Khamis, 29 Julai 2021

Hanya Perlu 2 Set, Beregu Malaysia Tumbangkan Pasangan No.1 Dunia, Melayakkan Ke Separuh Akhir Menentang Wakil China


Aksi luar biasa beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Sooh Wooi Yik membawa mereka ke separuh akhir temasya Olimpik Tokyo 2020 apabila membenam pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon.


Walaupun di atas kertas pasangan Indonesia itu dilihat tidak mempunyai masalah untuk menundukkan pasangan dari Malaysia, namun bila di atas gelanggang semuanya tidak mustahil berlaku. Gideon dan Sukamuljo tampak agak tertekan sepanjang perlawanan ini.


Banyak kesilapan yang dilakukan dan Aaron-Wooi Yik tidak sedikit pun melepaskan peluang yang ada untuk menghukum pasangan Indonesia itu jika melakukan kesilapan. Beregu Malaysia bermain dengan penuh yakin dan bersemangat pagi ini sehingga aura semangat itu mampu menumbangkan beregu no.1 dunia.


Beraksi di Musashino Forest Sport Plaza itu, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kesembilan dunia akhirnya membuktikan kewibawaan mereka apabila menewaskan pasangan Indonesia dengan straight set 21-14, 21-17 buat kali pertama dalam lapan pertemuan.



Aaron berkata, tampil sebagai underdog membuatkan mereka lebih tenang berbanding Kevin Sanjaya-Marcus Fernaldi yang diletakkan sebagai pilihan pertama.


"Kami turun memberi yang terbaik. Memang kami tidak pernah kalahkan mereka sebelum ini. Kami percaya, upset ini akan dapat meningkatkan keyakinan kami untuk perlawanan seterusnya. Tak kisah sapa lawan kami, kami akan tetap berikan yang terbaik untuk menang," katanya.


Sementara itu, Wooi Yik berkata, strategi mereka adalah untuk tidak memberikan bola tinggi kerana itu memberi kelebihan kepada lawan.


"Ini satu perasaan luar biasa dapat menang kali pertama di suku akhir dan nanti akan beraksi di separuh akhir di temasya besar ini. Semangat kami memang ada untuk pergi jauh. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua di Malaysia yang berikan sokongan kepada kami. Kami akan terus berjuang," katanya.


Bagaimanapun mereka akan melalui satu lagi cabaran besar untuk menumbangkan beregu utama China, Jun Hui-Yu Chen, demi memastikan kilauan pingat buat negara. Wakil China itu mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 12-21, 21-14, 21-19.


Berdasarkan lima pertemuan lalu, Aaron dan Wooi Yik belum pernah menenang menentang lawan di rangking keenam dunia itu tetapi kemenangan ke atas Gideon dan Sanjaya hari ini sudah cukup untuk menceritakan kisah berbeza di pentas Sukan Olimpik.


Seandainya menang, mereka akan bertemu sama ada wakil Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin, atau pilihan kedua dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, dalam final.


Update 31 Julai 2021 - Aaron-Wooi Yik merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di Musashino Forest Sports Plaza sebentar tadi dengan mata 17-21, 21-17, 21-14. 


EmoticonEmoticon