Khamis, 8 Julai 2021

Lelaki tinggal dalam hutan selama 30 tahun dan tidak berhubung dunia luar

Lelaki tinggal dalam hutan selama 30 tahun dan tidak berhubung dunia luar


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan mengenai kesusahan dan keperitan seorang warga emas yang mendiami pondok usang dalam hutan di sebuah kebun getah berhampiran Jalan Trolak-Slim River di Perak.


Rashid Mat Sah, 66, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor merantau ke Slim River untuk mencari kerja selepas ibu bapanya berpisah. Dia mengakui tinggal di pondok itu kira-kira 30 tahun lalu yang dibinanya sendiri menggunakan zink dan kayu terpakai.


"Apabila tiba di kawasan ini, saya mengikut seorang lelaki untuk berkerja di dusun durian. Saya mendapat upah dengan menjaga dan membersihkan dusun yang dipajaknya," katanya ketika ditemui.


Menceritakan kehidupannya kini, menurut Rashid, pada waktu malam, dia akan menyalakan pelita manakala air hujan pula digunakan untuk mandi dan memasak.



Rashid berkata, dia bersyukur kerana ada seorang guru yang sering membantunya membeli barangan keperluan asas, walaupun pondoknya terletak di dalam kawasan hutan sejauh kira-kira 1.5 kilometer dari jalan besar.


"Guru berkenaan mempunyai ladang getah di lokasi berhampiran dan saya selalu meminta bantuannya. Memang sunyi tinggal seorang diri di hutan, saya hanya bertemankan anjing yang dibela sebagai kawan selain untuk menjaga keselamatan," katanya.


Menurut Rashid, dokumen pengenalan dirinya tiada sejak lahir, dan selepas bapanya meninggal ibunya pula tidak dapat dikesan membuatkan dia terpaksa tinggal bersama nenek sebelum merantau. Selama berpuluh tahun tinggal di pondok itu, dia tidak tahu langsung apa yang berlaku di luar.


"Saya bukan tidak mahu keluar sesekali ke pekan dan sebagainya namun disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, ia menghalang saya berbuat demikian. Kalau boleh saya nak sangat ada kad pengenalan," katanya.



Jelasnya, duit diperoleh dengan bekerja mengambil upah menjaga kebun berhampiran pondok yang dibina di atas tanah pemilik kebun terbabit. Katanya lagi, dia sudah biasa dengan tempat itu, dan akan tetap duduk di situ. "Biarlah saya kerja jaga kebun ini pun tak apa," katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz yang melawat Rashid berkata, beliau mengetahui keadaan lelaki itu selepas dimaklumkan orang awam.


"Hasil kunjungan ke pondok Rashid, saya dapati kehidupannya memang daif. Saya akan bantunya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi memudahkan urusan dan bantuan," katanya.


Menurut beliau, sementara menunggu urusan menyiapkan dokumen pengenalan diri, pihaknya akan terus membantu Rashid. Berkaitan bekalan air, beliau akan cuba menggali perigi untuk mendapatkan bekalan air bersih.


Katanya, pihaknya juga akan bawa Rashid ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan dan merawat penyakit kulit dialami yang dipercayai berpunca daripada anjing yang dibelanya, dan membina kandang anjing untuk mengelakkan ia tinggal dalam pondok bersama Rashid.


Rashid menunjukkan air hujan yang ditadah di dalam sebuah tong untuk digunakan bagi membersihkan diri berhampiran pondoknya.

Rashid menunjukkan dapur di luar pondok yang digunakan untuk memasak makanan dan air hujan yang ditadah.
Misteri Kewujudan 'Mata Sahara' Dipercayai Berusia 100 Juta Tahun Yang Terletak Di Tengah Padang Pasir

Misteri Kewujudan 'Mata Sahara' Dipercayai Berusia 100 Juta Tahun Yang Terletak Di Tengah Padang Pasir


Gurun Sahara adalah destinasi paling terkenal di Afrika, tetapi adakah anda tahu ada fenomena misteri di sana? Kewujudan 'pusaran gergasi' yang kelihatan seperti mata lembu dan menonjol di gurun tersebut. Formasi geologi aneh itu terbentang di kawasan gurun seluas kira-kira 48 kilometer terletak di negara Mauritania, Afrika Barat.


Dikenali sebagai Mata Sahara (The Eye of Sahara) atau Richat Structure, pertama kali dikesan oleh para angkasawan ketika misi Gemini IV pada tahun 1965. Dalam misi itu, para angkasawan juga diminta untuk memgambil gambar beberapa sudut bumi.


Pada saat mengambil gambar di bahagian barat Sahara, satelit Landsat berjaya merakam imej jelas yang memaparkan bulatan 'gergasi' seakan 'mata'. Penemuan itu telah didedahkan kepada umum secara kiraan kasar mengenai ukuran, tinggi dan luasnya.


Penemuan bentuk misteri tersebut pastinya menimbulkan persoalan dan teori dalam kalangan penduduk di dunia sehingga ada yang mendakwa bahawa ia merupakan sebahagian dari kota Atlantis yang hilang. Bagaimanapun, beberapa ahli geologi menpunyai teori yang berlainan.



Salah satunya adalah, ahli geologi percaya bahawa bulatan yang digelar 'Mata Sahara' itu merupakan kawah hentaman asteroid dan letusan gunung berapi tetapi tidak ada bukti yang terarah pada kedua teori itu. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan pada batu yang terdapat di dalam struktur itu menunjukkan bahawa ia merupakan earth-based sepenuhnya iaitu terhasil daripada proses geologi.


Disebabkan itu, mereka juga telah membuat kesimpulan bahawa ia merupakan kubah geologi (geologic dome) yang mengandungi batuan yang berusia sekurang-kurangnya 100 juta tahun iaitu tidak lama sebelum munculnya kehidupan di bumi.


Batu-batuan ini termasuk endapan igneus (lapisan gunung berapi) serta lapisan sedimen. Beberapa tahun yang lalu pula, ahli geologi menemui beberapa jenis batuan beku di kawasan pembentukan mata itu termasuk yang dikenali sebagai kimberlite, carbonatites, basalt hitam dan rhyolites.



Batu-batu purba yang terdapat dalam kubah geologi itu telah memberikan sedikit maklumat kepada para penyelidik mengenai asal usulnya. Pembentukannya yang paling awal adalah bermula ketika Pangea (superbenua) mula terpisah.


Ketika Pangea pecah, perairan Lautan Atlantik mulai mengalir ke wilayah ini. Ia menyebabkan berlakunya tolakan dari dalam magma dan mantel bumi sehingga membentuk kubah berbatu dengan bulatan yang dikelilingi oleh lapisan batu pasir.


Keunikannya itu menjadi daya tarikan buat pelancong dan ahli geologi tetapi disebabkan ia berada di kawasan gurun yang kering dengan curahan hujan yang sedikit, ia tidak 'diancam' oleh manusia. Sehingga kini, ia dianggap sebagai misteri dan masih menjadi perdebatan ramai pihak dengan pelbagai teori.


Rabu, 7 Julai 2021

Tentera AS Pergi Tanpa Ucap 'Selamat tinggal' Tinggalkan Ribuan Kereta Perisai Dan 3.5 Juta Barang

Tentera AS Pergi Tanpa Ucap 'Selamat tinggal' Tinggalkan Ribuan Kereta Perisai Dan 3.5 Juta Barang


Tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan Pangkalan Udara Bagram secara 'senyap' minggu lepas tanpa memberitahu kerajaan Afghanistan. Pangkalan Tentera Udara Bagram merupakan pusat keselamatan utama yang sebelum ini menempatkan puluhan ribu tentera AS.


Menurut lapor BBC News pada 6 Julai 2021, Komander baharu pangkalan Bagram, Jeneral Mirassadullah Kohistani berkata, AS meninggalkan Bagram pada Jumaat lalu jam 3 pagi (waktu tempatan), dan hanya diketahui oleh tentera Afghanistan beberapa jam kemudian.


Mereka berdepan dengan cabaran yang sangat besar dan perlu pikul tanggungjawab itu demi masa depan Afghanistan. Tentera Afghanistan kini bertanggungjawab menjaga Pangkalan Tentera Udara Bagram, yang dibina pertama kali oleh AS untuk tentera Afghanistan ketika era Perang Dingin pada 1950-an.


Kenderaan tahan lasak jalan berpasir dan lumpur  (MRAP) juga ditinggalkan di Bagram. - Foto AFP.

Menurut Mirassadullah, berita itu juga diketahui oleh Taliban yang kini bergerak menuju Bagram. Katanya, mereka sudah menjangkakan Taliban akan menyerang pangkalan itu. Dia turut mengatakan bahawa ada laporan Taliban melakukan 'pergerakan luar bandar' berhampiran pangkalan udara.


"Jika hendak dibandingkan dengan AS, sangat besar perbezaan itu dan tentera Afghanistan tidak akan menjadi sekuat tentera AS. Namun, berdasarkan kebolehan dan keupayaan kami, tentera Afghanistan akan cuba melakukan yang terbaik dan berkhidmat untuk rakyat," katanya.


Jelas Mirassadullah, mereka hanya tahu pasukan terakhir tentera AS meninggalkan negara ini pada minggu lalu. Mereka pergi tanpa mengucapkan 'selamat tinggal' dan membiarkan tentera Afghanistan 'terpinga-pinga' mengenai apa yang perlu dilakukan.


Mirasadullah juga yakin bahawa 3,000 anggota tentera dibawah jagaannya mampu menentang Taliban, biarpun mereka sudah menerima laporan mengenai rancangan serangan kumpulan militan tersebut.


Seorang tentera Afghanistan memeriksa barang-barang ditinggalkan tentera AS di Pangkalan Udara Bagram. - Foto EPA.

Tentera Amerika Syarikat Tinggalkan Ribuan Kenderaan


Pasukan tentera AS meninggalkan Afghanistan lebih awal dari tarikh rasmi 11 September 2021 seperti yang diumumkan oleh Presiden Joe Biden awal tahun ini. Kira-kira 3,500 tentera AS dan 7,000 askar NATO mulai berundur di negara itu yang ditempatkan sejak 20 tahun lalu.


Di Bagram, menurut Jeneral Mirassadullah Kohistani, AS meninggalkan sekitar 3.5 juta barang. Barang-barang tersebut termasuk puluhan ribu air botol, minuman tenaga, dan makanan 'meal, ready to eat' atau dikenali sebagai MRE untuk anggota tentera.


Lapor agensi berita Associated Press, AS juga meninggalkan ribuan kereta awam tanpa kunci serta ratusan kenderaan perisai. Senjata dan peluru kecil diserahkan kepada pasukan Afghanistan, dan beberapa stok peluru telah diletupkan.


Bagram turut mempunyai kemudahan penjara dan dilaporkan mampu menampung kira-kira 5,000 tahanan. Pengkalan ini dibangunkan oleh AS untuk Afghanistan pada tahun 1950-an, tetapi diambil alih oleh Soviet Union ketika Tentera Merah menyerang pada tahun 1979.


Bagram pernah dikendalikan oleh pemerintah Afghanistan yang disokong oleh Moscow, kemudian kumpulan mujahidin. Taliban kemudian mengambil alih Bagram ketika kumpulan itu berkuasa pada pertengahan 1990-an.


Tentera AS meninggalkan ribuan kereta awam tanpa kunci di Bagram. - Foto Reuters.

Namun, ketika AS menyerang Afghanistan dan menggulingkan Taliban pada tahun 2001, pangkalan udara itu diperluas dan berubah menjadi pangkalan penentangan terhadap Taliban.


Pada 29 Februari 2020, kerajaan AS dan Taliban menandatangani satu perjanjian keamanan yang menetapkan tarikh pengunduran askar-askar AS dari negara tersebut. Berdasarkan perjanjian berkenaan, AS akan mengundurkan semua anggota tenteranya dalam tempoh 14 bulan.


Sebagai pertukaran, kumpulan Taliban yang sebelum ini pernah menawan Kabul serta menguasai sebahagian Afghanistan pada tahun 1990-an, pula berjanji untuk menghalang kumpulan-kumpulan pengganas beroperasi di wilayah kekuasaan mereka.


Tentera AS meninggalkan ribuan kereta awam tanpa kunci di Bagram. - Foto Reuters.

Tentera AS juga meninggalkan ratusan kenderaan perisai di Bagram. - Foto EPA.

Klinik dengan pelbagai peralatannya ditinggalkan di Bagram. - Foto Reuters.

Tentera Afghanistan mengawasi Pangkalan Udara Bagram, setelah tentera AS pergi. - Foto EPA.
'Kebun Haram' Kawalan Anggota PGA Lancarkan Operasi Tebang Durian Musang King

'Kebun Haram' Kawalan Anggota PGA Lancarkan Operasi Tebang Durian Musang King


KUANTAN, 7 Julai - Kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) jelas memberikan kesan besar apabila operasi tebang dan musnah ladang durian haram kini berjalan lancar, dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.


Sebelum ini, provokasi melampau pekebun yang menceroboh hutan itu pada hari kedua operasi menyebabkan perasaan bimbang menghantui petugas yang terbabit dalam usaha tebang dan musnah tanaman itu.


Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, petugas jabatan itu bersemangat menjalankan operasi penguatkuasaan selepas kehadiran anggota PGA sejak semalam.



Beliau difahamkan, seramai 30 anggota PGA menyertai operasi itu mulai semalam dan hari ini seramai 30 lagi turut sama bergabung menjaga keselamatan petugas yang berada di dalam Hutan Simpan Batu Talam.


Katanya, anggota polis dan PGA turut mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama masuk ke kawasan terbabit, selain kawalan membabitkan jambatan konkrit yang sebelum ini dua kali dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.


"Saya berharap operasi kini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak dan provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab tidak berulang lagi. Hari ini juga kita menambah lebih 30 petugas JPNP daripada beberapa daerah untuk turut sama menyertai operasi musnah.


"Menjadikan keseluruhannya seramai 65 petugas yang terlibat dalam operasi berkenaan yang bermula 3 Julai lalu dan dijangka mengambil masa sehingga 2 Ogos ini, petugas dibahagikan kepada beberapa kumpulan penebang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Nor Azirim yang turut menyertai operasi itu, berkata kehadiran anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) melancarkan lagi aktiviti menebang pokok durian kerana mereka berkemahiran tinggi dan mempunyai lebih kelengkapan.


Beliau berkata, pihaknya berharap operasi musnah kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar dapat diselesaikan secepat mungkin lebih awal yang tetapkan sebelum ini.


Dua anggota PGA berkawal di ladang durian dekat Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub. - Foto Utusan.

Aktiviti penebangan pokok durian di Hutan Simpan Batu Talam di Raub berjalan lancar hari ini. - Foto Kosmo.

Anggota penebang menjalankan kerja menebang pokok durian musang king dalam Hutan Simpan Batu Talam. - Foto Mohd Rafi Mamat.

Selasa, 6 Julai 2021

Makmal Di China Dalam Perancangan Menghidupkan Semula Orang Yang Sudah Mati

Makmal Di China Dalam Perancangan Menghidupkan Semula Orang Yang Sudah Mati


Membangkitkan orang yang sudah mati merupakan impian sebuah makmal di China. Kaedahnya adalah dengan membekukan jasad manusia sehingga tiba masanya suatu hari nanti teknologi masa depan dapat menghidupkannya semula, lapor Global Times pada 21 Januari  2021.


Kaedah ini biasanya disebut kriogenik, dan beberapa institusi mempelajari bidang ini. Shandong Yinfeng Life Science Research Institute yang terletak di Jinan, China adalah salah satu daripadanya, di mana mayat beberapa orang telah disimpan di sini pada suhu yang sangat rendah.


Pada 8 Mei 2017, seorang lelaki dikenali Zhan di sahkan telah meninggal dunia akibat barah paru-paru di sebuah hospital di Jinan, ibu kota wilayah Shandong China Timur. Tetapi ini bukan pengakhiran kisah tersebut apabila isteri kepada Zhan iaitu Gui belum putus asa.


Mayat Zhan segera dibekukan dengan teknologi kriopreservasi di sebuah institusi penyelidikan di Jinan, dan disimpan dalam bekas keluli tahan karat yang mengandungi nitrogen cecair super sejuk. Dalam keadaan seperti itu, metabolisme sel dapat bertahan selama 2.4 bilion tahun.


Cryopreservation is operated in Yinfeng company, East China's Shandong Province. - Foto Courtesy of Yinfeng.

Seperti yang dirancangkan Zhan akan dihidupkan kembali oleh teknologi masa depan suatu hari nanti. Gui dan anaknya juga menandatangani kesediaan untuk dibekukan dalam kriopreservasi bila mereka mati nanti, dengan harapan keluarganya boleh bersatu semula.


Zhan adalah kes tempatan yang pertama dalam kriopreservasi di China. Pada masa ini, 10 orang telah menjalani pemeliharaan krio di China, dan di seluruh dunia jumlahnya melebihi 400. Terdapat empat institusi seperti ini di dunia. Selain dari China, terdapat dua di Amerika Syarikat (AS) dan satu di Rusia.


Institusi Yinfeng Life sendiri bekerjasama dengan hospital dan universiti di China. Pengarahnya ialah Aaron Drake yang pernah bekerja di Alcor yang berpusat di Arizona, AS. Dia menyatakan perbezaan institusi di China dan di negara lain yang mungkin menjadikan Negara Tirai Buluh unggul. 


Di AS, institusi dengan kaedah sedemikian mesti mematuhi undang-undang dengan tegas dan perlu mempunyai lesen perubatan. Pembekuan melibatkan mayat hanya dibenarkan pada manusia yang benar-benar sudah mati.


"Tetapi kerajaan China tidak hanya mahu kami menjadi projek pembekuan badan. Kerajaan mahu bagaimana projek ini dapat berguna di semua bidang perubatan. Ini adalah projek penyelidikan besar jadi saya berminat untuk bergabung," katanya.


Oleh itu institusi ini juga sedang mengembangkan teknologi lain, seperti pemindahan organ yang lebih berkesan. Dengan sokongan pemerintah China dan mengembangkan kaedahnya secara aktif, ada kemungkinan Yinfeng Life akan mendahului pesaingnya di negara lain.


The Reproductive Medicine Center of The West China Second University Hospital of Sichuan University is the largest 'test-tube baby' center in Southwest China. - Foto VCG.

Salah satu perkara yang ingin mereka selesaikan adalah menyelamatkan seluruh tubuh manusia dengan lebih berkesan sehingga lebih senang 'dibangkitkan' kemudian. Pada masa ini, institusi ini telah menyimpan 10 badan manusia dan peminatnya terus bertambah.


"Lebih daripada 100 orang mengunjungi kami tahun lalu, dan 60 orang menjadi anggota di mana mereka berkomitmen untuk melakukan proses kriogenik," tambah Aaron.


Dia menambah bahawa budaya Cina lebih senang menerima kaedah seperti itu kerana mereka kurang beragama daripada di beberapa negara barat. Mereka cenderung tidak menghiraukan prosedur yang dilakukan.


Walaupun teknologi membangkitkan orang mati masih mustahil dan tidak semestinya kenyataan, Aaron tetap optimis. Ini kerana kemajuan dalam bidang perubatan menurutnya sangat pesat.


"Orang-orang sekarang mati kerana barah, Parkinson dan penyakit otak yang lain. Sekiranya kita memasuki seratus tahun lagi, penyakit-penyakit itu mungkin akan mudah di ubati. Pada awal tahun 1900-an, orang-orang mati akibat serangan jantung, strok dan selesema," kesimpulan Aaron.


Cryopreservation is operated in Yinfeng company, East China's Shandong Province. - Foto Courtesy of Yinfeng.
Objek disangka komet rupanya teknologi makhluk asing, pernah datang Bumi pada 2017

Objek disangka komet rupanya teknologi makhluk asing, pernah datang Bumi pada 2017

Gambar hiasan (Foto Getty)

Hingga kini kewujudan makhluk asing seperti alien di angkasa lepas masih sukar dibuktikan. Walau bagaimanapun, ahli astronomi seringkali menangkap isyarat radio misteri dari luar bumi yang tidak diketahui sumber asalnya.


Kisah mengenai kewujudan makhluk asing yang masih menjadi teka-teki itu mungkin akan terjawab sedikit masa lagi. Beberapa negara di dunia sedang giat membangunkan teknologi canggih untuk mengesan kehadiran makhluk asing berkenaan.


Terbaru, seorang profesor dari Harvard yang mendakwa makhluk asing pernah datang ke bumi pada 2017, memberi amaran lebih banyak lagi mahkluk itu akan muncul.


Menurut lapor New York Post pada awal Januari 2021, Ketua Jabatan Astronomi Harvard, Avi Loeb percaya dia sudah menemui beberapa bahan berkaitan makhluk tersebut.


Dalam buku terbaharu berjudul 'Extraterrestrial: The First Sign of Intelligent Life Beyond Earth', profesor itu mendakwa sebuah objek yang muncul di sistem suria bukannya batu namun sebenarnya merupakan teknologi makhluk asing.  


Objek dikatakan itu didakwa bergerak menuju ke sistem suria dari arah Vega iaitu bintang berhampiran dengan 25 tahun cahaya, dan memintas kawasan orbit sistem itu pada 6 September 2017. Jelas Loeb dalam bukunya, pada 9 September, trajektori objek itu membawanya berhampiran dengan matahari.


"Pada akhir September, ia bergerak pada kelajuan kira-kira 94790.36 kilometer (km) sejam melepasi jarak orbit Venus, dan kemudian pada 7 Oktober pula melalui bumi sebelum bergerak pantas ke arah buruj Pengasus dan di sebelah sana," menurut buku itu.


Objek itu pertama kali dikesan oleh sebuah pusat pemantau di Hawaii yang mempunyai kelengkapan teleskop yang canggih iaitu Teleskop Kajian Panoramik dan Sistem Respons Pantas (Pan-STARRS).


Objek angkasa lepas itu juga digelar sebagai 'Oumuamua'. Tiada gambar jelas diambil namun para ahli astronomi mengkaji objek itu selama 11 hari dan berjaya mengumpulkan beberapa data lain.


Tambah Loeb, pada mulanya, saintis berpandangan objek itu merupakan komet biasa namun selepas menelitinya beliau menganggapnya sebagai sesuatu bahan teknologi dari makhluk asing.


Kata beliau, beberapa sifat luar biasa berkaitan objek itu yang membantunya untuk membuat kesimpulan berkenaan antaranya rupa bentuk Oumuamua.


Pusat Pemantau Haleakala, Maui yang mempunyai teleskop yang paling canggih di dunia berjaya mengambil gambar Oumuamua. - Foto ROB RATKOWSKI/PS1SC.

Asteroid Oumuamua dipercayai boleh bertukar arah dan mengatur kecepatannya. - Foto ESO/M. Kornmesser via Wikimedia Commons (CC-BY-SA-4.0).

Isnin, 5 Julai 2021

Lelaki Dakwa Rakam UFO Besar Berlegar-legar Berhampiran Apartmennya

Lelaki Dakwa Rakam UFO Besar Berlegar-legar Berhampiran Apartmennya


Seorang pelajar lelaki berjaya merakam gambar yang didakwa objek terbang tidak dikenali (UFO) yang besar terbang di pinggir laut di Devon, Britain, semalam.


Lapor Daily Mail, Matthew Evans, 36, dari Tidmouth, Devan mengesan objek terang yang tidak dikenali itu, sedang berlegar-legar di ruang udara kawasan tersebut selama 10 saat sebelum hilang daripada pandangan.


Menurutnya, dia mengesan objek tidak dikenali itu dari tingkap bilik di tingkat atas apartmennya pada minggu lalu, dan mendakwa melihat dengan jelas bentuk UFO tersebut.


Kata Evans, objek misteri itu memantulkan empat cahaya terang dalam formasi berbentuk segitiga sedang terbang di langit pada waktu malam.


Evans sempat merakam gambar objek tidak dikenali itu namun dalam masa beberapa saat, objek tersebut hilang daripada pandangannya.


"Objek itu tidak bergerak seperti pesawat biasa. Ia terbang lebih perlahan dan berlegar-legar di langit selama 10 saat. Objek tersebut turut memancarkan cahaya yang amat terang.


"Saya tidak pasti identiti sebenar objek itu, jadi saya membuat keputusan untuk merakam gambar. Sukar untuk menjelaskan, namun saya berpendapat ia adalah UFO," katanya.


Gambar yang dimuat naik ke media sosial itu menimbulkan banyak spekulasi di kalangan netizen, ada yang mengemukakan teori mereka sendiri yang memberikan penjelasan mengenai penampakan tersebut.


Ada yang mengatakan itu adalah pantulan cahaya jalan atau matahari, sementara yang lain mengatakan bahawa objek itu jelas menujukkan sebuah kapal asing dari luar angkasa.


Kejadian itu berlaku selepas Pentagon menyiarkan sebuah laporan mengenai UFO. Laporan setebal sembilan muka surat yang didedahkan pada 25 Jun lalu memaparkan sebanyak 144 insiden penampakan UFO dilaporkan oleh anggota tentera yang kebanyakannya berlaku pada tahun 2019.


Kelihatan empat cahaya berwarna terang keluar dari formasi UFO berbentuk segitiga. - Foto Matthew Evans/SWNS.
5 wanita bahayakan diri bersantai di balkoni tanpa pagar ditahan polis

5 wanita bahayakan diri bersantai di balkoni tanpa pagar ditahan polis


JOHOR BAHRU, 5 Julai - Polis menahan lima wanita warga Indonesia selepas melakukan perbuatan membahayakan diri dengan berkumpul di luar balkoni sebuah pangsapuri dalam kejadian di Taman Sri Bayu Puteri, di sini hari ini.


Kesemua wanita itu masing-masing berusia 20 hingga 26 tahun ditahan pada pukul 12.15 tengah hari susulan rakaman video tular di media sosial sejak semalam.


Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd Zain berkata, hasil semakan dan siasatan mendapati kejadian itu berlaku tingkat enam sebuah pangsapuri kira-kira jam 10 pagi, semalam.


"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Pelangi, IPD Johor Bahru Selatan telah melakukan siasatan dan menahan lima wanita berkenaan. Mereka mengaku melakukan perbuatan itu di pangsapuri tersebut.


"Hasil semakan ke atas dokumen pengenalan diri, mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Mohd. Padzli berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan diri atau keselamatan diri dan orang lain.


Terdahulu, tular video berdurasi tujuh saat memaparkan beberapa wanita dipercayai warga asing melakukan perbuatan membahayakan nyawa dengan duduk bersantai di luar balkoni sebuah pangsapuri, mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat.


Kesemua wanita berkenaan dilihat duduk serta berdiri bersembang sambil membawa minuman. Mereka dipercayai keluar untuk bersantai di balkoni tanpa sebarang pagar itu melalui tingkap bilik di unit berkenaan.


Beberapa wanita dipercayai warga asing melakukan perbuatan membahayakan nyawa bersantai di luar balkoni sebuah pangsapuri ditahan polis.
Wanita Mengaku Pemilik Matahari Tuntut Bayaran Dari Seluruh Umat Manusia Yang Memakai Sumber Cahaya Itu

Wanita Mengaku Pemilik Matahari Tuntut Bayaran Dari Seluruh Umat Manusia Yang Memakai Sumber Cahaya Itu


Seorang wanita di Sepanyol mengaku dirinya sebagai pemilik matahari, meminta bayaran daripada setiap manusia di bumi yang telah memakai cahaya dari sumber tersebut, dan juga mana-mana syarikat yang mendapat keuntungan daripada penggunaan cahaya matahari.


Wanita yang dikenali bernama Angeles Duran telah mendaftarkan dirinya sebagai pemilik matahari di sebuah pejabat notaris di Sepanyol. Dalam dokumen pendaftaran itu, dia menulis bahawa matahari sekarang adalah miliknya secara sah.


Kisah Angeles ini sebenarnya sudah lama berlalu, tetapi ia kembali tular pada awal tahun 2021 apabila ramai yang berkongsi semula ceritanya di media sosial. Kisahnya pernah diterbitkan dalam cetakan surat khabar di Malaysia pada tahun 2010 lalu.


Lapor berita Daily Mail pada 28 November 2010, Angeles yang merupakan warga asal Galicia, Sepanyol mendapat inspirasi sejak 10 tahun yang lalu dari perbuatan seorang lelaki di Amerika Syarikat yang mendakwa dirinya sebagai pemilik bulan dan beberapa planet di sistem suria.



Mengikut undang-undang memang ada kesepakatan antarabangsa yang menyebut bahawa mana-mana negara tidak boleh menuntut pemilikan ke atas benda-benda yang berada di luar angkasa.


Namun, menurut Angeles yang pernah menuntut jurusan kejururawatan dan perundangan berkata, undang-undang itu tidak menyebut bahawa ia tidak boleh dituntut oleh individu atau perseorangan. Oleh kerana itu menurutnya, dirinya mahupun orang lain juga boleh menuntut sebagai pemilik sah matahari.


"Tak ada larangan untuk itu. Tuntutan saya disokong oleh undang-undang. Saya tidak bodoh, saya tahu hukum. Saya atau orang lain boleh melakukan tuntutan tersebut. Dalam hal ini, kebetulan saya melakukannya terlebih dulu," ujarnya.



Dokumen yang didakwa dikeluarkan oleh pejabat notaris menyatakan bahawa Angeles adalah 'pemilik matahari, bintang jenis spektrum G2, yang terletak di tengah sistem suria sejauh 149 juta kilometer jaraknya dari bumi.


Angeles telah mengajukan dokumen tuntutan dirinya sebagai pemilik matahari di mahkamah. Dalam dokumen itu, Angeles menyatakan beliau sebagai pemilik matahari dan menuntut bayaran dari setiap manusia yang memanfaatkan tenaga matahari.


Menurut Angeles, separuh bayaran dari tuntutan itu akan diberikan kepada kerajaan sepanyol, dan selebihnya akan digunakan untuk menghapuskan kemiskinan dan kelaparan di dunia, dan tentu saja digunakan untuk memenuhi keperluan diri sendiri.


"Sudah waktunya untuk memulakan sesuatu dengan cara yang betul. Sekiranya ada idea untuk menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi dan keadaan masyarakat, mengapa tidak melakukannya?," katanya.


Lapor The Washington Post pada June 2015, Angeles juga pernah menyaman eBay kerana membuang iklannya yang dibuat pada 2013 di website tersebut dimana beliau menjual plot beberapa kawasan di matahari.


Sebelum iklannya dibuang, beliau berjaya mejual sebanyak 1000 plot dan setiap pembeli diberikan sijil. Bagaimanapun eBay bertindak megeluarkan iklannya kerana mendapati melanggar dasar menjual 'barang tidak wujud'.


Angeles Duran mendakwa pemilik Matahari. - Foto Daily Mail.

Angeles Duran mendakwa pemilik Matahari. - Foto Daily Mail.
Nilai Pampasan RM2.3 bilion, Kapal Halang Terusan Suez Dilepaskan 7 Julai

Nilai Pampasan RM2.3 bilion, Kapal Halang Terusan Suez Dilepaskan 7 Julai


KAHERAH - Kapal kargo gergasi berukuran 400 meter panjang dan 59 meter lebar Ever Given yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana menghalang Terusan Suez Mac lalu akan dilepaskan Rabu ini, menurut pihak berkuasa terusan.


Lembaga Terusan Suez semalam berkata majlis akan diadakan pada hari sama bagi menandakan perjanjian antara pemilik kapal dan pelepasan kapal berkenaan.


Mesir menahan kapal milik syarikat Jepun, Shoei Kisen Kaisha dan menuntut pampasan ganti rugi hasil terusan serta kos pelepasan dan kerosakan laluan air yang menghubungkan Asia dan Eropah.


Kapal seberat 200,000 tan tersekat secara melintang ketika ribut pasir pada 23 Mac lalu dan memerlukan usaha besar-besaran selama enam hari untuk melepaskannya.


Menurut syarikat data maritim Lloyd's List, kejadian itu menyebabkan kerugian kira-kira AS$9.6 bilion (RM39.64 bilion) sehari berikutan laluan kapal antara Asia dan Eropah itu terhalang.


Selama beratus tahun Terusan Suez telah menjadi salah satu daripada sumber pendapatan utama dalam mata wang asing untuk kerajaan Mesir. Secara purata, 50 kapal melalui Terusan Suez setiap hari.


Bayaran tol yang dikenakan untuk melalui Terusan Suez bergantung kepada jenis dan saiz kapal selain berat kargo. Kebiasaannya bayaran tol boleh melebihi AS$100,000 (RM414,650).


Susulan insiden itu, Mesir kehilangan pendapatan harian antara AS$12 juta (RM49.55 juta) dan AS$15 juta (RM61.95 juta) sepanjang tempoh berkenaan, menurut pihak berkuasa terusan. Kerja-kerja mengapungkan kapal berkenaan juga mengakibatkan kerosakan teruk terhadap terusan itu.


Minggu lalu, Ketua Lembaga Terusan Suez, Osama Rabie dilaporkan berkata Mesir menandatangani perjanjian dengan pemilik Ever Given sekali gus memuktamadkan nilai pampasan. Mesir mengurangkan tuntutan daripada AS$900 juta (RM3.7 bilion) kepada AS$550 juta (RM2.3 bilion).