Ahad, 1 Ogos 2021

Padah miliki 'senjata berbahaya' ekor ikan pari, seorang lelaki dihukum penjara 5 tahun dan sebatan


Gara-gara memiliki senjata berbahaya iaitu ekor ikan pari tanpa maksud yang sah di tempat awam, seorang tukang rumah dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Pasir Mas, hari ini selepas mengaku bersalah minggu lalu pada 26 Julai.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki ekor ikan pari yang telah diubah menjadi senjata berbahaya berukuran lebih kurang 114 sentimeter di tempat awam, iaitu di kawasan semak tepi Sungai Kelantan, Kampung Sat, dekat Tanah Merah, jam 2 petang, pada 26 Julai 2021.


Tertuduh, Abdul Hallim Samsuddin, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan.


Mengikut fakta kes, ketika pihak polis membuat serbuan di belakang bengkel lori didapati lelaki itu berada di dalam kereta Proton Persona di lokasi kejadian bersama seorang lagi lelaki. Polis memperkenalkan diri dan tertuduh keluar dari kereta serta cuba melarikan diri ke dalam semak sebelum berjaya ditahan.


Hasil pemeriksaan menemukan senjata berbahaya itu (ekor ikan pari) yang disimpan di dalam poket seluar sebelah kanan tertuduh dan lelaki itu gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta. Hasil pemeriksaan ke atas seorang lagi lelaki tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.


Polis menahan tertuduh dan barang kes itu dirampas. Ekor pari merupakan satu senjata berbahaya yang mana jika digunakan akan menyebabkan kecederaan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman yang yang sesuai dengan kesalahan dan boleh menyedarkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu serta boleh menyampaikan mesej kepada orang awam.


Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon satu hukuman yang ringan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun yang bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Julai 2021 dan satu sebatan.


Ekor ikan pari yang ditemui di dalam poket seluar tertuduh.


EmoticonEmoticon