Ahad, 1 Ogos 2021

Lapisan Ais Greenland Mencair Kira-Kira 8 Bilion Tan Sehari Kesan Gelombang Panas

Lapisan Ais Greenland Mencair Kira-Kira 8 Bilion Tan Sehari Kesan Gelombang Panas


Lapisan ais di Greenland mencair dalam jumlah yang besar kira-kira lapan bilion tan sehari akibat gelombang panas. Lapisan ais meliputi wilayah Artik itu mencair selepas suhu melebihi 10 darjah Celsius berbanding musim biasa.


Menurut laman web Polar Portal, mendedahkan penyelidik Denmark sejak Rabu lalu, lapisan ais yang meliputi wilayah Artik yang luas, mencair dua kali ganda daripada kadar purata normalnya pada musim panas.


Institut Meteorologi Denmark berkata, ketika ini suhu melebihi 20 darjah Celsius iaitu lebih dua kali suhu purata musim panas biasa direkodkan di utara Greenland.


Di lapangan terbang Nerlerit Inaat di timur laut wilayah itu mencatat 23.4 darjah Celsius pada Khamis lalu antara yang tertinggi dicatatkan di wilayah itu setakat ini sejak rekod bermula.


Berikutan gelombang panas yang mempengaruhi sebahagian besar Greenland, ais yang mencair itu dikatakan mampu menenggelamkan Florida dengan ketinggian lima sentimeter (sm).


Sebelum ini, runtuhan ais terbesar di Greenland iaitu pada musim panas 2019, namun kali ini ia lebih besar dan cepat. Lapisan ais mula mencair bermula 1990 dan berterusan sejak 2000, malah dalam beberapa tahun kebelakangan ini lebih kurang empat kali ganda situasi itu berlaku.


Satu kajian Eropah yang diterbitkan pada Januari lalu mengatakan permukaan laut akan meningkat antara 10 sm dan 18 sm menjelang 2100 atau 60 peratus lebih cepat daripada tempoh diramal.


Lapisan ais Greenland adalah jisim ais air tawar terbesar kedua di bumi dengan jarak hampir 1.8 juta kilometer persegi, iaitu kedua selepas Antartika. Sekiranya semua lapisan ais Greenland mencair, ia akan meningkatkan permukaan laut sebanyak enam hingga tujuh meter.


Foto fail pada 20 Mei 2021 menunjukkan ais mencair daripada glasier di Greenland. - Foto AFP.
Padah miliki 'senjata berbahaya' ekor ikan pari, seorang lelaki dihukum penjara 5 tahun dan sebatan

Padah miliki 'senjata berbahaya' ekor ikan pari, seorang lelaki dihukum penjara 5 tahun dan sebatan


Gara-gara memiliki senjata berbahaya iaitu ekor ikan pari tanpa maksud yang sah di tempat awam, seorang tukang rumah dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Pasir Mas, hari ini selepas mengaku bersalah minggu lalu pada 26 Julai.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki ekor ikan pari yang telah diubah menjadi senjata berbahaya berukuran lebih kurang 114 sentimeter di tempat awam, iaitu di kawasan semak tepi Sungai Kelantan, Kampung Sat, dekat Tanah Merah, jam 2 petang, pada 26 Julai 2021.


Tertuduh, Abdul Hallim Samsuddin, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan.


Mengikut fakta kes, ketika pihak polis membuat serbuan di belakang bengkel lori didapati lelaki itu berada di dalam kereta Proton Persona di lokasi kejadian bersama seorang lagi lelaki. Polis memperkenalkan diri dan tertuduh keluar dari kereta serta cuba melarikan diri ke dalam semak sebelum berjaya ditahan.


Hasil pemeriksaan menemukan senjata berbahaya itu (ekor ikan pari) yang disimpan di dalam poket seluar sebelah kanan tertuduh dan lelaki itu gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta. Hasil pemeriksaan ke atas seorang lagi lelaki tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.


Polis menahan tertuduh dan barang kes itu dirampas. Ekor pari merupakan satu senjata berbahaya yang mana jika digunakan akan menyebabkan kecederaan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman yang yang sesuai dengan kesalahan dan boleh menyedarkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu serta boleh menyampaikan mesej kepada orang awam.


Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon satu hukuman yang ringan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun yang bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Julai 2021 dan satu sebatan.


Ekor ikan pari yang ditemui di dalam poket seluar tertuduh.
Kongsi sewa banglo, 20 remaja ditahan berpesta dadah dan seks

Kongsi sewa banglo, 20 remaja ditahan berpesta dadah dan seks


Gara-gara kemaruk seks dan ketagih dadah disebabkan lama tidak bertemu, pasang kekasih antara 20 individu ditahan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir di Georgetown, awal pagi tadi.


Mereka yang ditahan terdiri 13 lelaki dan 7 wanita berusia 17 hingga 25 tahun itu diberkas polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) kira-kira pukul 12.30 malam tadi.


Ketika serbuan, semua lelaki dan wanita tempatan yang bekerja sebagai operator kilang, penghantar makanan dan pembantu kedai berada di ruang tamu rumah banglo tiga tingkat tersebut.


Sumber berkata, individu terbabit dikatakan sanggup merentas daerah iaitu datang dari kawasan Balik Pulau dan Bayan Lepas semata-mata mahu melepaskan gian dadah bersama rakan termasuk kemaruk seks dengan pasangan kekasih.


Menurutnya, turut ditemui semasa pemeriksaan dijalankan adalah bungkusan dadah dipercayai jenis syabu dan kondom di ruang tamu berkenaan termasuk set karaoke.


"Mereka terkedu melihat kehadiran anggota polis dan tidak sempat melarikan diri disebabkan kawasan kediaman banglo dikepung.


"Siasatan mendapati mereka menyewa inap desa itu pada harga RM800 untuk satu malam iaitu dari pukul 3 petang semalam hingga hari ini. Mereka (lelaki) berkongsi duit sewa sebanyak RM70 seorang.


"Hasil soal siasat ke atas beberapa pasangan kekasih mendapati mereka datang ke situ untuk berhibur kerana sudah lama tidak bertemu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.


Jelas sumber itu, kesemua mereka yang didapati positif dadah kini ditahan reman selama empat hari sehingga 4 Ogos ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais mengesahkan tangkapan tersebut.


Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)Akta Dadah Berbahaya 1952.


Seramai 20 individu ditahan di sebuah inap desa di Taman Starhill, Bukit Gambir, Pulau Pinang kerana disyaki berpesta dadah dan seks pada 1 Ogos 2021.
Koleksi Ikan Pelik Dengan Wajah Mengerikan Seakan 'Makhluk Asing' Ditangkap Di Laut Barents

Koleksi Ikan Pelik Dengan Wajah Mengerikan Seakan 'Makhluk Asing' Ditangkap Di Laut Barents


Seorang nelayan Rusia berjaya menangkap sejumlah hidupan laut yang kelihatan pelik seakan 'makhluk asing' di Laut Barents sebelum dia berkongsi gambar tersebut di media sosial baru-baru ini, lapor Daily Mail pada 22 Julai 2021.


Roman Fedortsov, 39, telah menemui pelbagai hidupan laut yang kelihatan pelik. Dia sangat kagum dengan beberapa makhluk yang ditangkapnya itu sehingga dia mula memotret, dan telah menjadi sensasi di dalam internet.


Katanya, terdapat ribuan misteri di dalam laut tersebut yang perlu diteroka. Kadang-kadang ikan dan lain-lain material yang ditemui di dalam laut tersebut mengejutkan orang ramai.


Roman, berjaya menangkap satu koleksi ikan yang pelik itu kadang-kadang pada kedalaman lebih 1,000 meter. Dia merasa teruja dengan hasil tangkapan ikan-ikan yang kelihatan seperti makhluk asing yang mirip dalam televisyen.


Nelayan itu banyak menghabiskan masa menangkap ikan di Laut Barents iaitu di pantai utara Rusia. Namun, dia juga pergi ke tempat lain di dunia seperti Lautan Atlantik untuk menangkap ikan. Berikut merupakan antara koleksi makhluk pelik yang ditemui di dalam lautan.


Separuh daripada badan ikan ini tidak bersisik. Warna seperti kulit dibezakan dengan sisik berwarna hijau-coklat gelap yang terlihat di sebelah kanan, yang juga memiliki bintik-bintik merah dan oren. - Foto Roman Fedortsov.

Antara ikan pelik yang ditangkap oleh seorang nelayan Rusia di Laut Barents utara Rusia baru-baru ini. - Foto Roman Fedortsov.

Seekor ikan laut yang besar berjaya dinaikkan, merupakan salah satu tangkapan yang lebih besar menggunakan pukat tundu. - Foto Roman Fedortsov.

(Puffer fish) Ikan beracun ini adalah salah satu spesies makhluk laut yang membengkak hingga kelihatan pelik. Empat gigi besar itu digunakan untuk menghancurkan mangsanya. - Foto Roman Fedortsov.

Ikan hijau zamrud ini adalah salah satu makhluk laut yang ditangkap oleh nelayan Roman Fedortsov di utara Rusia. - Foto Roman Fedortsov.

Makhluk bersisik ini sangat kecil untuk dipegang dan hanya diletakkan di tangan kiri seseorang. Mata ikan ini seakan manik biru dan sisiknya berwarna hijau. - Foto Roman Fedortsov.

Makhluk laut ini ditangkap sejurus selepas memakan hidupan laut lain yang jauh lebih kecil dan tidak sempat menelannya. Ia juga merupakan tangkapan yang jarang berlaku bagi nelayan. - Foto Roman Fedortsov.

Seekor lagi ikan pemangsa bermata besar yang terperangkap dalam jaring pukat berjaya dinaikkan. - Foto Roman Fedortsov.

Seakan makhluk asing-ikan pelik ini ditangkap oleh Ronan Fedortov, di Laut Barents utara Rusia. - Foto Roman Fedortsov.

(Anglerfish) Makhluk laut ini kelihatan hitam berkilat dengan tompok biru di badannya dan gigi tajam. - Foto Roman Fedortsov.

Ikan ini dengan kepala memanjang kelihatan seperti makhluk asaing yang mirip dalam televisyen. - Foto Roman Fedortsov.

Sabtu, 31 Julai 2021

Hadiri majlis perkahwinan selepas bunuh jiran sambil pegang parang, tetamu lari bertempiaran

Hadiri majlis perkahwinan selepas bunuh jiran sambil pegang parang, tetamu lari bertempiaran


Kemeriahan majlis perkahwinan betukar kecoh apabila didatangi seorang lelaki berparang yang mengaku baru sahaja membunuh seorang individu lain, menyebabkan sebilangan tetamu lari bertempiaran dalam kejadian di wilayah Kalimantan Selatan.


Menurut lapor laman berita Suara.com pada 30 Julai 2021, lelaki dikenali sebagai Herlan, 45, itu dilaporkan secara tiba-tiba hadir pada majlis perkahwinan salah seorang jirannya dan membuat pengakuan bahawa dia baru sahaja membunuh jirannya yang lain, Dedi Rahman.


"Saya telah membunuh Dedi," kata Herlan seperti yang diceritakan oleh salah seorang tetamu yang hadir.


Menurut seorang lagi tetamu dikenali sebagai Utuk, tiada seorang pun yang berani mendekati Herlan pada waktu itu. Dia seperti orang yang sedang mabuk dan tangannya sedang memegang sebilah parang.


Beberapa penduduk kampung kemudian pergi ke rumah Dedi untuk memeriksa keadaannya, dan sebaik tiba mereka mendapati lelaki itu berada dalam keadaan berlumuran darah serta tidak menggerakkan badannya.


Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan, namun tidak dapat diselamatkan kerana mengalami cedera parah akibat dilibas parang pada bahagian pinggang, bahu dan belakang leher.


Anggota polis telah datang ke tempat kejadian dan punca pembunuhan dilaporkan masih tidak dapat dipastikan, selain Herlan yang merupakan seorang bekas banduan turut melarikan diri ke dalam hutan.

Jumaat, 30 Julai 2021

Siswazah mangsa penipuan dalam talian, rugi RM138,990 wang KWSP arwah bapa tirinya

Siswazah mangsa penipuan dalam talian, rugi RM138,990 wang KWSP arwah bapa tirinya


Walaupun banyak amaran, makluman dan peringatan telah diberikan kepada orang ramai, kita masih membaca laporan tentang orang yang menjadi mangsa penipuan dalam talian.


Baru-baru ini, seorang siswazah kerugian kira-kira RM138,990 selepas terpedaya dengan penipuan tawaran pekerjaan melalui iklan di Facebook.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada siswazah berusia 24 tahun itu pada 27 Julai 2021 lalu.


Menurutnya, mangsa memberitahu melihat iklan pekerjaan itu di Facebook sebelum berurusan dengan penama Nelson Pang dan diminta untuk memuat turun apps PbCompany.


"Mangsa kemudian diberikan id dan 'username'. Dia memberitahu perlu memasukkan wang ke dalam akaun itu dan mencapai 'target order' sehingga mencukupi nilai barang-barang daripada laman Shopee, Lazada atau Zalora yang dipesan syarikat," katanya.


Katanya, mangsa dijanjikan komisen sebanyak 2.5 peratus bersama wang dimasukkannya itu jika berjaya mencapai sasaran jualan.


"Siszawah itu terus membuat bayaran untuk tujuan berkenaan dengan melakukan 15 transaksi bermula 22 hingga 25 Julai lalu ke dalam enam akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM138, 990 menggunakan wang KWSP arwah bapa tirinya.


"Selepas pembayaran dilakukan, mangsa tidak mendapat wang komisen seperti dijanjikan dan masih diminta masukkan lagi wang," katanya mangsa kemudian menyedari ditipu sebelum tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Beliau menasihatkan orang ramai supaya data peribadi atau identiti tidak didedahkan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali atau baru dikenali di internet serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi.

Pakar Dakwa Teknologi Makhluk Asing Berbilion Tahun Lebih Maju Mampu Hancurkan Bumi Seperti Kacang

Pakar Dakwa Teknologi Makhluk Asing Berbilion Tahun Lebih Maju Mampu Hancurkan Bumi Seperti Kacang

Gambar hiasan (getty images).

Seorang pakar objek terbang tidak dikenali (UFO) mendakwa makhluk asing akan menghancurkan manusia dalam satu perang yang menakutkan dan 'mereka' boleh membelah bumi umpama sebutir kacang, lapor akhbar Daily Star pada 27 Julai 2021 lalu.


Nick Pope yang menyiasat UFO untuk Kementerian Pertahanan Britain berkata, manusia akan mengalami kebinasaan sekiranya makhluk asing menceroboh kerana senjatanya adalah berbilion tahun lebih maju berbanding yang dimiliki manusia.


Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menerbitkan laporan berkenaan UFO awal bulan ini yang merangkumi 143 fenomena penampakan aerial yang tidak dikenali (UAP) oleh juruterbang tentera AS sejak 2004.


Menurut laporan itu, UAP menimbulkan masalah keselamatan pada penerbangan dan mungkin menimbulkan cabaran pada keselamatan negara AS.


Namun, kerajaan Britain tidak mempunyai perancangan untuk menjalankan siasatan sendiri berkenaan UFO dan ancamannya kepada negara itu. Pope berkata terdapat kehidupan lain di luar Bumi yang berbilion tahun lebih maju berbanding teknologi ciptaan manusia di Bumi.


"Teknologi makhluk asing mungkin jutaan atau berbilion tahun lagi lebih maju berbanding Bumi dan teknologi mereka akan kelihatan seperti magis.


"Ya, kita ada program angkasa lepas namun dengan penyelidikan angkasa lepas yang ada dan mengambil kira jarak antara bintang paling dekat dengan Bumi, kita akan memerlukan masa selama 75,000 tahun untuk sampai ke sana.


"Jika kita akan dilawati makhluk asing dari bintang lain, itu bermakna teknologi mereka tersangat maju dan mampu untuk membelah atau meretakkan Bumi ini seperti kacang jika mereka mahu," katanya.

Khamis, 29 Julai 2021

Kerana Pakai Seluar Jeans Gadis Dibelasah Keluarga Sendiri Sampai Mati

Kerana Pakai Seluar Jeans Gadis Dibelasah Keluarga Sendiri Sampai Mati


Hanya kerana memakai seluar jeans ketika menghadiri upacara keagamaan, seorang gadis berusia 17 tahun dipukul sehingga maut oleh ahli keluarganya sendiri di Uttar Pradesh, India, lapor akhbar BBC News pada 26 Julai 2021.


Mangsa, Neha Paswan, dipukul dengan tongkat oleh datuk dan bapa saudaranya selepas bertengkar mengenai cara pemakaian gadis itu. Menurut ibunya, Shakuntala Devi Paswan, Neha sebelum itu berpuasa di waktu siang dalam satu amalan keagamaan.


"Pada waktu malam, dia memakai seluar jeans beserta baju T dan menjalani ritual keagamaan seperti biasa. Apabila datuk dan neneknya memarahi dia kerana memakai pakaian tersebut, Neha menjawab bahawa seluar jeans dibuat untuk dipakai," katanya.


Beberapa ahli keluarga yang lebih tua turut membantah pemakaian gadis itu kerana ia dilihat sebagai pakaian barat yang tidak sopan selain menyuruh Neha memakai pakaian tradisional. Pertelingkahan tersebut berlarutan sehingga membawa kepada keganasan.


Kata Shakuntala, Neha dipukul sehingga tidak sedarkan diri, kemudiannya dibawa ke hospital oleh kaum lelaki dan ahli keluarga yang lain melarangnya daripada mengikuti mereka.


"Mereka tidak membenarkan saya menemani Neha, jadi saya meminta beberapa saudara untuk mencari Neha di hospital namun dia gagal ditemui," ujarnya.


Pada keesokan paginya, Shakuntala mendengar berita bahawa terdapat mayat seorang gadis ditemui tergantung dari sebuah jambatan di sungai berdekatan, dan apabila disiasat, ia merupakan mayat Neha.


Susulan itu, satu kes pembunuhan dan pemusnahan bukti telah dibuat terhadap 10 individu, dan tertuduh adalah termasuk datuk dan nenek Neha, beberapa bapa saudara dan ibu saudara, sepupu serta pemandu teksi auto.


Bapa Neha, Amarnath Paswan ketika kejadian tiada di rumah kerana bekerja sebagai buruh binaan di bandar Ludhiana.


Shakuntala Devi Paswan (kanan) masih berusaha memahami mengapa mereka membunuh anak perempuannya hanya kerana memakai seluar jeans.
Pasangan pelakon terkenal Hollywood jarang mandi, hanya cuci bahagian 'anu' saja

Pasangan pelakon terkenal Hollywood jarang mandi, hanya cuci bahagian 'anu' saja


Pasangan pelakon terkenal Hollywood, Mila Ashton Kutcher dan Mila Kunis mengakui mereka jarang mandi, sebaliknya hanya membersihkan bahagian sulit saja setiap hari.


Dalam temubual bersama program podcast Armchair Expert, Kunis berkata, mereka juga bersepakat mendidik dua anak mereka iaitu Wyatt, 6, dan Dimitri, 4 dengan cara yang sama.


Menurut Mila, walau begitu, mereka sekeluarga akan memastikan bahagian sulit dan wajah dicuci pada setiap hari, dan bahagian lain hanya akan dibersihkan bila terkena kotoran sahaja.


"Saya membesar tanpa alat pemanas air, jadi saya memang jarang mandi. Saya pun bukan jenis yang mandikan anak-anak. Kalau nampak ada kotoran pada anak-anak, kami akan bersihkan. Kalau tidak, tak perlu mandi," katanya.


Menurut Kutcher pula, dia hanya menggunakan air untuk membersihkan wajah walaupun selepas melakukan aktiviti kecergasan.


"Hanya ketiak dan celah kangkang saja, tempat lain tak perlu. Kalau selepas bersenam, saya basuh muka untuk buang garam-garam peluh," katanya.


Dalam pada itu, pendedahan pasangan terkenal ini telah menimbulkan pelbagai respons daripada pengikut dan peminat apalagi dalam situasi pandemik Covid-19, mandi adalah satu daripada amalan kebersihan utama dalam memerangi wabak ini.


Ashton Kutcher, Mila Kunis jarang mandi.
Hanya Perlu 2 Set, Beregu Malaysia Tumbangkan Pasangan No.1 Dunia, Melayakkan Ke Separuh Akhir Menentang Wakil China

Hanya Perlu 2 Set, Beregu Malaysia Tumbangkan Pasangan No.1 Dunia, Melayakkan Ke Separuh Akhir Menentang Wakil China


Aksi luar biasa beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Sooh Wooi Yik membawa mereka ke separuh akhir temasya Olimpik Tokyo 2020 apabila membenam pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon.


Walaupun di atas kertas pasangan Indonesia itu dilihat tidak mempunyai masalah untuk menundukkan pasangan dari Malaysia, namun bila di atas gelanggang semuanya tidak mustahil berlaku. Gideon dan Sukamuljo tampak agak tertekan sepanjang perlawanan ini.


Banyak kesilapan yang dilakukan dan Aaron-Wooi Yik tidak sedikit pun melepaskan peluang yang ada untuk menghukum pasangan Indonesia itu jika melakukan kesilapan. Beregu Malaysia bermain dengan penuh yakin dan bersemangat pagi ini sehingga aura semangat itu mampu menumbangkan beregu no.1 dunia.


Beraksi di Musashino Forest Sport Plaza itu, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kesembilan dunia akhirnya membuktikan kewibawaan mereka apabila menewaskan pasangan Indonesia dengan straight set 21-14, 21-17 buat kali pertama dalam lapan pertemuan.



Aaron berkata, tampil sebagai underdog membuatkan mereka lebih tenang berbanding Kevin Sanjaya-Marcus Fernaldi yang diletakkan sebagai pilihan pertama.


"Kami turun memberi yang terbaik. Memang kami tidak pernah kalahkan mereka sebelum ini. Kami percaya, upset ini akan dapat meningkatkan keyakinan kami untuk perlawanan seterusnya. Tak kisah sapa lawan kami, kami akan tetap berikan yang terbaik untuk menang," katanya.


Sementara itu, Wooi Yik berkata, strategi mereka adalah untuk tidak memberikan bola tinggi kerana itu memberi kelebihan kepada lawan.


"Ini satu perasaan luar biasa dapat menang kali pertama di suku akhir dan nanti akan beraksi di separuh akhir di temasya besar ini. Semangat kami memang ada untuk pergi jauh. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua di Malaysia yang berikan sokongan kepada kami. Kami akan terus berjuang," katanya.


Bagaimanapun mereka akan melalui satu lagi cabaran besar untuk menumbangkan beregu utama China, Jun Hui-Yu Chen, demi memastikan kilauan pingat buat negara. Wakil China itu mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 12-21, 21-14, 21-19.


Berdasarkan lima pertemuan lalu, Aaron dan Wooi Yik belum pernah menenang menentang lawan di rangking keenam dunia itu tetapi kemenangan ke atas Gideon dan Sanjaya hari ini sudah cukup untuk menceritakan kisah berbeza di pentas Sukan Olimpik.


Seandainya menang, mereka akan bertemu sama ada wakil Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin, atau pilihan kedua dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, dalam final.


Update 31 Julai 2021 - Aaron-Wooi Yik merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di Musashino Forest Sports Plaza sebentar tadi dengan mata 17-21, 21-17, 21-14.