Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

Ahad, 9 Ogos 2026

Tiga lelaki Rohingya ditahan bantu siasatan jenayah seksual libatkan mangsa OKU

Tiga lelaki Rohingya ditahan bantu siasatan jenayah seksual libatkan mangsa OKU


Polis menahan tiga lelaki berketurunan Rohingya bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di kawasan Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai, Kemaman.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, tangkapan itu dibuat pada Sabtu susulan aduan diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 20 tahun pada Jumaat.


Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 28 tahun itu bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan telah direman bagi tindakan lanjut.


"Permohonan reman ke atas kesemua suspek telah dibenarkan bermula 8 Ogos sehingga 12 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


"Siasatan masih lagi terbuka untuk mengenalpasti suspek lain yang mungkin sebenarnya terlibat.


"Pihak polis juga perlu memperhalusi kes ini dan mangsa juga mesti diberi ruang masa secukupnya sebelum siasatan dilengkapkan memandangkan mangsa adalah seorang wanita OKU (Intelektual) berumur 23 tahun," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Mengulas mengenai gambar dan video tular di media sosial melibatkan perhimpunan orang ramai di hadapan flat berkenaan pada jam 8.30 malam Sabtu lalu, Mohd Razi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas.


Jelas beliau, orang ramai diminta berhati-hati ketika menggunakan platform media sosial supaya tidak mencetuskan situasi panik, tidak harmoni, atau menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.


"Segala maklumat yang diperoleh mestilah disahkan dahulu dan diyakini kebenarannya.


"Polis juga menasihati orang ramai untuk tidak mengambil tindakan yang terburu-buru ke atas mereka yang berketurunan Rohingya dan secara tidak langsung menjuruskan diri mereka dalam jenayah," katanya.


Tambah beliau, pihak polis sentiasa bersedia memberikan penjelasan berhubung kes berkenaan pada bila-bila masa. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.


Tangkap layar video tular menunjukkan orang ramai berkumpul di hadapan sebuah hadapan flat di Kampung Enjin Gergaji, Chukai, pada Sabtu.

Sabtu, 8 Ogos 2026

Pelajar mangsa buli bunuh datuk, nenek sebelum serang sekolah ragut enam nyawa

Pelajar mangsa buli bunuh datuk, nenek sebelum serang sekolah ragut enam nyawa


Seorang budak lelaki berusia 14 tahun di Thailand, yang disifatkan sebagai 'bermasalah' dan 'dibuli' oleh rakan sekelas bertindak membunuh datuk dan neneknya sebelum menembak mati lima lagi mangsa di sebuah sekolah semalam, kata polis.


"Mula-mula dia menembak mati kedua-dua datuk dan neneknya, menggunakan pistol datuknya, kemudian dia pergi ke sebuah sekolah menengah di wilayah Nonthaburi, bersempadan dengan Bangkok dan membunuh lima kakitangan sekolah," kata polis Thai dalam satu kenyataan.


Suspek berumur 14 tahun itu juga maut, kata kenyataan itu, dengan seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa suspek mengambil nyawanya sendiri.


Berpuluh-puluh anggota polis dan penyelamat berkumpul di luar Sekolah Debsirin Nonthaburi yang dikepung, lapor wartawan AFP, manakala ibu bapa menunggu untuk menjemput anak-anak mereka serta kakitangan yang menangis sambil menenangkan antara satu sama lain.


"Saya takut saya akan mati dan saya takut saya tidak akan dapat mengejar impian saya," kata, pelajar tingkatan 5 (gred 12) yang berharap untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah perubatan, Pawarisa Maylissa.


"Saya mendengar bunyi tembakan dengan sangat kuat kerana nampaknya suspek berada di tingkat tepat di atas tingkat kami," tambahnya kepada AFP.


Perdana Menteri Anutin Charnvirakul memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa "polis menyoal siasat sahabat karibnya yang mengatakan bahawa suspek berada di bawah tekanan berkaitan persekolahannya.


"Tindakannya juga menunjukkan bahawa dia telah merancang dengan teliti serangan ini," kata Anutin.


Menurutnya, lebih 30 orang cedera, dengan kira-kira sembilan dalam keadaan kritikal.


Timbalan Ketua Polis Negara Thailand merangkap jurucakap Polis Diraja Thailand Leftenan Jeneral Trairong Piwpan berkata siasatan awal polis menemukan sepucuk pistol 9 milimeter dan 34 butir peluru tambahan di luar magazin.


Suspek yang dikenal pasti sebagai pelajar Sekolah Debsirin Nonthaburi melepaskan tembakan di sekolah itu kira-kira jam 10 pagi mengorbankan enam individu, tiga guru dan tiga pelajar.


Polis mengesahkan bahawa suspek turut ditemukan maut di sekolah berkenaan.


Orang ramai menenangkan isteri kepada seorang cikgu yang mati ditembak dalam insiden berdarah di sebuah sekolah di Thailand pada Jumaat. - Foto AFP.

Selasa, 4 Ogos 2026

Tiga warga Bangladesh maut, seorang parah bergaduh sesama sendiri di Port Dickson

Tiga warga Bangladesh maut, seorang parah bergaduh sesama sendiri di Port Dickson


Tiga warga Bangladesh maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas terbabit pergaduhan dengan rakan senegara di Taman Linggi, Port Dickson semalam.


Difahamkan, dua daripada mangsa ditemui maut di kawasan Ladang Sua Manggis, Linggi.


Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 4.15 petang dengan mangsa parah kini dirawat di Hospital Rembau.


"Polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan pergaduhan membabitkan beberapa warga Bangladesh di sebuah rumah di Taman Linggi dan pasukan dari Balai Polis Linggi bergegas ke lokasi.


"Pasukan berjaya menahan lelaki warga Bangladesh berusia 40-an di lokasi yang dipercayai terbabit dengan kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, turut ditemui di rumah itu adalah dua mangsa dengan seorang maut dan seorang lagi parah.


Katanya, hasil siasatan awal, polis kemudian dibawa ke kawasan Ladang Sua Manggis di Linggi dan menemui dua lagi mangsa sudah meninggal dunia.


Menurutnya, mangsa dan suspek adalah rakan sekerja yang tinggal di kediaman sama.


"Pergaduhan dipercayai berlaku di beberapa lokasi. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan kronologi kejadian.


"Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini untuk permohonan reman," katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan


Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson atau mana-mana polis berhampiran.

Rabu, 29 Julai 2026

Bapa didakwa bunuh bayi 18 bulan, kes dibuka semula selepas hampir tiga tahun

Bapa didakwa bunuh bayi 18 bulan, kes dibuka semula selepas hampir tiga tahun


Seorang pegawai khidmat pelanggan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia 18 bulan, tiga tahun lalu.


Tertuduh, G Thevendhiran, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.


Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sebelum ini bekerja di Singapura didakwa membunuh anak lelakinya di sebuah kondominium di Jalan Permas Selatan, Bandar Baru Permas Jaya, antara jam 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun.


Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah turut boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqila Aliman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.


Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), patologi dan forensik.


Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh didenda RM3,000 dan sebulan penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbitnya.


Majistret A Shaarmini turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan kondominium sama pada jam 1 petang, pada 18 Julai lalu.


Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 29(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik.


Terdahulu, polis mengklasifikasikan semula kes kematian bayi 18 bulan tiga tahun lalu sebagai kes bunuh susulan penahan bapa kandung mangsa yang dikenal pasti sebagai suspek utama pada 18 Julai lalu.


Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa bapanya itu ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 13 September 2023 dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur mangsa.

Selasa, 28 Julai 2026

Lelaki ditembak di Seri Tambun: Polis temui beberapa bukti cubaan bunuh

Lelaki ditembak di Seri Tambun: Polis temui beberapa bukti cubaan bunuh


Polis menemukan beberapa bahan bukti di lokasi kejadian bagi membantu siasatan kes cubaan bunuh membabitkan penggunaan senjata api di kawasan perniagaan Seri Tambun, Simpang Ampat, semalam.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, siasatan di tempat kejadian telah dijalankan dan pihaknya sedang meneliti semua sudut bagi mengenal pasti motif sebenar insiden berkenaan.


Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun mengalami kecederaan selepas terkena tembakan pada lengan kanan.


"Mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.


"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.



Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960.


Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Rizal Abd Rashid di talian 019-8282212 atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.


"Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara di daerah Seberang Perai Selatan," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki cedera selepas dipercayai ditembak seorang lelaki bertopeng ketika berjalan menuju ke kenderaannya.


Kejadian tersebut berlaku selepas mangsa membeli telur di sebuah premis di kawasan komersial Seri Tambun, Simpang Ampat, semalam.


Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang sebelum itu selesai bersenam dilaporkan terkena satu das tembakan pada bahagian tangan kanan.

Khamis, 23 Julai 2026

Kes lelaki ditumbuk pengiring VVIP: Pemandu e-hailing OKU saman polis, kerajaan

Kes lelaki ditumbuk pengiring VVIP: Pemandu e-hailing OKU saman polis, kerajaan


Seorang pemandu e-hailing kurang upaya (OKU) pendengaran yang mendakwa ditumbuk pengiring keselamatan seorang kenamaan (VVIP) berhampiran sebuah hotel lima bintang di ibu negara, memfailkan saman sivil berhubung insiden itu, selain pengendalian tidak wajar terhadap laporan polis dibuatnya.


Ong Ing Keong memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi pada 10 Julai lalu dengan menamakan Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail, Inspektor Che W Hashimi Rafsanjani Che W Raksan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.


Ong yang berdaftar sebagai OKU mendakwa kejadian berlaku pada 28 Mei 2024 ketika dia mengambil empat penumpang di luar Hotel St Regis, Kuala Lumpur Sentral.


Berdasarkan penyataan tuntutannya, ketika penumpangnya masih menaiki kenderaan, beberapa individu mengarahkannya mengalihkan kenderaan.


Selepas semua penumpang masuk dan ketika dia mahu beredar, defendan pertama iaitu Muhammad Taufik yang berpakaian preman, didakwa secara tiba-tiba menumbuk mukanya melalui tingkap sebelah pemandu tanpa sebarang amaran.


Plaintif mendakwa, serangan itu menyebabkan beliau mengalami kesakitan pada muka, kecederaan tisu lembut dan lebam pada bahagian bawah bibir atas, malah kejadian itu didakwa dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaannya.


Ong turut mendakwa selepas membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau diminta hadir semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Travers, yang mana telefon bimbitnya diambil selepas polis melihat rakaman dimuat turun daripada kamera papan pemuka itu.


Beliau mendakwa, polis memaklumkan telefon bimbit itu hanya akan dipulangkan jika beliau menarik balik laporan polis dan memadam rakaman video kejadian didakwa berlaku.


Sebagai seorang pekak yang bergantung kepada telefon bimbit untuk bekerja dan berkomunikasi, Ong mendakwa, beliau kehilangan akses kepada medium komunikasi utamanya selama beberapa jam.


Beliau juga mendakwa tidak diberikan jurubahasa bahasa isyarat, perkhidmatan transkripsi atau bantuan terjemahan walaupun berstatus OKU.


Ong turut mendakwa, pergerakannya di balai polis dihadkan dan kemudian didesak oleh defendan kedua iaitu Hashimi, supaya menarik balik laporan polis serta menyelesaikan perkara itu dengan menerima pampasan RM800.


Beliau mendakwa akhirnya bersetuju berbuat demikian kerana bimbang telefon bimbitnya terus dirampas, namun memaklumkan kepada polis pada keesokan harinya bahawa beliau mahu siasatan diteruskan.


Melalui saman itu, Ong menuntut ganti rugi am atas dakwaan serangan, kecuaian dan salah guna kuasa dalam jawatan awam serta pelanggaran tanggungjawab statutori mengikut Akta Polis dan Akta Orang Kurang Upaya.


Beliau turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos serta apa-apa relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Pada 4 November 2024, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap Muhammad Taufik, atau penjara 20 hari jika gagal membayar, selepas beliau mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mencederakan Ong.


Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 11.40 pagi di lobi Hotel St Regis, Brickfields pada 28 Mei 2024.


Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Insiden itu sebelum ini turut mengundang kritikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang menyifatkan cubaan mengaitkan institusi diraja dengan insiden berkenaan sebagai tidak wajar.


Video tular kejadian dua tahun lalu.

Selasa, 21 Julai 2026

Kecewa Bekas Isteri Kahwin Semula, Lelaki Tergamak Bakar Bapa Sendiri

Kecewa Bekas Isteri Kahwin Semula, Lelaki Tergamak Bakar Bapa Sendiri


Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila tergamak membakar bapanya sendiri selepas didakwa sukar mengawal emosi berikutan bekas isterinya berkahwin semula dengan lelaki lain.


Dalam kejadian di Jalan Pinang Baris, Gang Wakaf II, Medan, Sumatera Utara pada Jumaat malam, mangsa yang dikenali sebagai YL, 66, berjaya diselamatkan sebelum api merebak ke seluruh tubuhnya.


Bagaimanapun, mangsa mengalami kecederaan akibat melecur pada bahagian tangan dan kaki susulan kejadian itu.


Suspek, EP, 39, dikatakan bertindak demikian selepas berdepan tekanan emosi akibat perpisahan dengan isterinya.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Medan Sunggal, Iptu Herman Sentosa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam waktu tempatan itu.


"Maklumat awal mendapati suspek mengalami tekanan selepas bekas isterinya berkahwin semula.


"Keadaan itu menyebabkan dia mudah hilang kawalan sehingga bapanya menjadi sasaran," katanya seperti dipetik media tempatan pada Sabtu.


Menurut Herman, suspek kini ditahan di Balai Polis Medan Sunggal bagi membantu siasatan lanjut.


Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan belum menetapkan status suspek sebagai tahanan reman kerana belum menerima laporan rasmi daripada mangsa atau ahli keluarga.


"Suspek masih ditahan bagi membantu siasatan. Setakat ini, belum ada laporan polis dibuat oleh mangsa atau ahli keluarga," katanya.


Sebelum kejadian itu, suspek dilaporkan sempat ditahan penduduk setempat selepas kejadian berlaku dan hampir menjadi sasaran amukan orang ramai.


Kes berkenaan kini disiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk tindakan suspek yang menyebabkan bapanya mengalami kecederaan.


Tangkap layar kejadian seorang anak membakar bapanya di Medan. - Foto Tribun Medan/Istimewa.

Ahad, 28 Jun 2026

Mayat remaja perempuan dalam beg, polis Thailand tahan lelaki Australia

Mayat remaja perempuan dalam beg, polis Thailand tahan lelaki Australia


Mayat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemui dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan berhampiran landasan kereta api di Pattaya, Thailand. Seorang lelaki warga Australia ditahan polis susulan siasatan kes kehilangan mangsa.


Menurut polis Thailand, laporan kehilangan mangsa dibuat oleh rakannya selepas gagal menghubungi remaja itu selama lebih 24 jam, lapor Khaosod English.


Siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dilihat berjalan berpegangan tangan dengan seorang lelaki warga Australia pada 3.34 pagi, 25 Jun sebelum memasuki sebuah kondominium di Jalan Jomtien Second dan menuju ke sebuah unit di tingkat 15 bangunan berkenaan.


Bagaimanapun, polis berkata mangsa tidak lagi kelihatan meninggalkan bangunan itu, manakala rakaman CCTV lain menunjukkan lelaki terbabit mengheret keluar sebuah beg pakaian hitam dari kondominium berkenaan pada 9.34 malam hari yang sama sebelum memuatkannya ke atas sebuah motosikal.


Suspek kemudian menunggang motosikal melalui Jalan Sukhumvit sebelum memasuki Soi Chaiyaphruek 2 dan bergerak ke kawasan bersebelahan landasan kereta api.


Polis memaklumkan lelaki itu hilang daripada liputan CCTV selama lebih sembilan minit sebelum kembali ke kondominium tanpa membawa beg pakaian tersebut.


Pemeriksaan polis di unit kondominium berkenaan menemukan kesan pergelutan, namun mangsa dan suspek tidak berada di lokasi, sekali gus mendorong pihak berkuasa melancarkan usaha mengesan lelaki terbabit.



Pada kira-kira 7 malam, 26 Jun, polis berjaya menahan suspek yang dikenali sebagai Simon, 46, di Lapangan Terbang Suvarnabhumi ketika dia dipercayai cuba membeli tiket untuk pulang ke Australia.


Polis turut menemui kesan calar pada bahagian leher dan lengannya yang dipercayai akibat terkena kuku.


Hasil penjejakan laluan pergerakan suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah kawasan rumput di tepi landasan kereta api, kira-kira 4.2 kilometer dari kondominium terbabit, di mana sebuah beg pakaian hitam bersaiz 26 inci ditemukan pada 11.17 malam.


Pasukan polis mengesahkan terdapat mayat manusia di dalam beg pakaian itu sebelum pemeriksaan forensik dijalankan.


Polis berkata mayat seorang wanita muda tanpa pakaian ditemukan dalam keadaan disumbat ke dalam beg berkenaan dan ditutupi dengan kain berwarna coklat.


Mayat itu mempunyai kesan kecederaan serius pada bahagian muka dipercayai akibat serangan ganas.


Pasukan forensik menganggarkan mangsa telah meninggal dunia sekurang-kurangnya dua hari sebelum mayatnya ditemukan.


Polis memaklumkan ciri fizikal serta tatu pada tubuh mangsa sepadan dengan remaja perempuan yang dilaporkan hilang itu.


Mahkamah Wilayah Pattaya turut meluluskan waran tangkap terhadap suspek, manakala polis meneruskan siasatan termasuk menunggu keputusan forensik bagi menentukan punca kematian dan sama ada pertuduhan tambahan akan dikenakan.

Rabu, 24 Jun 2026

Penuntut IPTS maut dibunuh di Bandar Sunway: Mangsa, suspek saling mengenali, ada hubungan istimewa - Polis

Penuntut IPTS maut dibunuh di Bandar Sunway: Mangsa, suspek saling mengenali, ada hubungan istimewa - Polis


Mangsa dan suspek kes pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Selasa dipercayai saling mengenali serta mempunyai hubungan istimewa.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal turut mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada isu peribadi melibatkan emosi, perasaan serta perbelanjaan harian.


"Setakat ini, kita percaya motif kejadian adalah disebabkan isu peribadi yang melibatkan emosi, perasaan serta perbelanjaan harian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam hari ini.


Menurut beliau, fokus siasatan kini tertumpu kepada seorang lelaki warga asing yang ditahan di lokasi kejadian sejurus mayat mangsa ditemukan.


"Setakat ini, tiada petunjuk yang mengaitkan individu lain dengan kejadian tersebut. Bagaimanapun, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan sehingga siasatan selesai sepenuhnya," katanya.


Beliau berkata, beberapa barang kes telah dirampas termasuk senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.


"Pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa," katanya.


Shazeli berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak institusi berkenaan termasuk tempoh pengajian, bidang pengajian dan hubungan antara kedua-dua individu tersebut.


"Setakat ini, kita telah merakam percakapan beberapa jiran dan saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan polis menerima maklumat kejadian pada jam 11.03 pagi sebelum menemui mangsa berusia lingkungan 20-an dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan pada tubuh.


Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an turut ditahan di lokasi sama bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Isnin, 15 Jun 2026

Enggan tinggalkan suami, wanita berusia 19 tahun maut ditikam bapa dalam balai polis

Enggan tinggalkan suami, wanita berusia 19 tahun maut ditikam bapa dalam balai polis


Seorang wanita berusia 19 tahun maut selepas ditikam bapanya dalam sebuah balai polis di daerah Banda, Uttar Pradesh, India dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada pertikaian mengenai perkahwinannya.


Memetik laporan NDTV, mangsa, Shivani, sebelum itu dilaporkan meninggalkan rumah pada 18 Mei lalu bersama jirannya, Lalit Verma. Pasangan tersebut kemudiannya berkahwin di sebuah kuil sebelum mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah.


Susulan kehilangan Shivani, ibu bapanya membuat laporan polis terhadap Lalit, menyebabkan pihak berkuasa melancarkan operasi mengesan pasangan berkenaan.


Pada Jumaat lalu, polis berjaya mengesan mereka di daerah Satna, Madhya Pradesh, sebelum membawa kedua-duanya ke Banda untuk siasatan lanjut.


Ketika disoal siasat, pasangan itu memaklumkan bahawa mereka berkahwin atas kerelaan sendiri dan turut mengemukakan dokumen perkahwinan sebagai bukti.


Sementara polis membuat persiapan untuk menjalankan pemeriksaan perubatan terhadap Shivani dan merekodkan kenyataannya, keluarga kedua-dua pihak hadir ke balai polis berkenaan.


Dalam sesi kaunseling yang diadakan, ibu bapa Shivani dilaporkan terus mendesaknya supaya pulang ke rumah, namun wanita itu tetap bertegas untuk tinggal bersama suaminya.


Keadaan menjadi tegang apabila ibu mangsa, Ranno, didakwa memegang Shivani dari belakang sebelum bapanya mengeluarkan sebilah pisau lalu menyerangnya di hadapan anggota polis yang berada di lokasi.


Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian perut, lengan dan tapak tangan sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Bagaimanapun, Shivani disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.


Superintendan Polis Banda, Palash Bansal berkata, satu kes telah dibuka mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan dan bapa mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.

Selasa, 9 Jun 2026

Suami isteri tidur dalam kereta maut, ketika ditemukan enjin kereta masih dalam keadaan berfungsi

Suami isteri tidur dalam kereta maut, ketika ditemukan enjin kereta masih dalam keadaan berfungsi


Sepasang suami isteri di Indonesia, Suharlin dan Dame Lamria Pakpahan, 47, penduduk Sei Mencirim, Sunggal, ditemui mati dalam sebuah kereta sedan Chevrolet hitam pada Jumaat lalu (5 Jun 2026) kira-kira jam 2:30 petang WIB.


"Kedua-dua mangsa, pasangan suami isteri, ditemui mati di hadapan rumah ibu bapa mereka di Jalan Harapan Pasti, Daerah Medan Denai," jelas Ketua Polis Kawasan Medan, AKP M Ainul Yaqin, di tempat kejadian.


Beliau berkata kematian mangsa disedari selepas menerima maklumat daripada ketua kejiranan tempatan. AKP M Ainul Yaqin, bersama-sama anggota pasukan Inafis Polis Medan, segera tiba di tempat kejadian.


Menurut saksi Guntur Simatupang, pasangan itu tiba di kediaman ibu bapa mereka di Jalan Harahap Pasti, Medan Denai, pada hari Khamis (4 Jun 2026) kira-kira jam 11:00 malam WIB.


"Di tempat kejadian, mangsa berkata dia mahu bermalam di situ kerana elektrik di rumah mereka terputus dan tidur di dalam kereta, di tempat letak kereta di hadapan rumah ibu bapa mangsa," kata Ketua Polis Kawasan Medan.



Kemudian, sekitar jam 6:00 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB), saksi menghampiri kereta mangsa dan terus bercakap dengan pasangan itu untuk masuk ke dalam, tetapi mereka enggan.


"Mangsa berkata, 'Mari kita duduk di dalam kereta, kita masuk nanti,'" katanya.


Sambung Yaqin, menjelaskan bahawa mangsa wanita itu lumpuh dan mangsa lelaki itu sihat.


"Pada jam 1:00 tengah hari Waktu Indonesia Barat (WIB), saksi kembali kepada kedua-dua mangsa di dalam kereta dan melihat mangsa (suami) tidak lagi bertindak balas. Sementara itu, mangsa (isteri) sudah lembik dan kereta dikunci dengan pengelap cermin depan dihidupkan," jelas Yaqin.


Oleh itu, saksi menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan membuka kereta, tetapi pihak bomba tidak datang. Saksi dan rakannya kemudian memecahkan tingkap kereta menggunakan palam pencucuh dan membuka pintu. Suhu di dalam kereta mangsa sangat panas.


Kedua-dua mangsa segera dibawa ke Hospital Madani, tetapi disahkan meninggal dunia.


"Berdasarkan siasatan tempat kejadian jenayah ke atas kereta dan kedua-dua mangsa, tiada tanda-tanda keganasan," kata AKP M Ainul Yaqin. Mayat kedua-dua mangsa kini telah diterima oleh keluarga mereka.


Isnin, 8 Jun 2026

Dua beradik jatuh bangunan pangsapuri selang beberapa minit di Tampoi, Johor Bahru

Dua beradik jatuh bangunan pangsapuri selang beberapa minit di Tampoi, Johor Bahru


"Kami baharu buka paip tepi kolam mahu basahkan badan sebelum mandi, sekali terdengar bunyi kuat seakan benda jatuh," kata seorang wanita, antara saksi kejadian dua kanak-kanak jatuh bangunan pangsapuri di Tampoi, Johor Bahru pada jam 8 pagi semalam.


Berkongsi berkaitan kejadian menyayatkan hati itu menerusi laman sosial Instagram, wanita dikenali sebagai Irainany berkata, kolam renang berkenaan berada di tingkat tujuh.


Katanya, ketika itu suasana sangat sunyi memandangkan hanya empat individu berada di lokasi iaitu dia, suami, bayi mereka serta seorang pekerja bahagian pembersihan.


"Tak boleh lupa betapa cemasnya kami ketika itu apabila nampak seorang kanak-kanak perempuan jatuh selepas dengar bunyi yang kuat.


"Selepas itu, ramai jiran yang ke lokasi. Sampai kini saya masih trauma teringat kejadian. Ketika itu suami menyerahkan bayi kepada saya dan ke lokasi kanak-kanak itu terjatuh," katanya.


Beliau berkata, ketika itu dia, suami serta beberapa individu lain buntu melihat keadaan mangsa.


Menurutnya, selang beberapa minit mereka sekali lagi mendengar bunyi kuat, sebelum nampak seorang budak lelaki pula yang jatuh.


"Suami kemudian menghubungi ambulans dan meminta bantuan jiran lain," katanya.


Sementara itu, seorang lagi penduduk di kawasan berkenaan menerusi ruangan komen menyatakan, dia yang tinggal di tingkat 13 di blok berkenaan masih terkejut dengan kejadian.


"Kanak-kanak lelaki itu di kenali sebagai Irfan dan adiknya, Puteri. Selepas beberapa minit kejadian ibunya ke lokasi dan saya sempat memeluk ibu mereka bagi memastikan dia tenang," katanya.


Difahamkan kanak-kanak perempuan itu berusia lapan tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala abangnya berusia 10 tahun masih di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian. Beliau berkata, pihaknya akan memberikan kenyataan selepas siasatan dijalankan.


Gambar tular dan gambar internet. Pangsapuri lokasi kejadian dua kanak-kanak terjatuh dari bangunan di Tampoi pagi semalam.

Khamis, 28 Mei 2026

Remaja perempuan disyaki di bawah pengaruh vape mushroom kelar leher, tangan selepas dihalang keluar rumah

Remaja perempuan disyaki di bawah pengaruh vape mushroom kelar leher, tangan selepas dihalang keluar rumah


Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun disyaki berada di bawah pengaruh vape jenis 'mushroom' bertindak mengelar leher dan pergelangan tangannya selepas berang dihalang ibu angkatnya daripada bertemu teman lelaki di sebuah rumah di Jonker Walk, Melaka.


Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian jam 10.33 malam Ahad lalu itu dipercayai berlaku selepas mangsa berang apabila dihalang oleh ibu angkatnya berusia 49 tahun daripada bertemu teman lelaki berusia 17 tahun.


Beliau berkata, mangsa kemudian masuk dalam bilik tidur di tingkat satu rumah itu, sebelum bertindak mencederakan diri menggunakan sebilah pisau.


"Ibu angkat mangsa mendakwa remaja itu berada dalam keadaan tertekan dan dipercayai di bawah pengaruh vape jenis 'mushroom' sebelum kejadian berlaku.


"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan di Zon Kuning Unit Kecemasan sebelum dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, siasatan juga mendapati remaja itu mula terdedah kepada penggunaan vape berkenaan selepas diperkenalkan oleh teman lelakinya yang juga pelajar Tingkatan Empat sejak Februari lalu.


Katanya, ibu angkat mangsa juga sudah merampas vape itu bagi menghalang daripada terus menggunakannya selain siasatan turut mendapati bahan berkenaan dipercayai dibekalkan oleh teman lelaki mangsa.


"Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap semua individu terbabit, termasuk ibu angkat dan penghuni rumah berusia 14 hingga 17 tahun.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa. Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.


Media pada Selasa lalu melaporkan mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka selepas ditemui dengan kesan kelar di leher di sebuah rumah di sekitar Banda Hilir.


EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, dilaporkan berkata, remaja terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau pasukan perubatan.

Kemungkinan penyaman udara rosak punca 6 bayi baru lahir maut di wad Hospital

Kemungkinan penyaman udara rosak punca 6 bayi baru lahir maut di wad Hospital



Kejadian enam bayi baru lahir meninggal dunia di sebuah wad di Hospital Kolej Perubatan Ad-din di kawasan Moghbazar, Dhaka awal pagi Rabu, mendorong pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera, lapor The Business Standard.


Ketua Pengarah Direktorat Jeneral Perkhidmatan Kesihatan (DGHS), Profesor Dr Pravath Chandra Biswas berkata, pihaknya menubuhkan jawatankuasa siasatan khas yang dianggotai tiga pegawai kanan dan diarahkan mengemukakan laporan dalam tempoh 72 jam.


Jawatankuasa itu terdiri daripada Timbalan Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Keluarga, seorang pegawai berpangkat timbalan pengarah dari hospital DGHS serta seorang lagi daripada pegawai agensi berkenaan.


"Sebarang kerosakan berkaitan sistem penyaman udara atau masalah teknikal lain akan dikenal pasti dan pakar teknikal turut akan disertakan dalam jawatankuasa ini jika perlu," katanya selepas meninjau kemudahan hospital itu.


Menurut Pravath, siasatan awal mendapati wad berkenaan berada dalam keadaan sesak dan kurang pengudaraan awal pagi kelmarin dipercayai berpunca daripada masalah sistem penyaman udara atau faktor lain.


Beliau berkata, sistem penyaman udara di wad itu dipasang tanpa menyediakan pengudaraan alternatif sekiranya ia gagal berfungsi sekali gus menjejaskan keadaan pesakit di dalam wad berkenaan.


Pravath berkata, siasatan akan meneliti sama ada terdapat unsur kecuaian dalam pelaksanaan tugas dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil sekiranya bukti kecuaian ditemukan.


Polis memaklumkan bayi yang berusia antara satu hingga dua hari itu ditempatkan di wad selepas pembedahan hospital berkenaan iaitu tempat ibu dan bayi baru lahir ditempatkan selepas menjalani proses kelahiran secara pembedahan.


Timbalan Pesuruhjaya Bahagian Ramna Polis Metropolitan Dhaka, Sheikh Zahidul Islam berkata, pegawai jabatan siasatan jenayah dan unit polis lain dikerahkan segera untuk menyiasat keadaan di sekitar lokasi kejadian.


Pihak polis mengesyaki kemungkinan kebocoran gas dalam sistem penyaman udara atau kerosakan mekanikal lain sebagai punca kejadian itu manakala pegawai dari Balai Polis Ramna mengesahkan kes ini masih dalam siasatan.


Sementara itu, Ketua Pengarah (Hospital dan Keperawatan) kemudahan perubatan berkenaan, Profesor Dr Nahida Yasmin menyifatkan insiden itu sebagai satu 'kemalangan' dan memaklumkan terdapat 11 ibu serta enam bayi di wad berkenaan ketika kejadian.


Beliau berkata, dua daripada bayi berkenaan tiba-tiba jatuh sakit pada waktu malam sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) namun selepas jam 3 pagi, doktor mengesahkan keadaan mereka stabil dan mereka dipulangkan semula ke wad.


Bagaimanapun, jururawat dan ibu mendapati kesemua enam bayi berada dalam keadaan kritikal selepas jam 6 pagi.


Mereka kemudian dihantar ke NICU semula, namun kesemua bayi berkenaan disahkan meninggal dunia antara jam 6 pagi hingga 9 pagi.


Pasukan forensik menyiasat punca enam bayi baru lahir meninggal dunia di Hospital Kolej Perubatan Ad-din di Mogbazar, Dhaka. - Foto Agensi.

Isnin, 25 Mei 2026

 Caj jalan persendirian Genting Highlands bakal dikenakan mulai 28 Mei ini

Caj jalan persendirian Genting Highlands bakal dikenakan mulai 28 Mei ini


Pengguna Jalan Genting Highlands bakal dikenakan caj jalan persendirian bermula 28 Mei ini susulan pelaksanaan kutipan caj oleh syarikat pengendali jalan, Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB).


LCSB dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan caj itu akan dibuat secara berfasa membabitkan semua pengguna jalan yang dibenarkan, kecuali kategori tertentu yang diberikan pengecualian.


Katanya, kutipan caj akan dilakukan di dua lokasi utama iaitu pintu masuk Genting Highlands di Genting Sempah dan pintu masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.


"Bagi kenderaan kelas satu membabitkan kereta dan van, pengguna dikenakan caj RM5 bagi setiap kemasukan di kedua-dua lokasi.


"Kenderaan kelas dua iaitu lori sederhana pula dikenakan caj RM15, manakala lori berat RM25. Teksi dikenakan caj RM3.30 dan bas RM5 bagi setiap kemasukan.


"Semua kenderaan kelas dua hingga lima diwajibkan memasuki laluan khas atau menggunakan sistem Pengecaman Plat Nombor (LPR)," katanya.


LCSB turut memaklumkan beberapa kategori kenderaan diberikan pengecualian caj termasuk kenderaan kecemasan dan motosikal tanpa memerlukan pendaftaran.


LCSB ialah pengendali Jalan Genting Highlands. Sebagai syarikat khusus dalam Operasi dan Penyelenggaraan Jalan (ROAM), LCSB bertanggungjawab terhadap keseluruhan pengurusan jalan termasuk kerja penurapan semula, pengukuhan cerun, pemantauan cerun, tindak balas kecemasan dan penyeliaan operasi.


Selain itu, pengecualian turut diberikan kepada kenderaan persendirian penjawat awam yang bertugas di institusi kerajaan tertentu di Genting Highlands, tertakluk kepada proses pendaftaran dan penggunaan laluan LPR atau lorong khas.


Antara institusi terbabit ialah Sekolah Kebangsaan Sri Layang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Layang, Institut Aminuddin Baki, Balai Polis Genting Highlands, Balai Polis Gohtong Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands serta beberapa pejabat kerajaan negeri dan daerah.


Dalam perkembangan sama, bermula 28 Jun 2026, LCSB akan memperkenalkan skim khas kepada penduduk tetap Genting Highlands dengan pendaftaran sehingga dua kenderaan kelas satu bagi setiap pemohon yang layak.


Penduduk tetap boleh memilih kadar caj istimewa iaitu 10 peratus lebih rendah bagi setiap kemasukan atau melanggan pas bermusim selama enam bulan yang menawarkan kemasukan tanpa had sepanjang tempoh sah.


Menurut LCSB, kenderaan berdaftar milik penduduk tetap tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun ini.


"Pengecualian dan kadar istimewa ini akan disemak secara berkala berdasarkan keperluan operasi dan perubahan dasar," katanya.


Maklumat lanjut termasuk prosedur pendaftaran, kategori kenderaan dan skim pas bermusim boleh diperoleh menerusi Maklumat lanjut termasuk prosedur pendaftaran, kategori kenderaan dan skim pas bermusim boleh diperoleh menerusi www.lingkarancekap.com.

Sabtu, 23 Mei 2026

Lelaki terperangkap 10 jam dalam dinding bangunan ketika cuba merompak

Lelaki terperangkap 10 jam dalam dinding bangunan ketika cuba merompak


Seorang lelaki yang dipercayai cuba melakukan rompakan akhirnya menerima padah apabila terperangkap di dalam dinding sebuah bangunan kira-kira 10 jam.


Menurut laporan, lelaki itu cuba memasuki premis berkenaan melalui ruang sempit di antara dinding untuk melakukan kegiatan mencuri namun, usahanya gagal apabila tersekat dan tidak dapat keluar.


Keadaan itu hanya disedari oleh anggota polis dari Jabatan Polis Salinas yang sedang sarapan pagi di sebuah kedai kopi tempatan. Mereka terdengar suara meminta bantuan dari kawasan berhampiran.


Pada mulanya, polis memeriksa sekitar kawasan termasuk di dalam pawagam berdekatan sebelum menyedari suara tersebut sebenarnya datang dari dalam dinding yang memisahkan kedai kopi dan pawagam itu.


Pihak polis kemudian mengetuk dinding dan mendengar ketukan balas dari dalam.


Mereka cuba memotong sebahagian dinding di kedai kopi tersebut, namun hanya menemui blok simen dan konkrit.


Bagi menyelamatkan mangsa, anggota bomba terpaksa memecahkan bahagian lain dinding di sepanjang Main Street sebelum berjaya mengeluarkan lelaki terbabit yang dikenali sebagai Isaac Valencia.


Siasatan mendapati Isaac dipercayai terjatuh dari bumbung pawagam berhampiran ketika cuba melakukan kegiatan pecah masuk, sebelum tersepit di ruang sempit dalam dinding bangunan itu.


Media tempatan melaporkan lelaki itu dipercayai jatuh dari ketinggian kira-kira 22 kaki.


Selepas diberikan rawatan dan pemeriksaan kesihatan, Isaac kemudian ditahan dan dibawa ke Penjara Monterey County atas dakwaan pecah masuk.


Dalam kenyataan di media sosial, pihak polis berkata mereka bersyukur kejadian itu berakhir tanpa sebarang kecederaan serius.


"Kerja cemerlang oleh anggota syif malam kami yang walaupun keletihan, tetap mempercayai naluri mereka, terus berusaha," katanya.