Seorang remaja ditangkap kerana merancang penculikan bintang Real Madrid, Kylian Mbappe dan beberapa individu kaya lain di Perancis, menurut laporan.
Clement L, 18, dilabelkan sebagai dalang sebuah geng yang didakwa dikendalikannya melalui Snapchat, di bawah nama alias "Lester Z", semasa berada di dalam penjara atas kesalahan pelacuran dan rompakan bersenjata.
Menerusi hasil pemeriksaan ke atas dua telefon bimbitnya, pihak berkuasa menemui alamat dan maklumat yang dikaitkan dengan 26 sasaran.
Mbappe yang dianggarkan mempunyai nilai kekayaan bersih sekitar £200 juta (RM1.1 bilion) adalah individu paling menonjol antara mereka.
Penyanyi rap dan ahli perniagaan termasuk seorang pedagang daging dari Turki dan seorang tukang emas yang kesemuanya mempunyai kekayaan yang sangat besar turut dijadikan sasaran oleh geng tersebut.
Rancangan itu mula terbongkar apabila dua ahli geng yang didakwa bersenjatakan pistol merompak sebuah kedai tukang jam di Paris pada bulan Mei, menurut Le Parisien.
Kedua-dua mereka merompak 11 jam tangan mewah bernilai £128,000 (RM699,000) sebelum melarikan diri dari tempat kejadian menggunakan sebuah skuter.
Salah seorang suspek ditangkap setengah jam kemudian selepas melanggar lori dengan kenderaan roda duanya, manakala suspek kedua ditangkap tidak lama selepas itu. Siasatan akhirnya membawa pihak polis kepada Clement dan seorang rakan subahatnya.
"Lelaki muda ini sudah pun berada di dalam penjara atas kesalahan berat dan kini dia terbabit pula dalam kes baharu yang melibatkan seorang penyanyi rap dan seorang pemain bola sepak terkenal," kata Peguam Negara kepada mahkamah pagi ini.
"Hanya kurungan berseorangan di penjara yang dapat membuatkan dia memahami realiti situasi ini, memandangkan kehidupan jenayah yang huru-hara yang diamalkannya."
Rekod jenayah Clement merangkumi dua sabitan kesalahan berkaitan dadah dan satu kesalahan rompakan bersenjata.
Dia berhenti sekolah semasa belajar untuk kelayakan vokasional dalam bidang masakan, menurut laporan.
"Saya tahu kesalahan ini adalah berat," kata lelaki muda itu kepada mahkamah.
Semasa disoal siasat, dia cuba meremehkan tahap pembabitannya dalam geng terbabit.
Setakat ini, Clement mempertahankan bahawa dia bukannya dalang, sebaliknya sekadar orang tengah antara seorang bos misteri dan ahli-ahli bawahan yang menjalankan tindakan terbabit.
Dalam pembelaannya, dia berkata 'saya ditahan dalam kurungan berseorangan, dikelilingi oleh orang gila dan pengganas, dan saya tidak fikir keadaan itu akan menjadi lebih baik.
"Saya benar-benar mahu menjadi seorang cef, ia menjadi impian saya sejak kecil lagi."

EmoticonEmoticon