Guru yang dipercayai terbabit dengan kes seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat penyakit jantung, namun dipaksa bersukan disahkan ditukarkan sementara menunggu keputusan siasatan.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, berkata guru berkenaan sudah ditukarkan ke sekolah baharu sejurus selepas siasatan awal dilakukan dan tindakan itu adalah langkah intervensi awal.
"Pada masa ini, tindakan telah diserahkan kepada unit integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan seterusnya.
"Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberikan ruang kepada pihak JPN dan KPM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sementara itu, sumber dalaman sekolah memaklumkan kejadian yang membabitkan Allahyarham Nur Qaira Alisha Ahmad 'Ilwan itu berlaku pada 14 April lalu apabila murid berkenaan dikatakan terbabit dalam pemilihan bagi acara larian 80 meter untuk program sukan sekolah.
"Murid itu memang mempunyai sejarah penyakit jantung daripada kecil. (Selepas bersukan), murid berkenaan jatuh sakit dan mula mendapat rawatan pada 17 April dan tidak hadir ke sekolah selama empat bulan dan aduan daripada waris telah dibuat pada 10 Mei," katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan unit integriti KPM mengambil tindakan selanjutnya berhubung kematian Nur Qaira Alisha, selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau juga dimaklumkan bahawa JPN Kedah sudah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga arwah.
Sebelum ini, tular perkongsian bapa mangsa di media sosial yang mendakwa anaknya yang mengalami masalah jantung diarahkan oleh seorang guru untuk menyertai aktiviti larian pada pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan mengenai penyakitnya itu diberi.
Akibat kejadian terbabit, Nur Qaira Alisha didakwa terlantar dan terpaksa memakai oksigen sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.49 malam, Rabu lalu.
Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga alam maya yang mahukan tindakan segera diambil terhadap mereka yang terbabit.

EmoticonEmoticon