Rabu, 31 Mac 2021

Padah 'Proton Wira' halang laluan Bomba pada 2019, akhirnya ditahan Polis pada 2021


Selepas satu rakaman video tular di laman sosial memaparkan sebuah kenderaan Proton Wira menghalang jentera bomba dan penyelamat yang sedang menjalankan tugas kecemasan pada 2019, seorang lelaki ditahan di Taman Munsyi Ibrahim di Johor Bahru, semalam.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan, jam 9.30 malam.


Katanya, Proton Wira berwarna hitam milik suspek seperti yang tular di laman sosial turut dirampas. Suspek berumur 33 tahun dan bekerja sebagai operator kilang. 


"Hasil siasatan awal, kejadian berlaku pada 27 April 2019 dan tular di media sosial pada 27 Mac 2021 lalu. Berdasarkan rakaman video yang tular di laman sosial, Proton Wira terbabit menghalang jentera bomba di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu di sini," katanya.


Menurut Mohd Padzli, suspek mengambil kesempatan dengan memandu di hadapan jentera bomba serta mengeluarkan isyarat tangan terhadap kenderaan lain untuk membuka laluan tanpa kuasa yang sah.


"Dalam video itu, jentera bomba berada di belakang kereta dipandu suspek, ia sekali gus membahayakan dirinya serta pengguna jalan raya yang lain dengan melanggar lampu merah.


"Kami mohon kerjasama pengguna jalan raya untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama dalam memberi laluan kepada kenderaan bomba dan ambulans yang terbabit dalam hal kecemasan," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. Rakaman video berdurasi satu minit enam saat yang tular di aplikasi TikTok itu mendapat lebih 6,000 komen netizen. Sumber: Harian Metro


Proton Wira yang menghalang jentera bomba semasa menjalankan tugas kecemasan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu, pada 27 April 2019 tular di media sosial.


EmoticonEmoticon