kereta Proton Persona di lokasi kejadian bersama seorang lagi lelaki. Polis memperkenalkan diri dan tertuduh keluar dari kereta serta cuba melarikan diri ke dalam semak sebelum berjaya ditahan.


Hasil pemeriksaan menemukan senjata berbahaya itu (ekor ikan pari) yang disimpan di dalam poket seluar sebelah kanan tertuduh dan lelaki itu gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta. Hasil pemeriksaan ke atas seorang lagi lelaki tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.


Polis menahan tertuduh dan barang kes itu dirampas. Ekor pari merupakan satu senjata berbahaya yang mana jika digunakan akan menyebabkan kecederaan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman yang yang sesuai dengan kesalahan dan boleh menyedarkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu serta boleh menyampaikan mesej kepada orang awam.


Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon satu hukuman yang ringan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun yang bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Julai 2021 dan satu sebatan.


Ekor ikan pari yang ditemui di dalam poket seluar tertuduh.
Kongsi sewa banglo, 20 remaja ditahan berpesta dadah dan seks

Kongsi sewa banglo, 20 remaja ditahan berpesta dadah dan seks


Gara-gara kemaruk seks dan ketagih dadah disebabkan lama tidak bertemu, pasang kekasih antara 20 individu ditahan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir di Georgetown, awal pagi tadi.


Mereka yang ditahan terdiri 13 lelaki dan 7 wanita berusia 17 hingga 25 tahun itu diberkas polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) kira-kira pukul 12.30 malam tadi.


Ketika serbuan, semua lelaki dan wanita tempatan yang bekerja sebagai operator kilang, penghantar makanan dan pembantu kedai berada di ruang tamu rumah banglo tiga tingkat tersebut.


Sumber berkata, individu terbabit dikatakan sanggup merentas daerah iaitu datang dari kawasan Balik Pulau dan Bayan Lepas semata-mata mahu melepaskan gian dadah bersama rakan termasuk kemaruk seks dengan pasangan kekasih.


Menurutnya, turut ditemui semasa pemeriksaan dijalankan adalah bungkusan dadah dipercayai jenis syabu dan kondom di ruang tamu berkenaan termasuk set karaoke.


"Mereka terkedu melihat kehadiran anggota polis dan tidak sempat melarikan diri disebabkan kawasan kediaman banglo dikepung.


"Siasatan mendapati mereka menyewa inap desa itu pada harga RM800 untuk satu malam iaitu dari pukul 3 petang semalam hingga hari ini. Mereka (lelaki) berkongsi duit sewa sebanyak RM70 seorang.


"Hasil soal siasat ke atas beberapa pasangan kekasih mendapati mereka datang ke situ untuk berhibur kerana sudah lama tidak bertemu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.


Jelas sumber itu, kesemua mereka yang didapati positif dadah kini ditahan reman selama empat hari sehingga 4 Ogos ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais mengesahkan tangkapan tersebut.


Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)Akta Dadah Berbahaya 1952.


Seramai 20 individu ditahan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir, Pulau Pinang kerana disyaki berpesta dadah dan seks pada 1 Ogos 2021.