Isnin, 17 Mei 2021

Video tular 'The Real Raya' tunggang motosikal tayang aksi 'pacak' seorang lelaki ditahan polis


KUALA LUMPUR - Padah tayang aksi tunggang motosikal secara berbahaya tanpa menghiraukan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain, seorang lelaki ditahan polis, semalam. Kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi di sekitar ibu negara pada 13 Mei lalu menjadi tular.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular berdurasi 28 saat yang dimuat naik ke laman sosial media.


Rakaman video dengan tajuk 'The Real Raya in Kuala Lumpur' itu memaparkan tindakan seorang lelaki berbaju melayu lengkap berkopiah dan berselipar menunggang motosikal Yamaha RX-Z dalam keadaan berbahaya dengan aksi wheelie atau 'tunggang pacak'.


"Bertindak atas laporan polis yang diterima, Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai oleh Inspektor Mohammad Solihi Shafie telah berjaya mengesan serta menahan suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kira-kira pukul 7 petang semalam.


"Pasukan polis yang melakukan tangkapan turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ serta merampas pakaian yang digunakan oleh suspek dalam video tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.


Difahamkan, pihak polis turut dalam usaha menjejaki seorang lagi kenalan suspek yang merakamkan aksi menunggang motosikal secara merbahaya itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana bersubahat.


Menurut Zulkefly, semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditangkap sebanyak dua kali sebelum ini di atas kesalahan yang sama dan telah dihukum di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2018.


Dia dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 bulan dan lesen memandu digantung selama dua tahun pada tahun 2020. Kata Zulkefly, suspek kini ditahan dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.


EmoticonEmoticon