Isnin, 5 Julai 2021

Lelaki Dakwa Rakam UFO Besar Berlegar-legar Berhampiran Apartmennya


Seorang pelajar lelaki berjaya merakam gambar yang didakwa objek terbang tidak dikenali (UFO) yang besar terbang di pinggir laut di Devon, Britain, semalam.


Lapor Daily Mail, Matthew Evans, 36, dari Tidmouth, Devan mengesan objek terang yang tidak dikenali itu, sedang berlegar-legar di ruang udara kawasan tersebut selama 10 saat sebelum hilang daripada pandangan.


Menurutnya, dia mengesan objek tidak dikenali itu dari tingkap bilik di tingkat atas apartmennya pada minggu lalu, dan mendakwa melihat dengan jelas bentuk UFO tersebut.


Kata Evans, objek misteri itu memantulkan empat cahaya terang dalam formasi berbentuk segitiga sedang terbang di langit pada waktu malam.


Evans sempat merakam gambar objek tidak dikenali itu namun dalam masa beberapa saat, objek tersebut hilang daripada pandangannya.


"Objek itu tidak bergerak seperti pesawat biasa. Ia terbang lebih perlahan dan berlegar-legar di langit selama 10 saat. Objek tersebut turut memancarkan cahaya yang amat terang.


"Saya tidak pasti identiti sebenar objek itu, jadi saya membuat keputusan untuk merakam gambar. Sukar untuk menjelaskan, namun saya berpendapat ia adalah UFO," katanya.


Gambar yang dimuat naik ke media sosial itu menimbulkan banyak spekulasi di kalangan netizen, ada yang mengemukakan teori mereka sendiri yang memberikan penjelasan mengenai penampakan tersebut.


Ada yang mengatakan itu adalah pantulan cahaya jalan atau matahari, sementara yang lain mengatakan bahawa objek itu jelas menujukkan sebuah kapal asing dari luar angkasa.


Kejadian itu berlaku selepas Pentagon menyiarkan sebuah laporan mengenai UFO. Laporan setebal sembilan muka surat yang didedahkan pada 25 Jun lalu memaparkan sebanyak 144 insiden penampakan UFO dilaporkan oleh anggota tentera yang kebanyakannya berlaku pada tahun 2019.


Kelihatan empat cahaya berwarna terang keluar dari formasi UFO berbentuk segitiga. - Foto Matthew Evans/SWNS.


EmoticonEmoticon