Khamis, 15 April 2021

Lelaki OKU diperdaya sebelum dibakar ganti mayat orang lain


BEIJING – Seorang lelaki di China dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah menculik, memberi dadah, mengurung dan membakar hidup-hidup mangsa yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) sindrom down, dalam satu kejadian yang berlaku empat tahun lalu.


Perbuatan kejam itu dilakukan hanya untuk menunaikan permintaan terakhir seorang lelaki kaya yang mahu dikebumikan daripada dibakar, yang mana pengebumian tidak dibenarkan di wilayah tertentu.


Justeru, keluarganya mengupah seorang individu bagi mencari mayat untuk proses pembakaran sebagai ganti kepada mayat saudara mereka. Namun, individu diupah keluarga itu melakukan pembunuhan untuk mendapatkan mayat tersebut. 


Menurut akhbar South China Morning Post semalam, teruduh bernama Huang diupah oleh sebuah keluarga kaya yang mahu menggantikan mayat saudara mereka untuk proses pembakaran mayat dalam skim 'pertukaran badan'.


Mangsa, Lin Shaoren, 36, diculik ketika mengutip sampah di tepi jalan pada 1 Mac 2017. Huang yang melakukan penculikan itu memaksa mangsa minum arak dalam jumlah yang banyak.


Apabila Shaoren tidak sedarkan diri, dia dimasukkan ke dalam sebuah keranda yang siap sedia untuk ke tempat pembakaran mayat bagi pihak waris keluarga yang mengupah Huang. Mayat lelaki itu pula dibawa ke kawasan terpencil bagi proses upacara pengebumian tradisional.   


Dilaporkan, Huang menerima bayaran sebanyak 90,000 yuan (RM56,891) bagi pertukaran mayat itu daripada keluarga tersebut.


Shaoren disenaraikan sebagai orang hilang selama dua tahun sebelum keluarganya mendapati dia telah dibunuh pada November 2019 apabila polis menggunakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) untuk menyelesaikan jenayah itu, lapor Sohu News.


Huang dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Shanwei pada September lalu. Dia membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Rakyat Guangdong tetapi ditolak pada Disember lepas.


Di sebahagian wilayah China terutama di bandar-bandar besar, majlis pengebumian adalah dilarang oleh kerajaan. Pihak berkuasa berpendapat pembakaran mayat menjimatkan penggunaan tanah dan lebih mesra alam.


Namun banyak keluarga lebih selesa mengebumikan anggota keluarga mereka kerana kepercayaan agama bahawa ia adalah satu-satunya cara untuk mendiang mati dengan tenang.


EmoticonEmoticon