Sabtu, 1 Mei 2021

Berang kereta dibaiki masih rosak, lelaki bertindak bakar mekanik


Hanya kerana tidak berpuas hati kereta yang dibaiki masih rosak, seorang lelaki tergamak membakar seorang mekanik dengan menyimbah minyak petrol sebelum menyalakan api di sebuah rumah di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah, Rabu lalu.


Dalam kejadian pada 8 malam itu, lelaki berusia 37 tahun melecur hampir di seluruh badan. Mangsa yang melecur dengan kesan terbakar 46 peratus pada kepala hingga pinggang dan kaki kanan itu, dihantar ke Hospital Changkat Melintang, Bota oleh seorang lelaki dengan menaiki kereta.


Susulan itu, bertindak atas maklumat dan rakaman CCTV, polis menahan empat lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun termasuk dua beradik yang dipercayai terbabit kejadian itu di empat lokasi berasingan di sekitar Kampung Gajah, pada Khamis.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku selepas suspek berusia 50 tahun berkenaan berang apabila kereta adiknya yang dibaiki mangsa masih rosak.



Menurutnya, berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa sebelum lelaki itu meminta rakannya berusia 39 tahun membeli minyak petrol di kedai runcit berhampiran.


"Suspek menyimbah bahan bakar itu atas kepala mangsa sebelum dia menyalakan api dengan menggunakan penyembur aerosol dan pemetik api yang kemudian menyambar mangsa di halaman rumah dan menyebabkannya terbakar.


"Dua beradik berkenaan cuba memadamkan api dengan menggunakan air paip di luar rumah," katanya, semalam.


Beliau berkata, adik suspek berusia 42 tahun kemudian menghubungi seorang lagi rakan mereka untuk membawa mangsa ke hospital dengan upah RM100. Sebelum dihantar ke hospital oleh lelaki berusia 30 tahun itu, seorang daripada suspek menukar pakaian mangsa yang terbakar itu.


"Mangsa ditinggalkan di tempat letak kereta di hadapan wad kecemasan hospital. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan terbakar pada tubuh mangsa yang ketika itu masih sedar dan mampu bercakap," katanya.


Barudin berkata, pemeriksaan perubatan turut dilakukan ke atas semua suspek dan seorang daripada mereka didapati mempunyai kesan terbakar pada tangan kanan.


Menurutnya, ujian air kencing mendapati semua mereka positif methamphetamine dan direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Katanya, mangsa dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut pada 2.50 pagi semalam. Sumber: Harian Metro


EmoticonEmoticon