Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

Ahad, 25 April 2021

Kancil viral tidak berbumbung akhirnya disita Polis

Kancil viral tidak berbumbung akhirnya disita Polis


Polis menyita dua kereta jenis Perodua Kancil termasuk satu daripadanya 'Kancil kuning' yang tular dalam media sosial yang dipandu tanpa mempunyai bumbung.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata polis telah menahan kenderaan berwarna kuning itu yang sedang dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun pada 1 pagi tadi di Bandar Metropolitan, Kepong, di Kuala Lumpur.


Menurutnya, tindakan diambil selepas video tular di aplikasi Tik Tok, baru-baru ini mengenai Perodua Kancil berwarna kuning yang tiada bumbung.


"Kami melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan itu yang dinaiki seorang lelaki dipercayai gelandangan di lokasi berkenaan kira-kira jam 1 pagi.


"Didapati pemandu yang berasal dari Raub, Pahang itu juga tidak mempunyai lesen memandu, selain kereta berwarna kuning tidak tiada cukai jalan, tidak berbumbung dan tayar hadapan sebelah kanan pecah," katanya dalam kenyataan, hari ini.



Zulkefly berkata, pemandu itu turut menunjukkan sebuah lagi Perodua Kancil berwarna hijau yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan cermin pecah di bahagian pintu belakang sebelah kiri.


"Berdasarkan pemeriksaan, kami mendapati kedua-dua kereta berkenaan tidak layak berada di atas jalan raya dan boleh membahayakan pengguna lain disebabkan ia tidak lengkap, buruk dan sudah lama (usia)," katanya.


Katanya, saman dikeluarkan terhadap pemandu itu atas kesalahan tiada lesen memandu, manakala sitaan kedua-dua kereta dibuat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Difahamkan, pemandu terbabit adalah gelandangan yang tidur dalam kereta dan pernah dua kali dikenakan tindakan (saman serta sita kenderaan) atas kesalahan sama.


Perodua Kancil berwarna hijau yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan cermin pecah di bahagian pintu belakang sebelah kiri turut disita.

Sabtu, 3 April 2021

Ikan pemangsa 'spesies alien' Baung ekor merah terlepas ke Sungai Perak

Ikan pemangsa 'spesies alien' Baung ekor merah terlepas ke Sungai Perak


Jabatan Perikanan mengesahkan pemilik sangkar ikan yang hanyut dan pecah di Teluk Intan, 29 Mac lalu turut menternak ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus Wyckioides di Sungai Perak.


Spesies dikategorikan sebagai ikan pemangsa dikatakan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam itu berbahaya kepada ekosistem sungai dan tasik apabila dikesan mampu memusnahkan keseluruhan hidupan asal jika terlepas masuk ke kawasan berkenaan.


Pengarah Jabatan Perikanan Perak Zaki Mokri berkata, jabatan tidak pernah mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah kerana ia termasuk dalam kategori ikan asing spesies alien.



Menurutnya, pihaknya percaya pemilik sangkar berkenaan menternak ikan jenis itu secara haram bersama ikan lokal jenis lain.


"Kami memang tidak mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah tetapi jika ada penternak yang mahu membelanya ia perlu merujuk kepada jabatan dahulu.


"Ikan jenis ini memang tidak dibenarkan diternak dalam sangkar kerana dikhuatiri terlepas dalam sungai di mana ia adalah ikan pemangsa yang sangat berisiko kepada sumber sungai kita.


"Jika boleh pun mungkin diternak dalam tangki tetapi bukan mudah kerana kita perlu membuat penilaian seperti sistem penternakan dan pembuangan sisa air," katanya ketika dihubungi hari ini.



Tangkap ikan spesis ini untuk kelangsungan ekosistem sungai


Zaki berkata, pemilik sangkar ikan itu mempunyai 300 petak sangkar yang menempatkan pelbagai jenis ikan lokal seperti patin, baung dan talapia.


Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menolak individu terbabit turut membela baung ekor merah yang juga bukan jenis lokal di dua atau tiga daripada sangkar sedia ada di Sungai Perak.


"Dalam kejadian itu tali pengikat sangkar putus dan menyebabkan 250 sangkar ikan hanyut, malah ada yang pecah. Ia turut mengakibatkan ikan mati dan terlepas ke sungai termasuk ikan baung ekor merah.


"Tetapi ikan ini dibela dan diberi makan palet, jadi ia agak jinak dan tidak akan pergi terlalu jauh. Dia juga akan menunggu diberi makan, jadi kita saran nelayan (dan pemilik sangkar sendiri) memancing atau menjala terus ikan itu supaya spesis ini tidak membiak dalam perairan sungai kita," katanya.


Katanya, pihaknya juga sudah melakukan lawatan dan pemantauan di lokasi dan akan menjalankan siasatan lanjut mengenainya sebelum mengambil tindakan susulan lain.


Sementara itu, seorang nelayan dari Kampung Sungai Buaya, Kampung Gajah, Muhammad Firdaus Othman, 30, berkata, dia terkejut apabila ramai rakannya yang memancing di kuala Sungai Buaya memperoleh ikan baung ekor merah.



Menurutnya, lokasi kampung mereka berhampiran dengan Sungai Perak di Teluk Intan menyebabkan ikan itu terlepas hingga ke kawasan mereka yang disedari dua hari selepas kejadian itu.


"Ada kawan dapat antara dua hingga sembilan ekor ikan jenis itu ketika memancing di sungai dengan anggaran berat antara dua hingga tiga kilogram seekor.


"Kami maklum jenis ikan ini memang bahaya dan akan makan semua sumber sungai. Jika dibiarkan ia akan membiak sekali gus menjejaskan sumber Sungai Perak di Hilir Perak juga terkenal dengan udang galah dan pendapatan nelayan," katanya.


Muhammad Firdaus berkata, mereka juga terkilan dengan tindakan individu yang mementingkan diri sendiri kerana masih membela ikan jenis itu dan berharap kejadian sama tidak berulang. Sumber: Harian Metro

Rabu, 31 Mac 2021

Memiliki dan jual cecair vape bernikotin, peniaga didenda RM3,000

Memiliki dan jual cecair vape bernikotin, peniaga didenda RM3,000


KAJANG - Gara-gara menjual cecair vape mengandungi nikotin, pemilik sebuah syarikat didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dan menjual 90 botol cecair vape berkenaan.


Pemilik Syarikat Eboy Jaya Resources, Mohd Taufik Mohd Puji, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.


Mengikut pertuduhan saman itu, dia didakwa bukan sebagai orang yang dilesenkan di bawah Akta Racun 1952 untuk menjual atau membekal racun dimiliki bagi jualan 90 botol cecair vape di sebuah premis di Jalan Reko Sentral 2, di sini, 29 Januari 2018.


Justeru, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 32 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara, jika sabit kesalahan. Jika gagal membayar denda itu, OKS berdepan hukuman penjara dua bulan.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Selangor Fairuz Khan Mohamed Ali, manakala OKS tidak diwakili peguam.


Mohd Taufik Mohd Puji keluar selepas membayar denda
di Mahkamah Majistret Kajang. - Foto Harian Metro

Isnin, 29 Mac 2021

Padah palsukan sijil cuti sakit, 6 pekerja kilang bakal berhadapan hukuman penjara 2 tahun

Padah palsukan sijil cuti sakit, 6 pekerja kilang bakal berhadapan hukuman penjara 2 tahun


BUKIT MERTAJAM - Enam pekerja kilang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan sijil cuti sakit pada Oktober tahun lalu hingga Februari lalu. Tertuduh, Mohamad Hafizi Zainuddin, 29, Muhamad Zulhakimi Masdi, 23, dan Muhammad Amir Md Ishak, 19, mengaku bersalah terhadap dakwaan itu.


Bagaimanapun, Nur Farah Amira Alisham, 21, Nurul Izzah Abdul Razak, 21, dan Marsya Fatini Mohd Rani, 20, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan dua majistret, Mohd Zaki Abd Rahman dan Sri Pracha Nanthini Balabedha.


Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret 1 dan 2, kesemua tertuduh didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen iaitu sijil cuti sakit yang dipercayai adalah palsu.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat EMS M Engineering Medical System Sdn Bhd di Bukit Minyak di sini, antara 27 Oktober tahun lalu hingga 27 Februari lalu.


Marsya Fatini pula berhadapan satu lagi pertuduhan apabila didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Februari hingga 27 Februari lalu di tempat yang sama.


6 tertuduh kes memalsukan sijil cuti sakit diiringi
polis untuk didakwa di Mahkamah Majistret.


Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Dalam prosiding di Mahkamah Majistret 1, Mohd Zaki menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,700 dan penjara lima hari bermula tarikh tangkapan ke atas Mohamad Hafizi dan Muhammad Amir.


Di mahkamah yang sama juga, Mohd Zaki turut membenarkan Nurul Izzah diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.


Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Kalaivaanan, manakala dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Abdul Nasir Wahid dan seorang lagi tertuduh diwakili peguam Muhammad Zayumi Mohd Yusof.


Di Mahkamah Majistret 2 pula, Sri Pracha menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dengan penjara lima hari bermula hari ini ke atas Muhamad Zulhakimi.


Sri Pracha turut membenarkan Nur Farah Amira dan Marsya Fatini diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Kes di Mahkamah Majistret 2 dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing.


Kedua-dua majistret kemudian menetapkan 3 Mei nanti sebagai tarikh sebutan semula kes. Sebelum ini, polis menerima laporan daripada seorang doktor yang mengesyaki tandatangan dan cop miliknya dipalsukan.


Doktor itu mengesyaki bahawa enam individu yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Minyak memperdaya majikan mereka dengan mengemukakan sijil cuti sakit menggunakan cop dan tandatangan miliknya yang disyaki dipalsukan. 


Doktor terbabit pernah bekerja di Bahagian Pesakit Luar di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan sudah tamat kontrak pada 2017.

Isnin, 15 Mac 2021

Polis Kedah saman polis, operasi khas di pintu masuk IPK

Polis Kedah saman polis, operasi khas di pintu masuk IPK


ALOR SETAR - Pegawai dan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini terkejut apabila mereka ditahan dan diperiksa oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Cawangan Khas (SB).


Melalui hantaran di Facebook Rasmi Polis Kedah, pemeriksaan dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard serta Cawangan Khas IPK Kedah membabitkan dokumen sulit, pemeriksaan kenderaan dan pas keselamatan.


Operasi Khas Bunyi Bising & Ubahsuai selama satu jam bermula 7.30 pagi itu disertai dua pegawai dan enam anggota JSPT IPK Kedah, tiga pegawai dan tujuh anggota Cawangan Khas IPK Kedah dan dua pegawai serta seorang anggota JIPS IPK.


Dalam operasi itu, JSPT melakukan pemeriksaan terhadap 128 kenderaan dan 116 motosikal manakala Cawangan Khas memeriksa 160 kenderaan dan 99 motosikal. Manakala JIPS IPK pula melakukan pemeriksaan terhadap 22 orang.



Selain itu, beberapa kenderaan milik pegawai dan anggota serta kakitangan awam IPK Kedah disaman kerana melanggar undang-undang jalan raya seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.


Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanudin Hassan berkata, pemeriksaan dilakukan untuk memastikan anggota dan pegawainya di IPK Kedah mematuhi peraturan. Pemeriksaan itu kerap dilakukan dan ia dilakukan secara berkala.


"Tumpuan pemeriksaan terhadap kenderaan yang memasuki IPK yang melakukan kesalahan ubahsuai bunyi dan nombor pendaftaran fancy. Tindakan tetap diambil sekiranya ada anggota dan pegawai kita didapati melakukan kesalahan," katanya.


Susulan itu, hantaran di Facebook rasmi Polis Kedah berkenaan telah tular, rata-rata netizen memuji usaha berkenaan dan berharap pemeriksaan diperluaskan lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara.


Jumaat, 26 Februari 2021

Penghuni ingkar SOP, pengurusan kediaman tidak mempunyai kuasa kompaun

Penghuni ingkar SOP, pengurusan kediaman tidak mempunyai kuasa kompaun


Kuala Lumpur: Pengurusan kondominium atau kawasan perumahan tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun kepada penghuni yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka.


Tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak berumur satu tahun yang disaman RM100 oleh pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam lif.


Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kuasa mengeluarkan kompaun itu adalah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


"Setakat ini kita tidak memberikan kuasa kepada pengurusan kondominium dan pangsapuri atau mana-mana pejabat untuk mengambil tindakan. Kuasa pada peringkat pengurusan perumahan hanya berkaitan dengan peraturan di dalam kawasan tersebut seperti menjaga harta.


"Jadi apa dilakukan oleh pihak pengurusan di kondominium (di) Ampang ini adalah salah dan tidak boleh dilakukan. Jadi saya harap mereka menarik balik kompaun RM100 yang diberikan," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.


Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi tempoh PKP 2.0 ini supaya pemandu dan penumpang dalam satu kenderaan perlu tinggal dalam kediaman yang sama.


Sebaliknya, beliau berkata, pemandu dan penumpang boleh datang daripada kediaman yang berbeza mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan yang ditetapkan, dan ia merangkumi semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP.


Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan belum mempunyai ketetapan berhubung pengeluaran pasport vaksin terhadap individu yang bakal menerima suntikan vaksinasi terbabit.


Katanya, setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan untuk membuka sempadan negara susulan pengenalan pasport vaksin itu nanti yang memungkinkan orang ramai kembali melakukan perjalanan ke luar negara.


"Belum ada tarikh lagi untuk itu, kerajaan masih sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pasport vaksin terbabit.


"Hal ini kerana kerajaan tidak mengetahui vaksin apa yang diterima di negara luar untuk membolehkan kemasukan rakyat negara ini ke negara mereka. Jadi perkara ini masih terlalu awal diperkatakan," katanya.


Beliau berkata perkara berkenaan akan diumumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM kemudian. Dalam perkembangan lain beliau berkata, polis menahan 460 individu kerana mengingkari PKP semalam.


"Sejumlah 388 daripada mereka dikompaun sementara 70 direman dan dua individu dijamin semalam.


"Mengenai Op Benteng pula, seramai 23 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan sementara 11 buah kenderaan darat dirampas semalam," katanya.

Khamis, 25 Februari 2021

Group persundalan 'Adik Sayang, Abang Sayang' aktif sejak tiga bulan lalu

Group persundalan 'Adik Sayang, Abang Sayang' aktif sejak tiga bulan lalu

Gambar hiasan.


Kota Bharu: Foto wanita akan dimasukkan dan dipaparkan dalam aplikasi 'MiChat' oleh pengendali untuk pilihan sebelum ditempah pelanggan.


Bayaran untuk tempahan wanita ini pula dikenakan antara RM250 hingga RM300 bergantung atas beberapa kriteria termasuk usia dan kecantikan.


Itu modus operandi yang digunakan aplikasi yang beroperasi di bawah nama kumpulan 'Adik Sayang, Abang Sayang' yang dipercayai aktif di negeri ini sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan sebuah rumah di Kubang Kerian sebagai 'port' persundalan.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya percaya masih ramai lagi wanita yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral dan ada dalam kalangan mereka berstatus ibu tunggal.


"Kesemua mereka adalah rakyat tempatan dan menerima bayaran antara RM250 hingga RM300," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Dalam serbuan petang kelmarin, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) membuat serbuan di rumah banglo dan menahan lima wanita yang dipercayai pelacur.


Dalam serbuan 3.45 petang sempena Op Noda itu, semua wanita yang berusia sekitar 20-an hingga 60 tahun itu sedang berada dalam bilik bersama pasangan masing-masing.


Selain itu, seramai sembilan lelaki termasuk seorang warga Myanmar ditahan berada dalam rumah yang disewa kononnya sebagai tempat sewaan kereta namun dijadikan sarang pelacuran.


Mengulas lanjut, Shafien berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenalpasti dalang di sebalik sindiket itu, dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengesan individu lain yang terbabit termasuk melakukan serbuan seterusnya.

Ahad, 21 Februari 2021

Tergamak tinggalkan ibu berkerusi roda di tepi jalan

Tergamak tinggalkan ibu berkerusi roda di tepi jalan


Wanita warga emas yang kudung sebelah kaki ditemui bersendirian dengan kerusi roda di tepi jalan di Jalan Kebun, Shah Alam, semalam, dipercayai ditinggalkan ahli keluarga.


Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung warga emas ditinggalkan di tepi jalan dengan bekalan lampin pakai buang serta beg pakaian.


"Sebaik saja menerima maklumat itu, Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat bertindak segera turun padang pada jam 8.30 malam tadi bagi menyantuni warga emas itu.


"Hasil siasatan mendapati wanita berusia 60 tahun itu adalah asnaf fakir dan masih mempunyai keluarga.


"LZS kemudian berjaya menghubungi keluarga warga emas itu bagaimanapun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris sudi menjemputnya pulang ke rumah dengan pelbagai alasan," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, LZS terpaksa menyerahkan warga emas berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.


"Polis bertindak menghubungi anak warga emas terbabit dan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran pihak berkuasa berkenaan," katanya.



Menurutnya, anak wanita berkenaan pada awalnya bersetuju hadir ke balai polis untuk mengambil ibunya bagaimanapun sekitar jam 3 pagi tadi, individu terbabit membuat keputusan tidak boleh menjaga wanita itu lagi.


"Polis kemudian menghubungi pusat jagaan warga emas yang kemudian datang menaiki ambulans untuk membawanya ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.


"Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Kata wanita itu 'dah lama acik (makcik) tak jumpa anak, anak acik baik orangnya'. Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka mengetahuinya," katanya.


LZS memaklumkan, pihaknya menempatkan warga emas itu di pusat jagaan warga emas mengikut prosedur dengan kebenaran anaknya dan semua kos ditanggung oleh agensi berkenaan.


"Terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan maklumat kepada kami serta Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah, Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes ini.


"Marilah sama-sama kita doakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah SWT dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih sayang," katanya.

Jumaat, 1 Januari 2021

Seorang lelaki tak tahu Wawa sebenarnya lelaki, mereka kena 'tangkap basah'

Seorang lelaki tak tahu Wawa sebenarnya lelaki, mereka kena 'tangkap basah'


Sandakan: Dalam Op Tahun Baru bermula kira-kira 10.30 malam itu, seorang lelaki 'ditangkap basah' bersama seorang pondan ketika berdua-dua dalam kenderaan di Pantai Pasir Putih, dekat sini, semalam.


Lelaki yang enggan dikenali dan masih menganggur itu mengakui dia baru mengenali 'wanita' dengan nama Wawa berkenaan melalui aplikasi Michat pada semalam. Kemudian mereka berjanji temu sempena meraikan ambang Tahun Baru 2021.


"Saya baru mengenali dia pada semalam melalui aplikasi Michat. Dia menggunakan nama Wawa dan gambarnya juga seorang wanita.


"Sebelum kehadiran polis, kami sebenarnya baru berjumpa dan ketika awal bercerita saya ada mengesyaki dan bertanya sama ada dia wanita sebenar atau bukan.


"Dia memberitahu dia adalah wanita sebenar dan saya mempercayainya. Tapi apabila sudah ditangkap dan berada di balai polis barulah saya menyedari identiti sebenarnya adalah lelaki," katanya ketika ditemubual media di Balai Polis Sandakan, awal pagi tadi.


Sementara itu, Pegawai Tadbir, Jabatan Hal Ehawal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, sebaik cuba diperiksa, pemuda dan pasangannya cuba melarikan diri.


"Namun, mereka berjaya ditahan semula di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi.


"Hasil siasatan awal, pemuda itu tidak mengetahui pasangannya adalah seorang pondan, pasangan berkenaan dilaporkan berusia dalam lingkungan 20 tahun," katanya.


Romzi berkata, dalam pada itu, pihaknya turut menahan empat orang lagi lelaki berperwatakan wanita di sebuah hotel bajet.


"Tiga daripadanya dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan disyaki 'jual diri' melalui aplikasi Wechat dengan bayaran RM200.


"Keseluruhan tangkapan seramai 16 orang termasuk tiga pasangan lelaki dan wanita tanpa hubungan sah dalam bilik hotel bajet," katanya.


Menurutnya, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sandakan dengan menggunakan van jenazah. Operasi bermula 10.30 malam, semalam itu berakhir kira-kira 3 pagi tadi.


Lokasi serbuan iaitu di Pantai Pasir Putih, Jalan Coastal, Harbour Square Sandakan dan hotel bajet di kawasan Batu Empat. Ia membabitkan lebih 40 penguat kuasa JHEAINS Sandakan bersama anggota Balai Polis Sandakan.

Jumaat, 25 Disember 2020

Disangka babi liar, pemilik ladang tertembak pekerja sendiri

Disangka babi liar, pemilik ladang tertembak pekerja sendiri


Rembau: Seorang pemilik ladang tidak menyangka sasaran tembakan ke atas kelibat yang disangka babi liar mahu memakan buah nangka yang gugur dari pokok rupa-rupanya mengenai pekerjanya sendiri, dalam kejadian di sebuah kebun di kawasan Kota, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa iaitu warganegara Indonesia berusia 30-an terus dibawa ke Hospital Tampin bagi rawatan lanjut.


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata pekerja Indonesia berusia 30-an itu cedera di kaki terkena peluru kekacang senapang Shot Gun jenis Bennely milik lelaki berusia 70-an itu.


"Hasil siasatan awal mendapati pengadu dalam kes ini adalah juga suspek sendiri yang melepaskan satu tembakan menggunakan selaras senapang Shot Gun jenis Bennelli miliknya," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.


Katanya, sejurus melepaskan tembakan, suspek terdengar suara lelaki menjerit dan kemudian menghampiri lokasi itu dan mendapati pekerjanya seorang lelaki warganegara Indonesia yang terkena tembakan di kaki.


"Kemudian dia (suspek) membawa mangsa ke Hospital Tampin untuk rawatan yang mengalami kecederaan di peha serta kaki kiri.


"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru penabur di bahagian peha dan kakinya," katanya.


Anuar berkata, suspek mempunyai lesen pemilikan senjata api. Polis dengan bantuan Pasukan D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menjalankan siasatan di tempat kejadian.


"Pihak polis sudah membuat tangkapan terhadap suspek serta merampas selaras 'Shotgun Bennely Army System' 12 Bore S/B, sebuah beg sandang warna hitam, sebuah buku lesen memiliki senjata dan peluru 17 butir peluru penabur pelbagai jenama," katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.


“Polis memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil memberikan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ramlah Alidin di talian 011-10944096 atau pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6851999.

Khamis, 24 Disember 2020

Tak perlu risau, kualiti status halal daging import dijamin, lalui pemeriksaan ketat

Tak perlu risau, kualiti status halal daging import dijamin, lalui pemeriksaan ketat


Pontian: Dasar pengimportan daging dan produk sedia ada menjamin kualiti, keselamatan serta status halal untuk kebaikan orang ramai. Pemeriksaan di loji pemprosesan dan rumah sembelihan dijalankan mengikut prosedur ditetapkan kerajaan, sebelum dibawa masuk ke Malaysia.


Masyarakat khususnya umat Islam di negara ini tidak perlu risau berhubung daging import yang memasuki pasaran negara kerana ia melalui proses pemeriksaan yang ketat.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata, tidak dinafikan banyak persepsi negatif yang dilontarkan orang awam, namun berharap supaya diberi ruang kepada pihak berkaitan bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung isu penyeludupan daging import.


Dimaklumkan bahawa proses daging kita (negara) dijalankan oleh agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, ia melalui proses yang cukup ketat.


"Selain itu, perlu juga membuat pemantauan dan pengauditan di semua tempat yang membekalkannya termasuk di bengkel atau kilang yang bukan sahaja perlu menepati status halal, malah perlu melihat daripada segi faktor kesihatan barulah kita boleh meluluskan permohonan terbabit.


"Apabila dimasukkan ke dalam negara, ia melalui beberapa pemeriksaan dan bukan sahaja membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) iaitu di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan," katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja Agropreneur Muda ke Pontian, di Kampung Lubuk Sipat Benut, dekat sini, hari ini.


Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, pihaknya berharap masyarakat supaya bersabar pada ketika ini berikutan proses pemeriksaan, selain siasatan pun masih dijalankan membabitkan beberapa jabatan dan agensi berkaitan.


Media sebelum ini melaporkan, terdapat kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah termasuk diragui status halal dan kualitinya. 


Berdasarkan rekod JPV, setakat ini Malaysia meluluskan 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India serta Pakistan.


Selain senarai negara yang diluluskan, sumber mendakwa, kartel dipercayai membeli bekalan daging dari loji sembelihan di Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China.


JPV berkata, kelulusan import daging dan produk daging hanya dibenarkan dari negara sumber, loji pemprosesan dan rumah sembelihan yang dilulus serta diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Khamis, 26 November 2020

Taktik licik pencuri pura-pura bersenam sebelum pecah rumah

Taktik licik pencuri pura-pura bersenam sebelum pecah rumah


Serdang: Polis mendedahkan taktik geng Kin yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dengan cara berpakaian sukan sambil berpura-pura bersenam di kawasan kediaman. Mereka aktif melakukan kegiatan itu di sekitar daerah ini, Petaling Jaya dan Brickfields, Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.


Taktik itu terbongkar selepas tiga ahli geng itu termasuk seorang wanita ditahan polis sebaik selesai memecah masuk sebuah apartmen di Seri Kembangan di sini, 19 November lalu. 


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan memaklumkan rumah seorang penghuni di apartmen berkenaan dipecah masuk oleh beberapa individu jam 12 tengah hari.


Katanya, pengawal keselamatan itu dimaklumkan oleh seorang penghuni apartmen terbabit yang meminta bantuan selepas rumahnya dimasuki dua individu tidak dikenali.


"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di apartmen berkenaan, terdapat sebuah kereta mencurigakan masuk ke kawasan itu yang dipercayai digunakan suspek.


"Pengawal keselamatan terbabit bersama anak saudaranya cuba menahan kereta itu ketika keluar, namun kenderaan itu memecut dan merempuh palang di pondok keselamatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.


Razali berkata, pengawal keselamatan menghubungi polis sebelum anggota polis yang berada di lapangan memberkas dua suspek masing-masing berusia 44 dan 52 tahun selepas kenderaan mereka ditahan tidak jauh dari apartmen berkenaan.


Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis menahan seorang wanita berusia 41 tahun di Taman Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari yang sama.


"Dalam tangkapan itu, kami merampas dua kereta, pelbagai peralatan pecah rumah, beberapa barang antik serta barangan lain dianggarkan bernilai RM10,000.


"Siasatan awal mendapati modus operandi geng itu adalah mensasarkan rumah yang pernah disewa mereka dengan memakai pakaian sukan dan berpura-pura bersenam di kawasan kediaman berkenaan pada siang hari.


"Setiap ahli mempunyai peranan masing-masing iaitu memecah masuk rumah, memantau keadaan sekeliling serta menunggu di dalam kenderaan," katanya.


Beliau berkata, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Semakan juga mendapati semua suspek memiliki antara lima hingga 14 rekod jenayah dan dadah.


"Susulan penahanan tiga suspek warga tempatan itu, kami percaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah di daerah ini, Petaling Jaya dan Brickfields yang disyaki didalangi kumpulan berkenaan.


"Semua suspek terbabit direman sehingga 2 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah," katanya.

Khamis, 19 November 2020

Selamatkan empayar perniagaan, Bos AirAsia jual rumah agam di Scotland

Selamatkan empayar perniagaan, Bos AirAsia jual rumah agam di Scotland


Tony Fernandes, 56, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, dilaporkan menjual hartanahnya di Ayrshire, Scotland yang bernilai 2.5 juta pound (RM13.55 juta).


Fernandes, yang juga pengerusi pasukan bolasepak Queens Park Rangers pernah tinggal di Skeldon House di Dalrymple, Ayrshire selama tujuh tahun. Hartanah lima bilik itu dilengkapi bilik simpanan wain, gimnasium, sauna dan gelanggang tenis.


Dia dilaporkan terpaksa mengorbankan rumah agam di kawasan seluas 125 ekar itu bagi menyelamatkan empayar perniagaannya yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.


Sebelum ini, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan industri penerbangan penumpang bakal kehilangan pendapatan AS$252 bilion (RM1.1 trilion) atau empat peratus di bawah angka yang dicatatkan tahun lalu.


Menurut IATA, pengurangan pendapatan itu disebabkan sekatan perjalanan yang semakin memburuk dan jangkaan kemelesetan global. IATA mengkaji semula analisis kesan pendapatan ekoran Covid-19 ke atas industri pengangkutan udara global.


Fernandes pada April lalu mendedahkan 96 peratus daripada armada pesawatnya tidak dapat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19.


Katanya, keadaan itu menyaksikan syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan tidak meraih pendapatan tetapi masih memiliki komitmen kewangan seperti membayar pembekal bahan api dan pajakan.


Sumber: Berita Harian

Rabu, 18 November 2020

Nekad terjun lombong, tinggalkan anak

Nekad terjun lombong, tinggalkan anak


Ipoh: Nekad meninggalkan anak lelakinya berusia sembilan tahun, seorang lelaki terjun lombong dalam cubaan meloloskan diri daripada ditahan polis di Jalan Cenderawasih, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini semalam.


Pihak polis bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung, terpaksa bersampan bagi mengesan suspek di lombong yang mempunyai kedalaman lebih 10 meter.


Usaha mengesan suspek dipercayai terlibat dalam kes curi itu, berdepan dengan kesukaran apabila suspek menyorok dan bernafas di sebalik pokok keladi bunting sebelum dia akhirnya berjaya dibawa naik kira-kira jam 12.30 tengah malam.



Menurut pihak polis, suspek diminta memberhentikan kenderaannya, namun suspek bertindak memecut laju dan memaksa anggota mengekorinya sehingga kereta tersebut berhenti jalan mati di Jalan Cenderawasih. Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam lombong.


"Anggota membuat pemeriksaan mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki dalam kenderaan itu bersama pelbagai alat ganti kereta dan motosikal disyaki dicuri.


"Polis telah merampas sport rim kereta dan motosikal, alternator, komponen enjin serta kereta Proton Saga tersebut.


"Suspek yang mengalami luka di kepala dan calar di kedua-dua kakinya akibat terkena objek ketika terjun di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. Kanak-kanak tersebut diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas difahamkan dua beranak itu sudah sebulan tinggal di dalam kereta tersebut.

Selasa, 17 November 2020

AirAsia Japan failkan muflis, terjejas teruk akibat penularan Covid-19

AirAsia Japan failkan muflis, terjejas teruk akibat penularan Covid-19


Kuala Lumpur: Sektor penerbangan penumpang adalah antara industri paling teruk terjejas susulan impak Covid-19. Sekatan perjalanan dan penutupan sempadan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 telah memberi tekanan besar kepada pengendali penerbangan. 


Sebahagiannya mengambil keputusan untuk 'berehat sementara' semasa tempoh sukar ini bagi mengurangkan kerugian. Ada yang mengekalkan operasi mereka dan mengelakkan daripada jatuh bankrap kerana penurunan ketara permintaan perjalanan udara telah membawa kepada kapasiti tempat duduk, hasil dan pendapatan yang rendah.


Hari ini, Syarikat bersekutu 33 peratus milik AirAsia Group Bhd di Jepun, AirAsia Japan Co Ltd (AAJ) memfailkan muflis. AirAsia Japan Co Ltd adalah nama dua penjelmaan Jepun syarikat penerbangan tambang rendah, beroperasi sebagai usaha sama antara AirAsia Malaysia dan rakan Jepun.


"Ini disebabkan ketakmampuan bayar akibat penurunan permintaan bagi perjalanan berikutan sekatan perjalanan keluar masuk yang dikenakan susulan pandemik koronavirus," menurut syarikat penerbangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


AirAsia Group memegang kepentingan dalam AAJ menerusi pegangan sahamnya di AirAsia Investment Ltd.


Pada 5 Oktober, kumpulan itu mengumumkan ahli lembaga pengarahnya memutuskan untuk menutup operasi AAJ dengan serta-merta untuk mengurangkan beban kewangan di tengah-tengah situasi operasi yang amat mencabar di Jepun yang semakin teruk oleh pandemik Covid-19.


Sumber: Harian Metro

Sabtu, 7 November 2020

Rugi lebih RM33,000 ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud

Rugi lebih RM33,000 ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud


Kuantan: Hasrat seorang pekerja ladang untuk membuat pinjaman RM20,000 bagi urusan peribadi musnah, sebaliknya menanggung kerugian RM33,760 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, pada 10 Oktober lalu.


Kejadian bermula apabila mangsa berusia 33 tahun, melayari Facebook sebelum tertarik dengan tawaran iklan pinjaman wang lesen yang kononnya beroperasi di Setapak, Kalau Lumpur.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa kemudian menghubungi ejen pinjaman itu melalui aplikasi WhatsApp bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pinjaman yang ditawarkan.


"Selepas perbincangan, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang RM20,000 pada akhir bulan lalu dan dimaklumkan pinjaman akan diluluskan dalam tempoh tujuh hari bekerja.


"Pada 1 November lalu, wakil syarikat pinjaman itu memaklumkan pinjaman dipohon mangsa diluluskan dengan bayaran balik secara ansuran bulanan sebanyak RM417 selama lima tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mangsa bersetuju dan syarikat pinjaman itu meminta memasukkan wang bagi tujuan yuran proses pinjaman dan urusan cukai pendapatan.


Jelasnya, mangsa kemudian membuat transaksi pertama di sebuah bank di daerah Kuala Lipis berjumlah RM840 seperti diminta, pada 2 November lalu.


"Mangsa kemudian dihubungi syarikat itu meminta memasukkan lagi wang bagi tujuan memproses dokumen pinjaman dan mangsa membuat 11 transaksi membabitkan wang RM32,920 dalam akaun yang diberikan," katanya.


Mohd Wazir berkata, selepas memasukkan semua wang diminta, syarikat berkenaan masih meminta pindahan wang bagi pelbagai proses pinjaman.


Katanya, namun mangsa mula merasa curiga akan perkara ini kerana pinjaman yang dipohon sehingga kini gagal diluluskan syarikat itu.


"Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.


Sumber: Berita Harian