Isnin, 5 April 2021

Bomoh mati ditembak dipercayai bermotifkan dendam


KUANTAN - Seorang pengamal perubatan tradisional (bomoh) ditemukan mati dengan beberapa kesan tembakan di badan, dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan perkampungan Bukit Rangin Perdana 2, di sini pada malam pada Ahad.


Mangsa, Mohammad Abdul Rahim Nasri, 31, ditemukan terbaring dengan kesan darah pada bahagian badan oleh ahli keluarga sebelum menghubungi polis.


Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa, meninggal dunia di tempat kejadian, tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan dendam.


Katanya, pihaknya menerima maklumat berlaku kejadian seorang lelaki tidak sedarkan diri akibat kecederaan di kepala dan kesan darah kering pada jam 11 malam.


"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di rumah kampung jenis papan yang terletak kira-kira 20 meter dari jalan utama dan 100 meter dari rumah jiran terdekat.


"Ketika kejadian, mangsa berseorangan kerana ibunya berniaga ikan di tapak niaga Bukit Rangin Perdana 2 kira-kira 200 meter dari rumah.


"Mangsa mati disyaki ditembak kerana ada beberapa kesan tembakan pada badan hasil pemeriksaan dijalankan pasukan siasatan dan forensik.


"Mangsa yang sudah berkahwin baru saja mendapat anak lelaki. Mangsa tinggal bersama ibunya yang berusia 60 tahun dan menjalankan aktiviti perubatan tradisional.


"Isteri mangsa kini sedang berpantang di rumah ibu mentua di Pekan. Hasil siasatan disyaki bermotifkan dendam dan marah kepada mangsa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Katanya, bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).


Sementara itu, adik mangsa, Mohd. Firdaus Nasri, 29, berharap orang ramai berhenti membuat spekulasi tentang kejadian yang menimpa abangnya itu sebaliknya membiarkan polis membuat siasatan.


Beliau mendakwa, pelbagai andaian dibuat orang ramai yang turut menyebarkan gambar mangsa di laman sosial dan kumpulan WhatsApp sehingga menjejaskan emosi keluarga.


Pengamal perubatan tradisional maut akibat ditembak beberapa das di Perumahan Bukit Rangin Perdana.


EmoticonEmoticon