Khamis, 15 April 2021

Kes belasah 'bodyguard' membawa kepada rampasan jongkong emas dan wang RM28.45 juta


KLANG - Empat individu termasuk majikan yang ditahan disyaki memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa, membongkar sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau 'along' serta judi haram membabitkan kumpulan itu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, perkara itu terbongkar hasil penahanan kesemua suspek dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada Rabu.


"Kesemua yang ditahan berusia 35 hingga 46 tahun disyaki terlibat dalam insiden memukul dua pengawal peribadi itu.


"Selepas tangkapan dilakukan, kami membuat pemeriksaan dan menemui sejumlah 12,500 keping wang tunai matawang Dollar AS serta 100 keping jongkong emas seberat sekilogram sekeping.


"Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM28.45 juta berdasarkan harga emas semasa," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, pada Khamis.


Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, polis turut merampas dua rotan yang disyaki digunakan semasa kejadian, serta sepucuk pistol bersama 10 butir peluru yang di bawah kawalan salah seorang mangsa dan merupakan kepunyaan milik sebuah syarikat kawalan keselamatan.



Terdahulu, empat suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 43 tahun itu dibawa ke Mahkamah Klang untuk perintah reman pagi semalam. Salah seorang suspek dikenakan reman tujuh hari manakala tiga lagi direman lima hari. Kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau


Katanya, bagi kes di Klang Selatan, polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 298 KK dan 307 KK.


"Kami juga menyiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951," katanya.


Arjunaidi berkata, pihaknya masih menyiasat secara mendalam sindiket berkenaan termasuk berapa lama kumpulan itu bergiat aktif. Polis juga meminta masyarakat bertenang serta tidak membesarkan isu ini termasuk mengaitkan dengan isu perkauman


Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dalam satu kenyataan memaklumkan berkata, kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, sebelum dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol.



EmoticonEmoticon