Ahad, 1 Ogos 2021

Kongsi sewa banglo, 20 remaja ditahan berpesta dadah dan seks


Gara-gara kemaruk seks dan ketagih dadah disebabkan lama tidak bertemu, pasang kekasih antara 20 individu ditahan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir di Georgetown, awal pagi tadi.


Mereka yang ditahan terdiri 13 lelaki dan 7 wanita berusia 17 hingga 25 tahun itu diberkas polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) kira-kira pukul 12.30 malam tadi.


Ketika serbuan, semua lelaki dan wanita tempatan yang bekerja sebagai operator kilang, penghantar makanan dan pembantu kedai berada di ruang tamu rumah banglo tiga tingkat tersebut.


Sumber berkata, individu terbabit dikatakan sanggup merentas daerah iaitu datang dari kawasan Balik Pulau dan Bayan Lepas semata-mata mahu melepaskan gian dadah bersama rakan termasuk kemaruk seks dengan pasangan kekasih.


Menurutnya, turut ditemui semasa pemeriksaan dijalankan adalah bungkusan dadah dipercayai jenis syabu dan kondom di ruang tamu berkenaan termasuk set karaoke.


"Mereka terkedu melihat kehadiran anggota polis dan tidak sempat melarikan diri disebabkan kawasan kediaman banglo dikepung.


"Siasatan mendapati mereka menyewa inap desa itu pada harga RM800 untuk satu malam iaitu dari pukul 3 petang semalam hingga hari ini. Mereka (lelaki) berkongsi duit sewa sebanyak RM70 seorang.


"Hasil soal siasat ke atas beberapa pasangan kekasih mendapati mereka datang ke situ untuk berhibur kerana sudah lama tidak bertemu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.


Jelas sumber itu, kesemua mereka yang didapati positif dadah kini ditahan reman selama empat hari sehingga 4 Ogos ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais mengesahkan tangkapan tersebut.


Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)Akta Dadah Berbahaya 1952.


Seramai 20 individu ditahan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir, Pulau Pinang kerana disyaki berpesta dadah dan seks pada 1 Ogos 2021.


EmoticonEmoticon