Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Selasa, 25 Mei 2021

Tindakan seorang wanita tunjuk isyarat lucah, mengakibatkan anaknya mati ditembak

Tindakan seorang wanita tunjuk isyarat lucah, mengakibatkan anaknya mati ditembak


Gara-gara menunjukkan isyarat lucah selepas kereta yang dipandu seorang wanita dipintas oleh kenderaan lain, mengakibatkan anak lelakinya berusia enam tahun ditembak mati dalam kejadian di California.


Lapor Daily Star, ketika kejadian, Aiden Leos berada di tempat duduk belakang kereta Chevrolet milik ibunya apabila seorang penumpang dalam kenderaan lain melepaskan tembakan ke arah mereka.


Menurut saksi, ibu tunggal yang tidak mahu dikenali itu menunjukkan isyarat lucah terhadap pemandu kereta Volkswagen selepas mereka memintas keretanya. Kereta Volkswagen itu dipandu oleh seorang wanita yang turut ditemani oleh penumpang lelaki.


Suspek wanita berkenaan kemudian cuba mengejar dan penumpang lelaki pula melepaskan satu das tembakan ke arah belakang kereta Chevrolet sehingga terkena di bahagian perut Leos.


Selepas memberhentikan keretanya di tepi jalan, wanita tersebut bergegas mengangkat anaknya yang cedera dan cuba mendapatkan bantuan. Seorang pegawai polis tidak bertugas yang berada di lokasi itu cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sehingga paramedik tiba.   


Budak lelaki itu dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Orange County namun diisytiharkan meninggal dunia. Kejadian tembakan itu berlaku di Route 44 di Orange County, Selatan California ketika kanak-kanak itu bersama ibunya dalam perjalanan ke tadika.


Polis masih mencari suspek yang melarikan diri selepas insiden itu berlaku. Dalam satu sidang akhbar, kakak Leos, Alexis Cloonan menyifatkan adiknya sebagai seorang budak yang baik.

Isnin, 24 Mei 2021

Kecewa pelaburan gagal, lelaki rempuh sekumpulan pejalan kaki mengakibatkan 5 maut

Kecewa pelaburan gagal, lelaki rempuh sekumpulan pejalan kaki mengakibatkan 5 maut


Sekumpulan pejalan kaki yang sedang melintas jalan dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju mengakibatkan lima daripadanya maut dalam kejadian di bandar Dalian, China pada Sabtu lalu.


Suspek lelaki berusia 32 tahun yang cuba melarikan diri selepas pelanggaran itu bagaimanapun berjaya ditahan, lapor SCMP. Siasatan awal polis mendapati suspek yang hanya dikenali sebagai Liu bertindak demikian kerana kecewa pelaburannya gagal dan ingin "membalas dendam terhadap masyarakat".


Rakaman CCTV dan telefon bimbit kejadian yang kini tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta sedan hitam memecut ke arah sekumpulan pejalan kaki ketika mereka melintas jalan.


Menurut kenyataan polis, Liu, yang bekerja sebagai pendandan rambut, telah melanggar lampu merah dan memecut dengan kelajuan 108 kilometer sejam dalam tujuh saat sebelum merempuh kumpulan pejalan kaki itu.


Setelah merempuh pejalan kaki, Liu melarikan diri di dalam keretanya sebelum bertembung dengan van di sebuah persimpangan. Dia kemudian meninggalkan kenderaan itu dan cuba melarikan diri dengan berjalan kaki, tetapi berjaya ditangkap polis kira-kira jam 1 tengah hari.


"Suspek tidak dapat menerima kegagalan pelaburan peribadinya dan kehilangan kepercayaan dalam hidup, jadi dia membalas dendam kepada masyarakat," kata jurucakap polis.


Empat mangsa mati di tempat kejadian dan mangsa kelima meninggal dunia tidak lama kemudian di hospital. Lima yang lain cedera dalam kejadian itu, kata polis.


Wakil ketua polis Dalian, Qu Bo pada Ahad berkata suspek telah ditahan atas tuduhan "membahayakan keselamatan awam". Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dihukum mati.


Rakaman CCTV kejadian menunjukkan kereta sedan hitam itu memecut ke arah sekumpulan pejalan kaki ketika mereka melintas jalan. -Video tular

Isnin, 17 Mei 2021

Video tular 'The Real Raya' tunggang motosikal tayang aksi 'pacak' seorang lelaki ditahan polis

Video tular 'The Real Raya' tunggang motosikal tayang aksi 'pacak' seorang lelaki ditahan polis


KUALA LUMPUR - Padah tayang aksi tunggang motosikal secara berbahaya tanpa menghiraukan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain, seorang lelaki ditahan polis, semalam. Kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi di sekitar ibu negara pada 13 Mei lalu menjadi tular.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular berdurasi 28 saat yang dimuat naik ke laman sosial media.


Rakaman video dengan tajuk 'The Real Raya in Kuala Lumpur' itu memaparkan tindakan seorang lelaki berbaju melayu lengkap berkopiah dan berselipar menunggang motosikal Yamaha RX-Z dalam keadaan berbahaya dengan aksi wheelie atau 'tunggang pacak'.


"Bertindak atas laporan polis yang diterima, Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai oleh Inspektor Mohammad Solihi Shafie telah berjaya mengesan serta menahan suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kira-kira pukul 7 petang semalam.


"Pasukan polis yang melakukan tangkapan turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ serta merampas pakaian yang digunakan oleh suspek dalam video tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.


Difahamkan, pihak polis turut dalam usaha menjejaki seorang lagi kenalan suspek yang merakamkan aksi menunggang motosikal secara merbahaya itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana bersubahat.


Menurut Zulkefly, semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditangkap sebanyak dua kali sebelum ini di atas kesalahan yang sama dan telah dihukum di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2018.


Dia dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 bulan dan lesen memandu digantung selama dua tahun pada tahun 2020. Kata Zulkefly, suspek kini ditahan dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Sabtu, 15 Mei 2021

Syarikat paip minyak terbesar AS digodam, bayar wang tebusan lebih RM20 juta

Syarikat paip minyak terbesar AS digodam, bayar wang tebusan lebih RM20 juta


Sistem saluran paip minyak terbesar Amerika Syarikat (AS) terpaksa ditutup selepas berlaku serangan siber terhadap sistem perisian pengurusan paip berkenaan. Sindiket itu meminta wang tebusan untuk Colonial Pipeline beroperasi semula.


Menurut Kosmo Online yang dipetik dari saluran berita Bloomberg News melaporkan bahawa, pengurusan saluran paip minyak utama Amerika Syarikat (AS), Colonial Pipeline membayar wang tebusan hampir AS$5 juta (RM20.7 juta ) kepada kumpulan penjenayah beberapa jam selepas serangan siber berlaku Jumaat lalu.


Syarikat Alpharetta yang mengendalikan Colonial Pipeline berkata, pihaknya membayar wang tebusan itu dalam bentuk matawang maya yang tidak boleh dikesan. Selepas menerima bayaran itu, mereka memberikan aplikasi penyahkod untuk memulihkan sistem komputer Colonial Pipeline.



Bagaimanapun, syarikat itu memilih menggunakan sistem sokongan sendiri ekoran penyahkod yang dihantar berfungsi dengan lembab. Biro Siasatan Persekutuan (FBI) percaya serangan siber melumpuhkan itu dilakukan oleh kumpulan penjenayah Rusia dikenali sebagai Darkside.


Colonial Pipeline menyatakan bahawa pihaknya memulakan semula operasi petang Rabu lepas manakala menjelang pagi semalam semua perkhidmatannya kembali normal.


"Sebuah firma keselamatan siber pihak ketiga sedang menyiasat kejadian ini dan kami sudah menghubungi penguatkuasa undang-undang serta agensi persekutuan lain," kata syarikat itu dalam kenyataan, semalam.


The Colonial Pipeline Company adalah syarikat mengedar petrol dan bahan bakar jet dari Pantai Teluk Texas ke Pantai Timur AS melalui saluran paip sejauh 8,850 kilometer bagi memenuhi keperluan 50 juta penggunanya.


Syarikat berpusat di selatan Georgia itu adalah operator saluran paip terbesar di AS berdasarkan jumlah perkhidmatan, mengangkut 2.5 juta tong petrol, diesel, minyak pesawat dan pelbagai produk petroleum diproses setiap hari.

Jumaat, 7 Mei 2021

Seorang Anggota Polis Mati Dengan Kesan Tembakan Di Kepala

Seorang Anggota Polis Mati Dengan Kesan Tembakan Di Kepala


SIBU - Tiga anggota polis direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes seorang konstabel yang mati tertembak oleh rakan sekerja sehingga maut di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9A di sini, semalam.


Permohonan reman sehingga 14 Mei terhadap tiga anggota, masing-masing berusia 21, 23 dan 27 tahun terbabit diluluskan oleh Majistrest Mohd Syukri Mokhtar


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihak patologi dari Kuching akan dihantar ke Sibu untuk melakukan bedah siasat sama ada hari ini atau esok sebelum jenazah dihantar pulang ke Pahang.


Dalam kejadian kira-kira 7 malam pada Khamis, anggota Unit Rondaan Bermotosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di rumah berkenaan dalam kejadian sekitar pukul 7.20 malam.


Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal di rumah transit di IPD Sibu, datang ke rumah sewa yang didiami rakan setugasnya itu untuk bermain permainan video di ruang tamu rumah sebelum waktu berbuka.


Bagaimanapun, seorang rakan mangsa dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum tertarik picu dan tertembak mangsa. Mangsa yang baru sebulan setengah ditugaskan di sini selepas menamatkan latihan asas kepolisan, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak berusia setahun.


Stanley Jonathan Ringgit berkata, penghantaran balik jenazah mangsa ke kampungnya di Pahang sedang diuruskan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.


Mangsa dilaporkan maut di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian kanan kepala.

Sabtu, 1 Mei 2021

Berang kereta dibaiki masih rosak, lelaki bertindak bakar mekanik

Berang kereta dibaiki masih rosak, lelaki bertindak bakar mekanik


Hanya kerana tidak berpuas hati kereta yang dibaiki masih rosak, seorang lelaki tergamak membakar seorang mekanik dengan menyimbah minyak petrol sebelum menyalakan api di sebuah rumah di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah, Rabu lalu.


Dalam kejadian pada 8 malam itu, lelaki berusia 37 tahun melecur hampir di seluruh badan. Mangsa yang melecur dengan kesan terbakar 46 peratus pada kepala hingga pinggang dan kaki kanan itu, dihantar ke Hospital Changkat Melintang, Bota oleh seorang lelaki dengan menaiki kereta.


Susulan itu, bertindak atas maklumat dan rakaman CCTV, polis menahan empat lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun termasuk dua beradik yang dipercayai terbabit kejadian itu di empat lokasi berasingan di sekitar Kampung Gajah, pada Khamis.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku selepas suspek berusia 50 tahun berkenaan berang apabila kereta adiknya yang dibaiki mangsa masih rosak.



Menurutnya, berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa sebelum lelaki itu meminta rakannya berusia 39 tahun membeli minyak petrol di kedai runcit berhampiran.


"Suspek menyimbah bahan bakar itu atas kepala mangsa sebelum dia menyalakan api dengan menggunakan penyembur aerosol dan pemetik api yang kemudian menyambar mangsa di halaman rumah dan menyebabkannya terbakar.


"Dua beradik berkenaan cuba memadamkan api dengan menggunakan air paip di luar rumah," katanya, semalam.


Beliau berkata, adik suspek berusia 42 tahun kemudian menghubungi seorang lagi rakan mereka untuk membawa mangsa ke hospital dengan upah RM100. Sebelum dihantar ke hospital oleh lelaki berusia 30 tahun itu, seorang daripada suspek menukar pakaian mangsa yang terbakar itu.


"Mangsa ditinggalkan di tempat letak kereta di hadapan wad kecemasan hospital. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan terbakar pada tubuh mangsa yang ketika itu masih sedar dan mampu bercakap," katanya.


Barudin berkata, pemeriksaan perubatan turut dilakukan ke atas semua suspek dan seorang daripada mereka didapati mempunyai kesan terbakar pada tangan kanan.


Menurutnya, ujian air kencing mendapati semua mereka positif methamphetamine dan direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Katanya, mangsa dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut pada 2.50 pagi semalam. Sumber: Harian Metro

Jumaat, 30 April 2021

Seorang lelaki dibunuh, gara-gara ajak isteri orang bersetubuh

Seorang lelaki dibunuh, gara-gara ajak isteri orang bersetubuh


KOTA KINABALU - Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dipercayai dibunuh rakan senegara sebelum mayatnya ditemukan terapung dalam parit ladang sawit, berhampiran Kampung Siang Siang Laut, dekat Lawas pada Rabu lalu.


Cemburu dipercayai menjadi motif pembunuhan mangsa yang dikenali sebagai Imran, berusia awal 40-an. Difahamkan sebelum kejadian mangsa mengganggu isteri rakannya termasuk ajak bersetubuh.


Mayat mangsa ditemukan terapung oleh orang ramai dalam keadaan tidak berbaju, berseluar jeans hitam, dan dibaluti dengan kanvas berwarna biru dan jingga sekitar pukul 9.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Supritrenden Roslan Leman berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan kecederan pada kepala mangsa termasuk kesan tetakan di kepala, bahagian belakang badan dan lutut kiri mangsa.


"Kita berjaya menahan seorang suspek berbangsa Bugis berumur 32 tahun berasal dari Indonesia pada pukul 12.10 tengah hari di sebuah kuarters Ladang Trusan, di kawasan Sundar pada Rabu.


"Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah bergaduh dengan mangsa pada Isnin berpunca daripada mangsa selalu mengganggu isterinya termasuk mengajak isterinya bersetubuh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Roslan, suspek mengaku bertindak sendirian, dengan bersenjatakan tombak sawit untuk mencederakan dan menikam mangsa sehingga mati lalu membalut mayat mangsa menggunakan kanvas.


"Suspek juga mengaku memikul mayat mangsa seorang diri untuk dibuang di lokasi penemuan mayat dan lokasi sebenar pergaduhan sedang diteliti," katanya.


Katanya lagi suspek datang ke Malaysia sejak enam bulan lepas melalui jalan tikus Sindumin, Sabah-Lawas, membawa bersama dua anaknya berumur dua dan enam tahun serta isterinya pada waktu malam.


Beliau berkata, pemeriksan radius 100 meter telah dibuat untuk mencari pergelangan tangan mangsa dan senjata yang digunakan oleh suspek namun tidak dijumpai. Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Khamis, 15 April 2021

Lelaki OKU diperdaya sebelum dibakar ganti mayat orang lain

Lelaki OKU diperdaya sebelum dibakar ganti mayat orang lain


BEIJING – Seorang lelaki di China dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah menculik, memberi dadah, mengurung dan membakar hidup-hidup mangsa yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) sindrom down, dalam satu kejadian yang berlaku empat tahun lalu.


Perbuatan kejam itu dilakukan hanya untuk menunaikan permintaan terakhir seorang lelaki kaya yang mahu dikebumikan daripada dibakar, yang mana pengebumian tidak dibenarkan di wilayah tertentu.


Justeru, keluarganya mengupah seorang individu bagi mencari mayat untuk proses pembakaran sebagai ganti kepada mayat saudara mereka. Namun, individu diupah keluarga itu melakukan pembunuhan untuk mendapatkan mayat tersebut. 


Menurut akhbar South China Morning Post semalam, teruduh bernama Huang diupah oleh sebuah keluarga kaya yang mahu menggantikan mayat saudara mereka untuk proses pembakaran mayat dalam skim 'pertukaran badan'.


Mangsa, Lin Shaoren, 36, diculik ketika mengutip sampah di tepi jalan pada 1 Mac 2017. Huang yang melakukan penculikan itu memaksa mangsa minum arak dalam jumlah yang banyak.


Apabila Shaoren tidak sedarkan diri, dia dimasukkan ke dalam sebuah keranda yang siap sedia untuk ke tempat pembakaran mayat bagi pihak waris keluarga yang mengupah Huang. Mayat lelaki itu pula dibawa ke kawasan terpencil bagi proses upacara pengebumian tradisional.   


Dilaporkan, Huang menerima bayaran sebanyak 90,000 yuan (RM56,891) bagi pertukaran mayat itu daripada keluarga tersebut.


Shaoren disenaraikan sebagai orang hilang selama dua tahun sebelum keluarganya mendapati dia telah dibunuh pada November 2019 apabila polis menggunakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) untuk menyelesaikan jenayah itu, lapor Sohu News.


Huang dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Shanwei pada September lalu. Dia membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Rakyat Guangdong tetapi ditolak pada Disember lepas.


Di sebahagian wilayah China terutama di bandar-bandar besar, majlis pengebumian adalah dilarang oleh kerajaan. Pihak berkuasa berpendapat pembakaran mayat menjimatkan penggunaan tanah dan lebih mesra alam.


Namun banyak keluarga lebih selesa mengebumikan anggota keluarga mereka kerana kepercayaan agama bahawa ia adalah satu-satunya cara untuk mendiang mati dengan tenang.

Kes belasah 'bodyguard' membawa kepada rampasan jongkong emas dan wang RM28.45 juta

Kes belasah 'bodyguard' membawa kepada rampasan jongkong emas dan wang RM28.45 juta


KLANG - Empat individu termasuk majikan yang ditahan disyaki memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa, membongkar sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau 'along' serta judi haram membabitkan kumpulan itu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, perkara itu terbongkar hasil penahanan kesemua suspek dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada Rabu.


"Kesemua yang ditahan berusia 35 hingga 46 tahun disyaki terlibat dalam insiden memukul dua pengawal peribadi itu.


"Selepas tangkapan dilakukan, kami membuat pemeriksaan dan menemui sejumlah 12,500 keping wang tunai matawang Dollar AS serta 100 keping jongkong emas seberat sekilogram sekeping.


"Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM28.45 juta berdasarkan harga emas semasa," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, pada Khamis.


Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, polis turut merampas dua rotan yang disyaki digunakan semasa kejadian, serta sepucuk pistol bersama 10 butir peluru yang di bawah kawalan salah seorang mangsa dan merupakan kepunyaan milik sebuah syarikat kawalan keselamatan.



Terdahulu, empat suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 43 tahun itu dibawa ke Mahkamah Klang untuk perintah reman pagi semalam. Salah seorang suspek dikenakan reman tujuh hari manakala tiga lagi direman lima hari. Kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau


Katanya, bagi kes di Klang Selatan, polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 298 KK dan 307 KK.


"Kami juga menyiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951," katanya.


Arjunaidi berkata, pihaknya masih menyiasat secara mendalam sindiket berkenaan termasuk berapa lama kumpulan itu bergiat aktif. Polis juga meminta masyarakat bertenang serta tidak membesarkan isu ini termasuk mengaitkan dengan isu perkauman


Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dalam satu kenyataan memaklumkan berkata, kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, sebelum dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol.


Jumaat, 9 April 2021

Tembak mati bomoh, suspek mungkin pembunuh upahan

Tembak mati bomoh, suspek mungkin pembunuh upahan


TEMERLOR - Pembunuhan seorang pengamal perubatan di Kuantan malam Ahad lalu, dipercayai dilakukan oleh pembunuh upahan yang melepaskan beberapa das tembakan ketika mangsa sedang merawat pesakit.


Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Mohamad Abdul Rahim Nasri, 31, dipercayai ditembak di hadapan sepasang suami isteri yang kini direman sehingga 13 April ini bagi membantu siasatan.


"Siasatan awal mendapati suspek yang memakai topeng ada memberi salam sebelum masuk ke rumah dan terus melepaskan tembakan ke arah mangsa.


"Suspek dikatakan terus berlalu pergi selepas itu tanpa mengapa-apakan suami isteri tersebut dan difahamkan seorang rakan suspek menunggu di luar bagi memudahkan mereka melarikan diri," katanya.


Abd Jalil ditemui pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar.


Mengulas mengenai kemungkinan jenayah membabitkan pembunuh upahan, Abd Jalil berkata andaian itu berdasarkan persiapan, jenis pistol digunakan selain suspek kekal tenang walaupun kejadian itu mempunyai saksi.


"Setakat ini, siasatan bagi motif pembunuhan dilakukan secara menyeluruh meliputi aspek dendam, hutang dan marah yang mungkin berpunca daripada gangguan seksual semasa proses mengubat.


"Kita juga meneliti jadual dan perbualan mangsa sebelum kejadian serta media sosial mangsa yang mengandungi video dia menjalankan proses rawatan bagi mendapatkan petunjuk untuk membantu siasatan," katanya.


Abd Jalil berkata, pihaknya memohon bantuan orang ramai mempunyai maklumat atau mereka yang pernah mendapatkan rawatan daripada mangsa untuk tampil membantu siasatan dengan jaminan kerahsiaan identiti mereka dijaga.


Mohamad Abdul Rahim ditemukan maut dengan kesan tembakan sekitar 11 malam, 4 April lalu dalam keadaan berpakaian serba kuning dengan kesan darah kering. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Sumber: Harian Metro


Rabu, 7 April 2021

Kerana mulut badan binasa, lelaki maut ditetak sebab tuduh suspek amal ilmu hitam

Kerana mulut badan binasa, lelaki maut ditetak sebab tuduh suspek amal ilmu hitam

Pedang samurai yang digunakan suspek.


MUKAH - Berang selepas dituduh mengamalkan ilmu hitam, seorang lelaki warga Indonesia menetak rakan senegaranya menggunakan parang sehingga mati. Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi tadi di rumah pekerja di Ladang Solar Green, di sini.


Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua mereka yang tinggal sebilik keluar bekerja, namun kemudian bertengkar apabila mangsa menuduh suspek mengamalkan ilmu hitam.


Katanya, suspek menafikan tuduhan mangsa dan bersumpah tidak amalkan ilmu hitam. Namun, mangsa terus menuduh suspek ada amalkan dan menyimpan ilmu hitam sehingga suspek marah.


"Berlaku pertengkaran antara mereka dan semasa mangsa masuk ke dalam bilik, suspek mengekori dari arah belakang dengan memegang parang dan terus menetak di bahagian belakang tengkuk mangsa. Mangsa terjatuh ke lantai ruang tamu sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.


Jimmy berkata, ketika kejadian, hanya suspek dan mangsa berada di tempat kejadian dan mereka bekerja meracun rumput di ladang berkenaan. Suspek yang melarikan diri melalui pintu belakang dan bersembunyi di kawasan ladang, berjaya dikesan dan ditangkap tengah hari tadi.


Katanya, mayat mangsa yang berusia 32 tahun dari Ntonggu, Indonesia dihantar ke bilik mayat Hospital Mukah untuk dibedah siasat manakala suspek berusia 31 tahun dari Paradowane, Indonesia ditahan.


Menurutnya, parang sepanjang 80 sentimer yang digunakan suspek turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Isnin, 5 April 2021

Bomoh mati ditembak dipercayai bermotifkan dendam

Bomoh mati ditembak dipercayai bermotifkan dendam


KUANTAN - Seorang pengamal perubatan tradisional (bomoh) ditemukan mati dengan beberapa kesan tembakan di badan, dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan perkampungan Bukit Rangin Perdana 2, di sini pada malam pada Ahad.


Mangsa, Mohammad Abdul Rahim Nasri, 31, ditemukan terbaring dengan kesan darah pada bahagian badan oleh ahli keluarga sebelum menghubungi polis.


Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa, meninggal dunia di tempat kejadian, tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan dendam.


Katanya, pihaknya menerima maklumat berlaku kejadian seorang lelaki tidak sedarkan diri akibat kecederaan di kepala dan kesan darah kering pada jam 11 malam.


"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di rumah kampung jenis papan yang terletak kira-kira 20 meter dari jalan utama dan 100 meter dari rumah jiran terdekat.


"Ketika kejadian, mangsa berseorangan kerana ibunya berniaga ikan di tapak niaga Bukit Rangin Perdana 2 kira-kira 200 meter dari rumah.


"Mangsa mati disyaki ditembak kerana ada beberapa kesan tembakan pada badan hasil pemeriksaan dijalankan pasukan siasatan dan forensik.


"Mangsa yang sudah berkahwin baru saja mendapat anak lelaki. Mangsa tinggal bersama ibunya yang berusia 60 tahun dan menjalankan aktiviti perubatan tradisional.


"Isteri mangsa kini sedang berpantang di rumah ibu mentua di Pekan. Hasil siasatan disyaki bermotifkan dendam dan marah kepada mangsa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Katanya, bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).


Sementara itu, adik mangsa, Mohd. Firdaus Nasri, 29, berharap orang ramai berhenti membuat spekulasi tentang kejadian yang menimpa abangnya itu sebaliknya membiarkan polis membuat siasatan.


Beliau mendakwa, pelbagai andaian dibuat orang ramai yang turut menyebarkan gambar mangsa di laman sosial dan kumpulan WhatsApp sehingga menjejaskan emosi keluarga.


Pengamal perubatan tradisional maut akibat ditembak beberapa das di Perumahan Bukit Rangin Perdana.

Sabtu, 3 April 2021

Suami berdepan detik cemas apabila muka di tendang, cakar oleh isterinya yang berang dituduh curang

Suami berdepan detik cemas apabila muka di tendang, cakar oleh isterinya yang berang dituduh curang


Berang dituduh dirinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain menyebabkan seorang wanita mencakar badan serta menendang muka suaminya di pangsapuri di Telok Ayer Tawar, di Butterworth, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, suami isteri berusia 30-an berkenaan dilaporkan berselisih faham sebelum insiden terbabit.


Katanya, wanita terbabit dikatakan memukul suaminya kerana sudah tidak dapat menahan kesabaran akibat lelaki itu sering mendakwa dirinya curang.


"Pada mulanya, wanita itu memarahi suaminya kerana tidak membawa anak tirinya pergi memotong rambut sebelum wanita itu menerima panggilan video daripada seorang lelaki iaitu rakan sekerjanya.


"Lelaki itu mengesyaki bahawa isterinya ada hubungan dengan lelaki lain, tetapi tiada apa-apa bukti dan mereka kerap bergaduh apabila suami kerap mengajukan soalan sama.


"Akibat daripada soalan yang ditanya, isteri berkenaan menendang muka suami dan mencakar badannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Noorzainy berkata, wanita itu mendakwa suaminya sering membuat provokasi dengan menuduhnya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.


"Padahal wanita itu memaklumkan bahawa dia tidak ada hubungan sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan. Kedua-dua suami isteri itu membuat laporan polis bagi rujukan untuk ke mahkamah syariah bagi tindakan selanjutnya," katanya.


Noorzainy berkata, laporan itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau NFA.

Rabu, 31 Mac 2021

Padah 'Proton Wira' halang laluan Bomba pada 2019, akhirnya ditahan Polis pada 2021

Padah 'Proton Wira' halang laluan Bomba pada 2019, akhirnya ditahan Polis pada 2021


Selepas satu rakaman video tular di laman sosial memaparkan sebuah kenderaan Proton Wira menghalang jentera bomba dan penyelamat yang sedang menjalankan tugas kecemasan pada 2019, seorang lelaki ditahan di Taman Munsyi Ibrahim di Johor Bahru, semalam.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan, jam 9.30 malam.


Katanya, Proton Wira berwarna hitam milik suspek seperti yang tular di laman sosial turut dirampas. Suspek berumur 33 tahun dan bekerja sebagai operator kilang. 


"Hasil siasatan awal, kejadian berlaku pada 27 April 2019 dan tular di media sosial pada 27 Mac 2021 lalu. Berdasarkan rakaman video yang tular di laman sosial, Proton Wira terbabit menghalang jentera bomba di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu di sini," katanya.


Menurut Mohd Padzli, suspek mengambil kesempatan dengan memandu di hadapan jentera bomba serta mengeluarkan isyarat tangan terhadap kenderaan lain untuk membuka laluan tanpa kuasa yang sah.


"Dalam video itu, jentera bomba berada di belakang kereta dipandu suspek, ia sekali gus membahayakan dirinya serta pengguna jalan raya yang lain dengan melanggar lampu merah.


"Kami mohon kerjasama pengguna jalan raya untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama dalam memberi laluan kepada kenderaan bomba dan ambulans yang terbabit dalam hal kecemasan," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. Rakaman video berdurasi satu minit enam saat yang tular di aplikasi TikTok itu mendapat lebih 6,000 komen netizen. Sumber: Harian Metro


Proton Wira yang menghalang jentera bomba semasa menjalankan tugas kecemasan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu, pada 27 April 2019 tular di media sosial.

Tak tahan tengok punggung sebelum bertindak merabanya, tertuduh dipenjara setahun

Tak tahan tengok punggung sebelum bertindak merabanya, tertuduh dipenjara setahun


Seorang buruh dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu pada Rabu, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita pada Khamis minggu lalu.


Tertuduh, Amran Abdullah, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli sejurus jurubahasa selesai membaca semua pertuduhan itu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan dengan menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.


Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Lorong Limau Manis Jalan Hamzah pada jam 9.40 pagi, 25 Mac lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.




Berdasarkan fakta kes, Amran menunggang motosikal di lokasi kejadian dan apabila tiba dari arah belakang wanita itu, dia bertanya sama ada mahu berkahwin dengannya atau tidak.


Bagaimanapun, wanita itu menolak pelawaan tertuduh sebelum dia beredar selepas sebuah kereta kebetulan lalu di kawasan itu. Selepas itu, tertuduh datang semula menyekat wanita berkenaan dan menyentuh punggung mangsa sebelum terus beredar.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.


Sementara itu, Siti Edabayu meminta agar mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal kerana tertuduh mempunyai empat rekod lampau bersabit kes yang sama sebelum ini.


"Tertuduh telah melakukan kesalahan berat kerana telah mencabul kehormatan mangsa. Justeru, hukuman yang setimpal dikenakan juga mengambil kira aspek kepentingan awam," katanya.


Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman yang minimum kerana tertuduh merupakan satu-satunya individu menanggung kedua ibu bapanya yang sudah uzur.


"Tertuduh telah menerima hukuman dan kecaman daripada masyarakat kerana kes ini sudah tular di media sosial. Ia sedikit sebanyak telah memberi pengajaran kepada tertuduh," katanya.


Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama setahun. Sebelum ini akhbar tempatan melaporkan, polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mencabul, menyentuh bahagian punggung seorang wanita dalam kejadian di Lorong Limau Manis, Jalan Hamzah.

Isnin, 29 Mac 2021

Padah palsukan sijil cuti sakit, 6 pekerja kilang bakal berhadapan hukuman penjara 2 tahun

Padah palsukan sijil cuti sakit, 6 pekerja kilang bakal berhadapan hukuman penjara 2 tahun


BUKIT MERTAJAM - Enam pekerja kilang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan sijil cuti sakit pada Oktober tahun lalu hingga Februari lalu. Tertuduh, Mohamad Hafizi Zainuddin, 29, Muhamad Zulhakimi Masdi, 23, dan Muhammad Amir Md Ishak, 19, mengaku bersalah terhadap dakwaan itu.


Bagaimanapun, Nur Farah Amira Alisham, 21, Nurul Izzah Abdul Razak, 21, dan Marsya Fatini Mohd Rani, 20, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan dua majistret, Mohd Zaki Abd Rahman dan Sri Pracha Nanthini Balabedha.


Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret 1 dan 2, kesemua tertuduh didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen iaitu sijil cuti sakit yang dipercayai adalah palsu.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat EMS M Engineering Medical System Sdn Bhd di Bukit Minyak di sini, antara 27 Oktober tahun lalu hingga 27 Februari lalu.


Marsya Fatini pula berhadapan satu lagi pertuduhan apabila didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Februari hingga 27 Februari lalu di tempat yang sama.


6 tertuduh kes memalsukan sijil cuti sakit diiringi
polis untuk didakwa di Mahkamah Majistret.


Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Dalam prosiding di Mahkamah Majistret 1, Mohd Zaki menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,700 dan penjara lima hari bermula tarikh tangkapan ke atas Mohamad Hafizi dan Muhammad Amir.


Di mahkamah yang sama juga, Mohd Zaki turut membenarkan Nurul Izzah diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.


Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Kalaivaanan, manakala dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Abdul Nasir Wahid dan seorang lagi tertuduh diwakili peguam Muhammad Zayumi Mohd Yusof.


Di Mahkamah Majistret 2 pula, Sri Pracha menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dengan penjara lima hari bermula hari ini ke atas Muhamad Zulhakimi.


Sri Pracha turut membenarkan Nur Farah Amira dan Marsya Fatini diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Kes di Mahkamah Majistret 2 dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing.


Kedua-dua majistret kemudian menetapkan 3 Mei nanti sebagai tarikh sebutan semula kes. Sebelum ini, polis menerima laporan daripada seorang doktor yang mengesyaki tandatangan dan cop miliknya dipalsukan.


Doktor itu mengesyaki bahawa enam individu yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Minyak memperdaya majikan mereka dengan mengemukakan sijil cuti sakit menggunakan cop dan tandatangan miliknya yang disyaki dipalsukan. 


Doktor terbabit pernah bekerja di Bahagian Pesakit Luar di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan sudah tamat kontrak pada 2017.

Ahad, 28 Mac 2021

Lelaki 'miang' licik rakam video, pasang kamera dalam tandas wanita

Lelaki 'miang' licik rakam video, pasang kamera dalam tandas wanita


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan Polis disyaki meletakkan kamera di bawah sinki dalam tandas wanita di sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Caves, tempat dia bekerja bagi tujuan rakaman video sejak awal bulan ini.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian itu disedari seorang wanita berusia 27 tahun yang bekerja di kilang sama selepas ternampak kamera tersembunyi berbentuk pen berwarna hitam di bawah sinki dalam tandas.


"Wanita terbabit kemudian mengambil kamera berkenaan dan membawa pulang ke rumah untuk memeriksa sebelum mendapati terdapat beberapa rakaman video jelas ternampak kemaluan dan mukanya serta beberapa rakan sekerjanya yang lain.


"Dia mengesyaki pen itu adalah milik seorang pekerja yang dikenali kerana terdapat paparan mukanya di dalam video itu yang sedang meletak dan mengambil kamera itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Wanita itu kemudian memaklumkan kejadian kepada majikannya untuk tindakan lanjut sebelum membuat laporan polis.


"Suspek kemudian ditahan pada 26 Mac lalu pada jam 11 pagi di kilang berkenaan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.


"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah polis turut merampas pen berkenaan serta satu keping kad memori.

Rabu, 24 Mac 2021

Jumpa 'bakal suami' dalam talian, wanita rugi RM200,000 ditipu sindiket Love Scam

Jumpa 'bakal suami' dalam talian, wanita rugi RM200,000 ditipu sindiket Love Scam


Walaupun internet merupakan antara medium untuk menambah kenalan, namun pengguna internet harus bijak dan berjaga-jaga. Sebagai contoh, laman mencari cinta, atau dating, mungkin memudahkan proses mencari pasangan hidup, namun adakah orang kita kenali menggunakan identiti yang sebenar?


Atau terdapat identiti yang berbeza di sebalik gambar kacak atau cantik yang digunakan? Walaupun pelbagai amaran dan kesedaran tentang penipuan dalam talian telah dikeluarkan, mengapa masih ada yang menjadi mangsa? Terbaharu, seorang wanita kehilangan lebih RM200,000 selepas ditipu 'bakal suaminya' yang dikenali dalam sebuah laman pencari jodoh.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Maria Rasid, berkata kes penipuan cinta atau 'love scam' itu membabitkan mangsa berusia 33 tahun yang juga penjawat awam bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Miri.


Katanya, mangsa telah melayari laman web berkenaan pada 1 Jun tahun lalu dan berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Mason Harrison Davis' dan kononnya bekerja sebagai doktor di sebuah hospital di Cardiff, United Kingdom.


"Suspek telah melamar mangsa untuk berkahwin serta mengatakan akan berpindah ke Malaysia dan mengatakan akan menghantar wang berjumlah £155,000 (RM878,016) melalui 'Syarikat Transfast' sebagai lamaran.


"Sejak perkenalan itu, mangsa telah berhubung (dating) dengan suspek satu jam setiap hari selama lebih kurang sebulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menjelas lanjut, Maria berkata pada pada 7 Julai 2020, mangsa telah dihubungi oleh seorang wanita yang mengaku ejen dari "Syarikat Transfast" dan meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM200,000 kononnya untuk pelepasan wang yang dikirimkan oleh lelaki itu.


Akibat terpedaya, mangsa telah membuat 20 transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM203,642 ke dalam 11 akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali antara 7 Julai 2020 hingga 17 Mac 2021 atas alasan pelepasan cukai dan juga pelepasan wang yang dihantar itu.


Maria berkata wanita itu mula menyedari ditipu selepas lelaki berkenaan masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan dan seterusnya tampil membuat laporan polis.

Selasa, 16 Mac 2021

Lelaki tolak kereta dalam lombong, khayal dadah rupanya

Lelaki tolak kereta dalam lombong, khayal dadah rupanya


SUNGAI SIPUT - Tindakan agresif seorang penganggur berusia 42 tahun menolak keretanya ke dalam lombong di Taman Lintang Makmur, di sini, semalam, membawa padah apabila dia ditahan untuk siasatan.


Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mengesahkan lelaki yang menolak keretanya berada dalam di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan tersebut. 


"Lelaki terbabit mendakwa dia bersendirian ketika menolak kereta itu. Selain itu, terdapat juga saksi mendakwa melihat lelaki berkenaan menolak kereta berkenaan sewaktu memancing di tasik ini kira-kira 6.30 pagi," katanya.


Beliau berkata, operasi pencarian membabitkan 11 anggota BBP Sungai Siput selain enam anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar dan tujuh anggota polis.


"Pemeriksaan lanjut polis menemui dadah jenis amphetamine seberat 0.07 gram dan hasil ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah sama," katanya ketika dihubungi. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Terdahulu, polis memanggil pasukan bomba bagi memastikan tiada mangsa yang terlibat dalam kereta yang ditolak lelaki berkenaan, anggota bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah membuat pencarian sehingga 30 meter ke tengah lombong dengan kedalaman 25 meter.


Kereta tersebut berjaya dijumpai dan disahkan tiada mangsa di dalamnya. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.30 tengah hari. Suspek menjalani ujian saringan air kencing mendapati positif dadah ditahan untuk membantu siasatan.


Bomba sedang mempersiap peralatan menyelam bagi mencari kedudukan sebenar sebuah kereta yang ditolak jatuh oleh pemiliknya ke dalam tasik bekas lombong di Taman Lintang Makmur, semalam.

Sabtu, 13 Mac 2021

Sajat Terus 'Ghaib' Jais, Polis Perhebatkan Pemburuan

Sajat Terus 'Ghaib' Jais, Polis Perhebatkan Pemburuan


Sudah dua minggu berlalu, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman masih belum di kesan selepas diburu oleh pihak berkuasa ekoran gagal hadir perbicaraan di mahkamah syariah.


Terbaru, memetik laporan Harian Metro, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia membantu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), bagi menjejaki usahawan kosmetik berusia 36 tahun tersebut yang dipercayai sedang bersembunyi.


Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, berikutan kuasa yang terhad, Mais dan Jais memerlukan bantuan polis untuk melaksanakan perintah mahkamah termasuk waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad yang dikeluarkan pada Februari lalu.


"Sudah ada perbincangan antara Jais dan polis. Justeru, Mais menyerahkan perkara ini kepada kedua pihak berkenaan untuk pelaksanaan perintah Mahkamah. Buat masa ini, Jais masih mengesan Muhammad Sajjad dan oleh kerana bidang kuasa yang terhad, bantuan polis diperlukan.


"Bantuan polis bukan sahaja diperlukan dalam kes Muhammad Sajjad bahkan banyak kes syariah sebelum ini, kita laksanakan dengan bantuan polis terutamanya apabila membabitkan perintah Mahkamah," katanya kepada pemberita ketika ditanya perkembangan terbaharu kes berkaitan usahawan itu.



Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.


Usahawan kosmetik itu dituduh berpakaian seperti wanita pada satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, jam 7.30 malam 23 Februari 2018.


Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.