Rabu, 18 November 2020

Nekad terjun lombong, tinggalkan anak


Ipoh: Nekad meninggalkan anak lelakinya berusia sembilan tahun, seorang lelaki terjun lombong dalam cubaan meloloskan diri daripada ditahan polis di Jalan Cenderawasih, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini semalam.


Pihak polis bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung, terpaksa bersampan bagi mengesan suspek di lombong yang mempunyai kedalaman lebih 10 meter.


Usaha mengesan suspek dipercayai terlibat dalam kes curi itu, berdepan dengan kesukaran apabila suspek menyorok dan bernafas di sebalik pokok keladi bunting sebelum dia akhirnya berjaya dibawa naik kira-kira jam 12.30 tengah malam.



Menurut pihak polis, suspek diminta memberhentikan kenderaannya, namun suspek bertindak memecut laju dan memaksa anggota mengekorinya sehingga kereta tersebut berhenti jalan mati di Jalan Cenderawasih. Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam lombong.


"Anggota membuat pemeriksaan mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki dalam kenderaan itu bersama pelbagai alat ganti kereta dan motosikal disyaki dicuri.


"Polis telah merampas sport rim kereta dan motosikal, alternator, komponen enjin serta kereta Proton Saga tersebut.


"Suspek yang mengalami luka di kepala dan calar di kedua-dua kakinya akibat terkena objek ketika terjun di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. Kanak-kanak tersebut diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas difahamkan dua beranak itu sudah sebulan tinggal di dalam kereta tersebut.


EmoticonEmoticon