Isnin, 5 Julai 2021

Nilai Pampasan RM2.3 bilion, Kapal Halang Terusan Suez Dilepaskan 7 Julai


KAHERAH - Kapal kargo gergasi berukuran 400 meter panjang dan 59 meter lebar Ever Given yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana menghalang Terusan Suez Mac lalu akan dilepaskan Rabu ini, menurut pihak berkuasa terusan.


Lembaga Terusan Suez semalam berkata majlis akan diadakan pada hari sama bagi menandakan perjanjian antara pemilik kapal dan pelepasan kapal berkenaan.


Mesir menahan kapal milik syarikat Jepun, Shoei Kisen Kaisha dan menuntut pampasan ganti rugi hasil terusan serta kos pelepasan dan kerosakan laluan air yang menghubungkan Asia dan Eropah.


Kapal seberat 200,000 tan tersekat secara melintang ketika ribut pasir pada 23 Mac lalu dan memerlukan usaha besar-besaran selama enam hari untuk melepaskannya.


Menurut syarikat data maritim Lloyd's List, kejadian itu menyebabkan kerugian kira-kira AS$9.6 bilion (RM39.64 bilion) sehari berikutan laluan kapal antara Asia dan Eropah itu terhalang.


Selama beratus tahun Terusan Suez telah menjadi salah satu daripada sumber pendapatan utama dalam mata wang asing untuk kerajaan Mesir. Secara purata, 50 kapal melalui Terusan Suez setiap hari.


Bayaran tol yang dikenakan untuk melalui Terusan Suez bergantung kepada jenis dan saiz kapal selain berat kargo. Kebiasaannya bayaran tol boleh melebihi AS$100,000 (RM414,650).


Susulan insiden itu, Mesir kehilangan pendapatan harian antara AS$12 juta (RM49.55 juta) dan AS$15 juta (RM61.95 juta) sepanjang tempoh berkenaan, menurut pihak berkuasa terusan. Kerja-kerja mengapungkan kapal berkenaan juga mengakibatkan kerosakan teruk terhadap terusan itu.


Minggu lalu, Ketua Lembaga Terusan Suez, Osama Rabie dilaporkan berkata Mesir menandatangani perjanjian dengan pemilik Ever Given sekali gus memuktamadkan nilai pampasan. Mesir mengurangkan tuntutan daripada AS$900 juta (RM3.7 bilion) kepada AS$550 juta (RM2.3 bilion).


EmoticonEmoticon