Rabu, 7 April 2021

Kerana mulut badan binasa, lelaki maut ditetak sebab tuduh suspek amal ilmu hitam

Pedang samurai yang digunakan suspek.


MUKAH - Berang selepas dituduh mengamalkan ilmu hitam, seorang lelaki warga Indonesia menetak rakan senegaranya menggunakan parang sehingga mati. Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi tadi di rumah pekerja di Ladang Solar Green, di sini.


Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua mereka yang tinggal sebilik keluar bekerja, namun kemudian bertengkar apabila mangsa menuduh suspek mengamalkan ilmu hitam.


Katanya, suspek menafikan tuduhan mangsa dan bersumpah tidak amalkan ilmu hitam. Namun, mangsa terus menuduh suspek ada amalkan dan menyimpan ilmu hitam sehingga suspek marah.


"Berlaku pertengkaran antara mereka dan semasa mangsa masuk ke dalam bilik, suspek mengekori dari arah belakang dengan memegang parang dan terus menetak di bahagian belakang tengkuk mangsa. Mangsa terjatuh ke lantai ruang tamu sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.


Jimmy berkata, ketika kejadian, hanya suspek dan mangsa berada di tempat kejadian dan mereka bekerja meracun rumput di ladang berkenaan. Suspek yang melarikan diri melalui pintu belakang dan bersembunyi di kawasan ladang, berjaya dikesan dan ditangkap tengah hari tadi.


Katanya, mayat mangsa yang berusia 32 tahun dari Ntonggu, Indonesia dihantar ke bilik mayat Hospital Mukah untuk dibedah siasat manakala suspek berusia 31 tahun dari Paradowane, Indonesia ditahan.


Menurutnya, parang sepanjang 80 sentimer yang digunakan suspek turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


EmoticonEmoticon