Isnin, 2 Ogos 2021

Wanita Dinobatkan Dengan Bukaan Mulut Paling Luas Di Dunia Oleh Rekod Dunia Guiness


Internet boleh membawa populariti kepada hampir semua orang, tanpa mengira apa juga bentuk kemasyhuran itu. Seperti kisah wanita ini yang telah menjadi sensasi di media sosial bermula tahun lalu.


Samantha Ramsdell, 31, pada November 2020 mengaku memiliki 'mulut terbesar di dunia' dan sering memuat naik video mengenai bukaan mulutnya di dalam aplikasi TikTok, hingga mempunyai 750,000 pengikut di aplikasi tersebut ketika itu.


Ramsdell adalah seorang penjual yang tinggal di Connecticut, Amerika Syarikat. Namun disebabkan wabak Covid-19 melanda, syarikatnya mulai tutup dan ketika itulah dia secara aktif mula menerbitkan kandungan di TikTok.



Pada Julai 2021 bulan lalu, Ramsdell akhirnya dinobatkan sebagai wanita dengan bukaan mulut paling luas di dunia oleh Rekod Dunia Guiness. Bukaan mulut Ramsdell adalah seluas 2.56 inci atau bersamaan 6.5 sentimeter.


"Rekod ini merupakan perkara yang saya tidak pernah sangka akan menaikkan nama saya. Jika sebelum ini saya berasa agak malu dengan keadaan ini (bukaan mulut yang luas), namun kini, saya perlu berbangga dengannya," katanya.


Ramsdell yang kini mempunyai 17 juta pengikut dalam Tiktok pernah membuat penampilan dengan Isaac Johnson yang turut mencipta rekod dunia bagi bukaan mulut paling luas untuk kategori lelaki.


"Jangan malu dengan keadaan anda kerana itu yang menjadikan anda lebih istimewa, malah mungkin boleh diiktiraf oleh dunia," ujarnya.



EmoticonEmoticon