Ahad, 4 Julai 2021

Dua Individu Dikenal Pasti, Sanggup Meniarap Redah Kawat Berduri Mahu Loloskan Diri


Polis sedang giat memburu dua individu lelaki yang melarikan diri dari kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam di ibu negara, petang tadi, yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


Identiti dua lelaki itu sudah dikenal pasti sementara seorang lagi belum diketahui identitinya. Kedua-dua mereka telah melarikan diri menerusi laluan belakang sungai PPR tersebut apabila berjaya melepasi halangan kawat duri.


Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, individu pertama berusia 34 tahun di mana semakan mendapati dia memiliki enam rekod kesalahan dadah dan jenayah lain seperti samun, curi dan lain-lain.


Menurutnya, suspek kedua pula berusia 46 tahun dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau kes pecah rumah dan dadah. Laporan polis sudah dibuat jam 4.51 petang selepas tular video membabitkan tiga individu dilihat keluar dari kawasan PKPD.


"Hasil siasatan dua lelaki terbabit warga tempatan manakala seorang lagi tidak dapat dipastikan melarikan diri menerusi pagar berduri jenis dawai besi yang diletakkan di sekeliling blok berkenaan.


"Pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat dawai besi rosak dan dipercayai digunakan tiga individu berkenaan untuk melarikan diri," katanya dalam kenyataan malam ini.


Anuar berkata, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu dan hendaklah mematuhi semua peraturan ditetapkan kerajaan.


"Usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.


Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan pelaksanaan PKPD di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur bermula Sabtu sehingga 14 Julai.


Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial berdurasi 2 minit 4 saat itu menyaksikan cubaan kedua-dua lelaki berkenaan melepasi kawat duri dalam keadaan meniarap.


Kedua-dua mereka melarikan diri menerusi laluan belakang sungai PPR tersebut apabila berjaya melepasi halangan kawat duri. - Foto ihsan pembaca.

Dua daripada tiga suspek yang berjaya meloloskan diri. - Foto ihsan PDRM.


EmoticonEmoticon