Khamis, 1 April 2021

Beruang matahari tiba-tiba melintas maut dirempuh kereta


HULU TERENGGANU - Empat sekeluarga menaiki Mercedes-Benz terkejut melihat seekor beruang matahari yang tiba-tiba melintas, menyebabkan pemandu tidak sempat membrek lalu merempuh haiwan tersebut di Kilometer 388.9 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil di sini, semalam.


Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, haiwan seberat lebih 30 kilogram itu mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.


Ketua Polis Daerah Hulu Terenggani, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, seorang lelaki berusia 50 tahun dan isteri serta dua anak mereka yang menaiki kereta Mercedes-Benz dikatakan dalam perjalanan ke arah Kuala Lumpur dari Kuala Terengganu.


"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka gagal mengelak lalu merempuh seekor beruang matahari betina yang tiba-tiba melintas laluan berkenaan.


"Rempuhan itu menyebabkan haiwan liar yang dipercayai berasal dari hutan berhampiran tersebut mati serta-merta akibat kecederaan parah," katanya di sini, hari ini.


Mohd. Adli berkata, empat beranak yang berada di dalam kereta Mercedes-Benz berkenaan terselamat tanpa sebarang kecederaan. Bangkai beruang matahari itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.


Keadaan beruang matahari betina yang mati selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 388.9 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dari arah Ajil menghala ke Bukit Besi. - Foto Kosmo


EmoticonEmoticon